E1

Kenyataan Media No. 45-2026_SUHAKAM Gesa Perlindungan Segera Terhadap Hak Tanah Adat Orang Asli di Maran

KUALA LUMPUR (29 JULAI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan berhubung pertikaian tanah yang sedang berlaku melibatkan komuniti Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang. SUHAKAM mengambil maklum bahawa Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa dalam pentadbiran tanah namun menegaskan bahawa kuasa tersebut harus dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta obligasi hak asasi manusia Malaysia.

Tanah adat Orang Asli bukan sekadar aset ekonomi, malah berkait rapatdengan identiti, budaya, kerohanian, pengetahuan tradisional dan kelangsungan hidup mereka sebagai Masyarakat Orang Asli Kehilangan tanah adat bukan sahaja menjejaskan sumber kehidupan, bahkan turut mengancam kesinambungan warisan budaya dan cara hidup mereka. SUHAKAM secara konsisten menegaskan bahawa haktanah adat Orang Asli wajar diiktiraf secara bermakna dan dilindungi dengan berkesan. Prinsip undang-undang sedia ada turut mengiktiraf bahawa hak adat yang terhasil daripada pendudukan dan penggunaan tanah warisan secara turun-temurun wajar diberikan perlindungan. Sehubungan itu, Akta Orang Asli 1954 hendaklah dilaksanakan selaras dengan tujuan perlindungannya bagi menjamin hak serta kebajikan komuniti Orang Asli.

SUHAKAM turut menegaskan bahawa pembangunan tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan hak asasi Masyarakat Orang Asli. Pembangunan ekonomi dan pelaburan hendaklah dilaksanakan dengan menghormati hak asasi manusia, melindungi hak tanah adat serta memastikan tiada mana-mana komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan. Prinsip ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) Malaysia yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri bersama kementerian berkaitan, yang mengiktiraf penghormatan terhadap hak Masyarakat Orang Asli dan perlindungan alam sekitar sebagai komponen penting dalam amalan perniagaan yang bertanggungjawab. Kepentingan ekonomi tidak seharusnya mengatasi hak Orang Asli serta perlindungan terhadap tanah adat mereka.

Selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenaiHak Masyarakat Orang Asal/Asli (UNDRIP), sebarang keputusan yang melibatkan tanah, wilayah dan sumber Masyarakat Orang Asal/Asli hanya boleh diteruskan selepas rundingan yang bermakna diadakan serta memperoleh Persetujuan Bebas, Awal dan Dimaklumkan (FPIC) daripada mereka. Rundingan yang hanya dijalankan selepas sesuatu keputusan telah dibuat tidak memenuhi prinsip penyertaan yang bermakna serta tidak menghormati hak mereka.

SUHAKAM amat bimbang bahawa tindakan penguatkuasaan jenayah dalam konteks pertikaian tanah adat yang masih belum diselesaikan berisiko meningkatkan ketegangan serta menjejaskan keyakinan awam terhadap usaha mencapai penyelesaian yang adil. Sekiranya terdapat tuntutan yang sah dan masih belum diselesaikan berhubung tanah adat, keutamaan hendaklah diberikan kepada dialog, mediasi dan proses perundangan yang adil, berbanding tindakan penguatkuasaan yang berpotensi untuk terus meminggirkan komuniti Orang Asli.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan Negeri Pahang untuk:

  1. mengadakan sesi libat urus yang bermakna dengan segera bersama komuniti Orang Asli yang terjejas serta semua pihak berkepentingan berkaitan;
  2. menangguhkan sebarang aktiviti yang boleh memberi kesan kekal terhadap tanah adat yang dipertikaikan sehingga tuntutan tersebut diselesaikan melalui proses yang bebas dan adil;
  3. memastikan setiap pembangunan pada masa hadapan yang melibatkan tanah adat Orang Asli dilaksanakan selaras dengan prinsip FPIC; dan
  4. memperkukuh mekanisme bagi mengiktiraf, melindungi serta mewartakan tanah adat Orang Asli selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip perundangan domestik dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

SUHAKAM turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan reformasi undang-undang dan dasar secara menyeluruh berkaitan hak tanah Orang Asli. Pertikaian yang berulang kali berlaku menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan satu kerangka nasional yang komprehensif mengikut lunas undang-undang, di samping memastikan penghormatan terhadap hak, maruah dan hak menentukan nasib sendiri Masyarakat Orang Asli.

Penghormatan terhadap hak Masyarakat Orang Asli bukanlah penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, ia merupakan asas kepada pembangunan yang mampan, inklusif dan saksama. Kemajuan Malaysia tidak seharusnya dicapai dengan merampas tanah yang telah menjadi sumber kehidupan komuniti Orang Asal sejak turun-temurun. SUHAKAM akan terus memainkan peranan dalam memudah cara dialog yang konstruktif bersama semua pihak serta memperjuangkan penyelesaian yang menghormati keadilan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
29 Julai 2026

Template PS 2025 (3)

Kenyataan Media No. 44-2026_SUHAKAM Suarakan Kebimbangan Terhadap Keputusan Mahkamah Rayuan Berhubung Kewarganegaraan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (25 JULY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengambil maklum namun bimbang terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar perkahwinan kepada bapa warganegara Malaysia dan ibu bukan warganegara, tidak berhak memperolehi kewarganegaraan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

SUHAKAM menghormati sepenuhnya kebebasan badan kehakiman serta mengiktiraf bahawa Mahkamah bertanggungjawab mentafsir dan menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan pada masa ini. Namun demikian, keputusan tersebut menyerlahkan jurang yang masih wujud dalam kerangka kewarganegaraan negara yang berpotensi menyebabkan sebahagian kanak-kanak berisiko tidak mempunyai kewarganegaraan serta berdepan proses ketidaktentuan undang-undang yang berpanjangan.

Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk memperolehi kewarganegaraan. Perkara 7 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang telah diratifikasi oleh Malaysia sejak tahun 1995, memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak berhak didaftarkan sejurus selepas kelahiran serta memperoleh kewarganegaraan. Negara-negara pihak hendaklah melaksanakan hak-hak tersebut, khususnya dalam keadaan di mana seseorang kanak-kanak berisiko menjadi tanpa kewarganegaraan. Sewaktu Pemerhatian Penutup dijalankan pada Februari 2026, Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB menggesa Malaysia memperkukuh kerangka perundangannya bagi memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada kewarganegaraan tanpa diskriminasi, dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah dan mengurangkan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan. Jawatankuasa turut menegaskan bahawa prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak tanpa diskriminasi seharusnya menjadi pertimbangan utama dalam semua keputusan yang melibatkan hak kewarganegaraan kanak-kanak.

SUHAKAM menegaskan bahawa tiada kanak-kanak patut dinafikan hak dan dipinggirkan hak kewarganegaraan hanya disebabkan oleh status perkahwinan ibu bapanya atau nasib kelahiran yang di luar kawalan mereka. Setiap kanak-kanak berhak mendapat perlindungan yang sama rata serta layanan tanpa diskriminasi di sisi undang-undang, tanpa mengira status perkahwinan ibu bapanya. Identiti di sisi undang-undang dan masa depan seseorang kanak-kanak tidak seharusnya bergantung kepada keputusan atau keadaan yang bukan berpunca daripada dirinya. Kewarganegaraan bukan sekadar suatu status perundangan, malah merupakan akses kepada pelbagai hak asasi termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan serta penyertaan penuh dalam masyarakat.

Sehubungan itu, SUHAKAM mengulangi pendiriannya agar undang-undang dan dasar berkaitan kewarganegaraan di Malaysia terus diperkasa dan diperbaharui secara progresif selaras dengan prinsip kesaksamaan, tanpa diskriminasi serta kepentingan terbaik kanak-kanak. Walaupun pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan ibu warganegara Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara merupakan satu pencapaian penting, pembaharuan lanjut masih diperlukan bagi memastikan tiada kanak-kanak dinafikan akses kepada kewarganegaraan akibat halangan perundangan atau pentadbiran.

Sehingga reformasi menyeluruh dilaksanakan, SUHAKAM menyeru Kerajaan agar terus memanfaatkan mekanisme di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan kanak-kanak daripada menjadi tanpa kewarganegaraan. Budi bicara di bawah peruntukan ini hendaklah dilaksanakan berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.

SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh kerangka kewarganegaraan yang melindungi hak kanak-kanak, selaras dengan kewajipan Malaysia di bawah CRC.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

25 July 2026

E1

Kenyataan Media No. 43-2026_SUHAKAM Gesa Jaminan Penyertaan Penuh dan Bermakna Semua Warganegara Dalam Proses Pilihan Raya

KUALA LUMPUR (23 JULAI 2026) - Hak untuk menyertai kehidupan politik, termasuk hak untuk mengundi dan dipilih sebagai wakil rakyat, merupakan hak asasi setiap warganegara tanpa diskriminasi. Berdasarkan statistik Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang dikongsikan kepada SUHAKAM pada 2 Mei 2026, di Negeri Sembilan sahaja, seramai 28,976 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar yang layak untuk mengundi. Jumlah ini tidak termasuk individu yang mengalami ketidakupayaan sementara yang disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya seperti kemalangan dan penyakit. Data ini menunjukkan kepentingan untuk memastikan sistem pilihan raya benar-benar inklusif dan mampu menjamin penyertaan penuh, berkesan dan bermakna bagi semua pengundi tanpa mengira jenis ketidakupayaan.

Akses kepada penyertaan politik adalah hak asasi yang terpakai kepada semua warganegara tanpa diskriminasi. Ianya merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) serta Artikel 29 Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Walau bagaimanapun, berdasarkan dapatan kajian SUHAKAM, penyertaan OKU secara inklusif masih tidak tercapai oleh pelbagai faktor berstruktur, sebelum, semasa dan selepas proses pilihan raya. Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti-parti politik, calon pilihan raya serta agensi berkaitan untuk menjamin hak tersebut dengan mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Menjamin akses fizikal kepada proses pilihan raya
    • Memastikan semua pusat mengundi memenuhi prinsip reka bentuk sejagat (universal design), termasuk penyediaan ramp, laluan OKU, tempat letak kenderaan khas, tandas OKU dan saluran mengundi yang mudah diakses.
    • Menyediakan bantuan mobiliti dan pengangkutan yang bersesuaian bagi pengundi OKU yang memerlukan.
  2. Menyediakan maklumat pilihan raya yang boleh diakses oleh semua
    • Menyediakan manifesto dalam format yang mudah dibaca, tulisan Braille, cetakan besar dan format digital yang serasi dengan pembaca skrin.
    • Memastikan laman sesawang, bahan kempen dan manifesto mematuhi piawaian aksesibiliti digital.
    • Menyediakan sari kata, kapsyen serta Jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam semua ceramah, debat dan kempen pilihan raya.
  3. Memperkukuhkan prosedur pengundian yang mesra OKU
    • Menyediakan maklumat yang jelas mengenai hak pengundi OKU, termasuk penggunaan pengiring dan bantuan munasabah semasa proses pengundian.
    • Memastikan petugas pilihan raya diberi latihan berkaitan hak OKU, komunikasi inklusif dan penyediaan bantuan munasabah, termasuk galakan mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia.
    • Menjamin kerahsiaan undi dan autonomi pengundi OKU sepanjang proses pengundian.
  4. Memperluaskan pendidikan sivik yang inklusif
    • Meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyertaan politik dalam kalangan OKU, penjaga dan masyarakat.
    • Menyediakan maklumat pilihan raya dalam bahasa yang mudah difahami serta format yang memenuhi keperluan semua kategori OKU.
  5. Menggalakkan penyertaan OKU sebagai calon pilihan raya
    • Parti-parti politik digalakkan menyediakan peluang, sokongan dan ruang kepimpinan kepada calon OKU.
    • Menilai semula halangan undang-undang, kewangan dan sosial yang mengehadkan penyertaan OKU sebagai calon pilihan raya.

