E1

[OCC] Kenyataan Media No. 63-2026_Hentikan Budaya Senior Menghukum Junior

KUALA LUMPUR (28 SEPTEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah berasrama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

CC memandang serius kejadian yang dilaporkan, khususnya laporan bahawa siasatan awal polis sedang meneliti sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan tindakan disiplin yang didakwa dikenakan oleh pelajar senior terhadap pelajar yang meninggal dunia, dipercayai kerana pelajar junior tersebut disyaki melanggar peraturan asrama. Polis memaklumkan bahawa punca sebenar kematian masih dalam siasatan. CC menegaskan bahawa tiada kesimpulan wajar dibuat pada peringkat ini berhubung kesalahan, niat atau liabiliti jenayah atau disiplin mana-mana kanak-kanak yang terlibat. Identiti dan butiran peribadi semua kanak-kanak hendaklah dilindungi dengan rapi.

Sehubungan itu, kebimbangan CC bukanlah untuk menentukan pihak yang bersalah dalam kes semasa, tetapi untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak yang lebih luas: Adakah mana-mana pelajar, termasuk pengawas, ketua dormitori, pelajar senior atau pemimpin pelajar, mempunyai kuasa untuk menghukum pelajar lain? Jawapannya mestilah jelas: pelajar tidak boleh diberikan, atau mengambil sendiri, kuasa untuk menghukum pelajar lain.

Pemimpin pelajar sewajarnya boleh mengingatkan pelajar lain tentang peraturan sekolah atau asrama, menjadi contoh teladan yang baik, membantu dalam pemantauan yang bersesuaian, menggalakkan pematuhan serta melaporkan salah laku yang disyaki kepada guru, warden atau pihak berkuasa sekolah yang berkaitan. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh menjalankan siasatan sendiri; menentukan bahawa pelajar lain bersalah; merangka atau mengenakan hukuman sendiri; menggunakan kekerasan fizikal; mengugut atau menakut-nakutkan pelajar lain; mengaibkan atau memaksa kanak-kanak lain; atau mengambil sebarang tindakan disiplin mengikut kehendak sendiri. Menjadi pengawas, ketua dormitori, pelajar senior atau pemimpin pelajar bukanlah lesen untuk menghukum kanak-kanak lain.

Malaysia Mempunyai Kerangka Formal bagi Pengurusan Disiplin di Sekolah

Malaysia mempunyai kerangka yang telah ditetapkan bagi pengurusan disiplin pelajar. Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 3 Tahun 2026 - Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat memperuntukkan bahawa dakwaan salah laku hendaklah dikendalikan melalui proses disiplin sekolah yang formal, termasuk siasatan oleh guru yang dilantik pengetua atau ketua institusi. Hukuman disiplin hendaklah dikenakan oleh pihak sekolah yang diberi kuasa, selaras dengan prosedur KPM yang ditetapkan.

Dalam keadaan terhad yang membenarkan hukuman berbentuk fizikal, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh PGB atau guru yang diberikan kuasa khusus untuk berbuat demikian, tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Hal ini mengukuhkan prinsip asas bahawa tindakan disiplin hendaklah dilaksanakan melalui proses disiplin formal sekolah dan oleh pihak yang diberi kuasa di bawah peraturan dan prosedur KPM yang berkaitan - bukannya oleh pelajar terhadap rakan pelajar.

Warden Mempunyai Tanggungjawab Menjaga Kebajikan Pelajar di Sekolah Berasrama

Garis Panduan Pelantikan dan Portfolio Warden Asrama KPM, Versi Februari 2025 turut menetapkan tanggungjawab warden di sekolah berasrama. Warden melaksanakan tanggungjawab mereka in loco parentis, dengan tugas berkaitan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar. Ketua Warden bertanggungjawab terhadap disiplin asrama, manakala warden bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peraturan asrama serta mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan prosedur yang ditetapkan. Yang penting, laporan yang dibuat oleh Ketua atau ahli Jawatankuasa Asrama serta Ketua Dormitori hendaklah disemak dan disiasat oleh warden untuk tindakan susulan yang sewajarnya.

Pembahagian tanggungjawab yang dimaksudkan hendaklah kekal jelas. Pemimpin pelajar boleh memerhati, mengingatkan dan melaporkan kebimbangan kepada pihak berkuasa sekolah yang sewajarnya, manakala warden dan pihak sekolah bertanggungjawab untuk menyemak laporan, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya selaras dengan prosedur yang ditetapkan. Pemimpin pelajar tidak boleh mengambil alih peranan untuk menyiasat dakwaan salah laku, menentukan kesalahan atau mengenakan hukuman terhadap pelajar lain.

Hentikan Budaya Disiplin Secara ‘Vigilante’

CC bimbang bahawa amalan seperti ‘ajar junior bagi serik’, ‘selesaikan di dorm’ atau ‘senior mendisiplinkan junior’ tidak boleh sama sekali dinormalisasikan dalam budaya sekolah berasrama. Peraturan sekolah tidak boleh dikuatkuasakan melalui tindakan pelajar mengambil tindakan sendiri terhadap kanak-kanak lain. Status sebagai pelajar senior atau kedudukan sebagai pemimpin pelajar tidak memberikan kuasa disiplin.

Setiap pelajar, termasuk kanak-kanak yang didakwa melanggar peraturan sekolah, kekal sebagai kanak-kanak yang berhak kepada keselamatan, maruah dan layanan yang adil. Perkara ini selaras dengan prinsip-prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), termasuk perlindungan daripada keganasan serta prinsip bahawa kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama.

Sehubungan itu, CC menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia untuk:

  1. Mengeluarkan peringatan yang jelas di seluruh negara bahawa pengawas, ketua dormitori dan pemimpin pelajar lain tidak mempunyai kuasa secara bebas untuk mengenakan atau melaksanakan hukuman disiplin terhadap pelajar lain.
  2. Menyemak Terma Rujukan kepimpinan pelajar di semua sekolah berasrama bagi memastikan peranan mereka ditakrifkan dengan jelas sebagai: PERINGATKAN - PANTAU - LAPORKAN. HUKUMAN ADALAH DILARANG SAMA SEKALI.
  3. Mengaudit amalan disiplin tidak formal di sekolah berasrama, termasuk senior menghukum junior, hukuman fizikal yang dikenakan oleh pelajar, ‘mahkamah pelajar’ tidak formal, denda atau penalti, penghinaan, layanan yang menjatuhkan maruah serta amalan paksaan yang lain. Langkah ini hendaklah dilaksanakan sebagai usaha pencegahan dan perlindungan, tanpa membuat kesimpulan terlebih dahulu berhubung kes semasa.
  4. Memperkukuh sistem warden dengan memastikan warden mudah dihubungi, menerima latihan yang mencukupi serta mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka berkaitan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar selaras dengan Garis Panduan Warden KPM 2025.

