2

Kenyataan Media Bersama Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2025

MALAYSIA SAMBUT HARI HAK ASASI MANUSIA 2025

KUALA LUMPUR, 11 Disember 2025 Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Kementerian Luar Negeri (KLN), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia memperingati Hari Hak Asasi Manusia 2025 dengan menganjurkan sebuah forum bertajuk “Melindungi Generasi Masa Hadapan: Hak Asasi untuk Semua.”

Forum ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Azalina menegaskan bahawa melindungi hak dan maruah setiap kanak-kanak bukanlah satu pilihan, ia merupakan asas kekuatan moral Malaysia dan tanggungjawab bersama terhadap generasi akan datang. Seiring dengan evolusi ancaman yang semakin kompleks, beliau menegaskan bahawa undang-undang dan institusi perlu berkembang dengan lebih pantas. Hak asasi manusia akan berjaya dengan adanya sistem yang berwibawa, telus dan bertanggungjawab. Kanak-kanak tidak seharusnya menderita dalam senyap, sama ada dalam atau luar talian, dan dasar yang melibatkan kanak-kanak tidak boleh digubal tanpa suara mereka didengari. YB Dato’ Sri Azalina turut menyatakan komitmen Kerajaan untuk membina Malaysia yang mana setiap kanak-kanak dilindungi, dihargai dan diperkasa untuk mengejar impian serta menjalani kehidupan sepenuhnya.

Pengerusi SUHAKAM, Yang Berbahagia Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dalam ucapannya menyebut bahawa selaras dengan tema tahun ini, adalah penting untuk kita menyedari bahawa perlindungan generasi masa hadapan memerlukan komitmen berterusan terutamanya dalam pembangunan dasar, akauntabiliti institusi dan kesedaran awam. YBhg. Dato’ Seri Mohd Hishamudin turut menekankan bahawa hak asasi manusia adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, para pendidik, ibu bapa dan komuniti.

Dalam ucapan pembukaan beliau, Encik Robert Gass, Pemangku Penyelaras Residen PBB, menyatakan bahawa hak asasi manusia dinikmati atau dinafikan dalam kehidupan seharian setiap kanak-kanak, sama ada dalam aspek keselamatan di rumah, kesamarataan dalam bilik darjah, keadilan di mahkamah, dan maruah ketika berada di klinik. Dalam usaha Malaysia memperkukuh institusi dan memperbaharui komitmennya di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), perlu diingatkan bahawa kanak-kanak bukan penerima pasif tetapi pemegang hak yang masa depannya bergantung pada keputusan yang dibuat pada hari ini. Tugasnya mudah tetapi mendalam iaitu untuk merapatkan jurang antara hak yang diisytiharkan dan realiti yang dialami oleh kanak-kanak.

Hari Hak Asasi Manusia memperingati penggubalan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Tema tahun ini, “Hak Asasi: Keperluan Harian Kita,” amat signifikan bagi Malaysia kerana tahun ini merupakan 30 tahun penyertaan Malaysia kepada CRC dan Konvensyen tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), serta 15 tahun meratifikasi Konvensyen tentang Orang Kurang Upaya (CRPD). Komitmen antarabangsa ini telah mencorakkan pelbagai pembaharuan nasional. Seiring persiapan Malaysia untuk sesi libat urus bersama Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak pada tahun 2026, forum ini menegaskan akan kepentingan untuk mengekalkan momentum positif melalui dialog berterusan, pambangunan kapasiti, dan kerjasama antara institusi yang kukuh.

Forum yang dikendalikan oleh Puan Sitti Najihah Md Rusli dari UNICEF Malaysia, membincangkan mengenai “Hak Kanak-Kanak di Malaysia: Daripada Komitmen kepada Pemantauan dan Akauntabiliti”. Forum ini menampilkan panelis daripada pelbagai latar belakang iaitu Dr. Farah Nini Dusuki, Pesuruhjaya Kanak-Kanak, SUHAKAM; Encik Asmar Asmadi Bin Abdullah Sani, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, KPWKM; YA Datin Paduka Evrol Mariette Peters, Hakim Mahkamah Rayuan, mewakili badan kehakiman; Yang Berhormat Syereleena Abdul Rashid, Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti; Encik Thiyagu Ganesan, Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), BHEUU dan Cik Jessie Lee Jie Xing, wakil belia dan Ahli Majlis Konsultatif Kanak-Kanak (2025–2027), SUHAKAM.

Forum ini turut menyaksikan pelancaran modul “Belia Peduli Hak” oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Modul ini adalah sumber praktikal yang dibangunkan oleh SUHAKAM untuk meningkatkan kesedaran, pemerkasaan dan penyertaan bermakna dalam kalangan belia di seluruh negara.

Dalam ucapan penutupnya, Yang Berbahagia Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin, Timbalan Ketua Setiausaha KLN, menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat. Pendekatan ini perlu diperkukuh melalui kerjasama erat dengan pertubuhan masyarakat sivil bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti. YBhg. Datin Paduka Anizan Siti Hajjar turut menekankan bahawa komitmen ini mencerminkan aspirasi Malaysia Madani, yang berteraskan kepercayaan, kerjasama serta usaha membangunkan sebuah masyarakat yang inklusif, ihsan dan berkeprihatinan untuk semua rakyat Malaysia.

