KUALA LUMPUR (24 APRIL 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Yang Amat Arif Datuk Seri Panglima Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, yang telah menolak permohonan oleh tujuh banduan untuk semakan terhadap penahanan mereka ‘atas perkenan’ Raja.
Permohonan tersebut, yang difailkan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, mencabar Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membenarkan penahanan tanpa had terhadap kanak-kanak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri, sebagai ganti kepada hukuman mati. Kesemua pemohon berhujah bahawa peruntukan ini bersifat diskriminasi dan tidak adil, khususnya berikutan pembaharuan melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023, yang kini membenarkan pesalah dewasa yang sebelum ini tertakluk kepada hukuman mati mandatori untuk menerima pemenjaraan untuk tempoh tertentu sebagai hukuman alternatif. Sebaliknya, kanak-kanak yang tertakluk di bawah Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 masih boleh dikenakan pemenjaraan yang tidak ditentukan tempoh, tanpa hukuman yang jelas serta tanpa semakan kehakiman terhadap kesinambungan penahanan tersebut. Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tersebut dengan memutuskan bahawa Seksyen 97(2) kekal sah di sisi undang-undang, bahawa perbezaan antara pesalah dewasa dan juvana adalah dibenarkan, dan bahawa penahanan ‘atas perkenan’ adalah tidak boleh diputuskan oleh mahkamah kerana ia berada dalam kuasa prerogatif Raja.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak menghormati keputusan Mahkamah, walau bagaimanapun, pengekalan penahanan tanpa had tempoh bagi kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah amat membimbangkan. Kerangka sedemikian sukar diselaraskan dengan prinsip teras hak kanak-kanak, termasuk kepastian undang-undang, perkadaran, pemulihan, integrasi semula serta kepentingan terbaik kanak-kanak. Kanak-kanak tidak seharusnya dibiarkan tanpa kejelasan mengenai asas, tempoh dan semakan penahanannya.
Walaupun Seksyen 97(4) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan semakan tahunan mandatori oleh Lembaga Hakim Pelawat bagi penjara, dengan kemungkinan cadangan pembebasan, mekanisme ini tidak cukup telus, konsisten dan boleh dipertanggungjawabkan. Ketiadaan kriteria statutori yang jelas, pendedahan yang teratur, serta perlindungan yang boleh dinilai oleh mahkamah menyebabkan proses semakan ini berpotensi dilaksanakan secara tidak konsisten dan gagal menyediakan laluan berasaskan hak yang berkesan ke arah pembebasan awal dan integrasi semula.
Bukti berdasarkan pengalaman tahanan menunjukkan bahawa tempoh penahanan boleh menjadi sangat panjang, antara 15 hingga melebihi 25 tahun. Terdapat pesalah yang melakukan kesalahan ketika masih kanak-kanak tetapi kini telah berusia lebih 40 tahun dan masih menjalani hukuman di penjara di bawah perintah ini. Keadaan ini menonjolkan implikasi hak asasi manusia disebabkan oleh kerangka penghukuman yang membenarkan kesalahan semasa zaman kanak-kanak membawa kepada pemenjaraan berlarutan hingga ke usia dewasa, tanpa hukuman yang ditentukan oleh mahkamah sejak awal. Keadaan sedemikian jelas bertentangan dengan falsafah keadilan kanak-kanak yang sepatutnya menumpukan kepada pemulihan dan integrasi sosial, bukannya penahanan berbentuk hukuman tanpa had.
Pada Februari 2026, Jawatankuasa CRC telah mengklasifikasikan Seksyen 97 sebagai satu bentuk penahanan tanpa had, yang dianggap sebagai satu bentuk penyeksaan serta layanan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah terhadap kanak-kanak. Sehubungan itu, susulan semakan terkini terhadap Laporan Negara Malaysia di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak, Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah secara jelas menggesa Malaysia untuk memansuhkan Seksyen 97(2) dan mewujudkan mekanisme semakan berkala yang berasaskan hak serta berpaksikan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Keperluan untuk reformasi undang-undang adalah amat mendesak. Dari perspektif hak kanak-kanak, sebarang undang-undang yang mengawal kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang mesti memenuhi sekurang-kurangnya empat keperluan minimum: pertama, kanak-kanak mesti mengetahui akibat undang-undang daripada hukuman yang dikenakan; kedua, penahanan hendaklah bersifat luar biasa dan untuk tempoh yang paling singkat yang sesuai; ketiga, undang-undang mesti menyediakan peluang sebenar dan boleh disemak untuk pembebasan berdasarkan pemulihan dan kematangan; dan keempat, proses tersebut mesti cukup telus bagi mengelakkan pelucutan kebebasan secara sewenang-wenangnya atau tidak berkadar. Seksyen 97, dalam bentuk semasanya, menimbulkan kebimbangan serius dalam setiap aspek ini.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak dengan ini menggesa Kerajaan untuk segera memperbaharui Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan memansuhkan penahanan atas perkenan bagi kanak-kanak yang didapati bersalah atas kesalahan yang boleh dihukum mati dan menggantikannya dengan kerangka penghukuman dan semakan yang mempunyai tempoh tertentu, telus, boleh disemak serta selaras sepenuhnya dengan jaminan perlembagaan dan kewajipan Malaysia di bawah UNCRC.
Sistem keadilan yang berteraskan kanak-kanak seharusnya mengutamakan pemulihan berbanding hukuman serta memastikan tiada kanak-kanak dibiarkan dalam ketidakpastian undang-undang yang berpanjangan.
-TAMAT-
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
24 April 2026
