E1

[OCC] Kenyataan Media SUHAKAM No. 74-2026_Tindakan Segera Diperlukan untuk Mewartakan dan Melaksanakan Had Laju 30 km/j di Zon Sekolah

KUALA LUMPUR (28 OKTOBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menzahirkan kebimbangan serius berhubung insiden yang dilaporkan berlaku pada 26 Oktober 2026, melibatkan seorang murid berusia 11 tahun yang mengalami kecederaan parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Darau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Kecederaan serius yang dialami murid tersebut amat membimbangkan. Pesuruhjaya Kanak-Kanak turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kanak-kanak tersebut serta keluarganya dan mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan dan dapat pulih sepenuhnya.

Insiden ini bukanlah kejadian pertama yang dilaporkan melibatkan murid dan kemalangan jalan raya pada tahun 2026. Insiden lain yang dilaporkan termasuk:

  1. 12 April - Kota Bharu, Kelantan: Seorang murid perempuan Tingkatan 1 maut dalam insiden melibatkan kenderaan di dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas.
  2. 5 Mei - Batu Pahat, Johor: Seorang murid berusia 8 tahun meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van di pintu masuk utama Sekolah Kebangsaan Seri Maimon.
  3. 2 Julai - Kemaman, Terengganu: Seorang murid berusia 6 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dalam insiden melibatkan sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Geliga.
  4. 23 September - Permatang Pauh, Pulau Pinang: Dua orang murid perempuan berusia 8 dan 9 tahun mengalami kecederaan ringan selepas dilanggar seorang penunggang motosikal ketika melintas jalan di hadapan sekolah mereka.
  5. 30 September - Dalam perjalanan ke sekolah: Seorang murid berusia 8 tahun maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal bersama neneknya, yang turut mengalami kecederaan parah.

Laporan-laporan ini bukanlah membuktikan secara statistik bahawa kemalangan jalan raya di kawasan sekolah semakin meningkat atau setiap insiden berpunca daripada pemanduan melebihi had laju. Walau bagaimanapun, tindakan pencegahan tidak seharusnya ditangguhkan sehingga wujud pola kematian dan kecederaan parah.

Perlindungan kanak-kanak di dalam dan sekitar kawasan sekolah adalah selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC), termasuk kewajipan untuk menjadikan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama, melindungi hak mereka untuk hidup dan berkembang serta menjaga kesihatan dan mencegah kemalangan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan had laju 30 km/j di jalan yang turut digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna jalan raya lain yang lebih terdedah kepada risiko dengan lalu lintas bermotor. Kelajuan yang lebih rendah memberi pemandu lebih masa untuk bertindak balas, mengurangkan jarak yang diperlukan untuk memberhentikan kenderaan serta mengurangkan risiko pelanggaran.

Dasar had laju 30 km/j di zon sekolah telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas pada 15 Julai 2024. Pada 22 Oktober 2026, Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses mewartakan had tersebut, yang meliputi jarak 250 meter sebelum dan 250 meter selepas pintu masuk sekolah. Pesuruhjaya Kanak-Kanak mengalu-alukan perkembangan ini serta inisiatif Zon Selamat Sekolah yang telah diumumkan, dan menggesa Kerajaan memperincikan langkah yang masih belum diselesaikan serta mengumumkan tarikh kuat kuasa dan jadual pelaksanaan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa Kerajaan untuk:

  1. Menyelesaikan pindaan undang-undang dan peraturan yang diperlukan bagi mewartakan dan melaksanakan had laju maksimum 30 km/j di zon sekolah yang ditetapkan di seluruh negara.
  2. Menetapkan sempadan zon sekolah berdasarkan laluan sebenar yang digunakan oleh kanak-kanak, termasuk akses melalui pintu pagar sekolah yang lain serta laluan ke perhentian bas. Tempoh penguatkuasaan, tanggungjawab penguatkuasaan dan kaedah pelaksanaan mengikut bidang kuasa jalan raya yang berbeza perlu diperjelas, bagi memastikan perlindungan turut diberikan semasa sesi persekolahan petang, aktiviti kokurikulum dan perjalanan lain yang berkaitan dengan persekolahan.
  3. Menyelaras pelaksanaan melalui pelan yang diterajui Kementerian Pengangkutan, dengan penglibatan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa jalan raya yang berkaitan. Sementara proses pewartaan diselesaikan, penambahbaikan keselamatan segera hendaklah diteruskan dan undang-undang lalu lintas sedia ada dikuatkuasakan.
  4. Mengutamakan sekolah dan lokasi berdasarkan tahap risiko, termasuk sekolah yang terletak berhampiran jalan raya yang sibuk, tidak mempunyai kemudahan pejalan kaki yang selamat atau pernah mencatatkan insiden serius mahupun dikenal pasti berisiko tinggi. Langkah yang perlu diambil termasuk menyediakan lintasan pejalan kaki bertingkat, laluan pejalan kaki yang bersambung, kawasan perlindungan pejalan kaki, langkah kawalan trafik yang bersesuaian, papan tanda dan penandaan jalan yang jelas serta kawasan mengambil dan menurunkan murid yang selamat. Petugas lalu lintas yang terlatih dan penguatkuasaan had laju secara bersasar hendaklah disediakan apabila diperlukan, disertai pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta bersasar oleh pihak polis terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju dan melakukan kesalahan lalu lintas lain, khususnya pada waktu puncak. Kanak-kanak dan keluarga juga perlu mempunyai saluran yang mudah diakses untuk melaporkan sebarang bahaya. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan konsisten amat penting untuk memberikan kesan pencegahan yang berkesan. Tindakan pencegahan hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan proaktif, bukannya sekadar tindakan reaktif atau bermusim selepas berlakunya tragedi yang meragut nyawa atau mengakibatkan kecederaan.
  5. Menggunakan Pendekatan Sistem Selamat (Safe System Approach) yang berpusatkan kanak-kanak, dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa. Kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran menilai kelajuan kenderaan, jarak dan risiko lalu lintas, dan tidak seharusnya memikul tanggungjawab utama terhadap keselamatan diri mereka di jalan raya. Pendidikan keselamatan jalan raya perlu melengkapi bukannya menggantikan, reka bentuk jalan raya yang selamat, had laju yang sesuai, infrastruktur pejalan kaki dan penguatkuasaan yang berkesan. Kerajaan juga perlu meneliti dan melaksanakan langkah yang bersesuaian daripada pelaksanaan zon perlindungan kanak-kanak di Korea Selatan dan program Zone 30 Plus di Jepun, yang menggabungkan had laju dengan kemudahan keselamatan, penguatkuasaan dan langkah kawalan trafik.
  6. Menyediakan peruntukan khusus dan melaporkan kemajuan secara berkala. Pelaksanaan hendaklah mempunyai garis masa yang jelas dan keutamaan mestilah berdasarkan tahap risiko, dengan perlindungan asas disediakan kepada semua sekolah tanpa mengira keupayaan mendapatkan tajaan daripada pihak swasta. Laporan kemajuan perlu mengenal pasti sekolah yang telah melaksanakannya, kerja-kerja keselamatan yang telah disiapkan, kelajuan sebenar kenderaan dan tahap pematuhan, serta jumlah kematian dan kecederaan parah. Pihak berkuasa hendaklah menggunakan dapatan ini untuk menambah baik proses pelaksanaan.