CC mengulangi ucapan takziah kepada keluarga pelajar yang meninggal dunia serta menghormati siasatan yang sedang dijalankan. Semua pihak diseru agar tidak membuat spekulasi dan tidak berkongsi maklumat yang boleh mengenal pasti atau menambah kemudaratan kepada kanak-kanak yang terlibat.

Tragedi ini mesti mendorong kepada penelitian yang teliti terhadap amalan disiplin tidak formal di sekolah berasrama. Tiada pelajar seharusnya menganggap bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menghukum kanak-kanak lain. Kepimpinan pelajar hendaklah membina rasa tanggungjawab dan budaya saling menjaga - bukannya mewujudkan sistem disiplin selari dalam kalangan kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
28 September 2026

E1

[Kenyataan Media Bersama] SEANF No.62-2026_SEANF Mulakan Semakan Rasmi Terhadap Kelayakan MNHRC Untuk Kekal Sebagai Ahli

KUALA LUMPUR (25 SEPTEMBER 2026) Lembaga Tadbir Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) (SEANF), di bawah Pengerusian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi SEANF 2026, telah memulakan semakan rasmi terhadap kelayakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Myanmar (MNHRC) untuk kekal sebagai ahli SEANF. Lembaga Tadbir tersebut terdiri daripada Pengerusi SUHAKAM, Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Republik Indonesia (Komnas HAM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRCT), serta Provedor de Direitos Humanos e Justiça (PDHJ), Timor-Leste.

Semakan tersebut telah dimulakan melalui mesyuarat khas Lembaga Tadbir SEANF yang diadakan pada 14 Ogos 2026, selaras dengan Perkara 11(6) Peraturan Tatacara SEANF. Semakan ini turut akan menilai sama ada MNHRC masih memenuhi piawaian kebebasan, keberkesanan dan integriti institusi yang ditetapkan oleh Prinsip Paris, yang telah diperbadankan dalam takrifan SEANF mengenai institusi hak asasi manusia kebangsaan.

Dalam menjalankan semakan tersebut, Lembaga Tadbir akan mempertimbangkan maklumat berkaitan yang diterima oleh SEANF sejak tahun 2021, perkembangan MNHRC dalam menangani syor-syor yang dikemukakan oleh anggota SEANF pada tahun 2021, serta dapatan berkaitan yang terkandung dalam laporan 2024 Sub-Jawatankuasa Akreditasi Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI). Semakan ini juga akan mempertimbangkan implikasi institusi berhubung kemungkinan MNHRC mengambil alih Pengerusian SEANF secara bergilir pada tahun 2027, sementara persoalan mengenai pematuhan berterusannya terhadap piawaian keahlian SEANF masih belum diselesaikan.

On 1 September 2026, SEANF gave MNHRC at least 21 days’ written notice, adopting Rule 12.1(c) of the APF Constitution[1] Pada 1 September 2026, SEANF telah memberikan MNHRC notis bertulis sekurang-kurangnya 21 hari mengenai perkara-perkara yang dikenal pasti dalam notis tersebut, dengan merujuk kepada Peraturan 12.1(c) Perlembagaan APF sebagai amalan terbaik prosedur yang telah ditetapkan bagi cadangan resolusi yang boleh menjejaskan kedudukan seseorang ahli. MNHRC boleh mengemukakan sebarang maklumat, penjelasan atau representasi yang difikirkannya berkaitan sebelum mesyuarat rundingan Lembaga Tadbir bersama MNHRC dijalankan pada 1 Oktober 2026.

Selepas mempertimbangkan maklum balas MNHRC dan semua bahan lain yang berkaitan, Lembaga Tadbir pada 1 Oktober 2026 akan mempertimbangkan satu resolusi berhubung sama ada MNHRC masih memenuhi kelayakan untuk meneruskan keahlian dalam SEANF dan layak untuk mengambil alih Pengerusian SEANF pada tahun 2027, atau sama ada MNHRC akan hilang kelayakan untuk mengekalkan keahlian dan diisytiharkan tidak layak untuk mengambil alih Pengerusian tersebut.

Tiada keputusan telah dibuat pada peringkat ini berhubung pematuhan MNHRC kepada Perkara 1 pindaan Peraturan Tatacara SEANF atas kelayakannya untuk terus menjadi ahli SEANF. MNHRC telah diberikan peluang yang munasabah untuk memberikan maklum balas sebelum Lembaga Tadbir mempertimbangkan sebarang resolusi, selaras dengan Perkara 24 Peraturan Tatacara SEANF dan amalan terbaik prosedur yang dinyatakan dalam Peraturan 12.1(c)(3) Perlembagaan APF . amended Article 1 of the SEANF Rules of Procedure.[2] MNHRC has been given a reasonable opportunity to respond before the Governing Board considers any resolution, pursuant to Article 24 of the SEANF Rules of Procedure[3] and the procedural best practice reflected in Rule 12.1(c)(3) of the APF Constitution.[4]

SEANF menjalankan semakan rasmi ini dengan niat baik bagi melindungi kredibiliti, akauntabiliti, kebebasan dan keberkesanan Forum serta usahanya untuk memajukan, melindungi dan merealisasikan hak asasi manusia di Asia Tenggara selaras dengan Prinsip Paris.

-TAMAT-


[1] Rule 12.1(c) of the APF Constitution states, “If the Forum councillors intend to propose a resolution under rule 12.1(a), they must give the member written notice at least 21 days before the meeting at which the resolution is to be proposed.”

[2] Amended Article 1 of the SEANF Rules of Procedure states, “NHRI refers to an independent national institution that complies with the Paris Principles and holds a constitutional and/or legislative mandate to promote and protect human rights."

[3] Article 24 of the SEANF Rules of Procedure states, “Any dispute between members concerning the interpretation or application of, or compliance with this Rules of Procedure shall be settled amicably by consultation or negotiation”.

[4] Rule 12.1(c)(3) of the APF Constitution states, “The member must be given a reasonable opportunity to respond before a decision is made by the Forum councillors.”

1

[OCC] Kenyataan Media No. 61-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Seru Tindakan Berteraskan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Kes Bahan Penderaan Seksual

KUALA LUMPUR (24 SEPTEMBER 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas kejayaan pelaksanaan Ops Pedo 3.0 serta usaha berterusan dalam membanteras bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian. CC mengambil maklum mengenai penahanan 53 individu, termasuk lapan kanak-kanak, dengan yang termuda dilaporkan berusia 13 tahun, susulan operasi yang dijalankan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September 2026.

