Kenyataan Media No. 26-2026_Memperkukuh Perpaduan Nasional Melalui Kepimpinan Bertanggungjawab Dan Wacana Awam Yang Berhemah

KUALA LUMPUR (13 MAY 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menjunjung nilai saling menghormati, maruah, dan nilai keterangkuman dalam memelihara perpaduan nasional serta keharmonian sosial. Kepelbagaian kaum yang dimiliki Malaysia sejak sekian lama menjadi asas kekuatan negara. Masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama mencerminkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk jaminan kesaksamaan dan larangan diskriminasi di bawah Perkara 8 tanpa mengira agama, kaum, keturunan, atau latar belakang, serta perlindungan terhadap kebebasan bersuara dan maruah setiap insan. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, naratif awam semakin dicemari dengan permusuhan berasaskan kaum, retorik berunsur hasutan, dan naratif yang memecah belah masyarakat, khususnya di media sosial dan dalam ruang lingkup politik.

Dalam kita memperingati peristiwa tragis 13 Mei 1969, SUHAKAM menegaskan bahawa pengajaran daripada sejarah seharusnya membimbing negara ke arah kefahaman dan perpaduan yang lebih kukuh, bukannya ketakutan, perpecahan, atau manipulasi politik. Peristiwa ini tidak seharusnya digunakan untuk membenarkan sikap tidak bertoleransi, menutup ruang perbincangan yang sah, atau menyemarakkan kebencian kaum.

Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta diiktiraf dalam piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Namun, hak ini turut datang bersama tanggungjawab. Sebarang bentuk ucapan atau ekspresi yang menghasut diskriminasi, permusuhan, atau keganasan terhadap individu atau kumpulan berdasarkan kaum, agama, etnik, atau ciri-ciri lain yang dilindungi akan menjejaskan keharmonian sosial dan mengancam nilai demokrasi.

SUHAKAM menekankan bahawa usaha menangani ucapan kebencian dan perkauman harus berteraskan prinsip hak asasi manusia, termasuk aspek perundangan, keperluan, kesepadanan, dan akauntabiliti. Dalam mengambil tindakan undang-undang, pihak berkuasa perlu membezakan secara jelas antara kritikan yang sah, perbahasan awam, dan advokasi di satu pihak, dengan hasutan sebenar kepada keganasan atau diskriminasi di pihak yang lain.

SUHAKAM menegaskan bahawa wakil rakyat dan pemimpin politik turut memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk menunjukkan teladan yang baik. Sebagai pemimpin yang diberikan kepercayaan oleh rakyat, Ahli-ahli Parlimen seharusnya memupuk penglibatan yang berhemah, menolak provokasi berasaskan kaum atau agama, serta mengelakkan kenyataan yang boleh menyemai rasa tidak percaya dan perpecahan dalam masyarakat. Perbezaan politik tidak seharusnya mengorbankan perpaduan nasional atau maruah insan. Institusi awam, parti politik, pertubuhan masyarakat sivil, pengamal media, pendidik, dan pemimpin masyarakat turut memikul tanggungjawab bersama untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan dialog yang konstruktif, empati, dan persefahaman antara komuniti. Perpaduan nasional tidak boleh dicapai hanya melalui slogan atau langkah penguatkuasaan semata-mata, tetapi memerlukan komitmen berterusan terhadap keadilan, kesaksamaan, dan penghormatan terhadap kepelbagaian.

SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk memperkukuh pendidikan hak asasi manusia, inisiatif dialog antara budaya, serta program kesedaran awam yang bertujuan membanteras perkauman, xenophobia dan prejudis dalam apa jua bentuk. Pembinaan sebuah masyarakat yang inklusif memerlukan usaha jangka panjang bagi menangani maklumat palsu, stereotaip, dan naratif berasaskan kebencian sebelum ia berkembang menjadi diskriminasi atau keganasan. Perpaduan nasional harus dibina atas pengiktirafan bahawa setiap individu, tanpa mengira kaum, agama, etnik, atau latar belakang, berhak mendapat maruah, perlindungan, dan penghormatan yang sama rata.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
13 Mei 2026

Tags: No tags

Comments are closed.