Setiap kanak-kanak berhak menikmati perjalanan pergi dan balik dari sekolah dengan selamat. Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa Kerajaan agar memastikan komitmen terhadap keselamatan kanak-kanak diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, termasuk penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, penyediaan peruntukan yang mencukupi dan pelaksanaan langkah keselamatan yang dapat dinilai keberkesanannya. Tindakan segera dan berterusan amat penting bagi mencegah tragedi yang boleh meragut nyawa atau menyebabkan kecederaan serius kepada kanak-kanak. Keselamatan mereka tidak seharusnya hanya diberikan perhatian selepas berlakunya kemalangan.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
28 Oktober 2026

E1

Kenyataan Media Bersama No. 73-2026_SUHAKAM dan Majlis Peguam Malaysia Perkukuh Keupayaan Perundangan bagi Memajukan Hak Orang Asal di Sarawak

KUCHING (27 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Malaysia, dengan sokongan Kesatuan Eropah melalui projek geran “Memajukan Hak Asasi Manusia di Malaysia melalui Pendekatan Strategik dalam Pendidikan dan Peningkatan Kesedaran”, telah berjaya menganjurkan Latihan Intensif Undang-Undang dan Litigasi Hak Asasi Manusia untuk peguam muda dan pegawai SUHAKAM pada 22 hingga 24 Oktober 2026 di Kuching, Sarawak. Dengan sokongan Persatuan Peguam Sarawak (Cawangan Kuching), latihan ini memberi tumpuan kepada Hak Orang Asal dan Kebebasan Asasi, khususnya isu yang menjejaskan komuniti Orang Asal di Sarawak.

Dalam ucapan pembukaan, Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus, menegaskan bahawa perlindungan hak Orang Asal bukan sekadar pengiktirafan pemilikan tanah. Beliau berkata, “Perlindungan ini bukan hanya berkaitan pemilikan tanah, tetapi turut melibatkan persoalan identiti, pengiktirafan budaya dan penyertaan bermakna dalam sebarang keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka”.

Melalui perbincangan, kajian kes, bengkel interaktif dan simulasi perbicaraan, program ini bertujuan meningkatkan keupayaan peguam muda untuk memahami dan menangani isu hak asasi manusia yang menjejaskan komuniti Orang Asal di Sarawak. Program ini juga berhasrat melahirkan generasi baharu peguam yang mempunyai kemahiran dan tahap kepekaan yang baik untuk menyumbang kepada usaha perundangan, advokasi dan penggubalan dasar berkaitan hak asasi manusia.

Para peserta turut didedahkan kepada peruntukan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang bertulis serta undang-undang adat yang berkaitan dengan hak Orang Asal dan Hak Tanah Adat (NCR) di Sarawak. Latihan ini turut memberi pendedahan kepada aspek praktikal pengendalian kes di mahkamah, termasuk prosedur perundangan, pengumpulan bukti dan strategi dalam mengendalikan kes hak asasi manusia. Program ini juga bertujuan memperkukuh pemahaman peserta tentang kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari sudut perlembagaan.

Abang Iwawan, yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, menekankan kepentingan MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dalam memahami hak Orang Asal di Sarawak. Beliau berkata, “Jaminan berkaitan agama, bahasa dan Orang Asal yang dibincangkan ketika pembentukan Malaysia masih berkait rapat dengan isu yang dibangkitkan oleh masyarakat pada hari ini. Peguam perlu memahami perkara yang telah dipersetujui, bagaimana jaminan tersebut diperuntukkan dalam undang-undang negara serta sejauh mana perlindungan itu berkesan dalam menjaga hak dan kepentingan masyarakat yang terlibat”.

Program ini juga bertujuan mengeratkan kerjasama antara pengamal undang-undang, institusi hak asasi manusia dan komuniti Orang Asal bagi memperjuangkan keadilan serta memperkukuh usaha memajukan dan melindungi hak asasi manusia di Sarawak. Peserta yang terpilih dijangka memperuntukkan masa setiap bulan untuk memberikan khidmat guaman secara pro bono kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi masyarakat sivil pilihan mereka. Antara tenaga pengajar program ini ialah Yang Arif Tuan Gabriel Gumis Humen, Presiden Mahkamah Rayuan Bumiputera Sarawak.

SUHAKAM dan Majlis Peguam Malaysia terus komited untuk memperkukuh keupayaan dalam bidang perundangan serta memperluas kerjasama bagi menyokong akses kepada keadilan dan perlindungan hak asasi manusia di Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Majlis Peguam Malaysia
27 Oktober 2026

E1

Kenyataan Media No. 69-2026_SUHAKAM Gesa Tindakan Segera Terhadap Pihak Yang Menyebabkan Jerebu

KUALA LUMPUR (13 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa kejadian jerebu rentas sempadan yang berulang merupakan isu serius yang menjejaskan kesihatan awam dan hak asasi manusia. Jerebu bukan sahaja mengancam hak untuk hidup dan menikmati persekitaran yang bersih, sihat dan mampan, malah turut menjejaskan kesihatan, pendidikan, akses kepada maklumat serta keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

SUHAKAM berpandangan bahawa panduan penjagaan kesihatan kepada orang awam dan usaha diplomatik sahaja tidak mencukupi. Tindakan yang lebih tegas dan berkesan diperlukan untuk melindungi masyarakat, menyiasat punca jerebu yang menjejaskan Malaysia serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya. Laporan terkini mengaitkan jerebu di Malaysia dengan kebakaran di beberapa wilayah Indonesia, termasuk Kalimantan dan Sumatera. Bagaimanapun, siasatan lanjut diperlukan kerana setakat ini belum ada bukti kukuh yang mengaitkan mana-mana syarikat atau individu tertentu dengan kejadian tersebut.

SUHAKAM menegaskan bahawa pihak yang menyebabkan pencemaran perlu bertanggungjawab terhadap kesan dan kos yang ditanggung oleh masyarakat. Sehubungan itu, Malaysia perlu mempunyai pendekatan perundangan yang kukuh, dengan setiap tindakan disokong oleh bukti yang sahih. Siasatan perlu mengenal pasti pemilik tanah di kawasan kebakaran, pihak yang menjalankan kegiatan di kawasan tersebut, langkah pencegahan kebakaran yang telah diambil serta bagaimana asap merebak sehingga menjejaskan Malaysia. Maklumat satelit juga perlu disokong oleh bukti saintifik dan maklumat lain yang berkaitan. Sebarang kemungkinan punca pencemaran atau faktor lain yang menyumbang kepada jerebu turut perlu diteliti.