CSAM mesti ditangani dengan tahap keseriusan yang tertinggi kerana ia bukan sekadar kandungan digital yang menyalahi undang-undang atau berbahaya, sebaliknya merupakan bukti penderaan dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. Penghasilan, pemilikan, pengedaran, perkongsian, penjualan dan bentuk penyebaran CSAM yang lain mesti ditangani dengan tegas di samping usaha untuk mengenal pasti dan melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam bahan tersebut, menghentikan penyebaran serta menghapuskan kandungan berbahaya serta mencegah penganiayaan semula. Undang-undang Malaysia turut memperuntukkan kesalahan berkaitan penghasilan, pengedaran serta pemilikan atau kawalan

Namun, perhatian khusus perlu diberikan apabila individu yang disyaki terlibat ialah seorang kanak-kanak. Kanak-kanak yang didapati memiliki, berkongsi atau disyaki menjual CSAM tidak seharusnya secara automatik dilihat atau dilayan dengan cara yang sama seperti pelaku dewasa. Keadaan setiap kanak-kanak perlu dinilai secara individu, termasuk umur, tahap kefahaman, kerentanan, peranan dalam perlakuan yang didakwa serta bagaimana mereka memperoleh atau terlibat dengan bahan tersebut.

Dalam keadaan tertentu, kanak-kanak mungkin terlibat akibat pengantunan, tekanan rakan sebaya, ugutan, paksaan, pemerasan atau sextortion, manipulasi, eksploitasi ekonomi atau bentuk penderaan dalam talian yang lain. Ini tidak bermaksud setiap kanak-kanak yang terlibat semestinya merupakan mangsa. Namun, kemungkinan bahawa mereka telah dieksploitasi atau dipaksa mesti disiasat dengan sewajarnya, khususnya memandangkan pengantunan kanak-kanak dan kesalahan seksual berkaitan turut diperuntukkan di bawah Akta 792.

CC menegaskan bahawa respons sistem keadilan kanak-kanak tidak seharusnya berorientasikan hukuman semata-mata. Sekiranya seorang kanak-kanak disyaki terlibat dalam perlakuan berkaitan CSAM, respons hendaklah merangkumi penilaian perlindungan dan risiko secara individu, siasatan terhadap kemungkinan pengantunan atau eksploitasi, sokongan psikososial dan kaunseling, pendidikan keselamatan digital, pemulihan serta sokongan keluarga dan sosial. Pengalihan (diversion) juga wajar dipertimbangkan sekiranya dibenarkan oleh undang-undang dan bersesuaian dengan keadaan kes. Pendekatan ini selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), termasuk kepentingan terbaik kanak-kanak, perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi seksual serta pemulihan dan pengintegrasian semula kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang.

Pendekatan yang peka terhadap kanak-kanak tidak bermaksud perlakuan yang menyalahi undang-undang harus diabaikan. Pihak penguat kuasa mesti terus menghentikan penyebaran CSAM, mengenal pasti dan melindungi mangsa, mendapatkan bukti digital, menjejaki rangkaian yang memudah cara kegiatan tersebut serta menyiasat mana-mana orang dewasa yang mungkin melakukan pengantunan, memaksa, mengeksploitasi atau mengaut keuntungan daripada kanak-kanak. Yang penting, peranan dan keadaan seseorang kanak-kanak hendaklah dinilai secara berasingan daripada pelaku dan pengeksploitasi dewasa.

CC turut mengingatkan bahawa pendekatan yang terlalu menghukum boleh meningkatkan risiko penganiayaan semula serta menghalang kanak-kanak daripada mendapatkan bantuan atau tampil kepada pihak berkuasa. Kanak-kanak yang telah dieksploitasi atau dipaksa mungkin takut membuat pendedahan sekiranya mereka bimbang akan turut berdepan tindakan jenayah. Risiko ini perlu dipertimbangkan, khususnya apabila terdapat petunjuk pengantunan, paksaan atau eksploitasi.

Sekiranya seorang kanak-kanak didapati terlibat dalam pemilikan, perkongsian atau pengedaran CSAM, respons hendaklah berkadaran, berorientasikan pemulihan dan selaras dengan prinsip keadilan kanak-kanak. Sekiranya penahanan dipertimbangkan, piawaian hak kanak-kanak antarabangsa menetapkan bahawa ia hendaklah digunakan hanya sebagai langkah terakhir dan untuk tempoh yang paling singkat dan bersesuaian.

CC menyeru semua pihak berkuasa berkaitan memastikan siasatan yang melibatkan kanak-kanak dilaksana berlandaskan prinsip perlindungan dan keadilan kanak-kanak, sambil memastikan pelaku dewasa, pengeksploitasi serta rangkaian yang memudah cara eksploitasi seksual kanak-kanak disiasat sepenuhnya dan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

Melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual memerlukan lebih daripada tindakan penguatkuasaan. Ia memerlukan pencegahan, intervensi awal, keselamatan digital yang berkesan, perlindungan dan sokongan kepada mangsa, pemulihan kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang serta sistem keadilan yang mengiktiraf setiap kanak-kanak sebagai pemegang hak.

tamat

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

24 September 2026

E1

[Kenyataan Media Bersama] No. 60-2026_Pembaharuan Memorandum Persefahaman SUHAKAM x NHRCN

KUALA LUMPUR, MALAYSIA (23 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Hak Pekerja Migran dan Individu yang Menetap di Kedua-dua Negara bagi tempoh tiga tahun, dari 2026 hingga 2028. MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Pengerusi NHRCN, Yang Berhormat Top Bahadur Magar, di Ibu Pejabat SUHAKAM, Kuala Lumpur, Malaysia.

MoU ini pertama kali ditandatangani pada tahun 2019 dengan tujuan memupuk kerjasama erat, perkongsian maklumat, komunikasi dua hala berhubung aduan, pemantauan bersama, penyelidikan serta aktiviti berkaitan bagi melindungi hak pekerja migran dan individu yang menetap di kedua-dua negara. MoU tersebut kemudiannya diperbaharui sebanyak dua kali sehingga 28 Mac 2024. Sepanjang tempoh pelaksanaan MoU, SUHAKAM telah mengadakan libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang menangani isu pekerja migran Nepal, serta Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur bagi bertukar maklumat mengenai keadaan pekerja migran Nepal di Malaysia. SUHAKAM turut menjalankan siasatan kes-kes yang melibatkan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja migran, termasuk kes kematian pekerja migran Nepal.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 400,000 pekerja Nepal di Malaysia. Dari tahun 2021 hingga Ogos 2026, SUHAKAM telah menerima sejumlah 46 aduan yang melibatkan pekerja Nepal. Antara dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang diterima termasuk pasport ditahan oleh majikan, bekerja selama 12 jam sehari dan 30 hari berturut-turut tanpa hari rehat, gaji tidak dibayar atau lewat dibayar, waktu bekerja yang berlebihan tanpa bayaran kerja lebih masa, keadaan tempat kerja yang tidak selamat serta perlindungan yang tidak mencukupi.