SUHAKAM menegaskan bahawa demokrasi yang inklusif bukan sekadar memastikan semua rakyat boleh membuang undi, tetapi juga memastikan setiap warganegara mempunyai akses yang sama kepada maklumat, kempen politik, proses pengundian dan peluang untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Malaysia tidak boleh mencapai sistem demokrasi yang benar-benar adil sekiranya masih terdapat mana-mana warganegara yang menghadapi kesukaran atau terhalang daripada melaksanakan hak politik mereka hanya kerana ketidakupayaan. Penyertaan penuh dan berkesan OKU dalam kehidupan politik merupakan sebahagian daripada komitmen negara terhadap hak asasi manusia dan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) .

Bersempena dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan yang akan datang, SUHAKAM menggalakkan OKU, ahli keluarga, penjaga, organisasi yang mewakili golongan OKU, pemerhati pilihan raya serta orang awam untuk SEGERA memaklumkan sebarang halangan yang dihadapi sepanjang proses pilihan raya berlangsung melalui saluran emel: PWDcommittee@suhakam.org.my. PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan sekali lagi membuka peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memenuhi tanggungjawab dalam memastikan inklusiviti bermakna dalam proses pilihan raya termasuklah kepada golongan OKU.

Apabila membicarakan isu ini, SUHAKAM sering menerima pertanyaan berkaitan jumlah sebenar OKU yang tidak dapat mengundi. SUHAKAM berpandangan bahawa meskipun hanya seorang sahaja yang dinafikan hak penyertaan politik, maka itu bermakna proses pilihanraya tersebut masih belum inklusif selaras dengan konsep "Tiada Siapa Yang Tertinggal" (Leave No One Behind).

Sehubungan itu, SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama dengan SPR, agensi kerajaan, parti politik, organisasi yang mewakili OKU serta masyarakat sivil dalam memperkukuh sistem pilihan raya yang lebih inklusif, mudah diakses dan menghormati hak setiap warganegara Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
23 Julai 2026

job vacancy 1

IKLAN TAWARAN SEBUT HARGA PENERBITAN DAN PENGHASILAN VIDEO PENDEK ANAK JEL

Tawaran adalah dipelawa daripada syarikat-syarikat tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (Kod Bidang Berkaitan) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menyertai sebut harga berikut :
NO. SEBUT HARGA : SHM.001/1/18 Jld. 5 (7)
TAJUK SEBUT HARGA : PENERBITAN VIDEO PENDEK DOKUMENTARI DAN PEMBANGUNAN KEMPEN ANAK JEL
TARIKH IKLAN : 21 Julai 2026
TARIKH KEMUKAKAN KERTAS KERJA DAN HASIL PENERBITAN VIDEO – KERJA LEPAS : 3 Ogos 2026 (sebelum 12.00 tengah hari)

Syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :
a) En. Mohamad Azizi Bin Azmi (azizi@suhakam.org.my) 03-2612 5690 – Pengurusan & Kewangan
b) En. Ahmad Firdaus Bin Abd. Shukor (firdaus@suhakam.org.my) 03-2612 5650 – Pengurusan & Kewangan
c) Pn. Munawiza Juliana Binti Mohd Jasin (munawizajuliana@suhakam.org.my) 03-2612 5666 – Pegawai Penyelaras Projek

Maklumat lanjut:

2

Kenyataan Media No. 42-2026_SUHAKAM Mengalu-Alukan Perbahasan Laporan Tahunan 2024 Di Parlimen Dan Menyeru Tindakan Susulan Yang Konkrit

KUALA LUMPUR (9 JULY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengalu-alukan pembentangan dan perbahasan Laporan Tahunan 2024 di Dewan Rakyat pada 7 dan 8 Julai 2026 yang melibatkan penyertaan seramai 36 Ahli Parlimen yang membahaskan pelbagai isu hak asasi manusia yang memberi kesan kepada negara. Perbahasan ini mencerminkan komitmen berterusan Parlimen untuk memastikan hak asasi manusia terus menjadi komponen penting dalam tadbir urus negara dan kebertanggungjawaban demokrasi. SUHAKAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), atas usul membentangkan dan membahaskan Laporan Tahunan tersebut, sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan dalam memajukan, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta kepentingan awam. SUHAKAM turut merakamkan penghargaan khas kepada YB Tuan M. Kulasegaran A/L V. Murugeson, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), atas penggulungan perbahasan serta komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh agenda hak asasi manusia demi manfaat seluruh rakyat Malaysia. 