Bagi tujuan ini, SUHAKAM menggesa Kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas yang melibatkan pelbagai agensi, termasuk pakar alam sekitar, penyiasat korporat dan pegawai undang-undang. Pasukan ini perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara berkaitan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti pihak yang boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang. Syarikat Malaysia yang mungkin terlibat juga perlu disiasat tanpa pengecualian. Walau bagaimanapun, sebarang tindakan terhadap syarikat atau individu mestilah berdasarkan bukti yang kukuh dan melalui proses undang-undang yang adil.

SUHAKAM turut menggesa Kerajaan supaya menggunakan sepenuhnya Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan. Di bawah Perkara 4(2), negara yang menjadi punca jerebu rentas sempadan perlu memberikan maklum balas segera terhadap permintaan maklumat atau rundingan daripada negara yang terjejas. Malaysia perlu mengemukakan permohonan rasmi untuk mendapatkan maklumat berkaitan kawasan konsesi dan pemilikan tanah, pihak yang mengendalikan kawasan tersebut, rekod kawalan kebakaran serta tindakan penguatkuasaan yang telah diambil. Kerajaan juga perlu memaklumkan perkembangan usaha ini kepada orang awam, termasuk maklum balas yang diterima dan perkara yang masih belum diselesaikan, tanpa menjejaskan siasatan atau proses undang-undang.

Selain itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya segera menggubal undang-undang khusus bagi menangani pencemaran jerebu rentas sempadan. Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura boleh dijadikan rujukan dalam membangunkan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap kegiatan di luar negara yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu di Malaysia. Undang-undang ini perlu disesuaikan dengan sistem perundangan Malaysia, dengan peruntukan yang jelas mengenai kuasa penyiasatan, tindakan sivil dan hukuman jenayah yang bersesuaian. Ia juga perlu membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat atau individu yang terbukti bertanggungjawab, di samping menjamin hak mereka untuk membela diri dan mendapat perbicaraan yang adil.

SUHAKAM seterusnya menggesa Kerajaan menetapkan pelan tindakan dengan garis masa yang jelas, termasuk penubuhan pasukan penyiasatan, permohonan maklumat secara rasmi, rundingan awam dan pembentangan rang undang-undang di Parlimen. Perkembangan pelaksanaan pelan ini perlu dimaklumkan secara berkala kepada orang awam tanpa menjejaskan siasatan atau proses undang-undang. Pada masa yang sama, Kerajaan perlu mempercepat usaha menggubal Akta Udara Bersih, memudahkan akses kepada keadilan dalam isu alam sekitar serta memastikan masyarakat yang terjejas mempunyai saluran untuk mendapatkan pembelaan dan pampasan, termasuk bagi kerugian dan kos rawatan kesihatan yang dapat dibuktikan.

Sementara usaha tersebut dilaksanakan, Kerajaan perlu terus melindungi orang ramai melalui penyampaian maklumat kualiti udara dan nasihat kesihatan yang tepat pada masanya. Langkah perlindungan yang jelas dan berasaskan bukti juga perlu dilaksanakan di sekolah dan tempat kerja. Perhatian khusus harus diberikan kepada kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, individu yang mempunyai masalah kesihatan, pekerja luar bangunan serta masyarakat yang mempunyai pilihan terhad untuk mengelakkan pendedahan kepada jerebu. SUHAKAM menegaskan bahawa masalah jerebu yang berulang memerlukan tindakan berterusan, bukan sekadar penyelesaian sementara. Kerjasama serantau yang lebih kukuh, siasatan yang telus dan undang-undang yang berkesan amat penting bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya. Perlindungan kesihatan, keselamatan dan hak asasi manusia hendaklah sentiasa menjadi keutamaan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
13 Oktober 2026

E1

Kenyataan Media No. 66-2026_SUHAKAM Seru Pendekatan Berasaskan Hak bagi Menyokong Kehidupan yang Lebih Panjang dan Bermaruah untuk Warga Emas

KUALA LUMPUR (1 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memperingati Hari Warga Emas Antarabangsa 2026 yang bertemakan ‘Era Umur Panjang: Memikirkan Semula Sistem untuk Kehidupan yang Lebih Panjang’ (The Age of Longevity: Rethinking Systems for Longer Lives). Tema ini menekankan keperluan untuk menilai semula dasar, institusi dan sistem sejajar dengan peningkatan jangka hayat, serta memastikan warga emas terus menikmati hak mereka dengan bermaruah, saksama dan berdikari.

Malaysia kini berdepan dengan peningkatan jumlah warga emas. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2025, seramai 4.1 juta penduduk atau 12% daripada jumlah penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas, berbanding 3.9 juta atau 11.6% pada tahun 2024. DOSM menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat dan Malaysia akan menjadi sebuah negara menua menjelang tahun 2036, apabila lebih 15% penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas. Perubahan ini memerlukan Malaysia membuat persediaan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua. Dasar, perkhidmatan dan sistem sedia ada juga perlu disesuaikan supaya terus memenuhi keperluan warga emas dan memastikan hak serta kesejahteraan mereka terpelihara.

SUHAKAM menegaskan bahawa persediaan menghadapi masyarakat menua bukan sekadar menyediakan penjagaan dan bantuan kebajikan. Warga emas perlu mempunyai akses yang bermakna kepada jaminan ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan mudah diakses, perumahan yang mencukupi serta perlindungan sosial. Mereka juga perlu dilindungi daripada penderaan, pengabaian, eksploitasi dan diskriminasi selain daripada akses kepada kemudahan awam dan perkhidmatan yang bersesuaian. Dalam keadaan pendigitalan yang semakin mempengaruhi akses kepada maklumat dan perkhidmatan awam, usaha memperkukuh keterangkuman digital juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan warga emas tidak tercicir daripada arus perubahan teknologi.

Warga emas perlu diberi ruang untuk bersuara dan terlibat dalam dasar serta keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Pengalaman, pengetahuan dan sumbangan mereka perlu dihargai, dan mereka harus terus diberi peluang untuk memainkan peranan dalam keluarga, komuniti dan masyarakat mengikut keupayaan dan pilihan masing-masing. Melindungi hak dan kesejahteraan warga emas juga merupakan sebahagian daripada komitmen hak asasi manusia Malaysia. Ini termasuk syor yang diterima Malaysia melalui Semakan Berkala Sejagat (UPR) kali keempat pada tahun 2024 untuk terus memperkukuh hak, perlindungan dan kesejahteraan warga emas.

SUHAKAM terus memberi perhatian kepada hak warga emas melalui penganjuran pelbagai forum dan sesi libat urus, khususnya dalam isu seperti perlindungan sosial, penjagaan kesihatan, perumahan, pekerjaan dan kesejahteraan. Perbincangan ini turut memberi tumpuan kepada persediaan Malaysia dalam menghadapi peningkatan jumlah warga emas serta memastikan keperluan dan hak mereka diberi perhatian di peringkat kebangsaan dan negeri. Di peringkat serantau, SUHAKAM sebagai Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) bagi tahun 2026 turut mengetengahkan hak warga emas dalam perbincangan bersama institusi hak asasi manusia di rantau ini, selaras dengan kepentingan isu tersebut yang semakin meningkat.

