E1

[OCC] Kenyataan Media SUHAKAM No. 74-2026_Tindakan Segera Diperlukan untuk Mewartakan dan Melaksanakan Had Laju 30 km/j di Zon Sekolah

KUALA LUMPUR (28 OKTOBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menzahirkan kebimbangan serius berhubung insiden yang dilaporkan berlaku pada 26 Oktober 2026, melibatkan seorang murid berusia 11 tahun yang mengalami kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Darau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Kecederaan serius yang dialami murid tersebut amat membimbangkan. Pesuruhjaya Kanak-Kanak turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kanak-kanak tersebut serta keluarganya dan mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan dan dapat pulih sepenuhnya.

Insiden ini bukanlah kejadian pertama yang dilaporkan melibatkan murid dan kemalangan jalan raya pada tahun 2026. Insiden lain yang dilaporkan termasuk:

  1. 12 April - Kota Bharu, Kelantan: Seorang murid perempuan Tingkatan 1 maut dalam insiden melibatkan kenderaan di dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas.
  2. 5 Mei - Batu Pahat, Johor: Seorang murid berusia 8 tahun meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van di pintu masuk utama Sekolah Kebangsaan Seri Maimon.
  3. 2 Julai - Kemaman, Terengganu: Seorang murid berusia 6 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dalam insiden melibatkan sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Geliga.
  4. 23 September - Permatang Pauh, Pulau Pinang: Dua orang murid perempuan berusia 8 dan 9 tahun mengalami kecederaan ringan selepas dilanggar seorang penunggang motosikal ketika melintas jalan di hadapan sekolah mereka.
  5. 30 September - Dalam perjalanan ke sekolah: Seorang murid berusia 8 tahun maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal bersama neneknya, yang turut mengalami kecederaan parah.

Laporan-laporan ini bukanlah membuktikan secara statistik bahawa kemalangan jalan raya di kawasan sekolah semakin meningkat atau setiap insiden berpunca daripada pemanduan melebihi had laju. Walau bagaimanapun, tindakan pencegahan tidak seharusnya ditangguhkan sehingga wujud pola kematian dan kecederaan parah.

Perlindungan kanak-kanak di dalam dan sekitar kawasan sekolah adalah selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC), termasuk kewajipan untuk menjadikan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama, melindungi hak mereka untuk hidup dan berkembang serta menjaga kesihatan dan mencegah kemalangan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan had laju 30 km/j di jalan yang turut digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna jalan raya lain yang lebih terdedah kepada risiko dengan lalu lintas bermotor. Kelajuan yang lebih rendah memberi pemandu lebih masa untuk bertindak balas, mengurangkan jarak yang diperlukan untuk memberhentikan kenderaan serta mengurangkan risiko pelanggaran.

Dasar had laju 30 km/j di zon sekolah telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas pada 15 Julai 2024. Pada 22 Oktober 2026, Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses mewartakan had tersebut, yang meliputi jarak 250 meter sebelum dan 250 meter selepas pintu masuk sekolah. Pesuruhjaya Kanak-Kanak mengalu-alukan perkembangan ini serta inisiatif Zon Selamat Sekolah yang telah diumumkan, dan menggesa Kerajaan memperincikan langkah yang masih belum diselesaikan serta mengumumkan tarikh kuat kuasa dan jadual pelaksanaan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa Kerajaan untuk:

  1. Menyelesaikan pindaan undang-undang dan peraturan yang diperlukan bagi mewartakan dan melaksanakan had laju maksimum 30 km/j di zon sekolah yang ditetapkan di seluruh negara.
  2. Menetapkan sempadan zon sekolah berdasarkan laluan sebenar yang digunakan oleh kanak-kanak, termasuk akses melalui pintu pagar sekolah yang lain serta laluan ke perhentian bas. Tempoh penguatkuasaan, tanggungjawab penguatkuasaan dan kaedah pelaksanaan mengikut bidang kuasa jalan raya yang berbeza perlu diperjelas, bagi memastikan perlindungan turut diberikan semasa sesi persekolahan petang, aktiviti kokurikulum dan perjalanan lain yang berkaitan dengan persekolahan.
  3. Menyelaras pelaksanaan melalui pelan yang diterajui Kementerian Pengangkutan, dengan penglibatan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa jalan raya yang berkaitan. Sementara proses pewartaan diselesaikan, penambahbaikan keselamatan segera hendaklah diteruskan dan undang-undang lalu lintas sedia ada dikuatkuasakan.
  4. Mengutamakan sekolah dan lokasi berdasarkan tahap risiko, termasuk sekolah yang terletak berhampiran jalan raya yang sibuk, tidak mempunyai kemudahan pejalan kaki yang selamat atau pernah mencatatkan insiden serius mahupun dikenal pasti berisiko tinggi. Langkah yang perlu diambil termasuk menyediakan lintasan pejalan kaki bertingkat, laluan pejalan kaki yang bersambung, kawasan perlindungan pejalan kaki, langkah kawalan trafik yang bersesuaian, papan tanda dan penandaan jalan yang jelas serta kawasan mengambil dan menurunkan murid yang selamat. Petugas lalu lintas yang terlatih dan penguatkuasaan had laju secara bersasar hendaklah disediakan apabila diperlukan, disertai pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta bersasar oleh pihak polis terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju dan melakukan kesalahan lalu lintas lain, khususnya pada waktu puncak. Kanak-kanak dan keluarga juga perlu mempunyai saluran yang mudah diakses untuk melaporkan sebarang bahaya. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan konsisten amat penting untuk memberikan kesan pencegahan yang berkesan. Tindakan pencegahan hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan proaktif, bukannya sekadar tindakan reaktif atau bermusim selepas berlakunya tragedi yang meragut nyawa atau mengakibatkan kecederaan.
  5. Menggunakan Pendekatan Sistem Selamat (Safe System Approach) yang berpusatkan kanak-kanak, dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa. Kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran menilai kelajuan kenderaan, jarak dan risiko lalu lintas, dan tidak seharusnya memikul tanggungjawab utama terhadap keselamatan diri mereka di jalan raya. Pendidikan keselamatan jalan raya perlu melengkapi bukannya menggantikan, reka bentuk jalan raya yang selamat, had laju yang sesuai, infrastruktur pejalan kaki dan penguatkuasaan yang berkesan. Kerajaan juga perlu meneliti dan melaksanakan langkah yang bersesuaian daripada pelaksanaan zon perlindungan kanak-kanak di Korea Selatan dan program Zone 30 Plus di Jepun, yang menggabungkan had laju dengan kemudahan keselamatan, penguatkuasaan dan langkah kawalan trafik.
  6. Menyediakan peruntukan khusus dan melaporkan kemajuan secara berkala. Pelaksanaan hendaklah mempunyai garis masa yang jelas dan keutamaan mestilah berdasarkan tahap risiko, dengan perlindungan asas disediakan kepada semua sekolah tanpa mengira keupayaan mendapatkan tajaan daripada pihak swasta. Laporan kemajuan perlu mengenal pasti sekolah yang telah melaksanakannya, kerja-kerja keselamatan yang telah disiapkan, kelajuan sebenar kenderaan dan tahap pematuhan, serta jumlah kematian dan kecederaan parah. Pihak berkuasa hendaklah menggunakan dapatan ini untuk menambah baik proses pelaksanaan.