SUHAKAM records its sincere appreciation to YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Minister in the Prime Minister’s Department (Law and Institutional Reform), for moving the motion to table and debate the Annual Report, reaffirming the Government’s commitment to advancing, protecting and fulfilling human rights in accordance with the Federal Constitution, the rule of law and the public interest. SUHAKAM also expresses its special gratitude to YB Tuan M. Kulasegaran A/L V. Murugeson, Deputy Minister in the Prime Minister’s Department (Law and Institutional Reform), for concluding the debate and for his unwavering dedication to advancing the human rights agenda for the benefit of all Malaysians.

Sepanjang perbahasan selama dua hari tersebut, Ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak Dewan telah menunjukkan penglibatan yang amat memberangsangkan dengan membahaskan pelbagai isu hak asasi manusia serta reformasi institusi. Isu-isu utama yang dibangkitkan ialah:

  1. 1. Memperkukuh kuasa statutori SUHAKAM, termasuk meningkatkan fungsi penyiasatan dan pemantauan, memastikan maklum balas yang tepat pada masanya dan bersifat substantif terhadap syor-syor SUHAKAM oleh kementerian dan agensi, serta meningkatkan sokongan kewangan dan institusi bagi membolehkan Suruhanjaya melaksanakan mandatnya dengan lebih berkesan.
  2. 2. Melindungi hak kanak-kanak dan kumpulan rentan lain, termasuk wanita, warga emas, orang kurang upaya, Orang Asli dan masyarakat peribumi, serta pekerja migran, di samping memajukan reformasi sistem keadilan juvana dan memperkukuh perlindungan hak ekonomi, sosial dan budaya.
  3. 3. Menggubal kerangka perundangan dan dasar yang komprehensif berkaitan pelarian.
  4. 4. Memperkukuh pendidikan hak asasi manusia dan pembangunan kapasiti melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pendidikan Hak Asasi Manusia (ATHAM) 2.0, peluasan modul latihan hak asasi manusia serta pengintegrasian pendidikan hak asasi manusia dalam sistem pendidikan negara.
  5. 5. Memajukan reformasi penjara dan pusat tahanan, termasuk menambah baik keadaan tahanan, menangani isu kematian dalam tahanan, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, serta memperkukuh program pemulihan, parol dan reintegrasi.
  6. 6. Melindungi hak dan kebajikan pekerja gig, termasuk memastikan keadaan pekerjaan yang adil, keselamatan pekerjaan, perlindungan sosial, jaminan pendapatan serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan.
  7. 7. Menangani isu kewarganegaraan, dokumentasi dan akses kepada identiti sah, khususnya bagi individu yang berdepan halangan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri dan mengakses perkhidmatan awam yang penting.
  8. 8. Memperkukuh perlindungan hak asasi manusia dalam program pemulihan dan rawatan dadah dengan mengutamakan maruah insan, amalan berasaskan bukti serta penghormatan terhadap hak asasi manusia.
  9. 9. Menangani cabaran hak asasi manusia yang dihadapi oleh komuniti luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, termasuk memastikan akses yang saksama kepada infrastruktur, perkhidmatan asas dan peluang pembangunan mampan.
  1. 10. Memperkukuh penyelarasan antara agensi, kesepaduan dasar serta kerjasama seluruh kerajaan dalam memajukan dan melindungi hak asasi manusia.
  2. 11. Menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara Parlimen, Kerajaan dan institusi bebas bagi memastikan komitmen serta syor berkaitan hak asasi manusia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

SUHAKAM mengalu-alukan perbahasan yang bersifat membina dan substantif ini, yang mencerminkan pengiktirafan semakin meluas bahawa isu hak asasi manusia merentasi semua sektor dan memerlukan tindakan yang selaras daripada Kerajaan, Parlimen serta semua pihak berkepentingan. SUHAKAM menegaskan bahawa Laporan Tahunan merupakan satu mekanisme kebertanggungjawaban yang penting bagi menilai situasi hak asasi manusia di negara ini, mengenal pasti cabaran sistemik serta mengemukakan syor-syor praktikal untuk memperkukuh perlindungan dan pemajuan hak asasi manusia. Laporan Tahunan 2024 ini memberi tumpuan kepada sebelas bidang utama, iaitu:

  1. a) Reformasi institusi dan pemerkasaan perlindungan hak asasi manusia.
  2. b) Hak kanak-kanak dan kumpulan rentan.
  3. c) Kewarganegaraan dan isu tanpa kerakyatan. .
  4. d) Pelarian dan migran.
  5. e) Kematian dalam tahanan dan keadaan pusat-pusat tahanan.
  6. f) Hak Orang Asli/Asal dan masyarakat peribumi serta tanah adat.
  7. g) Hak orang kurang upaya, hak wanita dan kesaksamaan gender.
  8. h) Pendidikan dan kesedaran hak asasi manusia.
  9. i) Reformasi perundangan dan dasar.
  10. j) Perniagaan dan hak asasi manusia.
  11. k) Penglibatan Malaysia dalam mekanisme hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

SUHAKAM menghargai maklum balas yang membina serta komitmen yang ditunjukkan oleh pelbagai kementerian dan agensi terhadap isu-isu hak asasi manusia yang mendesak. Sehubungan itu, SUHAKAM berharap agar segala keprihatinan, syor dan cadangan yang dibangkitkan sepanjang perbahasan Parlimen dapat diterjemahkan kepada dasar, reformasi perundangan dan langkah-langkah pentadbiran yang konkrit oleh kementerian dan agensi berkaitan. Pelaksanaan yang berkesan terhadap syor-syor tersebut akan terus memperkukuh institusi awam, meningkatkan akauntabiliti serta mempertingkatkan perlindungan hak dan maruah setiap individu di Malaysia. SUHAKAM kekal bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan dalam memantau kemajuan serta memperkukuh pendekatan berteraskan hak asasi manusia dalam tadbir urus negara