SUHAKAM turut mengulangi sokongannya terhadap penggubalan undang-undang khusus bagi melindungi hak warga emas di Malaysia. Sejak tahun 2018, SUHAKAM telah menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membangunkan Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani kelemahan dalam undang-undang sedia ada, termasuk berkaitan penderaan dan pengabaian warga emas. SUHAKAM percaya bahawa undang-undang khusus ini penting untuk memperkukuh perlindungan serta memastikan hak, maruah dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.

Bersempena Hari Warga Emas Antarabangsa 2026, SUHAKAM juga akan meraikan Hari Warga Emas pada 7 Oktober 2026 di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan tema ‘Meraikan Warga Emas Kita!’ (Celebrating Our Older Persons!). Program ini merupakan penghargaan terhadap pengalaman, kebijaksanaan dan sumbangan warga emas kepada masyarakat dan negara. Ia juga mencerminkan komitmen SUHAKAM untuk terus memperjuangkan hak warga emas, mendengar suara mereka dan memastikan sumbangan mereka terus dihargai.

Sempena Hari Warga Emas Antarabangsa ini, SUHAKAM menyeru Kerajaan, institusi berkaitan, masyarakat sivil, komuniti dan keluarga untuk bersama-sama membina masyarakat yang lebih inklusif dan mesra warga emas. Setiap individu berhak melalui usia tua dengan bermaruah, kekal aktif dan berdikari mengikut keupayaan dan pilihan masing-masing, terus terlibat dalam kehidupan bermasyarakat serta menikmati hak asasi manusia sepanjang hayat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
1 Oktober 2026

E1

Kenyataan Media No. 65-2026_SUHAKAM Gesa Hentikan Penghantaran Pulang Selanjutnya dan Lindungi Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (1 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius terhadap penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar dari Malaysia pada 29 September 2026, termasuk 27 kanak-kanak, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan berusia seawal lapan tahun.

Penghantaran pulang tersebut berlaku ketika konflik, perpindahan penduduk dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius masih berterusan di Myanmar. Laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan keganasan yang berterusan serta keadaan hak asasi manusia yang semakin meruncing, khususnya terhadap orang awam dan komuniti rentan. Dalam keadaan sedemikian, keselamatan dan keperluan perlindungan setiap individu perlu dipertimbangkan dengan teliti sebelum sebarang penghantaran pulang dilaksanakan.

Prinsip non-refoulement melindungi seseorang daripada dihantar pulang ke tempat di mana mereka berdepan risiko sebenar penganiayaan, penyeksaan atau kemudaratan serius yang lain. Prinsip ini termaktub dalam Artikel 33 Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan telah berkembang menjadi sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa. Prinsip ini mengikat semua negara, tanpa mengira sama ada negara tersebut merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian atau sebaliknya. Ini bermakna Malaysia, walaupun bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Pelarian, tetap terikat untuk mematuhi prinsip ini. Oleh itu, Malaysia dilarang di bawah undang-undang antarabangsa daripada menghantar pulang mana-mana pelarian atau pencari suaka ke Myanmar sekiranya terdapat risiko munasabah bahawa nyawa atau kebebasan mereka akan terancam atas sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, keanggotaan dalam sesuatu kumpulan sosial tertentu atau pandangan politik. Sebarang pelanggaran terhadap prinsip asas ini merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Perlindungan ini terpakai kepada setiap individu tanpa mengira kewarganegaraan atau status imigresen. Sehubungan itu, keadaan dan risiko yang mungkin dihadapi oleh seseorang sekiranya dihantar pulang perlu dinilai dengan teliti terlebih dahulu. Perkara ini turut ditegaskan oleh Jawatankuasa PBB mengenai Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (Jawatankuasa CEDAW) dalam Pemerhatian Penutup terhadap Malaysia pada tahun 2024, yang menyeru Malaysia supaya mematuhi obligasi non-refoulement terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan yang memerlukan perlindungan antarabangsa serta memastikan setiap kes dinilai secara individu sebelum sebarang keputusan penghantaran pulang dibuat.

Penghantaran pulang yang disifatkan sebagai “sukarela” juga mestilah benar-benar dilakukan secara sukarela. Individu berkenaan seharusnya dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi, tanpa sebarang tekanan atau paksaan, serta mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai keadaan yang mungkin mereka hadapi apabila kembali. Mereka juga perlu diberikan peluang yang sewajarnya untuk menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan dan perlindungan mereka sebelum sebarang keputusan untuk menghantar mereka pulang dibuat. Penentuan sama ada keputusan “sukarela” tersebut benar-benar dibuat atas kerelaan sendiri hendaklah dilakukan oleh pihak berkuasa yang bebas seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dan bukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Kanak-kanak memerlukan perlindungan khusus. Sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Malaysia mempunyai kewajipan untuk melindungi hak setiap kanak-kanak di bawah bidang kuasanya, tanpa mengira kewarganegaraan atau status imigresen. Di bawah Artikel 3 CRC, kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua keputusan yang melibatkan mereka.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya memastikan tiada lagi penghantaran pulang ke Myanmar dilakukan tanpa penilaian sewajarnya oleh pihak berkuasa yang bebas terhadap keperluan perlindungan setiap individu serta risiko yang mungkin mereka hadapi sekiranya dihantar pulang. Perhatian khusus hendaklah diberikan kepada kanak-kanak, pelarian dan pencari suaka, mangsa pemerdagangan orang serta individu lain yang berada dalam keadaan rentan. Pihak antarabangsa yang berkaitan dengan perlindungan juga hendaklah diberikan akses sewajarnya bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan.

Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mengurus migrasi dan keselamatan negara, namun tanggungjawab tersebut hendaklah dilaksanakan selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsanya. Sebarang penghantaran pulang mestilah benar-benar dilakukan secara sukarela dan berdasarkan maklumat yang mencukupi, dengan perlindungan sewajarnya bagi memastikan tiada individu dihantar pulang ke keadaan di mana mereka berdepan risiko kemudaratan serius. SUHAKAM selanjutnya menggesa Kerajaan supaya lebih telus mengenai sebarang penghantaran pulang yang dirancang dan mendedahkan maklumat berkaitan mereka yang dikenal pasti untuk dihantar pulang, termasuk pecahan maklumat yang telah dipohon oleh SUHAKAM sebelum ini. Ketelusan yang lebih menyeluruh adalah penting bagi memastikan keperluan perlindungan dapat dikenal pasti dengan sewajarnya, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak dan golongan rentan yang lain, serta bagi memberi jaminan bahawa obligasi hak asasi manusia Malaysia dipatuhi sepenuhnya.