Setiap kanak-kanak berhak menikmati perjalanan pergi dan balik dari sekolah dengan selamat. Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa Kerajaan agar memastikan komitmen terhadap keselamatan kanak-kanak diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, termasuk penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, penyediaan peruntukan yang mencukupi dan pelaksanaan langkah keselamatan yang dapat dinilai keberkesanannya. Tindakan segera dan berterusan amat penting bagi mencegah tragedi yang boleh meragut nyawa atau menyebabkan kecederaan serius kepada kanak-kanak. Keselamatan mereka tidak seharusnya hanya diberikan perhatian selepas berlakunya kemalangan.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
28 Oktober 2026

E1

Kenyataan Media Bersama No. 73-2026_SUHAKAM dan Majlis Peguam Malaysia Perkukuh Keupayaan Perundangan bagi Memajukan Hak Orang Asal di Sarawak

KUCHING (27 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Malaysia, dengan sokongan Kesatuan Eropah melalui projek geran “Memajukan Hak Asasi Manusia di Malaysia melalui Pendekatan Strategik dalam Pendidikan dan Peningkatan Kesedaran”, telah berjaya menganjurkan Latihan Intensif Undang-Undang dan Litigasi Hak Asasi Manusia untuk peguam muda dan pegawai SUHAKAM pada 22 hingga 24 Oktober 2026 di Kuching, Sarawak. Dengan sokongan Persatuan Peguam Sarawak (Cawangan Kuching), latihan ini memberi tumpuan kepada Hak Orang Asal dan Kebebasan Asasi, khususnya isu yang menjejaskan komuniti Orang Asal di Sarawak.

Dalam ucapan pembukaan, Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus, menegaskan bahawa perlindungan hak Orang Asal bukan sekadar pengiktirafan pemilikan tanah. Beliau berkata, “Perlindungan ini bukan hanya berkaitan pemilikan tanah, tetapi turut melibatkan persoalan identiti, pengiktirafan budaya dan penyertaan bermakna dalam sebarang keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka”.

Melalui perbincangan, kajian kes, bengkel interaktif dan simulasi perbicaraan, program ini bertujuan meningkatkan keupayaan peguam muda untuk memahami dan menangani isu hak asasi manusia yang menjejaskan komuniti Orang Asal di Sarawak. Program ini juga berhasrat melahirkan generasi baharu peguam yang mempunyai kemahiran dan tahap kepekaan yang baik untuk menyumbang kepada usaha perundangan, advokasi dan penggubalan dasar berkaitan hak asasi manusia.

Para peserta turut didedahkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang bertulis serta undang-undang adat yang berkaitan dengan hak Orang Asal dan Hak Tanah Adat (NCR) di Sarawak. Latihan ini turut memberi pendedahan kepada aspek praktikal pengendalian kes di mahkamah, termasuk prosedur perundangan, pengumpulan bukti dan strategi dalam mengendalikan kes hak asasi manusia. Program ini juga bertujuan memperkukuh pemahaman peserta tentang kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari sudut perlembagaan.

Abang Iwawan, yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, menekankan kepentingan MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dalam memahami hak Orang Asal di Sarawak. Beliau berkata, “Jaminan berkaitan agama, bahasa dan Orang Asal yang dibincangkan ketika pembentukan Malaysia masih berkait rapat dengan isu yang dibangkitkan oleh masyarakat pada hari ini. Peguam perlu memahami perkara yang telah dipersetujui, bagaimana jaminan tersebut diperuntukkan dalam undang-undang negara serta sejauh mana perlindungan itu berkesan dalam menjaga hak dan kepentingan masyarakat yang terlibat”.

Program ini juga bertujuan mengeratkan kerjasama antara pengamal undang-undang, institusi hak asasi manusia dan komuniti Orang Asal bagi memperjuangkan keadilan serta memperkukuh usaha memajukan dan melindungi hak asasi manusia di Sarawak. Peserta yang terpilih dijangka memperuntukkan masa setiap bulan untuk memberikan khidmat guaman secara pro bono kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi masyarakat sivil pilihan mereka. Antara tenaga pengajar program ini ialah Yang Arif Tuan Gabriel Gumis Humen, Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera Sarawak.

SUHAKAM dan Majlis Peguam Malaysia terus komited untuk memperkukuh keupayaan dalam bidang perundangan serta memperluas kerjasama bagi menyokong akses kepada keadilan dan perlindungan hak asasi manusia di Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Majlis Peguam Malaysia
27 Oktober 2026

1

Kenyataan Media No. 72-2026_SUHAKAM Menyeru Pengiktirafan Femisid Dalam Kerangka Undang-Undang Dan Tindakan Lebih Tegas Untuk Menamatkan Keganasan Berasaskan Gender

KUALA LUMPUR (20 OCTOBER 2026) Pada 15 Oktober 2026, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) diwakili oleh Pesuruhjaya Puan Melissa Mohd Akhir, telah memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat (JKP) serta agensi-agensi Kerajaan berhubung hak asasi manusia dan kesaksamaan gender berkaitan femisid. Taklimat tersebut berlangsung semasa Mesyuarat Bil. 26 Tahun 2026 JKPK Kelima Belas, yang dipengerusikan oleh YB Puan Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Puchong. Susulan sesi tersebut, SUHAKAM menzahirkan kebimbangan terhadap keganasan berasaskan gender terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, khususnya bentuk keganasan paling ekstrem, iaitu femisid atau pembunuhan wanita dan kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan gender. Keganasan sedemikian bukan sekadar perbuatan jenayah individu, malah mencerminkan pola diskriminasi yang lebih luas, ketidaksamaan gender serta kelemahan dalam usaha mencegah dan menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Keganasan berasaskan gender boleh menjejaskan wanita dan kanak-kanak perempuan pada setiap peringkat kehidupan, daripada zaman kanak-kanak hingga mereka semakin berusia. Keganasan ini berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk keganasan fizikal, seksual, psikologi dan ekonomi, serta tindakan atau pengabaian yang boleh mengakibatkan kematian. Femisid, iaitu pembunuhan wanita dan kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan faktor gender, boleh berlaku dalam hubungan intim, institusi keluarga atau situasi lain yang melibatkan permusuhan, paksaan, kawalan atau diskriminasi berasaskan gender. Pembunuhan sedemikian merupakan pencabulan serius terhadap hak untuk hidup, maruah dan kesaksamaan. Memahami faktor gender yang mendorong pembunuhan ini amat penting bagi mengenal pasti punca dan risiko, serta memperkukuh usaha pencegahan, perlindungan dan kebertanggungjawaban.

Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi atas alasan gender dalam ruang lingkup yang ditetapkan. Komitmen Malaysia di bawah Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), khususnya Perkara 2, turut menghendaki Kerajaan melaksanakan dasar untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita melalui segala cara yang sewajarnya dan tanpa berlengah. Seperti yang dihuraikan dalam Syor Umum No. 35 Jawatankuasa CEDAW, kewajipan ini merangkumi usaha menangani keganasan berasaskan gender melalui langkah perundangan, institusi, pencegahan dan perlindungan yang berkesan.

SUHAKAM menegaskan bahawa pencegahan femisid memerlukan tindakan sebelum keganasan meningkat sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Kerajaan perlu memperkukuh mekanisme untuk mengenal pasti tanda-tanda awal, memastikan campur tangan dilaksanakan tepat pada masanya, melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan yang berisiko serta memastikan pelaku dipertanggungjawabkan. Usaha ini memerlukan penyelarasan yang berkesan antara agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kehakiman, perkhidmatan kesihatan dan kebajikan sosial, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan serta organisasi masyarakat sivil.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan supaya melaksanakan langkah-langkah berikut:

i. Mengiktiraf femisid dalam kerangka perundangan Malaysia.

Kerajaan hendaklah mengkaji semula undang-undang dan dasar sedia ada bagi mengiktiraf femisid sebagai suatu bentuk keganasan berasaskan gender yang tersendiri, berserta peruntukan undang-undang dan mekanisme kebertanggungjawaban yang bersesuaian. Pembaharuan hendaklah berpandukan penyelidikan kriminologi, sains tingkah laku, pola keganasan berkaitan gender dan amalan perundangan perbandingan, di samping memastikan remedi yang berkesan serta akses kepada keadilan untuk keluarga mangsa.

ii. Membangunkan bandar dan komuniti yang lebih selamat serta inklusif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

Kerajaan dan pihak berkuasa negeri dan tempatan hendaklah memperkukuh perancangan bandar dan luar bandar yang mesra wanita melalui penyediaan lampu jalan yang lebih baik, pengangkutan awam yang lebih selamat, saluran pelaporan yang mudah diakses dan persekitaran sekolah yang selamat. Wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk organisasi wanita dan kumpulan komuniti, hendaklah dilibatkan secara bermakna dalam mengenal pasti risiko serta membangunkan penyelesaian yang bersesuaian.

iii. Menangani stereotaip gender yang memudaratkan dan normalisasi keganasan terhadap wanita.

Organisasi media dan platform digital hendaklah memperkukuh mekanisme kawal selia kendiri bagi mencegah gambaran yang bersifat diskriminasi, tindakan menyalahkan mangsa serta kandungan yang menormalisasikan keganasan berasaskan gender. Pelaporan yang bertanggungjawab dan komunikasi awam yang beretika amat penting untuk mencabar sikap yang memudaratkan, di samping menghormati kebebasan bersuara.

iv. Mewujudkan mekanisme nasional yang terselaras untuk mencegah dan memantau keganasan berasaskan gender.

Kerajaan hendaklah menubuhkan atau menetapkan sebuah badan nasional untuk menyelaras, memantau dan menilai langkah-langkah menangani femisid dan keganasan berasaskan gender di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan. Mekanisme ini hendaklah memperkukuh pengumpulan data terpilah, mengenal pasti kelemahan institusi serta memastikan penggubalan dasar berasaskan bukti yang selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

v. Memastikan sumber kewangan dan institusi yang mencukupi serta berterusan.

Selaras dengan komitmen Malaysia di bawah CEDAW, Kerajaan hendaklah memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk mencegah keganasan berasaskan gender, melindungi mangsa dan mereka yang terselamat daripada keganasan, memastikan siasatan serta pendakwaan yang berkesan, dan menyediakan remedi. Peruntukan kewangan juga hendaklah menyokong tempat perlindungan, perkhidmatan psikososial, bantuan guaman dan organisasi wanita, khususnya organisasi yang berkhidmat untuk komuniti luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan.

SUHAKAM menegaskan bahawa femisid merupakan pencabulan hak asasi manusia yang boleh dicegah dan memerlukan undang-undang yang lebih kukuh, campur tangan awal, mekanisme perlindungan yang mudah diakses serta tindakan yang terselaras. SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya menerima pakai pendekatan yang menyeluruh, berasaskan bukti dan disokong oleh pembiayaan yang mencukupi, dengan mengutamakan pencegahan, perlindungan, keadilan dan kebertanggungjawaban. Sempena sambutan Hari Kanak-kanak Perempuan Antarabangsa pada bulan Oktober ini, SUHAKAM menegaskan semula bahawa setiap wanita dan kanak-kanak perempuan berhak untuk hidup bebas daripada keganasan dan ketakutan, dan bahawa pemeliharaan hak ini merupakan tanggungjawab bersama Kerajaan dan masyarakat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

20 October 2026

2

Kenyataan Media Bersama No. 71-2026_SEANF Lucut Keahlian MNHRC

KUALA LUMPUR (19 OCTOBER 2026) KUALA LUMPUR (19 OKTOBER 2026) – Lembaga Tadbir Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) telah memutuskan untuk melucutkan kenggotaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Myanmar (MNHRC) daripada SEANF, berkuat kuasa 1 Oktober 2026. Keputusan tersebut dibuat susulan semakan rasmi terhadap kelayakan MNHRC untuk terus menjadi anggota SEANF, yang telah dimulakan pada 14 Ogos 2026.

MNHRC telah dimaklumkan secara bertulis pada 1 September 2026 dan diberikan peluang untuk menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan dalam notis tersebut. MNHRC turut dijemput menghadiri mesyuarat Lembaga Tadbir pada 1 Oktober 2026 bagi mempertimbangkan cadangan berhubung kelayakannya untuk terus menjadi anggota SEANF. MNHRC telah mengemukakan maklum balas melalui surat bertarikh 24 September 2026 dan kenyataan media bertarikh 26 September 2026, yang menyatakan penolakan dan enggan terlibat dalam proses semakan yang dimulakan oleh SEANF.

Dalam mesyuarat pada 1 Oktober 2026, Lembaga Tadbir telah meneliti maklum balas MNHRC dan memutuskan bahawa maklum balas tersebut tidak memberikan penjelasan yang memuaskan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam notis bertulis berkenaan.