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

9 July 2026

E1

Kenyataan Media No. 41-2026_Persidangan Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026

KUALA LUMPUR (8 JULAI 2026) - Pada 4th Julai 2026, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Child Safeguarding Initiative (CSI) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) telah berjaya menganjurkan Persidangan Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026, yang menghimpunkan agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, institusi pendidikan, profesional kesihatan, agensi penguatkuasaan undang-undang, pengamal perlindungan kanak-kanak serta rakan strategik bagi memperkukuh usaha dalam melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.

Bertemakan "Membina Komuniti yang Melindungi", persidangan ini menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan bersepadu daripada keluarga, sekolah, komuniti, masyarakat sivil, sektor swasta dan kerajaan. Persidangan ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta meneroka penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak di Sabah.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Rina Jainal, Timbalan Menteri Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak melalui kerjasama rentas sektor, intervensi awal dan peningkatan kesedaran masyarakat. Beliau turut menekankan bahawa usaha perlindungan perlu diperkasakan di setiap lapisan masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong perkembangan mereka.

Persidangan dimulakan dengan ucaptama oleh Sam Gipson, Pengerusi Association of International Malaysian Schools dan Pengetua Kinabalu International School (KIS), serta Elsie Primus, Pendaftar Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak. Kedua-dua penceramah menekankan kepentingan intervensi awal, langkah pencegahan dan tanggungjawab bersama, sambil menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak bermula dalam institusi keluarga dan komuniti sebelum sesuatu kes sampai ke sistem keadilan.

Persidangan ini turut menampilkan tiga sesi dialog yang membincangkan isu-isu penting berkaitan perlindungan kanak-kanak:

i. Apa yang Diperuntukkan oleh Undang-undang dan Maksudnya dalam Melindungi Kanak-kanak

    Sesi ini meneliti kerangka perundangan dan dasar Malaysia berkaitan perlindungan kanak-kanak, di samping mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Perbincangan turut menyentuh isu-isu semasa dan berterusan yang memberi kesan kepada kanak-kanak, termasuk keselamatan dalam talian serta perlindungan kanak-kanak tanpa dokumen, tanpa kerakyatan dan Orang Asli serta masyarakat asal, sekali gus menekankan keperluan penyelarasan yang lebih kukuh dan pelaksanaan berasaskan hak asasi manusia.

    ii. Melindungi Kanak-kanak Bermula dengan Tindakan: Memahami Sistem Pelaporan di Sabah

      Sesi ini memberikan peserta pemahaman praktikal mengenai mekanisme perlindungan dan pelaporan kes kanak-kanak di Sabah. Wakil daripada Polis Diraja Malaysia (D11), Pasukan Hospital SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkongsi peranan masing-masing, penyelarasan antara agensi serta prosedur pelaporan, penyiasatan dan tindakan susulan bagi kes perlindungan kanak-kanak.

      iii. Melangkaui Dasar: Bagaimana Kita Boleh Memperkasa Advokasi Hak Kanak-kanak

        Perbincangan ini meneroka bagaimana advokasi yang berkesan dapat mempengaruhi reformasi dasar dan memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak. Ahli panel menekankan kepentingan tindakan kolektif melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti dan kanak-kanak sendiri, di samping berkongsi amalan terbaik dalam memperkukuh advokasi, kerjasama strategik serta pemerkasaan hak kanak-kanak.

        Sepanjang persidangan berlangsung, para peserta menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak yang berkesan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat melalui kerangka undang-undang dan dasar yang kukuh, mekanisme pelaporan serta tindak balas yang bersepadu, penyertaan bermakna kanak-kanak, dan kerjasama berterusan antara semua pihak. Persidangan ini turut mengiktiraf penubuhan Tribunal Antibuli sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh mekanisme akauntabiliti dan perlindungan bagi kanak-kanak serta golongan muda.  

        Dalam ucapan penutupnya, Datuk Mariati Robert, Naib Pengerusi SUHAKAM, menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak bukan sekadar pematuhan terhadap dasar dan undang-undang semata-mata, sebaliknya mencerminkan nilai sesebuah masyarakat dalam memastikan setiap kanak-kanak hidup dengan selamat, dihormati dan berpeluang mencapai potensi sepenuhnya. Beliau turut menekankan bahawa undang-undang yang kukuh, institusi yang berkesan dan penglibatan aktif masyarakat perlu bergerak secara bersepadu dengan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.

        Datuk Mariati turut menegaskan bahawa kanak-kanak perlu diiktiraf bukan sahaja sebagai penerima perlindungan, malah sebagai peserta aktif dalam setiap keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Beliau menyeru semua pihak berkepentingan agar memperkasa suara kanak-kanak serta memastikan pandangan mereka diberi pertimbangan yang sewajarnya selaras dengan prinsip-prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak.