Tiada kanak-kanak seharusnya dihantar pulang ke tempat yang boleh membahayakan mereka. Keselamatan, maruah dan kepentingan terbaik mereka mesti diutamakan. Komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia akhirnya harus dicerminkan melalui cara prinsip-prinsip ini dilaksanakan apabila nyawa, keselamatan dan kesejahteraan golongan rentan dipertaruhkan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
1 Oktober 2026

2

Kenyataan Media Bersama No. 64 - 2026_Buku Panduan CEDAW Baharu Dilancarkan Bagi Memperkukuh Tindakan Parlimen Terhadap Kesaksamaan Gender

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2026 — The CEDAW Handbook: Legislating Equality for Parliamentarians was launched today at Legislating Equality: CEDAW & Beyondtelah dilancarkan hari ini sempena Legislating Equality: CEDAW & Beyond, sebuah simposium dua hari mengenai Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), yang berlangsung di Majlis Peguam Malaysia.

Simposium yang berlangsung dari 28 hingga 29 September itu dianjurkan bersama oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Kesaksamaan Gender (APPGM-GE), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Jawatankuasa Hak Wanita Majlis Peguam (WRC), dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi Australia dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Malaysia telah menyertai CEDAW pada tahun 1995. Sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen tersebut, Malaysia menjalani proses semakan oleh Jawatankuasa CEDAW Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setiap empat tahun melalui pengemukaan dan pembentangan laporan berkala. Proses ini disusuli dengan Pemerhatian Penutup (Concluding Observations) oleh Jawatankuasa tersebut, yang menilai kemajuan yang telah dicapai serta mengemukakan syor bagi memperkukuh kesaksamaan gender, perlindungan dan keselamatan wanita, serta menangani segala bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Pada tahun 2024, Jawatankuasa CEDAW telah menerbitkan Pemerhatian Penutup berhubung laporan berkala keenam Malaysia, yang mengetengahkan beberapa syor untuk perhatian Kerajaan. Antara isu utama yang dibincangkan dalam Simposium ini ialah: (1) kemajuan yang masih perlahan dalam menggubal Rang Undang-undang Anti-Diskriminasi terhadap Wanita; (2) perkahwinan kanak-kanak yang masih berterusan; (3) amalan khitan perempuan (female genital cutting, FGC) yang masih berlaku; (4) Mempentingkan hak asasi dan perlindungan antarabangsa bagi wanita dan kanak-kanak perempuan pelarian; serta (5) keperluan Malaysia mengkaji semula reservasi yang masih dikekalkan terhadap Artikel 9 dan 16 CEDAW, khususnya berkaitan kewarganegaraan serta kesaksamaan dalam perkahwinan dan hubungan kekeluargaan.

The CEDAW CEDAW Handbook dilancarkan sebagai sumber rujukan praktikal bagi membantu ahli Parlimen memahami dan memajukan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen tersebut. Buku panduan ini menyediakan kerangka untuk membantu penggubal undang-undang mengambil kira kesaksamaan gender dan hak wanita dalam proses penggubalan undang-undang, penelitian Parlimen dan pembangunan dasar, sekali gus menterjemahkan komitmen antarabangsa Malaysia kepada tindakan perundangan yang konkrit.

Sepanjang Simposium dua hari tersebut, perbincangan 14 sesi panel telah meneliti jurang antara proses perundangan dengan realiti kehidupan wanita, di samping membincangkan kemajuan Malaysia dalam melaksanakan Pemerhatian Penutup Jawatankuasa CEDAW. Ahli panel terdiri daripada mantan ahli Parlimen, pakar undang-undang, anggota Jawatankuasa CEDAW serta wakil daripada dua Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI), iaitu SUHAKAM dan Komnas Perempuan Indonesia.

Perbincangan menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan, NHRI dan masyarakat sivil dalam memperkukuh penginstitusian CEDAW, termasuk melalui penglibatan berterusan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Para panelis turut menyeru ahli Parlimen supaya memperkukuh penelitian terhadap kemajuan Kerajaan dalam melaksanakan Pemerhatian Penutup serta memastikan sumber yang mencukupi diperuntukkan bagi menangani halangan sistemik yang dihadapi oleh wanita dan kanak-kanak perempuan. Ini termasuk memastikan peruntukan yang mencukupi dalam Belanjawan 2027 bagi pengumpulan data secara sistematik dan khusus mengenai diskriminasi terhadap wanita, menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan akses kepada keadilan, serta memperkenalkan langkah khas sementara bagi mempercepat pencapaian kesaksamaan substantif.

Berucap pada Simposium tersebut, YB Senator Dr. Jufitri Joha, Bendahari APPGM-GE, menegaskan bahawa,“kesaksamaan gender tidak boleh kekal sekadar aspirasi yang hanya dinyatakan dalam deklarasi.” Dalam ucapan penutup beliau, YB Senator Dr. Jufitri berkata:

In his closing remarks, he committed to concrete action within parliament:

“Nilai pertemuan ini bukan sahaja akan diukur berdasarkan apa yang telah kita pelajari, tetapi juga melalui tindakan yang kita ambil selepas ini. Marilah kita membawa segala pandangan dan pengetahuan ini ke dalam jawatankuasa, kawasan, parti dan kementerian masing-masing. Ini memerlukan kita memperkukuh kerjasama merentasi garis politik serta bersama masyarakat sivil. Kita mesti menyokong pembaharuan yang dapat mencegah kemudaratan, menambah baik mekanisme pemulihan dan menghapuskan halangan yang mengekang wanita, kanak-kanak perempuan serta semua golongan rentan dan terpinggir. Yang paling utama, kita mesti menetapkan tanggungjawab yang jelas dan memantau kemajuan, kerana akauntabiliti merupakan asas yang menterjemahkan komitmen kepada perubahan.” This requires us to strengthen cooperation across political lines and with civil society. We must support reforms that prevent harm, improve remedies and remove the structural barriers that hold women, girls and all vulnerable and marginalised groups back. Above all, we must establish clear responsibilities and track progress, because accountability is what turns commitment into change.”

tamat

Dikeluarkan Secara Bersama:

All-Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) – Gender Equality

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

The symposium is a platform for international and local speakers to share knowledge and examine key women’s rights issues in Malaysia, taking into account the current legal landscape, emerging challenges and local realities. It reviews Malaysian laws in the light of Malaysia’s obligations under the Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (“CEDAW”) and the CEDAW Committee’s concluding observations.

Please contact Kirath (+60143996609) or Abinaya (+60163348455) for further information.

E1

[OCC] Kenyataan Media No. 63-2026_Hentikan Budaya Senior Menghukum Junior

KUALA LUMPUR (28 SEPTEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah berasrama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

CC memandang serius kejadian yang dilaporkan, khususnya laporan bahawa siasatan awal polis sedang meneliti sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan tindakan disiplin yang didakwa dikenakan oleh pelajar senior terhadap pelajar yang meninggal dunia, dipercayai kerana pelajar junior tersebut disyaki melanggar peraturan asrama. Polis memaklumkan bahawa punca sebenar kematian masih dalam siasatan. CC menegaskan bahawa tiada kesimpulan wajar dibuat pada peringkat ini berhubung kesalahan, niat atau liabiliti jenayah atau disiplin mana-mana kanak-kanak yang terlibat. Identiti dan butiran peribadi semua kanak-kanak hendaklah dilindungi dengan rapi.

