KUALA LUMPUR (13 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang sedang berlaku melibatkan dakwaan pengusiran paksa dan perobohan rumah penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor bagi tujuan pembangunan.
Menurut laporan media dan organisasi masyarakat sivil, lebih daripada 30 buah rumah termasuk rumah yang masih didiami telah dirobohkan meskipun terdapat laporan bahawa Pejabat Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan arahan agar tiada pengusiran paksa atau perobohan terhadap rumah dan premis yang masih didiami. Sekiranya rundingan masih belum mencukupi, SUHAKAM menasihatkan Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah segera untuk menjalankan proses rundingan yang telus dan inklusif bersama penduduk yang terjejas. SUHAKAM difahamkan bahawa kebanyakan penduduk telah menetap di kawasan tersebut selama beberapa dekad dan telah banyak menyumbang kepada kehidupan sosial dan ekonomi kepada komuniti. Kekurangan rundingan dan penjelasan yang sewajarnya atau pilihan perumahan alternatif yang bersesuaian, menimbulkan ketidakpastian mengenai penempatan semula atau pampasan yang sewajarnya.
SUHAKAM ingin mengingatkan semua pihak berkuasa bahawa Malaysia telah menyatakan komitmen kepada hak terhadap perumahan yang mencukupi sepertimana yang diiktiraf di bawah Artikel 25 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Artikel 11(1) Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR). Prinsip-prinsip ini turut disokong oleh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kepada kehidupan dan maruah. Pengusiran paksa yang dijalankan tanpa proses sewajarnya, tanpa rundingan atau tanpa penyediaan perumahan alternatif yang bersesuaian adalah bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia antarabangsa Malaysia. Pengusiran tidak seharusnya menyebabkan individu atau keluarga kehilangan tempat tinggal atau terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia yang lain.
SUHAKAM ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor serta agensi-agensinya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sebarang projek pembangunan semula adalah mematuhi piawaian hak asasi manusia. Ini termasuk rundingan yang telus dengan penduduk terjejas sebelum sebarang pengusiran dilakukan, pemberian notis yang mencukupi dan maklumat yang jelas mengenai proses pembangunan, jaminan keselamatan pemilikan dan pampasan yang adil sekiranya penempatan semula tidak dapat dielakkan, serta penyediaan perumahan atau tapak penempatan alternatif yang sesuai sebelum sebarang perobohan atau pemindahan dilaksanakan.
SUHAKAM mengiktiraf kepentingan pembangunan bandar dan penambahbaikan perumahan namun kami berpandangan bahawa pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengorbankan hak dan maruah rakyat. Layanan terhadap komuniti yang telah lama wujud seperti di Kampung Jalan Papan mencerminkan komitmen negara terhadap tadbir urus yang inklusif dan berasaskan hak asasi manusia.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru agar:
i. Kerajaan Negeri Selangor, agensi-agensi negeri yang berkaitan dan pemaju segera menghentikan sebarang pengusiran lanjut sehingga satu proses rundingan yang telus dan sewajarnya dilaksanakan bersama penduduk terjejas;
ii. Kerajaan Negeri perlu menyediakan bantuan kemanusiaan segera serta tempat perlindungan sementara kepada keluarga yang terjejas akibat perobohan.
iii. Pihak berkuasa berunding secara telus dengan penduduk bagi membangunkan penyelesaian jangka panjang berkaitan penempatan semula atau perumahan yang melindungi hak terhadap perumahan yang mencukupi.
iv. Kerajaan Negeri meneliti semula dasar perumahan dan pembangunan tanah bagi mengelakkan berulangnya pengusiran paksa, serta memastikan semua projek masa hadapan dijalankan mengikut piawaian hak asasi manusia dan proses sewajarnya.
SUHAKAM menegaskan bahawa kemajuan dan pembangunan harus dilaksanakan dengan cara yang menghormati maruah manusia, melindungi komuniti rentan, serta menegakkan kedaulatan undang-undang. Hak terhadap perumahan yang mencukupi bukan sekadar pilihan dasar, tetapi merupakan tanggungjawab undang-undang dan moral oleh pihak Kerajaan.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 13 November 2025