Forum hibrid ini telah dihadiri oleh lebih daripada 450 peserta daripada kalangan Kerajaan, kor diplomatik, belia, akademik, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan media.

Disediakan bersama oleh:

BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG- UNDANG, JABATAN PERDANA MENTERI (BHEUU)
KEMENTERIAN LUAR NEGERI MALAYSIA (KLN)
SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (SUHAKAM)
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU Di MALAYSIA (UNCT)

11 DISEMBER 2025

2

Kenyataan Media No. 56-2025_SUHAKAM Gesa Proses Telus dan Adil Susulan Serbuan di Pusat Kesihatan

KUALA LUMPUR (10 DISEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius operasi serbuan penguatkuasaan baru-baru ini di sebuah pusat kesihatan yang melibatkan beberapa individu, termasuk pegawai awam. SUHAKAM mengakui peranan agensi penguatkuasaan dalam menegakkan undang-undang serta tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menangani dakwaan salah laku dalam perkhidmatan awam. Namun demikian, tindakan tersebut mestilah dilaksanakan selaras dengan perlindungan perlembagaan dan undang-undang, proses wajar yang lebih wajar, serta penghormatan terhadap maruah manusia.

SUHAKAM mengambil maklum laporan bahawa serbuan dan tangkapan telah dibuat secara tergesa-gesa tanpa kehadiran atau pengecaman mangsa. Tindakan penguatkuasaan, terutamanya yang melibatkan soal tingkah laku peribadi dan penahanan seharusnya berdasarkan maklumat yang telah disahkan dan bukti yang boleh dipercayai. Dalam kes ini, tiada mangsa yang dapat dikenal pasti dan ketiadaan bukti, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur telah menimbulkan persoalan mengenai asas tangkapan besar-besaran tersebut dan sebarang tindakan tatatertib yang mungkin menyusul. SUHAKAM turut bimbang bahawa individu yang ditahan tidak dibebaskan dengan segera walaupun permohonan reman pihak polis telah ditolak oleh majistret. Sebarang kelewatan dalam pembebasan, apatah lagi kelewatan yang berpanjangan seperti dalam kes ini, selepas mahkamah menolak permohonan reman, menimbulkan persoalan serius mengenai kepatuhan kepada arahan kehakiman dan penghormatan terhadap kebebasan diri, di samping boleh menjejaskan proses wajar serta perlindungan Perlembagaan.

Penghargaan harus diberikan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur atas keterbukaan beliau menjelaskan bahawa “Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 377/372 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti untuk membolehkan polis meneruskan siasatan ke arah itu.” (Sunday Malay Mail, 30 November). Walau bagaimanapun, penjelasan ini menimbulkan persoalan: Jika tiada bukti, mengapakah tangkapan besar-besaran tersebut dilakukan pada awalnya? Tidakkah tindakan penahanan secara tergesa-gesa itu sendiri boleh dianggap sebagai pelanggaran Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang?

Bagi pegawai awam, SUHAKAM menegaskan keperluan untuk mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang memperincikan prosedur penyiasatan, proses tunjuk sebab dan inkuiri tatatertib yang adil, telus dan tidak berat sebelah. Pegawai mesti dimaklumkan dengan jelas mengenai dakwaan terhadap mereka dan diberikan peluang yang munasabah untuk menjawab sebelum apa-apa tindakan diambil. Keperluan ini diperkuatkan oleh Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang seseorang pegawai daripada dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa peluang yang munasabah untuk didengar. Perlindungan ini memastikan keputusan tatatertib dibuat secara adil, berdasarkan fakta dan undang-undang, dan bukan atas andaian awal atau prejudis.

SUHAKAM juga menzahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai pendedahan identiti individu yang terlibat. Hak terhadap privasi dan maruah mesti dilindungi sepanjang proses penyiasatan. Pendedahan kepada umum sebelum fakta dibuktikan boleh mendatangkan mudarat yang tidak sepatutnya dan tidak selaras dengan penjagaan maruah manusia serta piawaian hak asasi manusia, termasuk prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa:

i. Segala penyiasatan dijalankan secara telus, objektif dan berdasarkan bukti yang disahkan.

ii. Hak individu yang terlibat, termasuk pegawai awam, dipelihara sepenuhnya selaras dengan Peraturan 1993 serta jaminan perlembagaan.

iii. Identiti peribadi dilindungi sehingga proses wajar diselesaikan dan dapatan ditetapkan.

iv. Proses tatatertib tidak dimulakan atau dimuktamadkan secara tergesa-gesa sebelum semua fakta dinilai dengan sewajarnya.