Sehubungan itu, kebimbangan CC bukanlah untuk menentukan pihak yang bersalah dalam kes semasa, tetapi untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak yang lebih luas: Adakah mana-mana pelajar, termasuk pengawas, ketua dormitori, pelajar senior atau pemimpin pelajar, mempunyai kuasa untuk menghukum pelajar lain? Jawapannya mestilah jelas: pelajar tidak boleh diberikan, atau mengambil sendiri, kuasa untuk menghukum pelajar lain.

Pemimpin pelajar sewajarnya boleh mengingatkan pelajar lain tentang peraturan sekolah atau asrama, menjadi contoh teladan yang baik, membantu dalam pemantauan yang bersesuaian, menggalakkan pematuhan serta melaporkan salah laku yang disyaki kepada guru, warden atau pihak berkuasa sekolah yang berkaitan. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh menjalankan siasatan sendiri; menentukan bahawa pelajar lain bersalah; merangka atau mengenakan hukuman sendiri; menggunakan kekerasan fizikal; mengugut atau menakut-nakutkan pelajar lain; mengaibkan atau memaksa kanak-kanak lain; atau mengambil sebarang tindakan disiplin mengikut kehendak sendiri. Menjadi pengawas, ketua dormitori, pelajar senior atau pemimpin pelajar bukanlah lesen untuk menghukum kanak-kanak lain.

Malaysia Mempunyai Kerangka Formal bagi Pengurusan Disiplin di Sekolah

Malaysia mempunyai kerangka yang telah ditetapkan bagi pengurusan disiplin pelajar. Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 3 Tahun 2026 - Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat memperuntukkan bahawa dakwaan salah laku hendaklah dikendalikan melalui proses disiplin sekolah yang formal, termasuk siasatan oleh guru yang dilantik pengetua atau ketua institusi. Hukuman disiplin hendaklah dikenakan oleh pihak sekolah yang diberi kuasa, selaras dengan prosedur KPM yang ditetapkan.

Dalam keadaan terhad yang membenarkan hukuman berbentuk fizikal, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh PGB atau guru yang diberikan kuasa khusus untuk berbuat demikian, tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Hal ini mengukuhkan prinsip asas bahawa tindakan disiplin hendaklah dilaksanakan melalui proses disiplin formal sekolah dan oleh pihak yang diberi kuasa di bawah peraturan dan prosedur KPM yang berkaitan - bukannya oleh pelajar terhadap rakan pelajar.

Warden Mempunyai Tanggungjawab Menjaga Kebajikan Pelajar di Sekolah Berasrama

Garis Panduan Pelantikan dan Portfolio Warden Asrama KPM, Versi Februari 2025 turut menetapkan tanggungjawab warden di sekolah berasrama. Warden melaksanakan tanggungjawab mereka in loco parentis, dengan tugas berkaitan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar. Ketua Warden bertanggungjawab terhadap disiplin asrama, manakala warden bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peraturan asrama serta mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan prosedur yang ditetapkan. Yang penting, laporan yang dibuat oleh Ketua atau ahli Jawatankuasa Asrama serta Ketua Dormitori hendaklah disemak dan disiasat oleh warden untuk tindakan susulan yang sewajarnya.

Pembahagian tanggungjawab yang dimaksudkan hendaklah kekal jelas. Pemimpin pelajar boleh memerhati, mengingatkan dan melaporkan kebimbangan kepada pihak berkuasa sekolah yang sewajarnya, manakala warden dan pihak sekolah bertanggungjawab untuk menyemak laporan, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya selaras dengan prosedur yang ditetapkan. Pemimpin pelajar tidak boleh mengambil alih peranan untuk menyiasat dakwaan salah laku, menentukan kesalahan atau mengenakan hukuman terhadap pelajar lain.

Hentikan Budaya Disiplin Secara ‘Vigilante’

CC bimbang bahawa amalan seperti ‘ajar junior bagi serik’, ‘selesaikan di dorm’ atau ‘senior mendisiplinkan junior’ tidak boleh sama sekali dinormalisasikan dalam budaya sekolah berasrama. Peraturan sekolah tidak boleh dikuatkuasakan melalui tindakan pelajar mengambil tindakan sendiri terhadap kanak-kanak lain. Status sebagai pelajar senior atau kedudukan sebagai pemimpin pelajar tidak memberikan kuasa disiplin.

Setiap pelajar, termasuk kanak-kanak yang didakwa melanggar peraturan sekolah, kekal sebagai kanak-kanak yang berhak kepada keselamatan, maruah dan layanan yang adil. Perkara ini selaras dengan prinsip-prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), termasuk perlindungan daripada keganasan serta prinsip bahawa kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama.

Sehubungan itu, CC menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia untuk:

  1. Mengeluarkan peringatan yang jelas di seluruh negara bahawa pengawas, ketua dormitori dan pemimpin pelajar lain tidak mempunyai kuasa secara bebas untuk mengenakan atau melaksanakan hukuman disiplin terhadap pelajar lain.
  2. Menyemak Terma Rujukan kepimpinan pelajar di semua sekolah berasrama bagi memastikan peranan mereka ditakrifkan dengan jelas sebagai: PERINGATKAN - PANTAU - LAPORKAN. HUKUMAN ADALAH DILARANG SAMA SEKALI.
  3. Mengaudit amalan disiplin tidak formal di sekolah berasrama, termasuk senior menghukum junior, hukuman fizikal yang dikenakan oleh pelajar, ‘mahkamah pelajar’ tidak formal, denda atau penalti, penghinaan, layanan yang menjatuhkan maruah serta amalan paksaan yang lain. Langkah ini hendaklah dilaksanakan sebagai usaha pencegahan dan perlindungan, tanpa membuat kesimpulan terlebih dahulu berhubung kes semasa.
  4. Memperkukuh sistem warden dengan memastikan warden mudah dihubungi, menerima latihan yang mencukupi serta mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka berkaitan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar selaras dengan Garis Panduan Warden KPM 2025.

CC mengulangi ucapan takziah kepada keluarga pelajar yang meninggal dunia serta menghormati siasatan yang sedang dijalankan. Semua pihak diseru agar tidak membuat spekulasi dan tidak berkongsi maklumat yang boleh mengenal pasti atau menambah kemudaratan kepada kanak-kanak yang terlibat.

