KUALA LUMPUR (27 APRIL 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), selaku Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF), telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) SEANF serta dua acara sampingan dari 21 hingga 23 April 2026 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan penyertaan secara fizikal dan dalam talian.
Mesyuarat Pertama TWG ini telah menghimpunkan anggota-anggota SEANF iaitu SUHAKAM, Commission on Human Rights of the Philippines (CHRP), National Human Rights Commission of Thailand (NHRCT), Provedor de Direitos Humanos e Justiça (PDHJ) Timor-Leste, Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) dan Myanmar National Human Rights Commission (MNHRC). Sesi yang dijalankan selama tiga hari ini turut menyaksikan penyertaan bermakna daripada organisasi masyarakat sivil (CSO), pakar serantau serta pelbagai pihak berkepentingan.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Tuan Abdul Kadir Jailani bin Ismail dalam ucapan alu-aluannya menegaskan akan kepentingan untuk SEANF bergerak melangkaui perbincangan kepada tindakan yang lebih terancang dan tegas, khususnya dalam melindungi pembela hak asasi manusia, memajukan hak asasi manusia dalam konteks perniagaan dan perubahan iklim, serta memperkukuh solidariti serantau dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat.
Sepanjang Mesyuarat Pertama TWG ini, anggota SEANF bertukar maklumat terkini mengenai perkembangan, inisiatif dan cabaran utama sejak Persidangan Tahunan SEANF Ke-22. Perbincangan memfokuskan kepada pelaksanaan berterusan Pelan Strategik SEANF 2022–2026, dengan penekanan terhadap empat keutamaan strategik iaitu memastikan hak asasi manusia kekal menjadi teras dalam persekitaran pasca pandemik, memajukan agenda perniagaan dan hak asasi manusia, mencegah penyeksaan atau hukuman lain yang kejam, serta memperkukuh SEANF sebagai rangkaian serantau yang berwibawa, bebas dan berkesan. Pematuhan terhadap Prinsip-prinsip Paris turut ditekankan sepanjang mesyuarat bagi menggariskan komitmen berterusan anggota SEANF terhadap kebebasan, kredibiliti dan keberkesanan dalam memajukan serta melindungi hak asasi manusia.
Sejajar dengan peranan kepimpinannya di bawah Keutamaan Strategik 4(a), SUHAKAM berkongsi perkembangan berkaitan semakan kerangka institusi SEANF, termasuk cadangan pindaan terhadap Peraturan Tatacara SEANF bagi memperjelaskan definisi institusi hak asasi manusia kebangsaan (NHRI) dan memperkenalkan mekanisme keputusan majoriti dua pertiga sekiranya konsensus tidak dapat dicapai. Mesyuarat Pertama TWG ini turut membincangkan pelbagai isu baharu dan rentas sektor, termasuk hak warga emas, mekanisme antara NHRI, serta impak hak asasi manusia akibat konflik bersenjata dan krisis tenaga berkaitan di rantau ini. Perbincangan tersebut menekankan kepentingan tindak balas serantau yang lebih selaras dan kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan ahli SEANF.
Satu sesi khas bersama organisasi masyarakat sivil (CSO), termasuk Asian NGO Network on National Human Rights Institutions (ANNI) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menjadi satu platform penting untuk dialog mengenai peranan NHRI dalam memajukan hak alam sekitar dan menyokong pembela hak asasi manusia (HRD). Para peserta turut meneliti Laporan ANNI 2025 serta meneroka peluang advokasi bersama termasuk usaha pembangunan kapasiti.
Dua acara sampingan turut memberi nilai tambah kepada Mesyuarat Pertama TWG ini di mana sesi ‘Defending the Defenders’ menekankan peranan penting NHRI dalam melindungi HRD, termasuk pembela hak asasi manusia kanak-kanak, serta menangani cabaran seperti intimidasi dan Strategic Lawsuits Against Public Participation (SLAPP). Sementara itu, Forum on Human Rights, Business and Climate Justice 2026 yang dianjurkan pada 23 April 2026 turut meneliti kaitan antara hak alam sekitar, akauntabiliti korporat dan keadilan iklim serta menekankan keperluan kepada kerangka tadbir urus yang lebih kukuh dan pendekatan berasaskan hak yang inklusif.
Mesyuarat Pertama TWG diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus, yang menegaskan semula komitmen bersama SEANF untuk meneruskan momentum mesyuarat melalui pelaksanaan tindakan konkrit, khususnya dalam memperkukuh perlindungan terhadap HRD termasuk kanak-kanak, serta pengukuhan kerjasama serantau dan keberkesanan institusi.
Penganjuran Mesyuarat Pertama TWG ini menandakan satu langkah penting menjurus ke arah tahun terakhir Pelan Strategik SEANF. Anggota SEANF dengan ini menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh solidariti serantau, bertindak balas dengan berkesan terhadap cabaran hak asasi manusia yang semakin berkembang, serta menegakkan prinsip asas maruah manusia, keadilan dan kesaksamaan di seluruh Asia Tenggara.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
27 April 2026