Sehubungan itu, Lembaga Tadbir memutuskan bahawa MNHRC tidak lagi memenuhi takrifan Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 1 yang telah dipinda dalam Peraturan Tatacara SEANF. Oleh yang demikian, Lembaga Tadbir memutuskan untuk melucutkan keahlian MNHRC daripada SEANF.[1] As such, the Board resolved to disqualify MNHRC from continued membership in SEANF.

MNHRC remains at liberty to reapply for SEANF membership once it can demonstrate discernible efforts towards compliance with the Paris Principles, as envisaged in Article 6, paragraph 3, of the SEANF Rules of Procedure.[2]

MNHRC masih boleh mengemukakan permohonan semula untuk menjadi anggota SEANF setelah dapat menunjukkan usaha yang nyata ke arah pematuhan terhadap Prinsip-prinsip Paris, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 6, perenggan 3, Peraturan Tatacara SEANF. Keputusan tersebut telah diterima pakai secara konsensus oleh lima orang Pengerusi yang mengambil bahagian, iaitu Pengerusi Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Republik Indonesia (Komnas HAM), Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP), Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRCT), serta Pengerusi Provedor de Direitos Humanos e Justiça (PDHJ), Timor-Leste. Keputusan tersebut berkuat kuasa pada 1 Oktober 2026.

Susulan keputusan ini, MNHRC tidak layak untuk mengambil alih Kepengerusian SEANF secara bergilir pada tahun 2027 dan, berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2026, MNHRC tidak lagi dibenarkan menyertai Persidangan Tahunan SEANF ke-23 bagi tahun 2026 atau mana-mana mesyuarat SEANF yang lain.

SEANF menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat melalui proses yang adil, telus dan berasaskan bukti, selaras dengan Peraturan Tatacara SEANF serta mengambil kira amalan terbaik prosedur Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Pasifik (APF) berhubung cadangan keputusan yang menjejaskan kedudukan keahlian seseorang anggota.

Sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan (NHRI) yang memperoleh akreditasi berstatus “A”, anggota SEANF memikul tanggungjawab bersama untuk memelihara kredibiliti, integriti dan akauntabiliti Forum, serta mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di seluruh rantau ini selaras dengan Prinsip-prinsip Paris.

-TAMAT-


[1] Amended Article 1 of the SEANF Rules of Procedure states, “NHRI refers to an independent national institution that complies with the Paris Principles and holds a constitutional and/or legislative mandate to promote and protect human rights."

[2] Article 6, paragraph 3, of the SEANF Rules of Procedure states, “The applicant must manifest discernible efforts in the direction of compliance with the Paris Principles

2

Kenyataan Media No. 70-2026_SUHAKAM Tuntut Akauntabiliti, Proses Wajar Dan Semakan Segera Terhadap Sekatan Yang Dikenakan Ke Atas Aktivis Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR (15 OCTOBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius berhubung penahanan aktivis hak asasi manusia, Amir Hariri Abdul Hadi dan Dobby Chew, aktivis MANDIRI dan HAYAT, serta laporan mengenai pembekuan akaun bank dan sekatan perjalanan terhadap mereka dan organisasi masing-masing. Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai pematuhan terhadap proses undang-undang, kewajaran tindakan penguatkuasaan serta perlindungan ruang demokrasi di Malaysia.

SUHAKAM mengambil maklum bahawa kedua-dua individu tersebut telah dibebaskan. Walau bagaimanapun, kebimbangan masih wujud berhubung sekatan yang dikenakan serta implikasinya terhadap hak asasi. Walaupun SUHAKAM mengambil maklum tanggungjawab pihak berkuasa untuk menyiasat kesalahan jenayah yang disyaki, Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa kuasa penyiasatan hendaklah dilaksanakan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang, jaminan perlembagaan serta prinsip keperluan dan kewajaran. Prinsip anggapan tidak bersalah hendaklah dihormati, dan tindakan penguatkuasaan tidak boleh dijadikan alat untuk mengugut atau menghukum seseorang sebelum liabiliti jenayah dibuktikan.

Pendidikan politik, advokasi dasar dan kritikan terhadap dasar kerajaan merupakan aktiviti yang sah dalam sebuah negara demokrasi. Organisasi masyarakat sivil dan pembela hak asasi manusia memainkan peranan penting dalam menggalakkan penyertaan awam serta memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawaban institusi. Aktiviti sedemikian tidak seharusnya dianggap sebagai suatu kesalahan Jenayah atau dijadikan alasan untuk melakukan intimidasi hanya kerana mempersoalkan dasar atau keputusan kerajaan.

Sehubungan itu, SUHAKAM menegaskan bahawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) tidak boleh disalahgunakan untuk menjejaskan aktiviti sah masyarakat sivil. Siasatan di bawah Seksyen 4(1) hendaklah disokong oleh bukti yang boleh dipercayai dan dijalankan mengikut proses undang-undang. Penerimaan dana daripada yayasan antarabangsa yang sah, dengan sendirinya, tidak merupakan suatu kesalahan jenayah. Selain itu, pelaksanaan kuasa untuk membekukan akaun bank di bawah Seksyen 44(1) hendaklah mempunyai justifikasi yang kukuh, berkadar dan tertakluk kepada perlindungan sewajarnya, khususnya apabila tiada pertuduhan jenayah dikenakan.

SUHAKAM merujuk kepada Artikel 13 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembela Hak Asasi Manusia, yang mengiktiraf hak individu dan organisasi untuk mendapatkan, menerima dan menggunakan sumber bagi tujuan mempromosikan serta melindungi hak asasi manusia secara aman. Prinsip ini selaras dengan kebebasan bersuara dan berpersatuan yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak terhadap harta dan menetapkan bahawa seseorang tidak boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

Oleh itu, sekatan kewangan hendaklah dilaksanakan berlandaskan undang-undang dengan jaminan perlindungan hak yang sewajarnya, serta tidak boleh digunakan untuk menghalang aktiviti hak asasi manusia yang sah atau mengenakan beban yang tidak munasabah terhadap individu dan organisasi sebelum sebarang kesalahan jenayah dibuktikan. Penyertaan Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta penglibatannya dalam kerjasama hak asasi manusia antarabangsa harus diterjemahkan melalui komitmen dalam negara untuk melindungi ruang sivil. Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa pihak berkuasa supaya menyemak dengan segera pembekuan akaun bank dan sekatan perjalanan yang dikenakan, memberikan justifikasi undang-undang yang jelas serta memastikan akses kepada dana bagi menampung perbelanjaan sara hidup yang perlu dan operasi organisasi yang sah. Sebarang sekatan yang tidak dapat dijustifikasikan dengan sewajarnya di bawah undang-undang hendaklah ditarik balik tanpa berlengah.