Pembaharuan MoU ini menegaskan komitmen SUHAKAM dan NHRCN untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam menyiasat kes-kes yang melibatkan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja migran, memantau keadaan di pusat tahanan serta pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan pekerja migran, menangani kadar kematian yang tinggi, menjalankan advokasi dasar berhubung yuran pengambilan pekerja dan risiko buruh paksa, mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meningkatkan akses pekerja migran Nepal di Malaysia kepada skim perlindungan keselamatan sosial, serta memperkukuh advokasi mengenai kesaksamaan gender dalam tindakan bersama kedua-dua Suruhanjaya, khususnya dengan mengambil kira hak pekerja migran wanita yang berada dalam pekerjaan tidak menentu dan sektor tidak formal. Kerjasama ini turut merangkumi semakan dasar daripada perspektif hak asasi manusia bagi mengemukakan syor kepada kedua-dua Kerajaan untuk meningkatkan akses kepada keadilan bagi pekerja migran dari negara masing-masing, pelaksanaan program pembangunan kapasiti bagi sektor keselamatan Nepal, serta bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.

Bersempena dengan Majlis Menandatangani MoU ini, NHRCN turut mengadakan lawatan kerja yang merangkumi pertemuan dan sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. NHRCN telah mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur dan Persatuan Rakyat Nepal Bukan Pemastautin (Non-Resident Nepali Association - NRNA) Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi dan perkembangan semasa pekerja Nepal di Malaysia. Selain itu, SUHAKAM telah memudah cara pertemuan dengan Jabatan Penjara Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan komitmen di bawah MoU tersebut.

Kedua-dua Suruhanjaya menggalakkan pekerja migran Nepal di Malaysia yang pernah mengalami atau menyaksikan kemungkinan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia untuk mengemukakan aduan kepada SUHAKAM dengan mengimbas kod QR ini. Setiap aduan yang dikemukakan akan dikendalikan selaras dengan tatacara pengendalian aduan dan prinsip kerahsiaan SUHAKAM

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN)
23 September 2026

E1

Kenyataan Media No. 59-2026_Kesamarataan Undang-Undang Harus Dijunjung dalam Sistem Keadilan Negara

KUALA LUMPUR (21 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius berhubung keputusan yang membenarkan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak, menjalani baki hukuman beliau di bawah tahanan rumah. Meskipun SUHAKAM menghormati sepenuhnya prerogatif perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, keputusan ini menimbulkan persoalan penting berhubung kesamarataan di sisi undang-undang, sistem keadilan serta keyakinan awam terhadap komitmen Malaysia dalam menegakkan akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta hak setiap individu untuk mendapat perlindungan yang sama rata. Prinsip ini perlu kekal sebagai teras sistem keadilan jenayah. Sekiranya seseorang yang telah disabitkan kesalahan dibenarkan menjalani hukuman penjara dalam keadaan yang berbeza secara ketara daripada banduan lain, perkara itu hendaklah berasaskan peruntukan undang-undang yang jelas, kriteria yang telus dan objektif, serta mekanisme bagi memastikan tiada layanan istimewa atau tidak setara diberikan. Sebarang persepsi bahawa status, kedudukan atau pengaruh boleh membuka ruang kepada layanan yang berbeza dan lebih menguntungkan berisiko menjejaskan keyakinan terhadap sistem keadilan yang saksama.

SUHAKAM memandang serius persoalan mengenai kerangka perundangan yang menjadi asas kepada pelaksanaan tahanan rumah ini. Pada Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, YA Puan Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa perintah tahanan rumah tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang yang menyediakan mekanisme sedemikian di Malaysia. Mahkamah turut menolak hujah bahawa pembebasan secara lesen di bawah seksyen 43 Akta Penjara 1995 boleh disamakan dengan tahanan rumah. Sehubungan itu, persoalan penting timbul mengenai asas perundangan bagi pelaksanaan tahanan rumah, termasuk dari segi penguatkuasaan, pemantauan dan akauntabiliti. Langkah pentadbiran atau aturan sementara (adhoc) tidak seharusnya dijadikan pengganti kepada kerangka perundangan yang jelas.

Keputusan terbaharu ini juga perlu dilihat dalam konteks pengurangan hukuman yang telah diberikan melalui proses pengampunan pada tahun 2024. Dalam kes SRC International, hukuman asal penjara selama 12 tahun terhadap Dato’ Sri Najib telah dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Membenarkan baki hukuman penjara yang telah dikurangkan itu dijalani di rumah merupakan satu lagi kelonggaran yang signifikan. Pada masa yang sama, keseriusan kesalahan yang telah dilakukan tidak boleh diketepikan. Dalam kes SRC International, Dato’ Sri Najib telah disabitkan atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta. Sabitan dan hukuman tersebut kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Kesalahan-kesalahan ini merupakan kesalahan serius yang melibatkan dana awam serta penyalahgunaan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pemegang jawatan politik tertinggi negara.

Kebimbangan dari sudut kepentingan awam menjadi lebih ketara berikutan sabitan Dato’ Sri Najib dalam kes 1MDB atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM2.3 bilion. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion terhadap beliau. SUHAKAM mengakui bahawa sabitan tersebut masih tertakluk kepada proses rayuan dan sewajarnya ditangani mengikut lunas undang-undang sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan. SUHAKAM juga mengambil maklum bahawa setakat ini, tiada pengakuan awam yang jelas terhadap kesalahan atau penerimaan tanggungjawab berhubung kesalahan dalam kes SRC International, walaupun sabitan tersebut telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan. Dalam mempertimbangkan soal pengampunan, aspek akauntabiliti dan kesediaan untuk mengakui serta bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan wajar diberi perhatian, khususnya apabila melibatkan kesalahan rasuah yang serius dan penyalahgunaan jawatan awam.

Keputusan ini menimbulkan kebimbangan yang melangkaui kepentingan seorang individu. Ia berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan usaha Malaysia memerangi rasuah, khususnya jika timbul persepsi bahawa mereka yang pernah memegang jawatan atau kedudukan berkuasa menerima layanan yang berbeza dalam soal pertanggungjawaban terhadap kesalahan rasuah yang serius. Persepsi sedemikian boleh menjejaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang serta integriti sistem keadilan.

