Kenyataan Media No. 19_SUHAKAM Seru Nilai Semula Undang-Undang Susulan Penahanan Pengguna Media Sosial

KUALA LUMPUR (17 APRIL 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan berhubung penangkapan dan perintah reman terhadap seorang pengguna TikTok, yang didakwa memuat naik sebuah video yang mengandungi kenyataan terhadap Perdana Menteri Malaysia.

SUHAKAM menegaskan bahawa kebebasan bersuara adalah kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ia amat penting dalam membina sebuah masyarakat demokratik. Hak ini merangkumi kebebasan untuk menyuarakan perbezaan pandangan, kritikan, serta pendapat mengenai perkara berkepentingan awam, termasuk yang melibatkan pegawai awam dan kepimpinan Kerajaan.

Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan bahawa penangkapan dan penahanan reman terhadap seseorang individu bagi menyuarakan pandangan, yang tidak melibatkan keganasan adalah suatu langkah yang tidak wajar dan salah di sisi undang-undang. Penggunaan sekatan jenayah dalam keadaan sedemikian menimbulkan kebimbangan serius mengenai kawalan ruang sivik serta berisiko mewujudkan kesan yang menakutkan terhadap pelaksanaan kebebasan bersuara di Malaysia.

SUHAKAM khuatir terhadap penggunaan berterusan peruntukan yang tidak jelas di bawah undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233) serta Akta Hasutan 1948. Peruntukan ini telah lama dikritik kerana skopnya yang terlalu umum dan cenderung untuk tafsiran yang tidak konsisten, sehingga boleh mengakibatkan sekatan tidak wajar, termasuk kritikan terhadap penjawat awam.

Meskipun SUHAKAM mengiktiraf bahawa kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada sekatan tertentu, piawaian hak asasi manusia antarabangsa jelas menetapkan bahawa sekatan tersebut mesti memenuhi syarat yang ketat, iaitu dari segi kesahan undang-undang, keperluan, dan perlu berkadaran. Ini bermaksud, sekatan hanya boleh dibuat untuk tujuan yang sah dan merupakan langkah paling minimum. Penangkapan dan penahanan sepatutnya menjadi langkah terakhir, bukannya tindakan utama terhadap kesalahan berkaitan menyuarakan pandangan.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk:

  1. Segera menilai semula keperluan langkah penahanan dalam kes ini dan kes-kes serupa yang melibatkan aktiviti menyuarakan pandangan tanpa keganasan;
  2. Lebih teliti dalam penggunaan undang-undang jenayah terhadap individu yang menyuarakan pandangan secara dalam talian;
  3. Melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan, dengan tujuan menyelaraskannya dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa berkaitan kebebasan bersuara;
  4. Memastikan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan pematuhan penuh terhadap jaminan proses yang adil, termasuk ketelusan, akauntabiliti, dan akses kepada wakil guaman.

SUHAKAM turut menegaskan bahawa pegawai awam perlu bersedia menerima kritikan yang membina. Penggunaan undang-undang jenayah untuk melindungi tokoh masyarakat daripada kritikan adalah tidak selaras dengan prinsip demokrasi dan menjejaskan keyakinan awam terhadap tadbir urus yang baik. Insiden ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menilai semula pendekatan Malaysia dalam mengawal selia ekspresi dalam talian berasaskan hak asasi, iaitu dengan melindungi individu daripada kemudaratan tanpa menyekat perbezaan pandangan mereka.

SUHAKAM kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi kebebasan bersuara dan menyeru semua pihak berkepentingan untuk menjunjung serta menghormati hak ini.

-Tamat-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
17 April 2026

Tags: No tags

Comments are closed.