SUHAKAM sekali lagi menegaskan bahawa pematuhan terhadap proses wajar adalah penting bukan sahaja untuk melindungi hak individu, tetapi juga untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan dan tatatertib. Penyiasatan yang adil dan telus serta pematuhan terhadap proses wajar mengukuhkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan integriti perkhidmatan awam Malaysia.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 10 Disember 2025

1

Kenyataan Media No. 55-2025_SUHAKAM Sambut Baik Komitmen Kerajaan Sarawak Tambah Baik Aksesibiliti Luar Bandar Menjelang 2030

KUALA LUMPUR (25 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sambut baik inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri Sarawak untuk meningkatkan aksesibiliti di wilayah utara Sarawak juga komitmen untuk merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar menjelang tahun 2030.

SUHAKAM mengambil maklum pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau), dan Long Panai–Long Lama (Projek Jalan MMMLL) pada 15 November 2025 iaitu inisiatif menaik taraf bekas jalan pembalakan kepada jalan awam yang boleh diakses sepenuhnya menjelang 2030. Inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak ini dijangka dapat meningkatkan aksesibiliti, merancakkan peluang ekonomi, serta mengukuhkan aktiviti sosial dan komersil di kawasan pedalaman.

SUHAKAM memuji perkembangan positif ini dan mengiktirafnya sebagai satu langkah penting ke arah memastikan komuniti yang tinggal di kawasan terpencil di Sarawak tidak terus tersisih akibat jurang infrastruktur yang telah lama wujud. Banyak komuniti yang terpinggir dan berada di kawasan pedalaman masih berdepan cabaran untuk mengakses perkhidmatan asas, mendapatkan peluang ekonomi, dan infrastruktur penting. Justeru, penambahbaikan keterhubungan yang mampan adalah penting bagi memastikan penyertaan mereka dalam perancangan pembangunan jangka panjang negeri. SUHAKAM berharap Projek Jalan MMMLL dapat dilaksanakan secara mampan, saksama dan inklusif, serta manfaatnya boleh dinikmati oleh semua komuniti, terutamanya komuniti tempatan yang sudah lama hidup dengan akses yang terhad.

SUHAKAM juga mengalu-alukan komitmen Premier untuk merapatkan jurang Pembangunan luar bandar–bandar menjelang 2030, seperti yang dilaporkan pada 23 November 2025. Premier menyatakan bahawa tidak seharusnya wujud sebarang ketidakseimbangan antara kawasan luar bandar dan bandar dari segi kemudahan dan infrastruktur, termasuk akses elektrik dan bekalan air bersih.

Meskipun gelombang kemajuan telah tercapai, SUHAKAM menegaskan bahawa masih banyak komuniti di luar bandar Sarawak yang ketinggalan dari segi kualiti hidup akibat infrastruktur yang tidak mencukupi. SUHAKAM menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk memberi keutamaan kepada cabaran berpanjangan ini supaya penduduk luar bandar dapat menikmati taraf hidup yang setara dengan komuniti bandar.

SUHAKAM memuji komitmen berwawasan tersebut dan melalui Pejabat SUHAKAM Sarawak, kami bersedia untuk menyokong usaha-usaha yang menjunjung hak dan maruah semua penduduk di Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di kawasan kurang mendapat perkhidmatan serta mereka yang tinggal di pedalaman.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 25 November 2025

E1

Kenyataan Media No. 54-2025_SUHAKAM Tekan Kepentingan Pelaksanaan Perintah Mahkamah Dalam Kes Indira Gandhi

KUALA LUMPUR (25 NOVEMBER 2025) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap kes melibatkan M. Indira Gandhi dan anaknya Prasana Diksa yang masih lagi berpanjangan. SUHAKAM menggesa Ketua Polis Negara (KPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mematuhi sepenuhnya perintah mahkamah serta memperhebat pencarian dan tidak lagi menangguhkan usaha bagi mengesan kanak-kanak tersebut.

SUHAKAM menegaskan bahawa setiap perintah mahkamah wajib dilaksanakan tanpa pengecualian. Mahkamah Tinggi telah mengarahkan KPN untuk mengesan Prasana Diksa dan menyerahkan beliau kepada ibunya. Kegagalan atau kelewatan melaksanakan arahan mahkamah merupakan pelanggaran serius yang menjejaskan kedaulatan undang-undang, menggugat proses keadilan dan menghakis keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

Sebagai peneraju pasukan polis negara, KPN memikul tanggungjawab besar untuk memastikan PDRM melaksanakan mandat mahkamah. PDRM mempunyai kuasa, keupayaan dan sumber siasatan yang mencukupi untuk mengesan individu serta melaksanakan perintah berkenaan. SUHAKAM menggesa KPN untuk memberi keutamaan kepada kes ini dengan penuh akauntabiliti dan tahap profesionalisme, serta memastikan segala sumber digunakan sebaiknya bagi mengesan dan membawa pulang kanak-kanak tersebut dengan selamat.

Hak dan kepentingan terbaik kanak-kanak mesti menjadi pertimbangan utama dalam setiap tindakan yang diambil. Penyerahan Prasana kepada ibunya adalah kewajipan undang-undang dan amat penting bagi kesejahteraan emosi, psikologi serta perkembangan kanak-kanak. SUHAKAM menegaskan bahawa semua langkah yang wajar perlu diambil untuk menjamin keselamatan dan maruah kanak-kanak.