        Melangkah ke hadapan, SUHAKAM mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah, pertubuhan masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan dalam merealisasikan objektif Dasar Kanak-kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030). SUHAKAM turut menyeru agar kerjasama berterusan diperkukuh bagi memastikan usaha perlindungan kanak-kanak bersifat inklusif, khususnya bagi kanak-kanak kurang upaya, kanak-kanak tanpa kerakyatan, kanak-kanak tanpa dokumen serta kanak-kanak Orang Asli dan masyarakat asal, supaya tiada seorang pun kanak-kanak tercicir. Kejayaan persidangan ini akhirnya bukan diukur melalui perbincangan yang berlangsung, tetapi melalui tindakan nyata yang diambil untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak serta meningkatkan keselamatan, maruah dan kesejahteraan setiap kanak-kanak.

        SUHAKAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Child Safeguarding Initiative (CSI), Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), para penceramah, ahli panel, moderator, sukarelawan, rakan organisasi serta semua peserta atas sumbangan dan komitmen mereka dalam menjayakan persidangan ini.

        Mari kita bersama kekal komited membina komuniti yang melindungi setiap kanak-kanak.

        -TAMAT-

        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
        8 Julai 2026

        1

        [OCC] Kenyataan Media No. 40-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Menzahirkan Kebimbangan Terhadap Insiden Tikaman Di Sekolah Dan Menyeru Perlindungan Privasi Kanak-Kanak

        KUALA LUMPUR (7 JULAI 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung insiden tikaman yang melibatkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor. Kami merakamkan simpati kepada kanak-kanak yang cedera dan mendoakan agar beliau segera sembuh sepenuhnya. Kami mengakui kesan emosi yang dialami oleh keluarga, warga sekolah serta semua kanak-kanak yang terjejas akibat insiden yang amat menyedihkan ini.

        CC menegaskan bahawa mangsa dan individu yang didakwa melakukan perbuatan tersebut adalah kanak-kanak. Sehubungan itu, mereka berhak mendapat perlindungan serta jaminan yang diperuntukkan di bawah undang-undang Malaysia dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah disertai Malaysia sejak tahun 1995. Memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis, adalah amat penting agar hak, maruah dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak yang terlibat dihormati sepenuhnya sepanjang proses perundangan.

        CC amat bimbang dengan penyebaran meluas gambar, video, maklumat peribadi serta dakwaan yang belum disahkan berkaitan kanak-kanak yang terlibat melalui media sosial dan platform pemesejan. Tindakan sedemikian boleh mengakibatkan kesan psikologi yang berpanjangan, mendedahkan kanak-kanak kepada stigma masyarakat, mengganggu siasatan yang sedang dijalankan serta menjejaskan proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat pada masa hadapan.

        Orang ramai, organisasi media serta semua pengguna platform dalam talian diingatkan bahawa Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melarang sebarang penerbitan atau penyebaran apa-apa maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding atau perkara yang dilindungi di bawah Akta tersebut. Larangan ini merangkumi nama, gambar, video, maklumat sekolah, maklumat keluarga, alamat atau apa-apa butiran lain yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak berkenaan. Mana-mana individu yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

        CC turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini, termasuk keadaan kesihatan, ketidakupayaan, kesihatan mental atau motif yang didakwa melibatkan kanak-kanak berkenaan. Spekulasi sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, berisiko menjejaskan siasatan yang sedang berjalan, serta boleh meningkatkan stereotaip dan diskriminasi yang memudaratkan.

        Laporan media baru-baru ini menunjukkan bahawa peguam yang mewakili suspek menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut merupakan seorang autistik.

        Sekiranya maklumat ini disahkan, CC menegaskan bahawa ketidakupayaan sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk stigma, memburukkan atau menghasut kebencian terhadap mana-mana kanak-kanak. Setiap kanak-kanak, termasuk kanak-kanak kurang upaya, berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang, penghormatan terhadap maruah, layanan tanpa diskriminasi serta akses kepada perkhidmatan sokongan yang bersesuaian.

        Insiden ini juga wajar dijadikan peringatan mengenai kepentingan untuk memperkukuh langkah-langkah pencegahan keganasan di sekolah melalui pengenalpastian awal faktor risiko, penyediaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial yang mudah diakses, mekanisme perlindungan kanak-kanak yang berkesan, kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan, serta intervensi yang tepat pada masanya bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko sebelum sesuatu krisis berlaku.

        CC akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti serta berinteraksi dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan semua kanak-kanak yang terlibat dilindungi selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Anti-Buli 2026, CRC serta undang-undang lain yang berkaitan.

        Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyeru setiap anggota masyarakat supaya bertindak secara bertanggungjawab dengan tidak berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang boleh mengenal pasti atau mengeksploitasi kanak-kanak. Melindungi kanak-kanak bukan sekadar memastikan keselamatan fizikal mereka, tetapi juga memerlukan perlindungan terhadap privasi, maruah dan masa depan mereka.

        -TAMAT-

        Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak
        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

        7 Julai 2026

        E1

        Kenyataan Media No. 39-2026_SUHAKAM Perkukuh Kerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi Memacu Hak Asasi Manusia dan Pembangunan Inklusif

        KUALA LUMPUR (2 JULAI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, di Pejabat Premier, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, Kuching. Pertemuan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara SUHAKAM dan Kerajaan Sarawak ke arah memperkasa promosi serta perlindungan hak asasi manusia melalui dialog yang konstruktif, libat urus dasar dan kerjasama strategik.

        Dalam kunjungan hormat tersebut, SUHAKAM merakamkan penghargaan kepada Premier atas sambutan mesra serta peluang yang diberikan untuk bertukar pandangan berkaitan isu hak asasi manusia, pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat Sarawak. SUHAKAM turut memuji komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mengintegrasikan prinsip hak asasi manusia ke dalam agenda pembangunannya, khususnya melalui dasar dan program yang memberi manfaat kepada kumpulan rentan, kurang bernasib baik dan terpinggir.