Kedaulatan undang-undang hendaklah melindungi integriti penyiasatan jenayah serta kebebasan asasi individu yang sedang disiasat. Pembela hak asasi manusia dan organisasi masyarakat sivil seharuskan dapat melaksanakan tugas mereka yang sah tanpa intimidasi, campur tangan yang tidak wajar atau penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

15 October 2026

jv1

IKLAN TAWARAN PERKHIDMATAN PENGHASILAN VIDEO ANIMASI PENDEK UNTUK SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (SUHAKAM) – PENGIKLANAN DI SABAH

Tawaran adalah dipelawa daripada syarikat-syarikat tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (Kod Bidang Berkaitan) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menyertai sebut harga berikut :

NO. SEBUT HARGA : SHM.001/1/18 Jld. 5 (9)
TAJUK SEBUT HARGA : Perkhidmatan Penghasilan Video Animasi untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
TARIKH IKLAN : 13 Oktober 2026
TARIKH KEMUKAKAN KERTAS KERJA DAN HASIL PENERBITAN VIDEO – KERJA LEPAS : 27 Oktober 2026 (sebelum 12.00 tengah hari)

Syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :
a) En. Mohamad Azizi Bin Azmi (azizi@suhakam.org.my) 03-2612 5690 – Pengurusan & Kewangan
b) En. Ahmad Firdaus Bin Abd. Shukor (firdaus@suhakam.org.my) 03-2612 5650 – Pengurusan & Kewangan
c) Cik Qalista S. Dohny (qalista@suhakam.org.my ) 088-317405 – Pegawai Penyelaras Projek
d) En. Luqman Nul-Hakeem Bin Mohammad Khir (luqman@suhakam.org.my) 03-2612 5702 – Pengurus Projek

Maklumat lanjut:

E1

Kenyataan Media No. 69-2026_SUHAKAM Gesa Tindakan Segera Terhadap Pihak Yang Menyebabkan Jerebu

KUALA LUMPUR (13 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa kejadian jerebu rentas sempadan yang berulang merupakan isu serius yang menjejaskan kesihatan awam dan hak asasi manusia. Jerebu bukan sahaja mengancam hak untuk hidup dan menikmati persekitaran yang bersih, sihat dan mampan, malah turut menjejaskan kesihatan, pendidikan, akses kepada maklumat serta keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

SUHAKAM berpandangan bahawa panduan penjagaan kesihatan kepada orang awam dan usaha diplomatik sahaja tidak mencukupi. Tindakan yang lebih tegas dan berkesan diperlukan untuk melindungi masyarakat, menyiasat punca jerebu yang menjejaskan Malaysia serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya. Laporan terkini mengaitkan jerebu di Malaysia dengan kebakaran di beberapa wilayah Indonesia, termasuk Kalimantan dan Sumatera. Bagaimanapun, siasatan lanjut diperlukan kerana setakat ini belum ada bukti kukuh yang mengaitkan mana-mana syarikat atau individu tertentu dengan kejadian tersebut.

SUHAKAM menegaskan bahawa pihak yang menyebabkan pencemaran perlu bertanggungjawab terhadap kesan dan kos yang ditanggung oleh masyarakat. Sehubungan itu, Malaysia perlu mempunyai pendekatan perundangan yang kukuh, dengan setiap tindakan disokong oleh bukti yang sahih. Siasatan perlu mengenal pasti pemilik tanah di kawasan kebakaran, pihak yang menjalankan kegiatan di kawasan tersebut, langkah pencegahan kebakaran yang telah diambil serta bagaimana asap merebak sehingga menjejaskan Malaysia. Maklumat satelit juga perlu disokong oleh bukti saintifik dan maklumat lain yang berkaitan. Sebarang kemungkinan punca pencemaran atau faktor lain yang menyumbang kepada jerebu turut perlu diteliti.

Bagi tujuan ini, SUHAKAM menggesa Kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas yang melibatkan pelbagai agensi, termasuk pakar alam sekitar, penyiasat korporat dan pegawai undang-undang. Pasukan ini perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara berkaitan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti pihak yang boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang. Syarikat Malaysia yang mungkin terlibat juga perlu disiasat tanpa pengecualian. Walau bagaimanapun, sebarang tindakan terhadap syarikat atau individu mestilah berdasarkan bukti yang kukuh dan melalui proses undang-undang yang adil.

SUHAKAM turut menggesa Kerajaan supaya menggunakan sepenuhnya Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan. Di bawah Perkara 4(2), negara yang menjadi punca jerebu rentas sempadan perlu memberikan maklum balas segera terhadap permintaan maklumat atau rundingan daripada negara yang terjejas. Malaysia perlu mengemukakan permohonan rasmi untuk mendapatkan maklumat berkaitan kawasan konsesi dan pemilikan tanah, pihak yang mengendalikan kawasan tersebut, rekod kawalan kebakaran serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil. Kerajaan juga perlu memaklumkan perkembangan usaha ini kepada orang awam, termasuk maklum balas yang diterima dan perkara yang masih belum diselesaikan, tanpa menjejaskan siasatan atau proses undang-undang.

Selain itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya segera menggubal undang-undang khusus bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan. Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura boleh dijadikan rujukan dalam membangunkan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap kegiatan di luar negara yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu di Malaysia. Undang-undang ini perlu disesuaikan dengan sistem perundangan Malaysia, dengan peruntukan yang jelas mengenai kuasa penyiasatan, tindakan sivil dan hukuman jenayah yang bersesuaian. Ia juga perlu membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat atau individu yang terbukti bertanggungjawab, di samping menjamin hak mereka untuk membela diri dan mendapat perbicaraan yang adil.

SUHAKAM seterusnya menggesa Kerajaan menetapkan pelan tindakan dengan garis masa yang jelas, termasuk penubuhan pasukan penyiasatan, permohonan maklumat secara rasmi, rundingan awam dan pembentangan rang undang-undang di Parlimen. Perkembangan pelaksanaan pelan ini perlu dimaklumkan secara berkala kepada orang awam tanpa menjejaskan siasatan atau proses undang-undang. Pada masa yang sama, Kerajaan perlu mempercepat usaha menggubal Akta Udara Bersih, memudahkan akses kepada keadilan dalam isu alam sekitar serta memastikan masyarakat yang terjejas mempunyai saluran untuk mendapatkan pembelaan dan pampasan, termasuk bagi kerugian dan kos rawatan kesihatan yang dapat dibuktikan.