SUHAKAM turut menggesa PDRM dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan maklumat dan perkembangan terkini secara berkala kepada Indira Gandhi, pasukan peguamnya dan orang awam mengenai status pencarian. Sikap berdiam diri dan komunikasi yang tidak jelas hanya menambah tekanan serta menjejaskan kepercayaan awam. Sekiranya terdapat cabaran ketika operasi atau sebarang isu perundangan dalam pelaksanaan perintah mahkamah, SUHAKAM menuntut penjelasan yang jelas dan kerjasama penuh antara semua agensi berkaitan bagi mengatasinya.

SUHAKAM mengakui penderitaan yang ditanggung Indira Gandhi sejak 16 tahun lalu dan kami berpandangan bahawa perarakan ke Bukit Aman baru-baru ini bukan sahaja menggambarkan penderitaan, namun ketabahan untuk mandapatkan keadilan. SUHAKAM amat kecewa dengan kegagalan KPN untuk menerima patung beruang simbolik yang ingin diserahkan oleh Indira Gandhi, ibu kepada Prasana, kanak-kanak yang telah diculik. Tindakan tersebut memberi pandangan negatif terhadap komitmen KPN dalam menguatkuasakan perintah mahkamah dan dalam tindakan yang betul dari segi moral dan undang-undang. Sebagai pelindung masyarakat, KPN mempunyai kewajipan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang. Institusi penguatkuasaan undang-undang harus menggunakan pendekatan kemanusiaan yang diperlukan dalam kes ini di samping menjalankan tugasan mereka dengan penuh tanggungjawab. Oleh yang demikian, SUHAKAM menyeru KPN menghormati perintah mahkamah dengan segera dan menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk menegakkan undang-undang. Melaksanakan keputusan mahkamah bukan hanya sekadar prosedur, ia adalah obligasi hak asasi manusia dan teras yang amat penting kepada tadbir urus yang berdemokrasi.

SUHAKAM seterusnya menyeru sokongan berterusan daripada orang awam, masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan. Kerjasama yang efektif antara institusi kehakiman, penguatkuasa undang-undang dan agensi sokongan sosial amat diperlukan untuk memastikan kes kanak-kanak hilang dapat diselesaikan dengan segera, telus dan selaras dengan kedaulatan undang-undang.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 25 November 2025

Template PS 2025

Kenyataan Media No. 53-2025_SUHAKAM Desak Pertuduhan Terhadap Mangsa Terselamat Dalam Tragedi Bot Karam Ditarik Balik Dan Menggesa Siasatan Difokuskan Kepada Rangkaian Pemerdagangan Manusia

KUALA LUMPUR (21 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) zahir kekecewaan terhadap laporan bahawa 11 daripada 14 mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam berhampiran Langkawi akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah. SUHAKAM menegaskan bahawa mereka tidak boleh dilayan sebagai penjenayah kerana mereka adalah individu tanpa kerakyatan serta mangsa kepada penganiayaan, pengusiran dan eksploitasi yang berlarutan sekian lama.

Sebahagian besar mangsa yang terselamat dipercayai merupakan etnik Rohingya, komuniti yang telah dinafikan kewarganegaraan selama beberapa dekad akibat pengecualian sistematik dan penafian hak di tempat asal mereka. Akibatnya, mereka terhalang daripada menikmati hak asas dan perlindungan undang-undang, memaksa ramai untuk melarikan diri demi keselamatan. Migrasi mereka bukan dibuat atas pilihan, namun atas keperluan mendesak untuk terus hidup. Menghukum mereka sebagai penjenayah adalah tidak adil kerana ia mengenepikan masalah sebenar termasuk pelanggaran hak asasi yang memaksa mereka melarikan diri melalui perjalanan yang berbahaya ini.

SUHAKAM menekankan bahawa mangsa yang dilayan sebagai golongan rentan merupakan pendekatan yang berprinsipkan perikemanusiaan dan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia. Pendekatan ini penting dalam membentuk kefahaman masyarakat, menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta mengukuhkan amalan kemanusiaan Malaysia terhadap golongan yang memerlukan. Penting untuk memastikan perbincangan di peringkat negara tidak menganggap orang yang terpaksa berhijrah sebagai berniat melakukan jenayah. Mereka mempertaruhkan nyawa di lautan demi mendapatkan perlindungan dan maruah dan tidak sewajarnya didakwa atas keadaan yang di luar kawalan mereka.

SUHAKAM turut menggesa pihak berkuasa mempergiatkan siasatan dan menggempur rangkaian pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi golongan tanpa kewarganegaraan dan yang dipindahkan secara paksa. Sindiket jenayah ini mengambil kesempatan terhadap desakan hidup mangsa, melakukan penindasan, memeras ugut dan mendedahkan mereka kepada bahaya yang serius. Penguatkuasaan yang efektif seharusnya menumpukan kepada sindiket dan mereka yang meraih keuntungan daripada eksploitasi, bukannya kepada mangsa yang menjadi sasaran mereka. Pihak berkuasa perlu membuat penilaian berdasarkan indikator pemerdagangan manusia selaras dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, bagi memastikan mangsa menerima hak perlindungan dan bukan hukuman.