        SUHAKAM turut mengiktiraf inisiatif perlindungan sosial progresif Kerajaan Sarawak termasuk Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Kenyalang Gold Card (KGC), program bantuan perubatan bersasar, inisiatif pemerkasaan wanita, One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) bagi kanak-kanak dan orang kurang upaya, pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui SeDidik, serta Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak. Secara keseluruhan, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh ke arah keterangkuman sosial dan pembangunan saksama merentasi setiap peringkat kehidupan.

        SUHAKAM turut berkongsi mandatnya sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), serta menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan pendekatan berasaskan hak asasi manusia (rights-based approach) dalam tadbir urus, penggubalan dasar dan penyampaian perkhidmatan.

        SUHAKAM dan Kerajaan Sarawak mengiktiraf kepentingan penglibatan dan kerjasama berterusan dalam memajukan hak asasi manusia, khususnya melalui inisiatif yang menggalakkan kesaksamaan, keadilan sosial, kebolehcapaian serta perlindungan kumpulan rentan. Secara khusus, SUHAKAM Sarawak berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memperjuang dan melindungi hak serta kesejahteraan kanak-kanak melalui inisiatif bersama dalam bidang perlindungan kanak-kanak, penyertaan kanak-kanak, kesedaran awam, pembangunan kapasiti dan advokasi, selaras dengan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak.

        SUHAKAM berpendapat bahawa kerjasama erat antara Suruhanjaya dan Kerajaan Negeri adalah penting bagi memastikan pembangunan bukan sahaja mampan dari segi ekonomi, tetapi juga bersifat inklusif, saksama dan berpaksikan maruah insan. SUHAKAM menzahirkan harapan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa agenda hak asasi manusia serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan seluruh rakyat Sarawak.

        “Hak asasi manusia hanya bermakna apabila ia diterjemahkan kepada dasar dan program yang meningkatkan kehidupan harian rakyat. SUHAKAM menyambut baik keterbukaan Kerajaan Sarawak untuk meneruskan libat urus dan berharap dapat terus bekerjasama dalam memajukan agenda pembangunan yang berasaskan hak asasi manusia dan berpusatkan rakyat,” kata Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus.

        -TAMAT-

        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
        2 Julai 2026

        1

        Kenyataan Media No. 38-2026_SUHAKAM Gesa Reformasi Segera Terhadap Depot Tahanan Imigresen

        KUALA LUMPUR (1 JULY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengambil maklum pendedahan bahawa sebanyak 465 kematian telah direkodkan di depot tahanan imigresen antara tahun 2021 hingga 2025, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen. Angka ini menggariskan keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi menyeluruh bagi melindungi kehidupan, maruah dan kesihatan semua individu yang ditahan di depot tahanan imigresen.

        Setiap kematian dalam tahanan mesti diberi perhatian yang amat serius. Tanpa mengira status imigresen seseorang, setiap individu yang dilucutkan kebebasannya tetap berhak menikmati hak untuk hidup, hak kepada standard kesihatan tertinggi yang boleh dicapai, serta layanan yang berperikemanusiaan dan bermaruah.

        SUHAKAM secara konsisten menegaskan bahawa kematian dalam tahanan bukan sekadar isu operasi atau pentadbiran, sebaliknya merupakan isu hak asasi manusia yang serius yang menuntut ketelusan, kebertanggungjawaban dan reformasi sistemik yang bermakna. Melalui lawatan pemantauan ke depot tahanan imigresen serta penglibatan berterusan dengan pihak berkuasa berkaitan, Suruhanjaya telah berulang kali membangkitkan kebimbangan mengenai kesesakan, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi, kelewatan mendapatkan rujukan perubatan, tahap sanitasi yang lemah, pemakanan yang tidak mencukupi, tempoh tahanan yang berpanjangan, serta kesan buruk keadaan tersebut terhadap kesejahteraan fizikal dan mental tahanan. Kebimbangan yang telah lama dibangkitkan ini menyerlahkan keperluan kepada reformasi struktur yang berterusan bagi memastikan kemudahan tahanan imigresen mematuhi obligasi hak asasi manusia Malaysia.

        Sehubungan itu, SUHAKAM mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan agar Kerajaan:

        1. i. Memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan di semua depot tahanan imigresen dengan memastikan bilangan petugas perubatan yang berkelayakan adalah mencukupi, menjalankan saringan kesihatan secara berkala, menyediakan rujukan segera ke hospital, memastikan rawatan berterusan bagi penyakit kronik, serta menjamin akses yang mencukupi kepada ubat-ubatan penting;
        2. ii. Menambah baik keadaan tahanan dengan menangani isu kesesakan, sanitasi, pengudaraan, pemakanan serta akses kepada air bersih bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit dan mencegah kematian yang boleh dielakkan;
        3. iii. Memastikan setiap kematian dalam tahanan disiasat secara segera, bebas, telus dan berkesan, dengan dapatan siasatan didedahkan kepada umum apabila bersesuaian serta tindakan kebertanggungjawaban diambil sekiranya dikenal pasti berlaku kecuaian atau salah laku; dan
        4. iv. Memperkukuh pemantauan bebas terhadap kemudahan tahanan imigresen dengan memudah cara pelaksanaan pemantauan secara berkala oleh SUHAKAM dan badan-badan bebas lain yang berkaitan.

