KUALA LUMPUR (1 OGOS 2026) – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap siasatan polis yang melibatkan aktivis alam sekitar, Shakila Zen, yang dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengaitkan institusi diraja Pahang dengan aktiviti perlombongan pasir.
Menurut laporan, siasatan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). SUHAKAM memperakui peranan sah pihak berkuasa dalam menyiasat dakwaan kesalahan namun begitu, sebarang tindakan yang diambil hendaklah dilaksanakan secara perlu, berkadaran dan selaras dengan tanggungjawab Malaysia untuk menghormati serta melindungi hak asasi manusia, khususnya hak kepada kebebasan bersuara.
Kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan serta diiktiraf di bawah Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perkara 19 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Walaupun Malaysia masih belum menjadi Negara Pihak kepada ICCPR, Perkara 19 mencerminkan piawaian antarabangsa yang diiktiraf berhubung kebebasan bersuara. Meskipun hak ini boleh tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan oleh undang-undang, sekatan tersebut hendaklah memenuhi prinsip keperluan dan perkadaran serta tidak menghalang wacana awam yang sah mengenai perkara-perkara berkepentingan awam.
Pejuang hak alam sekitar memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan penyertaan awam dalam tadbir urus alam sekitar. Dengan mengetengahkan risiko alam sekitar serta kesan pembangunan terhadap komuniti yang terjejas, mereka menyumbang kepada wacana awam yang lebih bermaklumat serta memperkukuh tadbir urus alam sekitar melalui penelitian dan akauntabiliti yang lebih berkesan. Peranan ini selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) Malaysia yang menekankan ketelusan, penglibatan bermakna pihak berkepentingan serta perlindungan hak alam sekitar bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan. Oleh itu, individu yang memperjuangkan perlindungan alam sekitar hendaklah dapat menjalankan peranan mereka secara bebas dan selamat tanpa rasa takut terhadap ugutan, gangguan atau tindakan balas.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui Resolusi 76/300, telah mengiktiraf hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan sebagai hak asasi manusia sejagat. Hak ini turut ditegaskan di peringkat serantau menerusi Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan, yang mencerminkan komitmen Negara-Negara Anggota ASEAN terhadap perlindungan alam sekitar dan pemenuhan hak-hak berkaitan alam sekitar. Penikmatan hak ini secara berkesan bergantung kepada perlindungan hak-hak prosedural berkaitan alam sekitar, termasuk akses kepada maklumat, penyertaan awam, akses kepada keadilan serta kebebasan untuk menyuarakan kebimbangan berkaitan isu-isu alam sekitar.
SUHAKAM turut mengambil maklum dengan kebimbangan terhadap laporan bahawa Shakila Zen sebelum ini pernah berdepan ugutan dan gangguan susulan usaha advokasinya. Pejuang hak asasi manusia hendaklah diberikan perlindungan yang berkesan daripada ugutan, keganasan dan sebarang bentuk tindakan balas yang timbul akibat pelaksanaan hak mereka secara aman. Selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembela Hak Asasi Manusia, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan individu dan organisasi dapat mempromosi serta melindungi hak asasi manusia dalam persekitaran yang selamat dan kondusif. Ini termasuk menjamin hak kepada kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun secara aman dan penyertaan dalam hal ehwal awam, khususnya berhubung isu-isu yang memberi kesan kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru pihak berkuasa yang berkaitan supaya memastikan sebarang siasatan dijalankan secara adil, bebas dan selaras dengan prinsip keperluan, perkadaran serta proses sewajarnya. Suruhanjaya turut menggesa agar undang-undang tidak digunakan dengan cara yang mewujudkan kesan ketakutan terhadap advokasi alam sekitar yang sah atau menghalang penyertaan awam dalam perkara-perkara berkaitan perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan.
SUHAKAM kekal komited untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia untuk semua serta menegaskan bahawa perlindungan terhadap pembela alam sekitar dan pemeliharaan ruang sivik merupakan prasyarat penting bagi memperkukuh keadilan alam sekitar, mencapai pembangunan mampan serta memastikan setiap individu dapat menikmati hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
1 Ogos 2026