SUHAKAM juga menyeru Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai pelindung hak dan keadilan masyarakat, agar menggunakan budi bicara dalam pendakwaan, berdasarkan pertimbangan kemanusiaan serta tanggungjawab moral dan undang-undang Malaysia. Pengguguran pertuduhan terhadap mangsa-mangsa ini akan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap maruah manusia.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa agar pertuduhan ditarik balik dengan segera dan supaya mangsa yang terselamat diberikan bantuan kemanusiaan, perlindungan serta proses sewajarnya. Malaysia perlu tegas memerangi rangkaian pemerdagangan manusia tanpa menghukum individu yang memerlukan perlindungan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh :21 November 2025

E0

Kenyataan Media Bersama SUHAKAM dan AICHR tentang Deklarasi ASEAN mengenai Hak Kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan dan Deklarasi ASEAN mengenai Pemerkasaan Hak Kepada Pembangunan dan Keamanan ke arah Pembangunan Inklusif dan Mampan

KUALA LUMPUR (20 NOVEMBER 2025) – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Wakil Malaysia ke Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Pengerusi AICHR tahun ini, TYT Edmund Bon Tai Soon, menyambut baik penerimaan dua Deklarasi bersejarah pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, iaitu Deklarasi ASEAN Mengenai Hak Kepada Alam Sekitar Yang Selamat, Bersih, Sihat Dan Mampan dan Deklarasi ASEAN mengenai Pemerkasaan Hak Kepada Pembangunan dan Hak kepada Keamanan ke arah merealisasikan Pembangunan Inklusif Dan Mampan.

Kedua-dua deklarasi ini menggambarkan komitmen Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menangani cabaran besar di rantau ini, termasuk isu kemusnahan alam sekitar, perubahan iklim serta isu ketidaksamarataan serta pembangunan yang tidak mampan, melalui pendekatan berasaskan lensa hak asasi manusia.

SUHAKAM dan AICHR Malaysia ingin menekankan akan kepentingan elemen yang substantif dan prosedur hak kepada alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan mampan: iklim yang selamat, udara bersih, ekosistem dan biodiversiti yang sihat, air yang selamat dan mencukupi, makanan yang sihat dan mampan, alam sekitar yang tidak tercemar, akses kepada maklumat, penglibatan awam yang efektif dan akses kepada remedi dan keadilan. Ini merupakan tunggak utama ke arah merealisasikan hak kepada alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan mampan. Selanjutnya, hak asasi manusia kepada pembangunan memerlukan kesemua aspek hak tersebut - ekonomi, sosial, budaya dan politik - dilindungi dan ditambah nilai secara bersepadu. Kami juga ingin menggariskan keunikan kedua-dua Deklarasi yang menyeru tanggungjawab dan akauntabiliti korporat, memastikan pelaku bukan negara dan perniagaan untuk mencegah, menghentikan, mengurangkan, dan mengatasi impak negatif dan bahaya kepada alam sekitar.

SUHAKAM dan AICHR Malaysia menegaskan bahawa kerosakan alam sekitar bukan sahaja mengancam ekosistem, tetapi juga kesihatan manusia, kebajikan dan keselamatan orang, dan kestabilan sosial. Sehubungan itu, semua negara harus memperkukuh rangka kerja perundangan dan institusi untuk melaksanakan hak-hak dalam kedua-dua Deklarasi serta menyelaras dasar domestik dengan komitmen serantau seperti yang termaktub di dalam Deklarasi-Deklarasi tersebut.

SUHAKAM secara konsisten telah menyeru agar hak kepada persekitaran yang bersih, sihat dan mampan dimasukkan di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. SUHAKAM turut mengesyorkan supaya Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang akan dibentangkan kelak akan mengambil kira sepenuhnya elemen-elemen dan prinsip-prinsip utama dalam kedua-dua Deklarasi tersebut.

Bagi memacu komitmen ini, SUHAKAM dan AICHR Malaysia menyeru semua Negara Anggota ASEAN untuk:

  1. Menginstitusikan elemen-elemen dan prinsip-prinsip utama kedua-dua Deklarasi ke dalam rangka kerja perundangan negara, termasuk pengiktirafan dalam perlembagaan dan reformasi undang-undang.
  2. Memastikan undang-undang berkaitan iklim dan alam sekitar pada masa hadapan, termasuk RUUPIN, menggunapakai pendekatan berasaskan hak asasi manusia yang berteraskan akses kepada remedi dan keadilan, ketelusan, penglibatan awam dan akauntabiliti.
  3. Memperkukuh kapasiti institusi serta mekanisme untuk menjamin akses kepada maklumat, penglibatan awam yang efektif serta akses kepada remedi dan keadilan terutamanya dalam hal berkaitan alam sekitar dan pembangunan, secara khususnya, dengan memberi lebih perlindungan kepada komuniti rentan dan terpinggir seperti Orang Asal/Asli dan pembela hak asasi manusia alam sekitar.
  4. Membangunkan obligasi yang jelas kepada pihak negara (Kerajaan) dan pelaku bukan negara, termasuk perniagaan, untuk mencegah, menghentikan, mengurangkan, dan mengatasi impak negatif dan bahaya kepada alam sekitar;
  5. Membangunkan kerjasama serantau rentas-sektor dan rentas-tunggak bagi melaksanakan kedua-dua Deklarasi secara inklusif dengan penyertaan penuh agensi-agensi Kerajaan berhubung perkara alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan, masyarakat sivil, pembela hak asasi manusial alam sekitar, dan komuniti yang terkesan.
  6. Memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan kedua-dua Deklarasi secara telus dan berkala melalui mekanisme yang boleh diakses secara umum.
  7. Menunjukkan komitmen politik yang tinggi untuk mendukung kedua-dua Deklarasi sebagai instrumen yang menjadi asas membentuk dasar, perancangan, dan tadbir urus di seluruh ASEAN.

