Kenyataan Media No. 51-2025_SUHAKAM Zahir Kebimbangan Mengenai Dakwaan Layanan Buruk Terhadap Kanak-Kanak Dan Keputusan Pendakwaan Dalam Kes GISBH

KUALA LUMPUR (13 NOVEMBER 2025) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini berkaitan kes pendakwaan yang melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang telah menimbulkan keresahan awam mengenai tahap perlindungan hak kanak-kanak di Malaysia.

SUHAKAM maklum bahawa lebih daripada 400 orang kanak-kanak, termasuk bayi, telah diselamatkan daripada rumah jagaan yang dikendalikan oleh GISBH selepas tindakan penguatkuasaan bersepadu dijalankan pada penghujung tahun 2024. Dakwaan berhubung penderaan fizikal, pengabaian, serta perlakuan jenayah seksual, di samping laporan mengenai eksploitasi ekonomi terhadap kanak-kanak adalah pelanggaran serius terhadap hak asasi dan maruah mereka.

SUHAKAM menegaskan bahawa kepimpinan dan pemilik GISBH gagal untuk melindungi kanak-kanak di bawah jagaan mereka, bahkan mendedahkan mereka kepada eksploitasi dan penderaan yang merupakan pelanggaran berat terhadap tanggungjawab undang-undang dan moral. Perkara ini menimbulkan kebimbangan awam susulan laporan bahawa sebahagian pemimpin GISBH telah dibebaskan atau dikenakan pertuduhan yang lebih ringan, sekali gus menimbulkan desakan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak lebih telus dan bertanggungjawab.

Sebagai sebuah negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), SUHAKAM menegaskan bahawa undang-undang negara mesti dikuatkuasakan sepenuhnya bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan, penderaan, pengabaian dan eksploitasi ekonomi, khususnya kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017. Segala keputusan berkaitan pendakwaan bagi kesalahan seumpama ini hendaklah mengutamakan keadilan, perlindungan dan pencegahan, serta sentiasa berpaksikan kepada kepentingan terbaik kanak-kanak.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa AGC untuk memberikan penjelasan terperinci dan terbuka kepada umum berhubung keputusan pendakwaan yang telah dibuat serta mendedahkan butiran kes berkaitan dakwaan penderaan seksual, keganasan dan eksploitasi, bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan keadilan. Bagi kes yang telah didakwa, pengadu dan kanak-kanak terlibat hendaklah dimaklumkan mengenai perkembangan serta langkah-langkah susulan.

The Ministry of Women, Family and Community Development (KPWKM) and the Department of Social Welfare (JKM) must urgently review and strengthen the regulation and monitoring of all welfare and faith-based homes. Enforcement agencies must also ensure that investigations are conducted promptly, professionally, and with due sensitivity to child victims. Private children’s homes must be properly regulated and held accountable to care and protection standards.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu segera meneliti semula dan memperkukuh peraturan serta pemantauan terhadap semua rumah kebajikan dan rumah berasaskan keagamaan. Agensi penguatkuasaan pula harus memastikan siasatan dijalankan dengan segera, profesional dan penuh kepekaan terhadap mangsa kanak-kanak. Rumah kebajikan kanak-kanak persendirian hendaklah dikawal selia dengan sewajarnya dan dipertanggungjawabkan mengikut piawaian penjagaan dan perlindungan yang ditetapkan.

Memandangkan Malaysia dijadualkan untuk semakan semula oleh Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun hadapan, ini merupakan peluang penting bagi Kerajaan untuk menunjukkan komitmen yang bermakna dalam menjunjung hak kanak-kanak melalui akauntabiliti, penguatkuasaan, dan pendakwaan berkesan terhadap jenayah terhadap kanak-kanak. Bagi memastikan akauntabiliti dan pembaharuan sistemik, SUHAKAM sekali lagi mengulangi gesaannya agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penderaan serta meneliti tadbir urus institusi kebajikan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak. SUHAKAM juga menggesa semua pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan semua kanak-kanak yang telah diselamatkan, termasuk mereka yang telah disatukan semula atau dikembalikan kepada keluarga, terus dipantau dan diberikan sokongan psikososial, tempat perlindungan yang selamat serta akses kepada keadilan, selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia. Langkah-langkah ini amat penting bagi menjamin keselamatan, pemulihan dan kesejahteraan berterusan setiap kanak-kanak.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 13 November 2025

Tags: No tags

Comments are closed.