Tragedi ini mesti mendorong kepada penelitian yang teliti terhadap amalan disiplin tidak formal di sekolah berasrama. Tiada pelajar seharusnya menganggap bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menghukum kanak-kanak lain. Kepimpinan pelajar hendaklah membina rasa tanggungjawab dan budaya saling menjaga - bukannya mewujudkan sistem disiplin selari dalam kalangan kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
28 September 2026

E1

[Kenyataan Media Bersama] SEANF No.62-2026_SEANF Mulakan Semakan Rasmi Terhadap Kelayakan MNHRC Untuk Kekal Sebagai Ahli

KUALA LUMPUR (25 SEPTEMBER 2026) Lembaga Tadbir Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) (SEANF), di bawah Pengerusian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi SEANF 2026, telah memulakan semakan rasmi terhadap kelayakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Myanmar (MNHRC) untuk kekal sebagai ahli SEANF. Lembaga Tadbir tersebut terdiri daripada Pengerusi SUHAKAM, Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Republik Indonesia (Komnas HAM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRCT), serta Provedor de Direitos Humanos e Justiça (PDHJ), Timor-Leste.

Semakan tersebut telah dimulakan melalui mesyuarat khas Lembaga Tadbir SEANF yang diadakan pada 14 Ogos 2026, selaras dengan Perkara 11(6) Peraturan Tatacara SEANF. Semakan ini turut akan menilai sama ada MNHRC masih memenuhi piawaian kebebasan, keberkesanan dan integriti institusi yang ditetapkan oleh Prinsip Paris, yang telah diperbadankan dalam takrifan SEANF mengenai institusi hak asasi manusia kebangsaan.

Dalam menjalankan semakan tersebut, Lembaga Tadbir akan mempertimbangkan maklumat berkaitan yang diterima oleh SEANF sejak tahun 2021, perkembangan MNHRC dalam menangani syor-syor yang dikemukakan oleh anggota SEANF pada tahun 2021, serta dapatan berkaitan yang terkandung dalam laporan 2024 Sub-Jawatankuasa Akreditasi Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI). Semakan ini juga akan mempertimbangkan implikasi institusi berhubung kemungkinan MNHRC mengambil alih Pengerusian SEANF secara bergilir pada tahun 2027, sementara persoalan mengenai pematuhan berterusannya terhadap piawaian keahlian SEANF masih belum diselesaikan.

On 1 September 2026, SEANF gave MNHRC at least 21 days’ written notice, adopting Rule 12.1(c) of the APF Constitution[1] Pada 1 September 2026, SEANF telah memberikan MNHRC notis bertulis sekurang-kurangnya 21 hari mengenai perkara-perkara yang dikenal pasti dalam notis tersebut, dengan merujuk kepada Peraturan 12.1(c) Perlembagaan APF sebagai amalan terbaik prosedur yang telah ditetapkan bagi cadangan resolusi yang boleh menjejaskan kedudukan seseorang ahli. MNHRC boleh mengemukakan sebarang maklumat, penjelasan atau representasi yang difikirkannya berkaitan sebelum mesyuarat rundingan Lembaga Tadbir bersama MNHRC dijalankan pada 1 Oktober 2026.

Selepas mempertimbangkan maklum balas MNHRC dan semua bahan lain yang berkaitan, Lembaga Tadbir pada 1 Oktober 2026 akan mempertimbangkan satu resolusi berhubung sama ada MNHRC masih memenuhi kelayakan untuk meneruskan keahlian dalam SEANF dan layak untuk mengambil alih Pengerusian SEANF pada tahun 2027, atau sama ada MNHRC akan hilang kelayakan untuk mengekalkan keahlian dan diisytiharkan tidak layak untuk mengambil alih Pengerusian tersebut.

Tiada keputusan telah dibuat pada peringkat ini berhubung pematuhan MNHRC kepada Perkara 1 pindaan Peraturan Tatacara SEANF atas kelayakannya untuk terus menjadi ahli SEANF. MNHRC telah diberikan peluang yang munasabah untuk memberikan maklum balas sebelum Lembaga Tadbir mempertimbangkan sebarang resolusi, selaras dengan Perkara 24 Peraturan Tatacara SEANF dan amalan terbaik prosedur yang dinyatakan dalam Peraturan 12.1(c)(3) Perlembagaan APF . amended Article 1 of the SEANF Rules of Procedure.[2] MNHRC has been given a reasonable opportunity to respond before the Governing Board considers any resolution, pursuant to Article 24 of the SEANF Rules of Procedure[3] and the procedural best practice reflected in Rule 12.1(c)(3) of the APF Constitution.[4]

SEANF menjalankan semakan rasmi ini dengan niat baik bagi melindungi kredibiliti, akauntabiliti, kebebasan dan keberkesanan Forum serta usahanya untuk memajukan, melindungi dan merealisasikan hak asasi manusia di Asia Tenggara selaras dengan Prinsip Paris.

-TAMAT-


[1] Rule 12.1(c) of the APF Constitution states, “If the Forum councillors intend to propose a resolution under rule 12.1(a), they must give the member written notice at least 21 days before the meeting at which the resolution is to be proposed.”

[2] Amended Article 1 of the SEANF Rules of Procedure states, “NHRI refers to an independent national institution that complies with the Paris Principles and holds a constitutional and/or legislative mandate to promote and protect human rights."

[3] Article 24 of the SEANF Rules of Procedure states, “Any dispute between members concerning the interpretation or application of, or compliance with this Rules of Procedure shall be settled amicably by consultation or negotiation”.

[4] Rule 12.1(c)(3) of the APF Constitution states, “The member must be given a reasonable opportunity to respond before a decision is made by the Forum councillors.”

E1

[Kenyataan Media Bersama] No. 60-2026_Pembaharuan Memorandum Persefahaman SUHAKAM x NHRCN

KUALA LUMPUR, MALAYSIA (23 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Hak Pekerja Migran dan Individu yang Menetap di Kedua-dua Negara bagi tempoh tiga tahun, dari 2026 hingga 2028. MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Pengerusi NHRCN, Yang Berhormat Top Bahadur Magar, di Ibu Pejabat SUHAKAM, Kuala Lumpur, Malaysia.

MoU ini pertama kali ditandatangani pada tahun 2019 dengan tujuan memupuk kerjasama erat, perkongsian maklumat, komunikasi dua hala berhubung aduan, pemantauan bersama, penyelidikan serta aktiviti berkaitan bagi melindungi hak pekerja migran dan individu yang menetap di kedua-dua negara. MoU tersebut kemudiannya diperbaharui sebanyak dua kali sehingga 28 Mac 2024. Sepanjang tempoh pelaksanaan MoU, SUHAKAM telah mengadakan libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang menangani isu pekerja migran Nepal, serta Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur bagi bertukar maklumat mengenai keadaan pekerja migran Nepal di Malaysia. SUHAKAM turut menjalankan siasatan kes-kes yang melibatkan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja migran, termasuk kes kematian pekerja migran Nepal.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 400,000 pekerja Nepal di Malaysia. Dari tahun 2021 hingga Ogos 2026, SUHAKAM telah menerima sejumlah 46 aduan yang melibatkan pekerja Nepal. Antara dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang diterima termasuk pasport ditahan oleh majikan, bekerja selama 12 jam sehari dan 30 hari berturut-turut tanpa hari rehat, gaji tidak dibayar atau lewat dibayar, waktu bekerja yang berlebihan tanpa bayaran kerja lebih masa, keadaan tempat kerja yang tidak selamat serta perlindungan yang tidak mencukupi.

