[OCC] Kenyataan Media No. 53-2026_Dapatan PISA 2025 Mengenai Buli: Keselamatan, Maruah dan Kesejahteraan Kanak-Kanak Mesti Diutamakan

KUALA LUMPUR (11 SEPTEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengambil serius dapatan mengenai buli dan buli siber yang terkandung dalam Laporan Awal Pencapaian Malaysia dalam PISA 2025 oleh Kementerian Pendidikan (KPM), serta kenyataan terkini Menteri Pendidikan berhubung dapatan tersebut.

Laporan tersebut merekodkan bahawa 27% pelajar di Malaysia melaporkan menjadi mangsa sekurang-kurangnya satu bentuk buli beberapa kali dalam sebulan atau lebih, berbanding 20% di negara-negara OECD. Laporan tersebut turut mendapati bahawa 44% melaporkan mereka diejek oleh pelajar lain, berbanding 35.1% di negara-negara OECD; 37.6% melaporkan bahawa pelajar lain menyebarkan khabar angin buruk mengenai mereka, berbanding 26.6%; dan 12.4% melaporkan bahawa mereka diugut oleh pelajar lain, berbanding 12%. Yang amat membimbangkan ialah penemuan berkaitan buli siber di mana ebanyak 5% pelajar di Malaysia melaporkan bahawa maklumat yang menyakitkan hati mengenai mereka telah dimuat naik dalam talian tanpa persetujuan mereka, berbanding 3% di negara-negara OECD.

Dapatan ini tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu disiplin atau pengurusan sekolah, tetapi juga sebagai isu perlindungan kanak-kanak, keselamatan, maruah dan kesejahteraan. Setiap kanak-kanak seharusnya dapat hadir ke sekolah dan belajar tanpa rasa takut, intimidasi, penghinaan, keganasan atau gangguan. Persekitaran pembelajaran yang selamat merupakan asas penting kepada keupayaan kanak-kanak untuk belajar, berkembang dan mengambil bahagian secara bermakna dalam pendidikan.

CC amat prihatin terhadap implikasi buli siber. Buli tidak lagi terhad kepada persekitaran fizikal sekolah. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan dalam kenyataan terkininya berhubung hasil PISA tersebut, teknologi boleh menyebabkan gangguan terus berlaku selepas kanak-kanak pulang ke rumah, termasuk melalui telefon, ruang sembang dan ruang digital lain. Menteri Pendidikan turut menekankan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pelajar mempunyai kaitan rapat dengan keupayaan mereka untuk belajar dan berkembang.

Menangani isu buli memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh sistem dan masyarakat. Tanggungjawab ini tidak boleh dipikul oleh KPM dan pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa dan penjaga mempunyai peranan penting dalam memberikan bimbingan, membentuk nilai dan memupuk tingkah laku positif di rumah. Masyarakat pula perlu memupuk budaya prihatin, empati dan tanggungjawab, dengan setiap anggota masyarakat menghayati semangat ‘jiwa pendidik’ - kesediaan untuk membimbing, mendidik dan melindungi kanak-kanak di mana sahaja berlakunya buli.

Semua agensi Kerajaan turut mempunyai peranan mengikut bidang kuasa masing-masing. Kes buli yang melibatkan kanak-kanak boleh melangkaui aspek pendidikan dan memerlukan tindak balas yang diselaraskan berkaitan perlindungan kanak-kanak, kesejahteraan mental dan psikososial, keselamatan digital, penguatkuasaan undang-undang serta bidang yang lain. Sektor swasta, termasuk pihak berkepentingan berkaitan digital dan teknologi, juga perlu menyumbang kepada usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk kanak-kanak, khususnya dalam ruang digital.

CC menyeru agar usaha mencegah dan menangani buli serta buli siber terus diperkukuh, termasuk dengan mengenal pasti kes pada peringkat awal, menyediakan mekanisme pelaporan yang selamat dan mudah diakses, melindungi kanak-kanak yang melaporkan kejadian buli daripada tindakan balas atau menjadi mangsa sekali lagi, menyediakan sokongan psikososial dan bantuan lain yang bersesuaian, serta memastikan setiap aduan dikendalikan dengan segera dan berkesan.

Kanak-kanak harus diberikan ruang untuk bersuara dengan selamat. Mereka perlu mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka mengalami atau menyaksikan kejadian buli, dan setiap kebimbangan yang disuarakan perlu didengari serta diambil serius. Tiada kanak-kanak yang harus dipersalahkan kerana melaporkan kejadian yang memudaratkan mereka atau berdepan risiko yang lebih besar hanya kerana mereka tampil mendapatkan perlindungan.

TRIBUNAL BAGI ANTIBULI

CC turut ingin menekankan bahawa Tribunal Bagi Antibuli (TAB) merupakan satu lagi saluran yang boleh digunakan oleh mangsa buli untuk mendapatkan keadilan dan remedi yang sewajarnya. TAB, yang ditubuhkan di bawah Akta Antibuli 2026 [Akta 876], menyediakan saluran keadilan yang mudah, cepat dan tanpa kos berhubung insiden buli yang berlaku selepas 1 Mac 2026. Tribunal mempunyai bidang kuasa terhadap aduan berkaitan buli yang menyebabkan kemudaratan fizikal, psikologi atau sosial.

Aduan boleh dikemukakan kepada TAB berhubung insiden buli yang berlaku selepas 1 Mac 2026 melalui butiran untuk dihubungi seperti berikut::

Tribunal Bagi Antibuli Asian International Arbitration Centre (AIAC), Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, 50000 Kuala Lumpur. Tel: 0322711000 E-mail: tab@bheuu.gov.my E-Aduan: https://tab.bheuu.gov.my/aduan/mula?lang=bm

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

11 September 2026

Tags: No tags

Comments are closed.