Kenyataan Media No. 72-2026_SUHAKAM Menyeru Pengiktirafan Femisid Dalam Kerangka Undang-Undang Dan Tindakan Lebih Tegas Untuk Menamatkan Keganasan Berasaskan Gender

KUALA LUMPUR (20 OCTOBER 2026) Pada 15 Oktober 2026, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) diwakili oleh Pesuruhjaya Puan Melissa Mohd Akhir, telah memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat (JKP) serta agensi-agensi Kerajaan berhubung hak asasi manusia dan kesaksamaan gender berkaitan femisid. Taklimat tersebut berlangsung semasa Mesyuarat Bil. 26 Tahun 2026 JKPK Kelima Belas, yang dipengerusikan oleh YB Puan Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Puchong. Susulan sesi tersebut, SUHAKAM menzahirkan kebimbangan terhadap keganasan berasaskan gender terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, khususnya bentuk keganasan paling ekstrem, iaitu femisid atau pembunuhan wanita dan kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan gender. Keganasan sedemikian bukan sekadar perbuatan jenayah individu, malah mencerminkan pola diskriminasi yang lebih luas, ketidaksamaan gender serta kelemahan dalam usaha mencegah dan menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Keganasan berasaskan gender boleh menjejaskan wanita dan kanak-kanak perempuan pada setiap peringkat kehidupan, daripada zaman kanak-kanak hingga mereka semakin berusia. Keganasan ini berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk keganasan fizikal, seksual, psikologi dan ekonomi, serta tindakan atau pengabaian yang boleh mengakibatkan kematian. Femisid, iaitu pembunuhan wanita dan kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan faktor gender, boleh berlaku dalam hubungan intim, institusi keluarga atau situasi lain yang melibatkan permusuhan, paksaan, kawalan atau diskriminasi berasaskan gender. Pembunuhan sedemikian merupakan pencabulan serius terhadap hak untuk hidup, maruah dan kesaksamaan. Memahami faktor gender yang mendorong pembunuhan ini amat penting bagi mengenal pasti punca dan risiko, serta memperkukuh usaha pencegahan, perlindungan dan kebertanggungjawaban.

Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi atas alasan gender dalam ruang lingkup yang ditetapkan. Komitmen Malaysia di bawah Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), khususnya Perkara 2, turut menghendaki Kerajaan melaksanakan dasar untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita melalui segala cara yang sewajarnya dan tanpa berlengah. Seperti yang dihuraikan dalam Syor Umum No. 35 Jawatankuasa CEDAW, kewajipan ini merangkumi usaha menangani keganasan berasaskan gender melalui langkah perundangan, institusi, pencegahan dan perlindungan yang berkesan.

SUHAKAM menegaskan bahawa pencegahan femisid memerlukan tindakan sebelum keganasan meningkat sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Kerajaan perlu memperkukuh mekanisme untuk mengenal pasti tanda-tanda awal, memastikan campur tangan dilaksanakan tepat pada masanya, melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan yang berisiko serta memastikan pelaku dipertanggungjawabkan. Usaha ini memerlukan penyelarasan yang berkesan antara agensi penguatkuasaan undang-undang, badan kehakiman, perkhidmatan kesihatan dan kebajikan sosial, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan serta organisasi masyarakat sivil.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan supaya melaksanakan langkah-langkah berikut:

i. Mengiktiraf femisid dalam kerangka perundangan Malaysia.

Kerajaan hendaklah mengkaji semula undang-undang dan dasar sedia ada bagi mengiktiraf femisid sebagai suatu bentuk keganasan berasaskan gender yang tersendiri, berserta peruntukan undang-undang dan mekanisme kebertanggungjawaban yang bersesuaian. Pembaharuan hendaklah berpandukan penyelidikan kriminologi, sains tingkah laku, pola keganasan berkaitan gender dan amalan perundangan perbandingan, di samping memastikan remedi yang berkesan serta akses kepada keadilan untuk keluarga mangsa.

ii. Membangunkan bandar dan komuniti yang lebih selamat serta inklusif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

Kerajaan dan pihak berkuasa negeri dan tempatan hendaklah memperkukuh perancangan bandar dan luar bandar yang mesra wanita melalui penyediaan lampu jalan yang lebih baik, pengangkutan awam yang lebih selamat, saluran pelaporan yang mudah diakses dan persekitaran sekolah yang selamat. Wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk organisasi wanita dan kumpulan komuniti, hendaklah dilibatkan secara bermakna dalam mengenal pasti risiko serta membangunkan penyelesaian yang bersesuaian.

iii. Menangani stereotaip gender yang memudaratkan dan normalisasi keganasan terhadap wanita.

Organisasi media dan platform digital hendaklah memperkukuh mekanisme kawal selia kendiri bagi mencegah gambaran yang bersifat diskriminasi, tindakan menyalahkan mangsa serta kandungan yang menormalisasikan keganasan berasaskan gender. Pelaporan yang bertanggungjawab dan komunikasi awam yang beretika amat penting untuk mencabar sikap yang memudaratkan, di samping menghormati kebebasan bersuara.

iv. Mewujudkan mekanisme nasional yang terselaras untuk mencegah dan memantau keganasan berasaskan gender.

Kerajaan hendaklah menubuhkan atau menetapkan sebuah badan nasional untuk menyelaras, memantau dan menilai langkah-langkah menangani femisid dan keganasan berasaskan gender di peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan. Mekanisme ini hendaklah memperkukuh pengumpulan data terpilah, mengenal pasti kelemahan institusi serta memastikan penggubalan dasar berasaskan bukti yang selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

v. Memastikan sumber kewangan dan institusi yang mencukupi serta berterusan.

Selaras dengan komitmen Malaysia di bawah CEDAW, Kerajaan hendaklah memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk mencegah keganasan berasaskan gender, melindungi mangsa dan mereka yang terselamat daripada keganasan, memastikan siasatan serta pendakwaan yang berkesan, dan menyediakan remedi. Peruntukan kewangan juga hendaklah menyokong tempat perlindungan, perkhidmatan psikososial, bantuan guaman dan organisasi wanita, khususnya organisasi yang berkhidmat untuk komuniti luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan.

SUHAKAM menegaskan bahawa femisid merupakan pencabulan hak asasi manusia yang boleh dicegah dan memerlukan undang-undang yang lebih kukuh, campur tangan awal, mekanisme perlindungan yang mudah diakses serta tindakan yang terselaras. SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya menerima pakai pendekatan yang menyeluruh, berasaskan bukti dan disokong oleh pembiayaan yang mencukupi, dengan mengutamakan pencegahan, perlindungan, keadilan dan kebertanggungjawaban. Sempena sambutan Hari Kanak-kanak Perempuan Antarabangsa pada bulan Oktober ini, SUHAKAM menegaskan semula bahawa setiap wanita dan kanak-kanak perempuan berhak untuk hidup bebas daripada keganasan dan ketakutan, dan bahawa pemeliharaan hak ini merupakan tanggungjawab bersama Kerajaan dan masyarakat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

20 October 2026

Tags: No tags

Comments are closed.