Kedaulatan undang-undang hanya benar-benar bermakna apabila dilaksanakan secara adil dan konsisten terhadap semua, termasuk mereka yang pernah memegang jawatan tertinggi negara. Oleh itu, sebarang pelaksanaan hukuman penjara yang menyimpang daripada amalan biasa mestilah berlandaskan asas undang-undang yang jelas serta dapat dipertanggungjawabkan secara telus dan objektif. Kesamarataan di sisi undang-undang tidak boleh sekadar menjadi jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi mesti diterjemahkan secara nyata dan konsisten dalam pentadbiran keadilan, tanpa mengira status, kedudukan atau pengaruh seseorang.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
21 September 2026

E1

Kenyataan Media No. 58-2026_SUHAKAM Seru Sikap Tanggungjawab dan Saling Menghormati Susulan Kenyataan Melibatkan Tokoh Agama Katolik

KUALA LUMPUR (17 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan yang dibuat baru-baru ini dalam satu perhimpunan politik, yang menggunakan tokoh agama Kristian dan petikan daripada Bible sebagai sebahagian daripada jenaka berunsur seksual.

Tanpa mengambil kira sama ada kenyataan tersebut dimaksudkan sebagai jenaka, tokoh agama, kitab suci dan amalan keagamaan tidak seharusnya dijadikan bahan seksual, diputarbelitkan atau digunakan sebagai hiburan politik. Kenyataan sedemikian boleh menimbulkan rasa terluka yang mendalam dalam kalangan masyarakat beragama yang terlibat serta menjejaskan kepercayaan antara satu sama lain dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama. Kepelbagaian Malaysia menuntut penghormatan yang sama terhadap semua agama. Tidak seharusnya wujud sebarang dwi-standard dalam perkara yang melibatkan sensitiviti agama: mereka yang mengharapkan kepercayaan dan tradisi mereka sendiri dihormati hendaklah memberikan penghormatan yang sama kepada kepercayaan dan tradisi orang lain.

Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya turut membawa tanggungjawab, khususnya apabila menyentuh soal agama dan perkara lain yang boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat. Pemimpin politik dan tokoh awam, berdasarkan jangkauan serta pengaruh kata-kata mereka, memikul tanggungjawab khusus untuk mengelakkan kenyataan yang merendahkan kepercayaan atau tokoh agama, meminggirkan masyarakat atau berisiko mencetuskan permusuhan.

SUHAKAM mengambil maklum permohonan maaf yang telah dibuat berhubung kenyataan tersebut. Dalam perkara yang melibatkan sensitiviti agama, permohonan maaf hendaklah dibuat dengan jelas, ikhlas dan tanpa syarat, serta mengakui rasa terluka yang telah ditimbulkan. Permohonan maaf yang bermakna hendaklah melangkaui usaha untuk menjawab kritikan awam dan menunjukkan komitmen yang sebenar untuk mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, mengelakkan kejadian yang sama berulang dan membina semula kepercayaan.

SUHAKAM menyeru semua pihak agar bertindak dengan tenang dan bertanggungjawab. Sebarang penilaian oleh pihak berkuasa hendaklah dilaksanakan secara bebas, tidak berat sebelah dan selaras dengan undang-undang, dengan mengambil kira sepenuhnya konteks kenyataan tersebut. Sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara hendaklah mematuhi prinsip kesahan undang-undang, berkeperluan dan berkadaran manakala penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara konsisten dan tanpa pilih kasih. Kebimbangan awam juga hendaklah dizahirkan melalui saluran yang sah dan aman. Pemimpin politik, pengulas serta pengguna media sosial hendaklah mengelakkan tindakan memperbesarkan insiden ini dengan cara yang boleh mencetuskan permusuhan, menyalahkan mana-mana kumpulan secara kolektif atau menambahkan perpecahan.

Keharmonian antara agama di Malaysia tidak boleh sesekali dipandang ringan. Pengalaman Sabah dan Sarawak khususnya, menunjukkan bahawa masyarakat yang berbeza agama dan latar belakang boleh hidup bersama secara aman apabila hubungan dibina atas asas saling menghormati, kesaksamaan dan penerimaan tulen antara satu sama lain.

SUHAKAM menegaskan sekali lagi bahawa agama tidak boleh sesekali dieksploitasi untuk hiburan atau kepentingan politik. Penghormatan terhadap tokoh agama, kitab suci, kepercayaan dan penganut setiap agama merupakan asas penting dalam melindungi maruah insan serta memelihara keamanan, keharmonian dan perpaduan Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
17 September 2026

2

Kenyataan Media No. 57-2026_SUHAKAM Gesa Tindakan Segera Berteraskan Hak Asasi Manusia Bagi Menangani Krisis Jerebu Rentas Sempadan Yang Semakin Membimbangkan

KUALA LUMPUR (17 SEPTEMBER 2026) Jerebu rentas sempadan kekal sebagai cabaran alam sekitar yang berterusan di Asia Tenggara, mendedahkan masyarakat kepada tahap pencemaran udara yang berbahaya serta mengancam kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) amat bimbang dengan keadaan jerebu yang semakin memburuk di Malaysia, khususnya di Sarawak, apabila beberapa kawasan merekodkan tahap kualiti udara yang berbahaya sehingga memerlukan langkah kecemasan, termasuk penutupan sekolah.

SUHAKAM menegaskan bahawa akses kepada udara bersih merupakan hak asasi manusia yang asas. Pencemaran jerebu boleh mengancam pelbagai hak lain, termasuk hak untuk hidup, kesihatan, pendidikan, maklumat, keadaan kerja yang selamat dan sihat serta hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan. Jerebu rentas sempadan sebahagian besarnya berpunca daripada aktiviti manusia, termasuk amalan guna tanah yang tidak mampan, kemerosotan tanah gambut, perluasan aktiviti pertanian, kebakaran tanah dan hutan serta kelemahan dalam kebertanggungjawaban dan tadbir urus alam sekitar. Walaupun keadaan cuaca boleh memburukkan jerebu, ia tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada punca asas yang boleh dicegah.

