KUALA LUMPUR (9 OCTOBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa Belanjawan 2027 perlu melangkaui pertumbuhan ekonomi dan keutamaan fiskal dengan menangani keperluan harian, hak dan kesejahteraan rakyat di seluruh Malaysia. Belanjawan negara bukan sekadar pelan kewangan. Belanjawan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh semua, khususnya mereka yang paling terkesan akibat jurang ekonomi dan sosial.
Ibubapa seharusnya dapat menghantar anak ke sekolah dengan keyakinan bahawa anak mereka berada dalam keadaan selamat. Setiap pekerja, termasuk pekerja gig, seharusnya dapat memperoleh pendapatan yang mencukupi tanpa dieksploitasi dan dengan perlindungan sosial yang sewajarnya. Petani dan pengusaha kecil sektor makanan perlu dibantu untuk mengekalkan mata pencarian mereka, di samping memastikan akses kepada makanan yang mampu dibeli, selamat dan berkhasiat. Semua ini merupakan isu hak asasi manusia dalam kehidupan seharian yang wajar menjadi panduan kepada perbelanjaan awam demi mencapai kesaksamaan, keadilan dan kebertanggungjawaban yang lebih baik.
SUHAKAM mengiktiraf tanggungjawab Kerajaan untuk mengimbangi pelbagai keutamaan fiskal. Namun, pelaburan yang tidak mencukupi dalam perkhidmatan asas dan langkah pencegahan boleh memperdalam ketidaksamaan serta meningkatkan tekanan terhadap institusi awam. Oleh itu, Belanjawan 2027 perlu mengutamakan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, pendidikan, perumahan mampu milik dan perlindungan sosial, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah, orang kurang upaya, warga emas, wanita, kanak-kanak dan masyarakat luar bandar. Selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), SUHAKAM menyeru agar belanjawan yang inklusif terhadap orang kurang upaya dan responsif gender dilaksanakan. Pendekatan ini penting bagi memastikan sumber awam menangani ketidaksamaan sedia ada, menghapuskan halangan kepada perkhidmatan asas dan menggalakkan peluang yang sama rata bagi wanita, kanak-kanak perempuan dan orang kurang upaya.
Keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak mesti terus menjadi keutamaan negara. Melalui Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), SUHAKAM berulang kali membangkitkan kebimbangan tentang buli, keganasan dan langkah perlindungan yang tidak mencukupi di sekolah. Kebimbangan ini menunjukkan perlunya pelaburan berterusan dalam keselamatan sekolah, mekanisme pelaporan yang berkesan, sokongan psikososial dan kebertanggungjawaban institusi bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong.
Pembangunan ekonomi juga perlu melindungi hak pekerja dan mata pencarian yang mampan. Perhatian khusus perlu diberikan kepada pekerja gig dan mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal, yang berdepan ketidaktentuan pendapatan, perlindungan sosial yang terhad dan risiko pekerjaan. Sokongan kepada petani, pekebun kecil, nelayan dan masyarakat luar bandar yang menghadapi peningkatan kos, kemerosotan alam sekitar dan cabaran berkaitan perubahan iklim juga sama penting. Belanjawan 2027 perlu memperkukuh keterjaminan makanan, pertanian mampan dan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab, di samping melindungi alam sekitar serta hak masyarakat yang terkesan, termasuk Masyarakat Orang Asal.
Institusi yang kukuh dan bebas penting bagi memastikan dasar negara membawa perubahan yang bermakna dalam kehidupan rakyat. Sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia, SUHAKAM memainkan peranan penting dalam menasihati Kerajaan, meneliti dan menyiasat aduan, menjalankan pemantauan, meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia serta mengesyorkan pembaharuan institusi. Walau bagaimanapun, SUHAKAM terus berdepan kekangan kewangan yang serius. Hampir 90 peratus daripada belanjawan tahunannya diperuntukkan kepada emolumen dan perbelanjaan operasi asas, sekali gus mengehadkan sumber bagi pelaksanaan program dan aktiviti. Kekangan ini telah menjejaskan keupayaan Suruhanjaya untuk memperluas siasatan, pemantauan dan pendidikan hak asasi manusia. Perancangan untuk menubuhkan pejabat wilayah bagi meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan SUHAKAM juga masih belum dapat direalisasikan. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tanggungjawab SUHAKAM terus berkembang, termasuk melalui pengukuhan mandat OCC.
SUHAKAM menegaskan bahawa Seksyen 19(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] menetapkan kewajipan undang-undang yang jelas kepada Kerajaan untuk menyediakan peruntukan tahunan yang mencukupi bagi membolehkan Suruhanjaya melaksanakan fungsinya dengan berkesan. Perkara ini bukan soal budi bicara atau ihsan, sebaliknya tanggungjawab berkanun yang mesti dipenuhi. Prinsip Paris turut menegaskan kepentingan sumber kewangan yang mencukupi bagi melindungi kebebasan dan keberkesanan institusi hak asasi manusia kebangsaan. Oleh itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan memenuhi kewajipan ini melalui Belanjawan 2027 dan memastikan kekangan kewangan tidak terus membataskan keupayaan Suruhanjaya melaksanakan mandatnya. Pelaburan terhadap SUHAKAM merupakan pelaburan untuk perlindungan hak asasi manusia, institusi awam yang lebih kukuh, kebertanggungjawaban dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.
SUHAKAM menyeru Kerajaan agar memastikan Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen yang nyata terhadap pembangunan berteraskan hak asasi manusia. Kejayaan belanjawan ini akhirnya wajar diukur bukan sahaja berdasarkan petunjuk ekonomi, tetapi juga sejauh mana sumber awam dapat mengurangkan ketidaksamaan, melindungi mata pencarian, meningkatkan kualiti hidup dan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
9 October 2026