Sementara usaha tersebut dilaksanakan, Kerajaan perlu terus melindungi orang ramai melalui penyampaian maklumat kualiti udara dan nasihat kesihatan yang tepat pada masanya. Langkah perlindungan yang jelas dan berasaskan bukti juga perlu dilaksanakan di sekolah dan tempat kerja. Perhatian khusus harus diberikan kepada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, individu yang mempunyai masalah kesihatan, pekerja luar bangunan serta masyarakat yang mempunyai pilihan terhad untuk mengelakkan pendedahan kepada jerebu. SUHAKAM menegaskan bahawa masalah jerebu yang berulang memerlukan tindakan berterusan, bukan sekadar penyelesaian sementara. Kerjasama serantau yang lebih kukuh, siasatan yang telus dan undang-undang yang berkesan amat penting bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya. Perlindungan kesihatan, keselamatan dan hak asasi manusia hendaklah sentiasa menjadi keutamaan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
13 Oktober 2026

1

Kenyataan Media No. 68-2026_SUHAKAM Menyeru Belanjawan 2027 Berteraskan Hak Asasi Yang Melabur Dalam Kesejahteraan Rakyat, Mata Pencarian Dan Institusi Yang Lebih Kukuh

KUALA LUMPUR (9 OCTOBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa Belanjawan 2027 perlu melangkaui pertumbuhan ekonomi dan keutamaan fiskal dengan menangani keperluan harian, hak dan kesejahteraan rakyat di seluruh Malaysia. Belanjawan negara bukan sekadar pelan kewangan. Belanjawan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh semua, khususnya mereka yang paling terkesan akibat jurang ekonomi dan sosial.

Ibubapa seharusnya dapat menghantar anak ke sekolah dengan keyakinan bahawa anak mereka berada dalam keadaan selamat. Setiap pekerja, termasuk pekerja gig, seharusnya dapat memperoleh pendapatan yang mencukupi tanpa dieksploitasi dan dengan perlindungan sosial yang sewajarnya. Petani dan pengusaha kecil sektor makanan perlu dibantu untuk mengekalkan mata pencarian mereka, di samping memastikan akses kepada makanan yang mampu dibeli, selamat dan berkhasiat. Semua ini merupakan isu hak asasi manusia dalam kehidupan seharian yang wajar menjadi panduan kepada perbelanjaan awam demi mencapai kesaksamaan, keadilan dan kebertanggungjawaban yang lebih baik.

SUHAKAM mengiktiraf tanggungjawab Kerajaan untuk mengimbangi pelbagai keutamaan fiskal. Namun, pelaburan yang tidak mencukupi dalam perkhidmatan asas dan langkah pencegahan boleh memperdalam ketidaksamaan serta meningkatkan tekanan terhadap institusi awam. Oleh itu, Belanjawan 2027 perlu mengutamakan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, pendidikan, perumahan mampu milik dan perlindungan sosial, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah, orang kurang upaya, warga emas, wanita, kanak-kanak dan masyarakat luar bandar. Selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), SUHAKAM menyeru agar belanjawan yang inklusif terhadap orang kurang upaya dan responsif gender dilaksanakan. Pendekatan ini penting bagi memastikan sumber awam menangani ketidaksamaan sedia ada, menghapuskan halangan kepada perkhidmatan asas dan menggalakkan peluang yang sama rata bagi wanita, kanak-kanak perempuan dan orang kurang upaya.

Keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak mesti terus menjadi keutamaan negara. Melalui Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), SUHAKAM berulang kali membangkitkan kebimbangan tentang buli, keganasan dan langkah perlindungan yang tidak mencukupi di sekolah. Kebimbangan ini menunjukkan perlunya pelaburan berterusan dalam keselamatan sekolah, mekanisme pelaporan yang berkesan, sokongan psikososial dan kebertanggungjawaban institusi bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong.

Pembangunan ekonomi juga perlu melindungi hak pekerja dan mata pencarian yang mampan. Perhatian khusus perlu diberikan kepada pekerja gig dan mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal, yang berdepan ketidaktentuan pendapatan, perlindungan sosial yang terhad dan risiko pekerjaan. Sokongan kepada petani, pekebun kecil, nelayan dan masyarakat luar bandar yang menghadapi peningkatan kos, kemerosotan alam sekitar dan cabaran berkaitan perubahan iklim juga sama penting. Belanjawan 2027 perlu memperkukuh keterjaminan makanan, pertanian mampan dan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab, di samping melindungi alam sekitar serta hak masyarakat yang terkesan, termasuk Masyarakat Orang Asal.

Institusi yang kukuh dan bebas penting bagi memastikan dasar negara membawa perubahan yang bermakna dalam kehidupan rakyat. Sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia, SUHAKAM memainkan peranan penting dalam menasihati Kerajaan, meneliti dan menyiasat aduan, menjalankan pemantauan, meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia serta mengesyorkan pembaharuan institusi. Walau bagaimanapun, SUHAKAM terus berdepan kekangan kewangan yang serius. Hampir 90 peratus daripada belanjawan tahunannya diperuntukkan kepada emolumen dan perbelanjaan operasi asas, sekali gus mengehadkan sumber bagi pelaksanaan program dan aktiviti. Kekangan ini telah menjejaskan keupayaan Suruhanjaya untuk memperluas siasatan, pemantauan dan pendidikan hak asasi manusia. Perancangan untuk menubuhkan pejabat wilayah bagi meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan SUHAKAM juga masih belum dapat direalisasikan. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tanggungjawab SUHAKAM terus berkembang, termasuk melalui pengukuhan mandat OCC.

SUHAKAM menegaskan bahawa Seksyen 19(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] menetapkan kewajipan undang-undang yang jelas kepada Kerajaan untuk menyediakan peruntukan tahunan yang mencukupi bagi membolehkan Suruhanjaya melaksanakan fungsinya dengan berkesan. Perkara ini bukan soal budi bicara atau ihsan, sebaliknya tanggungjawab berkanun yang mesti dipenuhi. Prinsip Paris turut menegaskan kepentingan sumber kewangan yang mencukupi bagi melindungi kebebasan dan keberkesanan institusi hak asasi manusia kebangsaan. Oleh itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan memenuhi kewajipan ini melalui Belanjawan 2027 dan memastikan kekangan kewangan tidak terus membataskan keupayaan Suruhanjaya melaksanakan mandatnya. Pelaburan terhadap SUHAKAM merupakan pelaburan untuk perlindungan hak asasi manusia, institusi awam yang lebih kukuh, kebertanggungjawaban dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.

SUHAKAM menyeru Kerajaan agar memastikan Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen yang nyata terhadap pembangunan berteraskan hak asasi manusia. Kejayaan belanjawan ini akhirnya wajar diukur bukan sahaja berdasarkan petunjuk ekonomi, tetapi juga sejauh mana sumber awam dapat mengurangkan ketidaksamaan, melindungi mata pencarian, meningkatkan kualiti hidup dan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

9 October 2026

E1

[OCC] Kenyataan Media No. 67-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Merakamkan Takziah Atas Pemergian Tragis Irene Sofiya Di Batu Pahat; Seru Hormati Siasatan Polis Dan Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak Di Sekolah

KUALA LUMPUR (6 OCTOBER 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya susulan pemergiannya yang tragis di Batu Pahat, Johor. Kehilangan nyawa seorang kanak-kanak merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati, dan ingatan serta doa kami bersama keluarga serta insan tersayang yang sedang berduka dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.