SUHAKAM turut bimbang terhadap kesan pendedahan berpanjangan kepada pencemaran jerebu, khususnya zarah halus (PM2.5), terhadap kesihatan awam. Risiko ini lebih tinggi bagi kanak-kanak, wanita hamil, warga emas, orang kurang upaya dan individu yang mempunyai kerentanan kesihatan sedia ada. Pekerja luar dan komuniti berpendapatan rendah juga mungkin mempunyai pilihan yang lebih terhad untuk mengurangkan pendedahan, terutama apabila mata pencarian mereka memerlukan mereka bekerja di luar atau akses kepada perlindungan, penjagaan kesihatan dan maklumat adalah terhad.

While environmental degradation affects everyone, its impacts are not experienced equally. Children, pregnant women, older persons, persons with disabilities and individuals with existing health vulnerabilities may face greater health risks. Outdoor workers and lower-income communities may also have fewer options to reduce their exposure, particularly where their livelihoods require them to remain outdoors or where access to adequate protection, healthcare and information is limited.

Hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan merupakan antara tumpuan utama SUHAKAM. Pada tahun 2025, SUHAKAM menerbitkan laporan Silent Enemy: Haze Pollution and the Right to Clean Air, yang meneliti punca dan kesan pencemaran jerebu terhadap hak asasi manusia serta jurang dalam kerangka perundangan dan institusi tadbir urus alam sekitar di Malaysia. Pada tahun ini, SUHAKAM meneruskan usaha tersebut melalui Forum Hak Asasi Manusia, Perniagaan dan Keadilan Iklim 2026, yang menggariskan tanggungjawab Negara dan sektor perniagaan dalam menangani kemudaratan alam sekitar serta melindungi hak asasi manusia. Laporan Silent Enemy: Haze Pollution and the Right to Clean Air boleh diakses menggunakan QR Code berikut., which examined the causes and human rights impacts of haze pollution and identified gaps in Malaysia’s legal and institutional framework for environmental governance. This year, SUHAKAM further advanced the discussion through its Forum on Human Rights, Business and Climate Justice 2026, highlighting the responsibilities of both States and businesses in addressing environmental harm and protecting human rights.

Susulan situasi semasa, SUHAKAM mengulangi gesaan kepada Kerajaan Malaysia untuk:

  1. i. Menjunjung tanggungjawab untuk melindungi hak untuk hidup dan hak-hak asasi lain di bawah Perlembagaan Persekutuan, di samping memperkukuh komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Deklarasi ASEAN 2025 mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan. ii.
  2. Memperkukuh akses kepada keadilan alam sekitar, termasuk dengan mengkaji semula dan meminda Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi memudah cara litigasi alam sekitar serta melindungi penyertaan awam yang bermakna dalam perkara berkaitan alam sekitar. 
  3. iii. Mempercepatkan penggubalan Akta Udara Bersih yang menetapkan piawaian kualiti udara ambien yang boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang serta mengiktiraf perlindungan kesihatan awam dan hak alam sekitar sebagai objektif utama.
  4. iv. Memperkukuh kerjasama serantau melalui mekanisme ASEAN, termasuk Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), bagi menangani punca jerebu rentas sempadan serta meningkatkan ketelusan, perkongsian maklumat, pemantauan titik panas, pencegahan, penguatkuasaan dan kebertanggungjawaban.
  5. v. Melaksanakan sepenuhnya Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR), termasuk langkah untuk memperkukuh kebertanggungjawaban korporat dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan hak asasi manusia. vi. Mempercepatkan pelaksanaan SDG yang berkaitan, khususnya dalam aspek kesihatan, komuniti mampan, tindakan iklim dan perlindungan alam sekitar, melalui penyelarasan institusi yang lebih kukuh serta penyertaan pihak berkepentingan yang bermakna.

Krisis jerebu yang berulang menunjukkan bahawa hak kepada udara bersih tidak boleh dilindungi melalui langkah reaktif semata-mata. Pendekatan yang menyeluruh, berasaskan hak asasi manusia dan melibatkan seluruh kerajaan serta masyarakat perlu diperkukuh bagi menangani punca struktur pencemaran jerebu dan memastikan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta maruah manusia tidak dikorbankan demi kepentingan ekonomi jangka pendek. SUHAKAM bersedia bekerjasama dengan agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil, komuniti terjejas, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan lain bagi mengusahakan penyelesaian yang berkesan dan berkekalan.

Alam sekitar yang menyokong kehidupan dan kesejahteraan kita adalah milik bersama, tanpa mengira gender, kaum, agama, kewarganegaraan, status undang-undang mahupun latar belakang sosioekonomi. Kemudaratan alam sekitar tidak mengenal sempadan dan kesannya boleh dirasai jauh daripada puncanya. Justeru, tanggungjawab untuk melindunginya juga perlu dipikul bersama, bukan sahaja demi mereka yang terjejas hari ini, tetapi juga demi generasi akan datang.

Laporan Silent Enemy: Haze Pollution and the Right to Clean Air boleh diakses menggunakan QR Code berikut. can be accessed via the QR below:

E1

[OCC] Kenyataan Media No. 56-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Gesa Tindakan Proaktif dan Berteraskan Keselamatan Kanak-Kanak Terhadap Anjing Liar dan Agresif

KUALA LUMPUR (12 SEPTEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), memandang serius kejadian terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang oleh lima ekor anjing berkeliaran di Batu Pahat, Johor.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan diserang di luar rumah neneknya pada kira-kira jam 7.00 pagi, 5 September 2026 dan mengalami kecederaan serius sebelum dibawa ke hospital daerah dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut. CC menzahirkan keprihatinan dan solidariti kepada kanak-kanak tersebut serta keluarganya, dan mendoakan agar beliau terus diberikan kesembuhan.

Kejadian ini tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil. Berdasarkan laporan media yang diteliti oleh CC, sekurang-kurangnya lapan kes serius melibatkan kanak-kanak diserang atau digigit oleh anjing berkeliaran atau anjing liar telah dilaporkan sejak tahun 2023, termasuk kes yang mengakibatkan kematian. Kes-kes tersebut termasuk serangan terhadap kanak-kanak berusia sangat muda di Pitas, Klang, Semporna, Langkawi, Sungai Buloh dan Cheras, selain kejadian terbaharu di Batu Pahat. Satu lagi kes di Kuching pada tahun 2026 melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat gigitan anjing dan jangkitan rabies susulan kejadian tersebut.

Sekurang-kurangnya tiga kematian kanak-kanak dapat dikenal pasti berdasarkan laporan media yang diteliti, iaitu di Semporna pada tahun 2024, Sungai Buloh pada tahun 2025 dan Kuching pada tahun 2026. Walau bagaimanapun, semakan ini tidak harus dianggap sebagai statistik nasional yang menyeluruh. Apa yang amat membimbangkan ialah tahap kerentanan kanak-kanak yang terlibat. Sesetengah mangsa berusia seawal satu atau dua tahun. Insiden yang dilaporkan bukan sahaja berlaku di kawasan terpencil, malah di dalam atau berhampiran rumah, kawasan perumahan serta lokasi yang berkait dengan aktiviti harian kanak-kanak. Di Klang, sebagai contoh, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dilaporkan diserang oleh dua ekor anjing ketika membuang sampah dan memerlukan pembedahan. Di Cheras, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun diserang ketika menunggang basikal berhampiran rumahnya.

