Kenyataan Media No. 56-2025_SUHAKAM Gesa Proses Telus dan Adil Susulan Serbuan di Pusat Kesihatan

KUALA LUMPUR (10 DISEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius operasi serbuan penguatkuasaan baru-baru ini di sebuah pusat kesihatan yang melibatkan beberapa individu, termasuk pegawai awam. SUHAKAM mengakui peranan agensi penguatkuasaan dalam menegakkan undang-undang serta tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menangani dakwaan salah laku dalam perkhidmatan awam. Namun demikian, tindakan tersebut mestilah dilaksanakan selaras dengan perlindungan perlembagaan dan undang-undang, proses wajar yang lebih wajar, serta penghormatan terhadap maruah manusia.

SUHAKAM mengambil maklum laporan bahawa serbuan dan tangkapan telah dibuat secara tergesa-gesa tanpa kehadiran atau pengecaman mangsa. Tindakan penguatkuasaan, terutamanya yang melibatkan soal tingkah laku peribadi dan penahanan seharusnya berdasarkan maklumat yang telah disahkan dan bukti yang boleh dipercayai. Dalam kes ini, tiada mangsa yang dapat dikenal pasti dan ketiadaan bukti, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur telah menimbulkan persoalan mengenai asas tangkapan besar-besaran tersebut dan sebarang tindakan tatatertib yang mungkin menyusul. SUHAKAM turut bimbang bahawa individu yang ditahan tidak dibebaskan dengan segera walaupun permohonan reman pihak polis telah ditolak oleh majistret. Sebarang kelewatan dalam pembebasan, apatah lagi kelewatan yang berpanjangan seperti dalam kes ini, selepas mahkamah menolak permohonan reman, menimbulkan persoalan serius mengenai kepatuhan kepada arahan kehakiman dan penghormatan terhadap kebebasan diri, di samping boleh menjejaskan proses wajar serta perlindungan Perlembagaan.

Penghargaan harus diberikan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur atas keterbukaan beliau menjelaskan bahawa “Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 377/372 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti untuk membolehkan polis meneruskan siasatan ke arah itu.” (Sunday Malay Mail, 30 November). Walau bagaimanapun, penjelasan ini menimbulkan persoalan: Jika tiada bukti, mengapakah tangkapan besar-besaran tersebut dilakukan pada awalnya? Tidakkah tindakan penahanan secara tergesa-gesa itu sendiri boleh dianggap sebagai pelanggaran Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang?

Bagi pegawai awam, SUHAKAM menegaskan keperluan untuk mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang memperincikan prosedur penyiasatan, proses tunjuk sebab dan inkuiri tatatertib yang adil, telus dan tidak berat sebelah. Pegawai mesti dimaklumkan dengan jelas mengenai dakwaan terhadap mereka dan diberikan peluang yang munasabah untuk menjawab sebelum apa-apa tindakan diambil. Keperluan ini diperkuatkan oleh Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang seseorang pegawai daripada dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa peluang yang munasabah untuk didengar. Perlindungan ini memastikan keputusan tatatertib dibuat secara adil, berdasarkan fakta dan undang-undang, dan bukan atas andaian awal atau prejudis.

SUHAKAM juga menzahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai pendedahan identiti individu yang terlibat. Hak terhadap privasi dan maruah mesti dilindungi sepanjang proses penyiasatan. Pendedahan kepada umum sebelum fakta dibuktikan boleh mendatangkan mudarat yang tidak sepatutnya dan tidak selaras dengan penjagaan maruah manusia serta piawaian hak asasi manusia, termasuk prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa:

i. Segala penyiasatan dijalankan secara telus, objektif dan berdasarkan bukti yang disahkan.

ii. Hak individu yang terlibat, termasuk pegawai awam, dipelihara sepenuhnya selaras dengan Peraturan 1993 serta jaminan perlembagaan.

iii. Identiti peribadi dilindungi sehingga proses wajar diselesaikan dan dapatan ditetapkan.

iv. Proses tatatertib tidak dimulakan atau dimuktamadkan secara tergesa-gesa sebelum semua fakta dinilai dengan sewajarnya.

SUHAKAM sekali lagi menegaskan bahawa pematuhan terhadap proses wajar adalah penting bukan sahaja untuk melindungi hak individu, tetapi juga untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan dan tatatertib. Penyiasatan yang adil dan telus serta pematuhan terhadap proses wajar mengukuhkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan integriti perkhidmatan awam Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 10 Disember 2025

Tags: No tags

Comments are closed.