Penerimaan kedua-dua Deklarasi ASEAN ini merupakan pencapaian signifikan yang membawa harapan besar terhadap masa depan di mana hak asasi manusia, kelestarian alam sekitar, pembangunan dan keamanan adalah saling bergantungan.

Sebagai bakal Pengerusi kepada Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF), SUHAKAM menegaskan komitmen kami untuk menyokong kerjasama hak asasi manusia serantau. Melalui kapasiti ini, SUHAKAM dan SEANF akan bekerjasama rapat menyokong kerja AICHR melalui advokasi bersama, pembangunan kapasiti, dan usaha pelaksanaan dalam kalangan ahli-ahli SEANF untuk memajukan prinsip kedua-dua Deklarasi ke seluruh Asia Tenggara.

SUHAKAM dan AICHR Malaysia sedia bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan, masyarakat sivil, badan serantau dan komuniti-komuniti untuk memastikan agar kedua-dua Deklarasi ini bukan sekadar simbolik, tetapi akan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, konsisten dan dikuatkuasakan. Kami menggesa semua Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menzahirkan komitmen dan menterjemahkannya sebagai realiti kehidupan rakyat ASEAN.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR Malaysia)
Tarikh: 20 November 2025

Template PS 2025 (2)

Kenyataan Media No. 52-2025_SUHAKAM Desak Hentikan Pengusiran Paksa Dan Menggesa Penghormatan Terhadap Hak Untuk Perumahan di Selangor

KUALA LUMPUR (13 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang sedang berlaku melibatkan dakwaan pengusiran paksa dan perobohan rumah penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor bagi tujuan pembangunan.

Menurut laporan media dan organisasi masyarakat sivil, lebih daripada 30 buah rumah termasuk rumah yang masih didiami telah dirobohkan meskipun terdapat laporan bahawa Pejabat Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan arahan agar tiada pengusiran paksa atau perobohan terhadap rumah dan premis yang masih didiami. Sekiranya rundingan masih belum mencukupi, SUHAKAM menasihatkan Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah segera untuk menjalankan proses rundingan yang telus dan inklusif bersama penduduk yang terjejas. SUHAKAM difahamkan bahawa kebanyakan penduduk telah menetap di kawasan tersebut selama beberapa dekad dan telah banyak menyumbang kepada kehidupan sosial dan ekonomi kepada komuniti. Kekurangan rundingan dan penjelasan yang sewajarnya atau pilihan perumahan alternatif yang bersesuaian, menimbulkan ketidakpastian mengenai penempatan semula atau pampasan yang sewajarnya.

SUHAKAM ingin mengingatkan semua pihak berkuasa bahawa Malaysia telah menyatakan komitmen kepada hak terhadap perumahan yang mencukupi sepertimana yang diiktiraf di bawah Artikel 25 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Artikel 11(1) Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR). Prinsip-prinsip ini turut disokong oleh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kepada kehidupan dan maruah. Pengusiran paksa yang dijalankan tanpa proses sewajarnya, tanpa rundingan atau tanpa penyediaan perumahan alternatif yang bersesuaian adalah bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia antarabangsa Malaysia. Pengusiran tidak seharusnya menyebabkan individu atau keluarga kehilangan tempat tinggal atau terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia yang lain.

SUHAKAM ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor serta agensi-agensinya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sebarang projek pembangunan semula adalah mematuhi piawaian hak asasi manusia. Ini termasuk rundingan yang telus dengan penduduk terjejas sebelum sebarang pengusiran dilakukan, pemberian notis yang mencukupi dan maklumat yang jelas mengenai proses pembangunan, jaminan keselamatan pemilikan dan pampasan yang adil sekiranya penempatan semula tidak dapat dielakkan, serta penyediaan perumahan atau tapak penempatan alternatif yang sesuai sebelum sebarang perobohan atau pemindahan dilaksanakan.