Risiko yang dihadapi juga tidak terhad kepada gigitan anjing. Di Sitiawan, seorang kanak-kanak dilaporkan berlari ke jalan raya selepas dikejar seekor anjing dan nyaris dilanggar kenderaan. Di Kedah pada bulan lalu, seorang murid sekolah dilaporkan terjatuh ke dalam longkang selepas dikejar sekumpulan anjing ketika berbasikal ke sekolah. Insiden-insiden ini menunjukkan bahawa anjing liar atau agresif boleh menimbulkan risiko lebih besar termasuk terjatuh, kemalangan jalan raya dan kecederaan serius yang lain.

Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, bermain, berjalan dan pergi ke sekolah dalam persekitaran yang secara munasabah selamat daripada risiko yang boleh dijangka dan dicegah. Kanak-kanak yang masih kecil amat terdedah kerana saiz fizikal mereka, keupayaan yang terhad untuk mempertahankan diri serta keupayaan yang terbatas untuk bertindak dengan sewajarnya apabila berhadapan dengan haiwan yang agresif.

Sehubungan itu, CC menggesa perubahan asas daripada pendekatan reaktif selepas berlakunya tragedi kepada langkah pencegahan secara proaktif sebelum kanak-kanak menjadi mangsa. Tindakan terhadap anjing yang berbahaya atau agresif tidak seharusnya hanya diambil selepas kanak-kanak dimasukkan ke hospital, mengalami kecederaan serius atau kehilangan nyawa. Sekiranya sesuatu risiko telah diketahui, boleh dijangka dan secara munasabah boleh dicegah, tindakan pencegahan hendaklah diambil.

CC menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti kawasan panas anjing berkeliaran, khususnya di lokasi yang kerap menjadi tumpuan kanak-kanak, seperti di sekitar sekolah, TASKA dan tadika, taman permainan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan pangsapuri, kawasan perumahan, laluan berjalan kaki dan berbasikal ke sekolah, perhentian bas serta lokasi yang sering menerima aduan mengenai anjing liar atau agresif.

CC turut menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri, dengan kerjasama PBT dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), untuk menetapkan piawaian tindak balas yang lebih jelas dan berasaskan risiko:

  1. Memetakan dan mengenal pasti kawasan panas, dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak;
  2. Memberi keutamaan kepada aduan yang melibatkan kumpulan anjing atau anjing agresif di sekitar rumah, sekolah, taman permainan dan lokasi lain yang menjadi tumpuan kanak-kanak;
  3. Menetapkan SOP dan mekanisme tindakan susulan yang jelas - daripada penerimaan aduan dan penilaian risiko kepada tindakan, maklum balas serta pemantauan susulan;
  4. Melaksanakan operasi PBT-DVS secara proaktif dan bersepadu, tanpa menunggu sehingga serangan serius berlaku;
  5. Memperkukuh pengumpulan data nasional mengenai serangan haiwan yang melibatkan kanak-kanak, termasuk umur, lokasi, tahap kecederaan, kesan berkaitan rabies dan hasil daripada tindakan yang diambil;
  6. Melaksanakan pengurusan populasi dan risiko secara jangka panjang, termasuk pemilikan yang bertanggungjawab, pendaftaran dan pelesenan, pencegahan pengabaian haiwan, pensterilan berasaskan bukti, pengurusan sisa dan sumber makanan, penyediaan kemudahan yang bersesuaian serta kerjasama yang lebih kukuh antara pihak berkuasa, NGO dan komuniti; dan
  7. Memastikan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperikemanusiaan dan mengikut undang-undang, selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta undang-undang dan prosedur lain yang berkaitan.

Melindungi kanak-kanak tidak bermakna mengabaikan kebajikan haiwan. Kedua-dua matlamat ini boleh dan mesti dicapai secara bersama. Pengurusan haiwan yang berkesan hendaklah mengambil kira keselamatan kanak-kanak, berperikemanusiaan, profesional dan mematuhi undang-undang, bukannya dilakukan secara sewenang-wenangnya atau kejam.

CC turut menegaskan bahawa pendidikan keselamatan kepada kanak-kanak, ibu bapa, sekolah dan pengendali pusat penjagaan kanak-kanak adalah penting, termasuk panduan untuk mengelakkan haiwan yang agresif serta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera selepas digigit. Walau bagaimanapun, pendidikan keselamatan tidak boleh sama sekali mengalihkan tanggungjawab mengurus risiko keselamatan awam yang telah diketahui daripada pihak berkuasa kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak kecil tidak seharusnya terpaksa mengelak daripada bermain di luar rumah, menggunakan taman permainan atau pergi ke sekolah hanya kerana wujud risiko yang boleh dijangka akibat anjing berkeliaran. Apabila sesuatu bahaya kepada kanak-kanak telah diketahui dan secara munasabah boleh dicegah, kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku satu lagi tragedi sebelum bertindak. Pengurusan anjing liar dan agresif yang berkesan bukan semata-mata isu pengurusan haiwan; apabila kanak-kanak terdedah kepada risiko yang boleh dijangka, ia merupakan isu keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.

Sehubungan itu, CC menggesa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua PBT supaya bertindak sekarang, bukan selepas seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan serius. Keselamatan kanak-kanak mesti diperkukuh melalui pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan segera, bukan hanya melalui tindakan selepas berlakunya tragedi.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
12 September 2026

1

Kenyataan Media No. 55-2026_SUHAKAM Sambut Baik Keputusan Mahkamah Persekutuan Yang Mengkedepankan Hak Adat, Budaya Dan Spiritual Orang Asli

KUALA LUMPUR (11 SEPTEMBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada tujuh penduduk Orang Asli dari Kampung Batu 20, Pekan, Pahang, berhubung kemusnahan pada kubur nenek moyang mereka semasa aktiviti pembangunan.

Keputusan sebulat suara tersebut mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk pemberian ganti rugi am sebanyak RM20,000 kepada setiap plaintif. Mahkamah turut mengesahkan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai hak komuniti dan hak milik terhadap tanah adat yang telah didiami dan digunakan secara turun-temurun, walaupun tanpa hak milik tanah rasmi.