CC menyeru orang awam, organisasi media dan pengguna media sosial agar memberikan privasi, maruah serta ruang yang sewajarnya kepada keluarga untuk melalui tempoh berkabung. Kami dengan tegas menyeru semua pihak agar mengawal diri dan tidak menerbitkan laporan media yang mengganggu privasi, menyebarkan imej yang menyedihkan atau mengedarkan dakwaan yang belum disahkan.

Menghormati Siasatan Jenayah yang Sedang Berlangsung

CC mengiktiraf tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memulakan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut. CC tidak membuat sebarang andaian awal berhubung keadaan, motif atau faktor khusus yang menyumbang kepada tragedi ini, termasuk laporan yang belum disahkan berkaitan kemungkinan berlakunya buli, dan menyeru orang awam agar mengelakkan spekulasi, tuduhan pramatang di platform dalam talian atau “perbicaraan oleh media”.

Sekiranya kanak-kanak terlibat dalam apa jua keadaan, sama ada sebagai saksi, rakan sebaya yang terkesan atau individu yang sedang disiasat, proses yang adil dan hak mereka di sisi undang-undang hendaklah sentiasa dijamin. Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], hak, privasi, maruah serta prinsip anggapan tidak bersalah bagi setiap kanak-kanak hendaklah dilindungi. Perlindungan terhadap hak dan kerahsiaan kanak-kanak yang sedang disiasat tidak bermakna keseriusan kehilangan yang berlaku dipandang ringan, dan tidak menghalang mana-mana pihak daripada dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

Membezakan Keadilan Jenayah dengan Perlindungan Institusi

Walaupun siasatan jenayah oleh PDRM penting untuk menentukan fakta dan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kesalahan jenayah,

CC menegaskan bahawa aspek perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran pendidikan juga perlu diberi perhatian. Dalam hal ini, siasatan jenayah oleh pihak penguat kuasa dan semakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap aspek keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di institusi pendidikan merupakan dua proses yang berbeza, namun kedua-duanya penting dan saling melengkapi:

  1. The RMP Investigation: 1. Siasatan PDRM: Memberi tumpuan kepada penentuan fakta, pengumpulan bukti dan mengenal pasti liabiliti jenayah di bawah undang-undang yang berkaitan.
  2. 2. Semakan Perlindungan oleh KPM: Meneliti kerangka pentadbiran, protokol pengawasan, strategi pengurusan risiko dan langkah-langkah keselamatan fizikal bagi mengenal pasti kelemahan sistemik serta mencegah tragedi seumpama ini daripada berulang. Persoalan yang lebih luas ini penting untuk mengenal pasti dan mencegah risiko pada masa hadapan. Namun, ia tidak bermaksud bahawa telah berlaku kegagalan di pihak institusi dalam kes ini. Examines administrative frameworks, supervision protocols, risk management strategies, and physical safety measures to identify systemic gaps and prevent future tragedies.

Raising these broader systemic questions is essential for preventive risk management and does not imply or constitute a finding of institutional failure in this specific case.

Memperkukuh Perlindungan di Sekolah, Kebertanggungjawaban Murid dan Protokol Selepas Waktu Persekolahan

Setiap kanak-kanak berhak untuk belajar dalam persekitaran yang selamat dan melindungi kesejahteraan mereka.

Keselamatan di sekolah bukan sekadar soal pematuhan kepada peraturan disiplin, tetapi juga memerlukan budaya yang mengutamakan perlindungan, kepentingan dan keperluan kanak-kanak. Bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak di semua sekolah, CC mengesyorkan agar KPM mempertimbangkan langkah-langkah berikut:

  • Robust Student Accountability Frameworks: • Pemantauan Keberadaan Murid yang Lebih Berkesan: Sekolah perlu memastikan keberadaan murid dipantau bukan sahaja melalui rekod kehadiran pada waktu pagi, tetapi juga melalui prosedur yang jelas apabila murid meninggalkan sekolah atau diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga. Pemantauan juga perlu merangkumi kelas tambahan, aktiviti kokurikulum, latihan sukan dan aktiviti selepas waktu persekolahan.
  • Standardised Missing Student Escalation Protocols: • Prosedur yang Jelas Apabila Murid Hilang atau Tidak Dapat Dikesan: KPM perlu menyediakan garis panduan yang seragam mengenai tindakan yang perlu diambil apabila seseorang murid tidak dapat dikesan. Ini termasuk tindakan pencarian segera, tanggungjawab pihak sekolah, tempoh untuk memaklumkan ibu bapa atau penjaga dan pihak pentadbiran, serta bila perkara tersebut perlu dilaporkan kepada PDRM.
  • Targeted After-School Risk Assessments: • Penilaian Risiko bagi Aktiviti Selepas Waktu Persekolahan: Sekolah perlu menilai risiko keselamatan bagi aktiviti yang dijalankan di luar waktu persekolahan biasa. Penilaian ini perlu mengambil kira jumlah petugas yang mengawasi murid, pergerakan murid di kawasan sekolah serta lokasi yang terpencil atau kurang dipantau.
  • Systemic Safeguarding Audits: • Penilaian Menyeluruh terhadap Perlindungan Murid di Sekolah: KPM perlu melaksanakan penilaian secara menyeluruh di sekolah-sekolah bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh menjejaskan keselamatan dan perlindungan murid. Ini termasuk pemantauan pergerakan murid, saluran pelaporan, kawasan sekolah yang kurang mendapat pengawasan serta tahap kesedaran warga sekolah mengenai perlindungan kanak-kanak.
  • Immediate Nationwide Familiarisation with Child Protection Policies: • Meningkatkan Kefahaman mengenai Perlindungan Kanak-Kanak: KPM perlu memastikan semua murid memahami dasar perlindungan kanak-kanak di sekolah, termasuk hak mereka untuk berada dalam persekitaran yang selamat, cara mengenal pasti dan melaporkan kejadian buli, penderaan atau gangguan, serta saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan.

Sokongan Berasaskan Trauma dan Penyertaan Kanak-Kanak

Kesan emosi dan psikologi daripada tragedi seperti ini terhadap rakan sekelas, sahabat dan seluruh komuniti sekolah perlu diberi perhatian segera dengan penuh empati. CC menyeru KPM dan agensi berkaitan agar menyediakan sokongan psikososial yang bersesuaian kepada murid dan warga pendidik yang terjejas. Sebarang interaksi dengan kanak-kanak yang menjadi saksi hendaklah mengambil kira keadaan emosi mereka, mengelakkan soal siasat berulang yang tidak perlu serta dilaksanakan dengan cara yang mesra dan sensitif terhadap keperluan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, kanak-kanak perlu diberi ruang untuk turut memainkan peranan dalam menjaga keselamatan diri dan rakan-rakan mereka. Saluran untuk membuat laporan atau mendapatkan bantuan di sekolah hendaklah mudah diakses, dipercayai, sulit dan mesra kanak-kanak. Murid perlu tahu kepada siapa mereka boleh mendapatkan bantuan apabila berasa tidak selamat atau menyedari sesuatu yang membimbangkan melibatkan rakan mereka.