SUHAKAM mengiktiraf kepentingan pembangunan bandar dan penambahbaikan perumahan namun kami berpandangan bahawa pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengorbankan hak dan maruah rakyat. Layanan terhadap komuniti yang telah lama wujud seperti di Kampung Jalan Papan mencerminkan komitmen negara terhadap tadbir urus yang inklusif dan berasaskan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru agar:

i. Kerajaan Negeri Selangor, agensi-agensi negeri yang berkaitan dan pemaju segera menghentikan sebarang pengusiran lanjut sehingga satu proses rundingan yang telus dan sewajarnya dilaksanakan bersama penduduk terjejas;

ii. Kerajaan Negeri perlu menyediakan bantuan kemanusiaan segera serta tempat perlindungan sementara kepada keluarga yang terjejas akibat perobohan.

iii. Pihak berkuasa berunding secara telus dengan penduduk bagi membangunkan penyelesaian jangka panjang berkaitan penempatan semula atau perumahan yang melindungi hak terhadap perumahan yang mencukupi.

iv. Kerajaan Negeri meneliti semula dasar perumahan dan pembangunan tanah bagi mengelakkan berulangnya pengusiran paksa, serta memastikan semua projek masa hadapan dijalankan mengikut piawaian hak asasi manusia dan proses sewajarnya.

SUHAKAM menegaskan bahawa kemajuan dan pembangunan harus dilaksanakan dengan cara yang menghormati maruah manusia, melindungi komuniti rentan, serta menegakkan kedaulatan undang-undang. Hak terhadap perumahan yang mencukupi bukan sekadar pilihan dasar, tetapi merupakan tanggungjawab undang-undang dan moral oleh pihak Kerajaan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 13 November 2025

Template PS 2025 (2)

Kenyataan Media No. 51-2025_SUHAKAM Zahir Kebimbangan Mengenai Dakwaan Layanan Buruk Terhadap Kanak-Kanak Dan Keputusan Pendakwaan Dalam Kes GISBH

KUALA LUMPUR (13 NOVEMBER 2025) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini berkaitan kes pendakwaan yang melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang telah menimbulkan keresahan awam mengenai tahap perlindungan hak kanak-kanak di Malaysia.

SUHAKAM maklum bahawa lebih daripada 400 orang kanak-kanak, termasuk bayi, telah diselamatkan daripada rumah jagaan yang dikendalikan oleh GISBH selepas tindakan penguatkuasaan bersepadu dijalankan pada penghujung tahun 2024. Dakwaan berhubung penderaan fizikal, pengabaian, serta perlakuan jenayah seksual, di samping laporan mengenai eksploitasi ekonomi terhadap kanak-kanak adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi dan maruah mereka.

SUHAKAM menegaskan bahawa kepimpinan dan pemilik GISBH gagal untuk melindungi kanak-kanak di bawah jagaan mereka, bahkan mendedahkan mereka kepada eksploitasi dan penderaan yang merupakan pelanggaran berat terhadap tanggungjawab undang-undang dan moral. Perkara ini menimbulkan kebimbangan awam susulan laporan bahawa sebahagian pemimpin GISBH telah dibebaskan atau dikenakan pertuduhan yang lebih ringan, sekali gus menimbulkan desakan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak lebih telus dan bertanggungjawab.

Sebagai sebuah negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), SUHAKAM menegaskan bahawa undang-undang negara mesti dikuatkuasakan sepenuhnya bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi ekonomi, khususnya kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017. Segala keputusan berkaitan pendakwaan bagi kesalahan seumpama ini hendaklah mengutamakan keadilan, perlindungan dan pencegahan, serta sentiasa berpaksikan kepada kepentingan terbaik kanak-kanak.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa AGC untuk memberikan penjelasan terperinci dan terbuka kepada umum berhubung keputusan pendakwaan yang telah dibuat serta mendedahkan butiran kes berkaitan dakwaan penderaan seksual, keganasan dan eksploitasi, bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan keadilan. Bagi kes yang telah didakwa, pengadu dan kanak-kanak terlibat hendaklah dimaklumkan mengenai perkembangan serta langkah-langkah susulan.

The Ministry of Women, Family and Community Development (KPWKM) and the Department of Social Welfare (JKM) must urgently review and strengthen the regulation and monitoring of all welfare and faith-based homes. Enforcement agencies must also ensure that investigations are conducted promptly, professionally, and with due sensitivity to child victims. Private children’s homes must be properly regulated and held accountable to care and protection standards.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu segera meneliti semula dan memperkukuh peraturan serta pemantauan terhadap semua rumah kebajikan dan rumah berasaskan keagamaan. Agensi penguatkuasaan pula harus memastikan siasatan dijalankan dengan segera, profesional dan penuh kepekaan terhadap mangsa kanak-kanak. Rumah kebajikan kanak-kanak persendirian hendaklah dikawal selia dengan sewajarnya dan dipertanggungjawabkan mengikut piawaian penjagaan dan perlindungan yang ditetapkan.