SUHAKAM menyokong pengiktirafan Mahkamah bahawa hak adat Orang Asli merangkumi hubungan budaya dan spiritual dengan nenek moyang serta wilayah tradisional mereka, termasuk akses kepada kawasan perkuburan. Dapatan Mahkamah bahawa perbuatan mencemarkan kubur nenek moyang merupakan suatu pencabulan terhadap maruah Orang Asli turut mengiktiraf hubungan erat mereka dengan tanah, budaya, kepercayaan dan identiti. Penghakiman ini juga menegaskan bahawa pemberian hak milik tanah atau hak pembangunan kepada pihak ketiga tidak dengan sendirinya menghapuskan hak adat yang telah sedia wujud.

Keputusan ini menegaskan keperluan melindungi hak adat sebelum pembangunan dilaksanakan. SUHAKAM menegaskan bahawa pihak berkuasa Kerajaan, agensi Negeri dan pihak perniagaan bertanggungjawab untuk mengenal pasti serta menghormati hak tanah adat sebelum tanah dilupuskan atau projek pembangunan diluluskan atau dimulakan. Ini termasuk penglibatan bermakna dengan masyarakat terjejas serta penghormatan terhadap prinsip Izin berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (FPIC), khususnya apabila pembangunan berkemungkinan menjejaskan tanah adat, kawasan perkuburan, tapak keramat, mata pencarian atau warisan budaya.

Keputusan ini juga selaras dengan prinsip Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), yang disokong oleh Malaysia. UNDRIP mengiktiraf hak Orang Asal/Asli untuk mengekalkan hubungan spiritual dengan tanah dan wilayah tradisional mereka serta mengamalkan dan menghidupkan semula adat budaya mereka.

Oleh itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memperkukuh pengiktirafan dan perlindungan undang-undang serta pentadbiran terhadap hak tanah adat Orang Asli. Wilayah adat, kawasan perkuburan dan tapak berkepentingan budaya hendaklah dikenal pasti dan dilindungi sebelum tanah dilupuskan, dipajak atau diluluskan untuk pembangunan. Perniagaan yang beroperasi di dalam atau berhampiran wilayah adat juga hendaklah menjalankan usaha wajar hak asasi manusia bagi mencegah kesan buruk terhadap hak, maruah, budaya dan warisan masyarakat Orang Asli serta memastikan akses kepada remedi yang berkesan sekiranya berlaku kemudaratan.

Penghakiman ini mengingatkan bahawa pembangunan tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan maruah manusia, identiti budaya dan hak Orang Asal. Melindungi tanah adat Orang Asli bukan sekadar soal pentadbiran tanah, tetapi juga berkaitan dengan kesaksamaan, maruah, kelangsungan budaya dan keadilan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

11 September 2026

1

Kenyataan Media No. 54-2026_SUHAKAM Gesa Siasatan Telus Dan Semakan Berteraskan Hak Asasi Susulan Tragedi Perkhidmatan Doktor Udara

KUALA LUMPUR (11 SEPTEMBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyampaikan salam takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan orang tersayang juruterbang serta empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September 2026.

SUHAKAM mengambil maklum bahawa siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara sedang dijalankan dan menggesa agar ia dilaksanakan secara bebas, menyeluruh dan telus. Siasatan tersebut hendaklah meneliti bukan sahaja punca nahas, tetapi juga kelayakan terbang dan sejarah penyelenggaraan pesawat, prosedur operasi dan pengurusan risiko, keadaan cuaca, keselamatan dan kesesuaian lapangan terbang atau kemudahan pendaratan yang berkaitan termasuk pengaturan yang mengawal selia perkhidmatan FDS. Dapatan siasatan hendaklah diumumkan kepada umum dalam tempoh yang munasabah, berserta syor yang jelas, dan langkah berkesan bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.

SUHAKAM turut menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya segera menyemak kelayakan terbang pesawat yang digunakan untuk perkhidmatan awam yang penting sebegini. Sekiranya timbul isu keselamatan yang berasas, pesawat berkenaan hendaklah digantung operasi sementara menunggu pemeriksaan teknikal yang menyeluruh dan pelepasan oleh pihak berkuasa penerbangan yang berkenaan. Perlindungan nyawa manusia harus diutamakan berbanding pertimbangan operasi, kontrak atau kewangan. Pemantauan perolehan dan kontrak hendaklah memastikan pematuhan ketat dan berterusan terhadap piawaian keselamatan yang berkaitan, termasuk penyelenggaraan pesawat, kecekapan kru, kesesuaian operasi dan kesiapsiagaan kecemasan.

Tragedi ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap hak asasi masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak. Sebahagian besar mereka terdiri daripada Orang Asal yang sekian lama menghadapi halangan geografi dan infrastruktur untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan asas. Perkhidmatan FDS adalah penting untuk masyarakat di kawasan terpencil dan ia harus diteruskan. Walau bagaimanapun, ia sepatutnya hanya melengkapi, bukan menggantikan kemudahan kesihatan boleh akses, tenaga kesihatan terlatih, jalan raya dan jambatan yang selamat, komunikasi yang boleh dipercayai serta kaedah pengangkutan alternatif. Akses yang saksama kepada perkhidmatan kesihatan merupakan sebahagian daripada pemenuhan hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 3 untuk memastikan kehidupan yang sihat dan kesejahteraan untuk semua

Oleh itu, SUHAKAM menggesa pihak berkuasa Persekutuan dan Sarawak untuk menjalankan semakan menyeluruh berasaskan hak terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman. Semakan ini hendaklah melibatkan rundingan bermakna dengan masyarakat yang terjejas, petugas kesihatan dan pihak berkepentingan yang berkaitan, mengenal pasti jurang sedia ada serta menetapkan langkah yang jelas, dibiayai secukupnya dan mempunyai tempoh masa bagi memperkukuh kemudahan kesihatan kekal, jaringan pengangkutan dan keupayaan tindak balas kecemasan.

Keselamatan petugas kesihatan dan hak masyarakat luar bandar serta Orang Asal kepada perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, tersedia dan berkualiti perlu seiring. Petugas kesihatan tidak seharusnya terdedah kepada risiko akibat jurang infrastruktur yang berlarutan, begitu juga masyarakat tidak seharusnya dinafikan perkhidmatan kesihatan asas hanya kerana tempat tinggal mereka di pedalaman. Tragedi ini perlu menjadi titik perubahan ke arah perkhidmatan awam yang lebih selamat, kebertanggungjawaban yang lebih kukuh dan akses yang lebih saksama kepada perkhidmatan kesihatan bagi masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

11 September 2026