KUALA LUMPUR (20 NOVEMBER 2025) – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Wakil Malaysia ke Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Pengerusi AICHR tahun ini, TYT Edmund Bon Tai Soon, menyambut baik penerimaan dua Deklarasi bersejarah pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, iaitu Deklarasi ASEAN Mengenai Hak Kepada Alam Sekitar Yang Selamat, Bersih, Sihat Dan Mampan dan Deklarasi ASEAN mengenai Pemerkasaan Hak Kepada Pembangunan dan Hak kepada Keamanan ke arah merealisasikan Pembangunan Inklusif Dan Mampan.
Kedua-dua deklarasi ini menggambarkan komitmen Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menangani cabaran besar di rantau ini, termasuk isu kemusnahan alam sekitar, perubahan iklim serta isu ketidaksamarataan serta pembangunan yang tidak mampan, melalui pendekatan berasaskan lensa hak asasi manusia.
SUHAKAM dan AICHR Malaysia ingin menekankan akan kepentingan elemen yang substantif dan prosedur hak kepada alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan mampan: iklim yang selamat, udara bersih, ekosistem dan biodiversiti yang sihat, air yang selamat dan mencukupi, makanan yang sihat dan mampan, alam sekitar yang tidak tercemar, akses kepada maklumat, penglibatan awam yang efektif dan akses kepada remedi dan keadilan. Ini merupakan tunggak utama ke arah merealisasikan hak kepada alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan mampan. Selanjutnya, hak asasi manusia kepada pembangunan memerlukan kesemua aspek hak tersebut - ekonomi, sosial, budaya dan politik - dilindungi dan ditambah nilai secara bersepadu. Kami juga ingin menggariskan keunikan kedua-dua Deklarasi yang menyeru tanggungjawab dan akauntabiliti korporat, memastikan pelaku bukan negara dan perniagaan untuk mencegah, menghentikan, mengurangkan, dan mengatasi impak negatif dan bahaya kepada alam sekitar.
SUHAKAM dan AICHR Malaysia menegaskan bahawa kerosakan alam sekitar bukan sahaja mengancam ekosistem, tetapi juga kesihatan manusia, kebajikan dan keselamatan orang, dan kestabilan sosial. Sehubungan itu, semua negara harus memperkukuh rangka kerja perundangan dan institusi untuk melaksanakan hak-hak dalam kedua-dua Deklarasi serta menyelaras dasar domestik dengan komitmen serantau seperti yang termaktub di dalam Deklarasi-Deklarasi tersebut.
SUHAKAM secara konsisten telah menyeru agar hak kepada persekitaran yang bersih, sihat dan mampan dimasukkan di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. SUHAKAM turut mengesyorkan supaya Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang akan dibentangkan kelak akan mengambil kira sepenuhnya elemen-elemen dan prinsip-prinsip utama dalam kedua-dua Deklarasi tersebut.
Bagi memacu komitmen ini, SUHAKAM dan AICHR Malaysia menyeru semua Negara Anggota ASEAN untuk:
- Menginstitusikan elemen-elemen dan prinsip-prinsip utama kedua-dua Deklarasi ke dalam rangka kerja perundangan negara, termasuk pengiktirafan dalam perlembagaan dan reformasi undang-undang.
- Memastikan undang-undang berkaitan iklim dan alam sekitar pada masa hadapan, termasuk RUUPIN, menggunapakai pendekatan berasaskan hak asasi manusia yang berteraskan akses kepada remedi dan keadilan, ketelusan, penglibatan awam dan akauntabiliti.
- Memperkukuh kapasiti institusi serta mekanisme untuk menjamin akses kepada maklumat, penglibatan awam yang efektif serta akses kepada remedi dan keadilan terutamanya dalam hal berkaitan alam sekitar dan pembangunan, secara khususnya, dengan memberi lebih perlindungan kepada komuniti rentan dan terpinggir seperti Orang Asal/Asli dan pembela hak asasi manusia alam sekitar.
- Membangunkan obligasi yang jelas kepada pihak negara (Kerajaan) dan pelaku bukan negara, termasuk perniagaan, untuk mencegah, menghentikan, mengurangkan, dan mengatasi impak negatif dan bahaya kepada alam sekitar;
- Membangunkan kerjasama serantau rentas-sektor dan rentas-tunggak bagi melaksanakan kedua-dua Deklarasi secara inklusif dengan penyertaan penuh agensi-agensi Kerajaan berhubung perkara alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan, masyarakat sivil, pembela hak asasi manusial alam sekitar, dan komuniti yang terkesan.
- Memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan kedua-dua Deklarasi secara telus dan berkala melalui mekanisme yang boleh diakses secara umum.
- Menunjukkan komitmen politik yang tinggi untuk mendukung kedua-dua Deklarasi sebagai instrumen yang menjadi asas membentuk dasar, perancangan, dan tadbir urus di seluruh ASEAN.
Penerimaan kedua-dua Deklarasi ASEAN ini merupakan pencapaian signifikan yang membawa harapan besar terhadap masa depan di mana hak asasi manusia, kelestarian alam sekitar, pembangunan dan keamanan adalah saling bergantungan.
Sebagai bakal Pengerusi kepada Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF), SUHAKAM menegaskan komitmen kami untuk menyokong kerjasama hak asasi manusia serantau. Melalui kapasiti ini, SUHAKAM dan SEANF akan bekerjasama rapat menyokong kerja AICHR melalui advokasi bersama, pembangunan kapasiti, dan usaha pelaksanaan dalam kalangan ahli-ahli SEANF untuk memajukan prinsip kedua-dua Deklarasi ke seluruh Asia Tenggara.
SUHAKAM dan AICHR Malaysia sedia bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan, masyarakat sivil, badan serantau dan komuniti-komuniti untuk memastikan agar kedua-dua Deklarasi ini bukan sekadar simbolik, tetapi akan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, konsisten dan dikuatkuasakan. Kami menggesa semua Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menzahirkan komitmen dan menterjemahkannya sebagai realiti kehidupan rakyat ASEAN.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR Malaysia)
Tarikh: 20 November 2025