Memandangkan Malaysia dijadualkan untuk semakan semula oleh Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun hadapan, ini merupakan peluang penting bagi Kerajaan untuk menunjukkan komitmen yang bermakna dalam menjunjung hak kanak-kanak melalui akauntabiliti, penguatkuasaan, dan pendakwaan berkesan terhadap jenayah terhadap kanak-kanak. Bagi memastikan akauntabiliti dan pembaharuan sistemik, SUHAKAM sekali lagi mengulangi gesaannya agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penderaan serta meneliti tadbir urus institusi kebajikan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak. SUHAKAM juga menggesa semua pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan semua kanak-kanak yang telah diselamatkan, termasuk mereka yang telah disatukan semula atau dikembalikan kepada keluarga, terus dipantau dan diberikan sokongan psikososial, tempat perlindungan yang selamat serta akses kepada keadilan, selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia. Langkah-langkah ini amat penting bagi menjamin keselamatan, pemulihan dan kesejahteraan berterusan setiap kanak-kanak.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 13 November 2025

Template PS 2025

Kenyataan Media No. 50-2025_SUHAKAM Menyambut Baik Keputusan Mahkamah Tinggi Mengenai Kes Kehilangan Paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat

KUALA LUMPUR (8 NOVEMBER 2025) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa Kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab dalam kes kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat. Keputusan yang dibacakan oleh Yang Arif Dato’ Su Tiang Joo, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini adalah tanda aras penting dalam mengiktiraf tanggungjawab negara terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius, sekali gus menegaskan prinsip keadilan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

SUHAKAM memuji keputusan Mahkamah dalam kes Pastor Koh yang mengarahkan Kerajaan untuk membayar pampasan sebanyak RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017 sehingga beliau ditemui, selain daripada ganti rugi am dan ganti rugi teruk. Dalam kes Amri Che Mat, Mahkamah turut memutuskan bahawa Kerajaan bertanggungjawab dan mengarahkan bayaran pampasan dan membuka semula siasatan. Keputusan ini adalah selaras dengan dapatan Siasatan Awam SUHAKAM pada tahun 2019 yang menyatakan bahawa kedua-dua individu tersebut adalah mangsa kehilangan paksa.

SUHAKAM berpandangan bahawa arahan Mahkamah supaya siasatan dibuka semula, pegawai yang terlibat dipindahkan daripada tugas penyiasatan, serta laporan berkala diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, merupakan langkah yang positif dan penting. SUHAKAM menegaskan bahawa tindakan pemulihan yang berkesan memerlukan siasatan yang menyeluruh, bebas, telus dan segera. Usaha ini bukan sahaja bagi memastikan akauntabiliti, tetapi untuk mencegah kejadian yang sama daripada berulang kembali.

Walaupun nilai pampasan tidak dapat menggantikan kehilangan yang dialami oleh keluarga Pastor Koh dan Amri Che Mat, keputusan Mahkamah ini mengiktiraf penderitaan yang ditanggung dan membawa mesej yang jelas bahawa kehilangan paksa tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan. SUHAKAM juga menggesa tindakan reformasi, termasuk penubuhan mekanisme pencegahan kebangsaan yang khusus bagi menangani isu kehilangan paksa seperti yang telah disyorkan sebelum ini.

Di samping menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi, SUHAKAM turut menegaskan bahawa kes kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu yang dilaporkan kali terakhir dilihat pada 30 November 2016 tidak harus dilupakan. Kes ini berlaku dalam tempoh yang hampir sama dengan kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, dan turut menjadi subjek Siasatan Awam SUHAKAM yang turut mendedahkan kegagalan serius pihak berkuasa untuk bertindak dengan segera, teliti dan profesional. SUHAKAM juga ingin mengingatkan kembali hasil dapatan Siasatan Awam pada tahun 2022 yang diketuai oleh Dato’ Seri Hishamudin Yunus bahawa kedua-dua individu tersebut telah diculik oleh orang yang tidak dikenali dan kegagalan siasatan polis yang serius telah menunjukkan penglibatan pasif pihak berkuasa. Walaupun SUHAKAM telah mengesyorkan agar pihak polis mempertingkatkan usaha siasatan, Suruhanjaya masih belum menerima sebarang maklum balas atau perkembangan yang substantif.

Kes tragis Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu kekal sebagai peringatan yang serius tentang keperluan berterusan untuk akauntabiliti dan reformasi institusi. Walaupun keluarga mereka tidak membawa kes ini ke Mahkamah, keadilan dan kebenaran bagi mereka tetap penting. SUHAKAM menyeru pihak berkuasa untuk mengambil langkah segera dan konkrit bagi menggiatkan semula siasatan terhadap kehilangan mereka serta memaklumkan perkembangan kepada Suruhanjaya dan keluarga mangsa.

SUHAKAM kekal komited memantau pelaksanaan Keputusan Mahkamah Tinggi dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa, menyokong keluarga mangsa dan memperjuangkan reformasi yang menyeluruh bagi memastikan perlindungan terhadap hak asasi manusia di masa hadapan. SUHAKAM yakin bahawa Kerajaan akan mengambil peluang ini untuk memperkukuh komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dengan melaksanakan arahan Mahkamah secara berkesan, memastikan akauntabiliti penuh dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan terhadap penyalahgunaan kuasa di masa hadapan. SUHAKAM turut menyeru semua pihak berkepentingan agar bertindak segera dan tegas dalam memperjuangkan kebenaran, keadilan dan reformasi institusi.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 8 November 2025