KUALA LUMPUR (23 APRIL 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyoroti keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan oleh tiga banduan yang memohon agar hukuman sebat terhadap mereka diketepikan, dengan memutuskan bahawa hukuman tersebut adalah berperlembagaan. Ketua Hakim Negara Yang Amat Arif Datuk Seri Panglima Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Yang Amat Arif Datuk Hajah Azizah binti Haji Nawawi membentuk keputusan majoriti, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Yang Arif Dato’ Lee Swee Seng menyampaikan keputusan berbeza.
SUHAKAM menekankan pendirian bahawa hukuman sebat adalah bersifat kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah, serta tidak selaras dengan jaminan Perlembagaan berkaitan maruah insan dan perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Piawaian hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT), konsisten menyatakan bahawa hukuman sebat adalah tidak selaras dengan prinsip maruah manusia.
Walaupun hukuman sebat masih sah di bawah perundangan Malaysia sedia ada, kesesuaian pelaksanaannya adalah tidak selaras dengan perkembangan hak asasi manusia. Sehubungan itu, SUHAKAM menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan majoriti yang memutuskan bahawa hukuman sebat secara kehakiman adalah tidak melanggar jaminan di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan laporan, Keputusan majoriti berpandangan bahawa hukuman sebat tidak menjejaskan hak terhadap kehidupan, kebebasan diri dan kesamarataan di sisi undang-undang. Meskipun SUHAKAM menghormati Keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan, kami berpandangan bahawa keputusan tersebut adalah suatu langkah mundur dalam perkembangan sistem perlembagaan berteraskan hak asasi. Tafsiran yang diterima pakai oleh majoriti dilihat terhad dan formalistik terhadap kebebasan asasi, serta tidak mengambil kira realiti sebenar, tahap kesakitan dan kesan tidak boleh dipulihkan akibat hukuman fizikal. SUHAKAM menegaskan bahawa tafsiran Perlembagaan perlu dilaksanakan secara progresif dan selaras dengan perkembangan piawaian hak asasi manusia semasa, serta memberi makna yang lebih luas dan bermatlamat kepada kebebasan asasi, khususnya dalam perkara yang menyentuh maruah dan integriti individu.
SUHAKAM memuji penghakiman berbeza oleh Yang Arif Dato’ Lee Swee Seng yang mencerminkan pendekatan lebih berprinsip, selaras dengan hak asasi manusia dan penuh semangat Perlembagaan. Ia merupakan penghakiman yang membuka mata, membawa perubahan baharu dan manifestasi kepada aktivisme kehakiman. Hakim Lee menyatakan bahawa hukuman sebat melanggar Perkara 5(1) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, serta mendedahkan individu kepada kecederaan fizikal serius, trauma psikologi berpanjangan dan risiko kematian, selain merupakan bentuk hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah. Hakim Lee turut menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebat di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 boleh menyebabkan kesan fizikal jangka panjang yang signifikan. Sesetengah banduan mungkin mengalami keterbatasan kekal yang menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja, khususnya dalam pekerjaan berasaskan tenaga fizikal, manakala sebahagian yang lain mungkin mengalami kecacatan kekal sehingga tidak lagi mampu menyara keluarga. Hakim Lee turut mencadangkan bahawa pengisytiharan ketidakberperlembagaan olehnya perlu terpakai secara prospektif, iaitu hukuman sebat yang belum dilaksanakan tidak seharusnya diteruskan dan tiada lagi hukuman sedemikian dijatuhkan di bawah peruntukan undang-undang yang berkenaan.
SUHAKAM berpandangan bahawa penghujahan tersebut selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa serta mencerminkan pendekatan perundangan perlembagaan yang progresif, yang wajar dijadikan aspirasi oleh Malaysia. Penghakiman berbeza pandangan oleh Yang Arif Dato’ Lee Swee Seng menjadi suatu tanda aras penting bahawa Perlembagaan perlu difahami sebagai dokumen yang bukan sahaja menjamin keabsahan undang-undang, tetapi juga memelihara maruah dan nilai kemanusiaan setiap individu, termasuk mereka yang disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru agar:
- satu semakan menyeluruh dilaksanakan terhadap undang-undang yang membenarkan hukuman fizikal, selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsa;
- pendekatan hukuman alternatif yang memberi penekanan kepada pemulihan diterima pakai;
- libat urus berterusan antara pembuat dasar, badan kehakiman, masyarakat sivil dan orang awam diperkukuhkan bagi menyelaras kerangka perundangan Malaysia dengan piawaian maruah manusia yang semakin berkembang; dan
- Malaysia menyertai UNCAT, iaitu instrumen teras hak asasi manusia antarabangsa yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Resolusi 39/46 pada 10 Disember 1984 dan mula berkuat kuasa pada 26 Jun 1987.
Sebanyak 175 negara telah meratifikasi atau menyertai konvensyen tersebut, dengan hanya sebilangan kecil negara yang masih menjadi negara pihak kepada UNCAT. Di peringkat ASEAN, enam negara anggota iaitu Timor-Leste, Vietnam, Laos, Indonesia, Filipina dan Thailand telah menyertai UNCAT. SUHAKAM berharap Malaysia akan turut menyertai perkembangan global ini dan menegaskan semula komitmennya dalam menjunjung maruah insan serta memperkukuh perlindungan hak asasi untuk semua.
-Tamat-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
23 April 2026
