[OCC] Kenyataan Media No. 49-2026_OCC Gesa Langkah Perlindungan Kanak-Kanak Yang Lebih Kukuh Di Semua Institusi Pendidikan_amended

KUALA LUMPUR (14 Ogos 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), memandang serius kejadian melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang didakwa dibuli oleh pelajar lebih berusia di sebuah sekolah tahfiz di Kedah. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan kanak-kanak tersebut dilaporkan mengalami kecederaan fizikal dan trauma psikologi serta kini berasa takut untuk kembali ke sekolah.

Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk belajar dan membesar dalam persekitaran yang selamat, menyokong dan bermaruah, bebas daripada keganasan, penderaan, intimidasi dan buli. Perkara ini selaras dengan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang menghendaki kanak-kanak dilindungi daripada segala bentuk keganasan fizikal atau mental serta menegaskan bahawa kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka. Semua institusi pendidikan tidak kira sekolah kerajaan, sekolah tahfiz, sekolah agama termasuk semua institusi pendidikan swastamempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka

OCC menyeru setiap institusi pendidikan untuk mewujudkan dan melaksana mekanisme perlindungan kanak-kanak dan pencegahan buli yang komprehensif. Mekanisme ini hendaklah merangkumi prosedur yang jelas bagi mencegah, melapor, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap insiden, pengawasan yang mencukupi khususnya dalam persekitaran berasrama, saluran pelaporan yang sulit dan mesra kanak-kanak, pemakluman segera kepada ibu bapa atau penjaga, serta akses kepada rawatan perubatan, kaunseling dan sokongan psikososial yang tepat pada masanya. Guru, warden dan kakitangan lain hendaklah melalui proses saringan yang sewajarnya serta diberikan latihan dan pengetahuan yang mencukupi untuk mengenal pasti tanda-tanda buli, penderaan atau tekanan emosi dan mengambil tindakan tanpa kelewatan. Institusi juga hendaklah menyelenggara rekod yang sewajarnya berhubung insiden yang dilaporkan serta bekerjasama sepenuhnya dengan ibu bapa, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

Keselamatan kanak-kanak tidak boleh bergantung semata-mata kepada kanak-kanak untuk berani mendedahkan apa yang telah berlaku kepadanya. Institusi mesti mempunyai sistem yang proaktif untuk mengenal pasti risiko, mengesan tanda-tanda awal dan mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius. Sebarang tindakan susulan hendaklah mengutamakan kepentingan terbaik, keselamatan, pemulihan dan kelangsungan pendidikan kanak-kanak yang terjejas. Tiada kanak-kanak sepatutnya berdepan tindakan balas, stigma atau sebarang bentuk kerugian atau diskriminasi kerana melaporkan kejadian buli.

OCC turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga bahawa Akta Tribunal Antibuli 2026 telah mula berkuat kuasa pada 16 Jun 2026. Insiden yang berlaku pada atau selepas tarikh tersebut boleh dilaporkan melalui mekanisme yang diperuntukkan di bawah Akta berkenaan. Bagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), aduan boleh dikemukakan kepada pihak sekolah untuk tindakan melalui jawatankuasa antibuli di peringkat sekolah. Sekiranya sekolah atau institusi pendidikan berkenaan tidak berdaftar di bawah KPM, termasuk institusi swasta atau agama yang berkaitan, ibu bapa atau penjaga boleh mengemukakan aduan secara terus kepada Tribunal Antibuli.

Tribunal menyediakan mekanisme penyelesaian dan pemulihan yang berbeza daripada proses keadilan jenayah dan ia bergantung kepada keadaan sesuatu kes, Tribunal boleh memerintahkan bentuk remedi seperti permohonan maaf, kaunseling, pampasan atau pembayaran balik perbelanjaan munasabah yang timbul akibat insiden tersebut, termasuk kos perubatan. Sekiranya perlakuan yang didakwa berkemungkinan merupakan suatu kesalahan jenayah, khususnya apabila melibatkan serangan fizikal, kecederaan serius, ugutan atau risiko segera terhadap keselamatan kanak-kanak, laporan polis hendaklah turut dibuat. Penggunaan mekanisme Tribunal tidak menggantikan atau menghalang siasatan jenayah oleh pihak polis.

OCC menggesa Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan ibu bapa, penjaga, kanak-kanak dan institusi pendidikan menerima maklumat yang jelas dan mudah diakses mengenai saluran pelaporan yang tersedia. Tiada aduan seharusnya dilengahkan atau dibiarkan tanpa tindakan. Pihak berkuasa yang berkaitan hendaklah menjalankan siasatan yang segera dan menyeluruh terhadap kejadian yang dilaporkan serta memastikan kanak-kanak yang terjejas menerima perlindungan dan sokongan yang sewajarnya. Identiti dan privasi kanak-kanak hendaklah dilindungi sepanjang proses tersebut.

Insiden ini harus menjadi peringatan yang jelas kepada setiap institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan suatu kewajipan asas dan bukannya pilihan pentadbiran. OCC menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan standard perlindungan kanak-kanak dan pencegahan buli yang mengikat serta dikuatkuasakan secara konsisten terpakai di semua persekitaran pendidikan, termasuk institusi swasta dan agama. Tiada institusi seharusnya dibenarkan beroperasi tanpa sistem yang berkesan untuk melindungi keselamatan, kebajikan dan maruah setiap kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

14 August 2026

Tags: No tags

Comments are closed.