Pembaharuan MoU ini menegaskan komitmen SUHAKAM dan NHRCN untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam menyiasat kes-kes yang melibatkan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja migran, memantau keadaan di pusat tahanan serta pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan pekerja migran, menangani kadar kematian yang tinggi, menjalankan advokasi dasar berhubung yuran pengambilan pekerja dan risiko buruh paksa, mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meningkatkan akses pekerja migran Nepal di Malaysia kepada skim perlindungan keselamatan sosial, serta memperkukuh advokasi mengenai kesaksamaan gender dalam tindakan bersama kedua-dua Suruhanjaya, khususnya dengan mengambil kira hak pekerja migran wanita yang berada dalam pekerjaan tidak menentu dan sektor tidak formal. Kerjasama ini turut merangkumi semakan dasar daripada perspektif hak asasi manusia bagi mengemukakan syor kepada kedua-dua Kerajaan untuk meningkatkan akses kepada keadilan bagi pekerja migran dari negara masing-masing, pelaksanaan program pembangunan kapasiti bagi sektor keselamatan Nepal, serta bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.

Bersempena dengan Majlis Menandatangani MoU ini, NHRCN turut mengadakan lawatan kerja yang merangkumi pertemuan dan sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. NHRCN telah mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur dan Persatuan Rakyat Nepal Bukan Pemastautin (Non-Resident Nepali Association - NRNA) Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi dan perkembangan semasa pekerja Nepal di Malaysia. Selain itu, SUHAKAM telah memudah cara pertemuan dengan Jabatan Penjara Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan komitmen di bawah MoU tersebut.

Kedua-dua Suruhanjaya menggalakkan pekerja migran Nepal di Malaysia yang pernah mengalami atau menyaksikan kemungkinan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia untuk mengemukakan aduan kepada SUHAKAM dengan mengimbas kod QR ini. Setiap aduan yang dikemukakan akan dikendalikan selaras dengan tatacara pengendalian aduan dan prinsip kerahsiaan SUHAKAM

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN)
23 September 2026

E1

Kenyataan Media No. 59-2026_Kesamarataan Undang-Undang Harus Dijunjung dalam Sistem Keadilan Negara

KUALA LUMPUR (21 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius berhubung keputusan yang membenarkan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak, menjalani baki hukuman beliau di bawah tahanan rumah. Meskipun SUHAKAM menghormati sepenuhnya prerogatif perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, keputusan ini menimbulkan persoalan penting berhubung kesamarataan di sisi undang-undang, sistem keadilan serta keyakinan awam terhadap komitmen Malaysia dalam menegakkan akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta hak setiap individu untuk mendapat perlindungan yang sama rata. Prinsip ini perlu kekal sebagai teras sistem keadilan jenayah. Sekiranya seseorang yang telah disabitkan kesalahan dibenarkan menjalani hukuman penjara dalam keadaan yang berbeza secara ketara daripada banduan lain, perkara itu hendaklah berasaskan peruntukan undang-undang yang jelas, kriteria yang telus dan objektif, serta mekanisme bagi memastikan tiada layanan istimewa atau tidak setara diberikan. Sebarang persepsi bahawa status, kedudukan atau pengaruh boleh membuka ruang kepada layanan yang berbeza dan lebih menguntungkan berisiko menjejaskan keyakinan terhadap sistem keadilan yang saksama.

SUHAKAM memandang serius persoalan mengenai kerangka perundangan yang menjadi asas kepada pelaksanaan tahanan rumah ini. Pada Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, YA Puan Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa perintah tahanan rumah tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang yang menyediakan mekanisme sedemikian di Malaysia. Mahkamah turut menolak hujah bahawa pembebasan secara lesen di bawah seksyen 43 Akta Penjara 1995 boleh disamakan dengan tahanan rumah. Sehubungan itu, persoalan penting timbul mengenai asas perundangan bagi pelaksanaan tahanan rumah, termasuk dari segi penguatkuasaan, pemantauan dan akauntabiliti. Langkah pentadbiran atau aturan sementara (adhoc) tidak seharusnya dijadikan pengganti kepada kerangka perundangan yang jelas.

Keputusan terbaharu ini juga perlu dilihat dalam konteks pengurangan hukuman yang telah diberikan melalui proses pengampunan pada tahun 2024. Dalam kes SRC International, hukuman asal penjara selama 12 tahun terhadap Dato’ Sri Najib telah dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Membenarkan baki hukuman penjara yang telah dikurangkan itu dijalani di rumah merupakan satu lagi kelonggaran yang signifikan. Pada masa yang sama, keseriusan kesalahan yang telah dilakukan tidak boleh diketepikan. Dalam kes SRC International, Dato’ Sri Najib telah disabitkan atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta. Sabitan dan hukuman tersebut kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Kesalahan-kesalahan ini merupakan kesalahan serius yang melibatkan dana awam serta penyalahgunaan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pemegang jawatan politik tertinggi negara.

Kebimbangan dari sudut kepentingan awam menjadi lebih ketara berikutan sabitan Dato’ Sri Najib dalam kes 1MDB atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM2.3 bilion. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion terhadap beliau. SUHAKAM mengakui bahawa sabitan tersebut masih tertakluk kepada proses rayuan dan sewajarnya ditangani mengikut lunas undang-undang sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan. SUHAKAM juga mengambil maklum bahawa setakat ini, tiada pengakuan awam yang jelas terhadap kesalahan atau penerimaan tanggungjawab berhubung kesalahan dalam kes SRC International, walaupun sabitan tersebut telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan. Dalam mempertimbangkan soal pengampunan, aspek akauntabiliti dan kesediaan untuk mengakui serta bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan wajar diberi perhatian, khususnya apabila melibatkan kesalahan rasuah yang serius dan penyalahgunaan jawatan awam.

Keputusan ini menimbulkan kebimbangan yang melangkaui kepentingan seorang individu. Ia berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan usaha Malaysia memerangi rasuah, khususnya jika timbul persepsi bahawa mereka yang pernah memegang jawatan atau kedudukan berkuasa menerima layanan yang berbeza dalam soal pertanggungjawaban terhadap kesalahan rasuah yang serius. Persepsi sedemikian boleh menjejaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang serta integriti sistem keadilan.

Kedaulatan undang-undang hanya benar-benar bermakna apabila dilaksanakan secara adil dan konsisten terhadap semua, termasuk mereka yang pernah memegang jawatan tertinggi negara. Oleh itu, sebarang pelaksanaan hukuman penjara yang menyimpang daripada amalan biasa mestilah berlandaskan asas undang-undang yang jelas serta dapat dipertanggungjawabkan secara telus dan objektif. Kesamarataan di sisi undang-undang tidak boleh sekadar menjadi jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi mesti diterjemahkan secara nyata dan konsisten dalam pentadbiran keadilan, tanpa mengira status, kedudukan atau pengaruh seseorang.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
21 September 2026