Tragedi ini perlu menjadi pengajaran penting untuk memperkukuh sistem keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di sekolah. Melindungi kanak-kanak memerlukan komitmen berterusan, tanggungjawab yang jelas serta langkah pencegahan yang berkesan di setiap persekitaran pembelajaran di Malaysia. Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa disambut pada 11 Oktober setiap tahun, dan tragedi ini menjadi peringatan bahawa komitmen terhadap hak kanak-kanak perempuan mesti diterjemahkan kepada perubahan yang nyata dan bermakna. Setiap kanak-kanak perempuan berhak untuk belajar, membesar dan mengejar masa depan dalam persekitaran yang selamat. Tiada kanak-kanak perempuan seharusnya kehilangan nyawa hanya kerana pergi ke sekolah, yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk mereka belajar dan dilindungi daripada sebarang bentuk bahaya.

CC akan terus melaksanakan mandatnya dalam memperjuangkan hak, keselamatan dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak. CC juga bersedia untuk bekerjasama dengan KPM, PDRM dan masyarakat sivil bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak di seluruh negara.

-TAMAT-

PESURUHJAYA KANAK KANAKS
SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (SUHAKAM)
6 OCTOBER 2026

E1

Kenyataan Media No. 66-2026_SUHAKAM Seru Pendekatan Berasaskan Hak bagi Menyokong Kehidupan yang Lebih Panjang dan Bermaruah untuk Warga Emas

KUALA LUMPUR (1 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memperingati Hari Warga Emas Antarabangsa 2026 yang bertemakan ‘Era Umur Panjang: Memikirkan Semula Sistem untuk Kehidupan yang Lebih Panjang’ (The Age of Longevity: Rethinking Systems for Longer Lives). Tema ini menekankan keperluan untuk menilai semula dasar, institusi dan sistem sejajar dengan peningkatan jangka hayat, serta memastikan warga emas terus menikmati hak mereka dengan bermaruah, saksama dan berdikari.

Malaysia kini berdepan dengan peningkatan jumlah warga emas. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2025, seramai 4.1 juta penduduk atau 12% daripada jumlah penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas, berbanding 3.9 juta atau 11.6% pada tahun 2024. DOSM menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat dan Malaysia akan menjadi sebuah negara menua menjelang tahun 2036, apabila lebih 15% penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas. Perubahan ini memerlukan Malaysia membuat persediaan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua. Dasar, perkhidmatan dan sistem sedia ada juga perlu disesuaikan supaya terus memenuhi keperluan warga emas dan memastikan hak serta kesejahteraan mereka terpelihara.

SUHAKAM menegaskan bahawa persediaan menghadapi masyarakat menua bukan sekadar menyediakan penjagaan dan bantuan kebajikan. Warga emas perlu mempunyai akses yang bermakna kepada jaminan ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan mudah diakses, perumahan yang mencukupi serta perlindungan sosial. Mereka juga perlu dilindungi daripada penderaan, pengabaian, eksploitasi dan diskriminasi selain daripada akses kepada kemudahan awam dan perkhidmatan yang bersesuaian. Dalam keadaan pendigitalan yang semakin mempengaruhi akses kepada maklumat dan perkhidmatan awam, usaha memperkukuh keterangkuman digital juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan warga emas tidak tercicir daripada arus perubahan teknologi.

Warga emas perlu diberi ruang untuk bersuara dan terlibat dalam dasar serta keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Pengalaman, pengetahuan dan sumbangan mereka perlu dihargai, dan mereka harus terus diberi peluang untuk memainkan peranan dalam keluarga, komuniti dan masyarakat mengikut keupayaan dan pilihan masing-masing. Melindungi hak dan kesejahteraan warga emas juga merupakan sebahagian daripada komitmen hak asasi manusia Malaysia. Ini termasuk syor yang diterima Malaysia melalui Semakan Berkala Sejagat (UPR) kali keempat pada tahun 2024 untuk terus memperkukuh hak, perlindungan dan kesejahteraan warga emas.

SUHAKAM terus memberi perhatian kepada hak warga emas melalui penganjuran pelbagai forum dan sesi libat urus, khususnya dalam isu seperti perlindungan sosial, penjagaan kesihatan, perumahan, pekerjaan dan kesejahteraan. Perbincangan ini turut memberi tumpuan kepada persediaan Malaysia dalam menghadapi peningkatan jumlah warga emas serta memastikan keperluan dan hak mereka diberi perhatian di peringkat kebangsaan dan negeri. Di peringkat serantau, SUHAKAM sebagai Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) bagi tahun 2026 turut mengetengahkan hak warga emas dalam perbincangan bersama institusi hak asasi manusia di rantau ini, selaras dengan kepentingan isu tersebut yang semakin meningkat.

SUHAKAM turut mengulangi sokongannya terhadap penggubalan undang-undang khusus bagi melindungi hak warga emas di Malaysia. Sejak tahun 2018, SUHAKAM telah menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membangunkan Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani kelemahan dalam undang-undang sedia ada, termasuk berkaitan penderaan dan pengabaian warga emas. SUHAKAM percaya bahawa undang-undang khusus ini penting untuk memperkukuh perlindungan serta memastikan hak, maruah dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.

Bersempena Hari Warga Emas Antarabangsa 2026, SUHAKAM juga akan meraikan Hari Warga Emas pada 7 Oktober 2026 di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan tema ‘Meraikan Warga Emas Kita!’ (Celebrating Our Older Persons!). Program ini merupakan penghargaan terhadap pengalaman, kebijaksanaan dan sumbangan warga emas kepada masyarakat dan negara. Ia juga mencerminkan komitmen SUHAKAM untuk terus memperjuangkan hak warga emas, mendengar suara mereka dan memastikan sumbangan mereka terus dihargai.

Sempena Hari Warga Emas Antarabangsa ini, SUHAKAM menyeru Kerajaan, institusi berkaitan, masyarakat sivil, komuniti dan keluarga untuk bersama-sama membina masyarakat yang lebih inklusif dan mesra warga emas. Setiap individu berhak melalui usia tua dengan bermaruah, kekal aktif dan berdikari mengikut keupayaan dan pilihan masing-masing, terus terlibat dalam kehidupan bermasyarakat serta menikmati hak asasi manusia sepanjang hayat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
1 Oktober 2026