        Di samping menambah baik keadaan tahanan, penekanan yang lebih besar juga perlu diberikan kepada langkah-langkah pencegahan. Saringan kesihatan awal sebaik kemasukan ke depot tahanan, penilaian kesihatan secara berkala, pemantauan berterusan terhadap tahanan yang mempunyai penyakit sedia ada, rujukan tepat pada masanya untuk mendapatkan rawatan pakar, serta akses tanpa gangguan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting merupakan langkah-langkah kritikal bagi mencegah kematian yang boleh dielakkan dalam tahanan. Jumlah kematian yang dilaporkan seharusnya menjadi pemangkin kepada Kerajaan untuk melaksanakan semakan menyeluruh terhadap dasar dan amalan berkaitan tahanan imigresen, dengan memberikan penekanan yang sama terhadap kebertanggungjawaban bagi setiap kematian yang berlaku dan, yang lebih penting, usaha mencegah kematian pada masa hadapan melalui reformasi berasaskan hak asasi manusia yang berkesan.

        Oleh yang demikian, SUHAKAM menyeru Kerajaan agar mengambil tindakan segera dan konkrit untuk memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan, menambah baik keadaan tahanan, serta melaksanakan reformasi yang berasaskan hak asasi manusia bagi memastikan setiap individu yang ditahan di depot tahanan imigresen dilayan dengan penuh maruah dan bahawa kematian yang boleh dicegah tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

        -TAMAT-

        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

        1 July 2026

        E1

        Kenyataan Media No. 37-2026_SUHAKAM Gesa Langkah Lebih Tegas Menangani Kebencian Dalam Talian, Buli Siber dan Hasutan kepada Keganasan

        KUALA LUMPUR (25 JUN 2026) - Susulan peningkatan kes buli siber, ucapan kebencian, gangguan dalam talian serta kandungan digital berbahaya yang lain, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ingin mengingatkan orang ramai bahawa hak kepada kebebasan bersuara hadir bersama tanggungjawab dan kewajipan yang sewajarnya. Walaupun setiap individu berhak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka, kebebasan tersebut tidak boleh menjejaskan hak, maruah, keselamatan atau kesejahteraan pihak lain.

        SUHAKAM mengingatkan bahawa piawaian hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perkara 20(2) Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mengiktiraf bahawa kebebasan bersuara adalah hak asasi yang penting, namun ia turut disertai dengan tanggungjawab tertentu. Ungkapan atau kenyataan yang menghasut kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan, sama ada dalam talian mahupun luar talian, menjejaskan maruah manusia serta mengancam keharmonian sosial memerlukan langkah pengawalseliaan dan perundangan yang seimbang, selaras dengan prinsip hak asasi manusia.

        Penyebaran kandungan berunsur kebencian, ancaman, diskriminasi dan penderaan secara dalam talian yang semakin meningkat menimbulkan risiko serius kepada individu serta masyarakat secara keseluruhan. Selain menyebabkan kesan psikologi dan emosi kepada mangsa, tingkah laku sedemikian boleh menyemarakkan permusuhan, memburukkan perpecahan sosial, menormalisasikan prejudis serta menyumbang kepada peningkatan diskriminasi dan keganasan. Lebih membimbangkan ialah apabila perbincangan dalam talian bertukar menjadi satu bentuk ancaman, ugutan kepada keganasan atau hasutan yang menyasarkan individu dan komuniti berdasarkan identiti, status atau perbezaan tertentu.

        SUHAKAM mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk buli siber, ucapan kebencian, ancaman keganasan serta hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau kemudaratan. Apabila tingkah laku sedemikian dinormalisasikan dalam ruang digital, ia menjejaskan maruah manusia, perpaduan sosial serta keselamatan awam. Tiada mana-mana individu seharusnya menjadi mangsa intimidasi, gangguan atau penderaan disebabkan identiti, kepercayaan yang dianuti atau keadaan yang terpaksa mereka hadapi.

        Mereka yang menyalahgunakan media sosial dan platform digital untuk menyebarkan kebencian, mengganggu orang lain atau menggalakkan keganasan harus dipertanggungjawabkan atas tindakan itu. Kebebasan bersuara tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan tingkah laku yang mengancam hak dan keselamatan pihak lain. Sekiranya tindakan tersebut melanggar undang-undang, langkah penguatkuasaan yang sesuai dan seimbang hendaklah diambil bagi memastikan akauntabiliti serta mengelakkan pencabulan daripada berulang pada masa hadapan.

        Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk memperkukuh usaha menangani sebarang bahaya dalam talian melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang berkesan, peningkatan langkah keselamatan digital serta memperluas kesedaran awam mengenai tanggungjawab di ruang siber. Pada masa yang sama, platform media sosial, institusi pendidikan, organisasi masyarakat sivil dan orang ramai perlu memainkan peranan aktif dalam memupuk literasi digital, interaksi yang berhemah serta budaya empati dan saling menghormati.

        Ruang digital tidak seharusnya menjadi platform untuk menyebar kebencian, intimidasi atau budaya yang tidak bertanggungjawab. Sebaliknya, ia perlu kekal sebagai ruang di mana hak dilaksanakan secara bertanggungjawab dan wacana awam dipandu oleh prinsip maruah manusia, kesaksamaan, keterangkuman serta kedaulatan undang-undang. Dengan tanggungjawab dan akauntabiliti, kita dapat memastikan ruang dalam talian kekal selamat, saling menghormati dan kondusif kepada dialog yang membina untuk semua.

        -TAMAT-

        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
        25 Jun 2026