2

Kenyataan Media No. 60-2025_SUHAKAM Tegaskan Semula Kewajipan Perlembagaan, Perundangan Dan Crc Dalam Pengendalian Kes Rogol Statutori

KUALA LUMPUR (24 DECEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius kenyataan Ketua Polis Kelantan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kes-kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam. SUHAKAM menegaskan bahawa amalan sedemikian perlu dihentikan serta-merta. Di bawah Perlembagaan Persekutuan (PP), undang-undang jenayah dan tatacara jenayah terletak di bawah Senarai Persekutuan, dan siasatan rogol sebagai suatu kesalahan jenayah adalah tanggungjawab teras dari segi perlembagaan dan statutori PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara. Sebarang rujukan kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama adalah tidak selaras dengan mandat ini dan berisiko menjejaskan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Selaras dengan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), SUHAKAM bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta menasihati Kerajaan mengenai penyelarasan undang-undang, dasar dan amalan dengan jaminan perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Dalam hal ini, SUHAKAM mengingatkan bahawa Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) wajib untuk memastikan semua kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi dan penderaan seksual, dan kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka. Oleh itu, rogol statutori perlu ditangani sebagai suatu kesalahan jenayah serius terhadap kanak-kanak melalui proses yang sah di sisi undang-undang, sensitif terhadap kanak-kanak dan mematuhi prinsip hak asasi.

SUHAKAM menghormati sepenuhnya kedudukan dan peranan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia, kebimbangan utama dalam perkara ini ialah kepentingan terbaik, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak yang seharusnya kekal sebagai keutamaan dalam pengendalian semua kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. SUHAKAM menegaskan bahawa rogol statutori terhadap kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang serius dan harus disiasat serta didakwa oleh PDRM mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah yang terpakai. Sejajar dengan CRC, SUHAKAM menekankan bahawa tindak balas terhadap kes yang melibatkan kanak-kanak mestilah mengutamakan perlindungan, pemulihan dan intervensi sosial yang sesuai, bukannya pengenaan hukuman semata-mata. Kanak-kanak dalam sistem keadilan, termasuk dalam kes yang melibatkan hubungan rakan sebaya secara sukarela, tidak boleh dikenakan langkah-langkah yang mengabaikan status mereka sebagai pemegang hak di bawah CRC dan undang-undang domestik.

SUHAKAM juga bimbang bahawa kenyataan awam oleh seorang pegawai kanan polis boleh mencetuskan panik secara moral dan tindak balas reaksi yang tidak berasaskan kerangka perundangan Malaysia. Pendekatan yang hanya bergantung kepada hukuman mencerminkan kegagalan untuk mengiktiraf bahawa remaja merupakan kanak-kanak di sisi undang-undang, yang keupayaan mereka sedang berkembang, serta tahap kerentanan dan ketidakmatangan mereka, perlu difahami selaras dengan semangat dan tujuan Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Bukti secara konsisten menunjukkan bahawa langkah-langkah yang bersifat menghukum semata-mata bukan sahaja tidak berkesan dalam mencegah pengulangan atau peningkatan kes rogol statutori, malah berpotensi mengakibatkan kemudaratan lanjut terhadap kanak-kanak.

SUHAKAM dengan ini menekankan keperluan semakan dan pembaharuan rangka kerja keadilan jenayah Malaysia agar lebih mencerminkan realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja dalam sistem keadilan, yang kebanyakannya berhadapan dengan masalah sosioekonomi, keganasan dan pengabaian. Pencegahan yang berkesan memerlukan peralihan kepada pendekatan berteraskan kanak-kanak dan berasaskan hak, termasuk pengalihan daripada penahanan serta pengukuhan intervensi sosial yang melibatkan keluarga, sekolah dan rangkaian sokongan komuniti. Dalam hal ini, SUHAKAM menegaskan bahawa pembaharuan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah adalah perlu bagi menggalakkan perubahan tingkah laku yang positif, memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan menyokong pemulihan, selaras dengan prinsip perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

underscores that reforms to the Penal Code and the Criminal Procedure Code are necessary to promote positive behaviour change, enhance child protection and support rehabilitation, in line with constitutional principles and international human rights standards.

SUHAKAM ingin menyatakan komitmen terhadap penglibatan secara konstruktif dan bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM, agensi Kerajaan yang berkaitan serta Parlimen dalam membangunkan pelan tindakan 2026 yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, CRC dan pendekatan keadilan jenayah berasaskan hak asasi manusia. Melalui tindakan kolektif dan berprinsip, SUHAKAM percaya bahawa kedaulatan undang-undang serta sistem keadilan jenayah yang sensitif terhadap kanak-kanak dan berkesan dapat diperkukuh demi manfaat semua kanak-kanak di Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh : 24 Disember 2025

1

Kenyataan Media No. 59-2025_SUHAKAM Zahir Kebimbangan Serius Terhadap Pilihan Raya Terancang Di Myanmar

KUALA LUMPUR (22 DISEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap pilihan raya terancang oleh tentera junta Myanmar yang akan diadakan dalam tiga fasa, bermula pada 28 Disember 2025 dan berakhir pada Januari 2026. Sejak tahun 2021, junta telah berulang kali berikrar untuk mengadakan pilihan raya baharu sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar, meskipun masih bergelut dengan perang saudara, konflik berskala besar, serta ketiadaan prasyarat yang kondusif bagi suatu proses demokrasi yang sebenar.

1 Februari 2021, demokrasi Myanmar terjejas secara mendadak apabila junta tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara sah iaitu Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), sekali gus menandakan detik gelap bagi rakyat Myanmar dan aspirasi mereka terhadap demokrasi. Sejak itu, junta telah melancarkan kempen keganasan dan penindasan terhadap rakyat Myanmar. Menurut data daripada Assistance Association for Political Prisoners (AAPP), lebih 7,000 orang awam telah terbunuh, lebih 20,000 orang telah ditahan secara sewenang-wenangnya, dan ratusan ribu telah menjadi pelarian sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Konflik berterusan di Myanmar telah mengakibatkan peningkatan kemasukan pelarian Myanmar ke Malaysia sehingga menimbulkan implikasi kemanusiaan secara langsung kepada negara ini. Dalam keadaan ini, Malaysia mempunyai locus standi yang sewajarnya untuk membangkitkan dan menangani isu-isu yang timbul daripada situasi tersebut selaras dengan obligasinya di bawah undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa serta instrumen ASEAN yang berkaitan. Sehubungan itu, penyataan kebimbangan dalam konteks ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran prinsip tidak campur tangan ASEAN, sebaliknya merupakan pelaksanaan tanggungjawab yang sah dan selaras dengan komitmen ASEAN terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia serta kestabilan serantau.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, setakat akhir Oktober 2025, kira-kira 211,360 orang pelarian dan pencari suaka telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah ini, sekitar 189,760 adalah dari Myanmar, terdiri daripada 124,123 etnik Rohingya, 32,800 etnik Chin, dan 32,827 individu daripada kumpulan etnik lain yang terjejas akibat konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar, menjadikan mereka populasi pelarian terbesar di Malaysia. Walaupun UNHCR menjelaskan bahawa peningkatan angka pendaftaran tersebut sebahagian besarnya mencerminkan peningkatan keupayaan pendaftaran organisasi itu dan bukannya semata-mata ketibaan baharu, angka ini tetap menekankan kesan besar krisis Myanmar terhadap Malaysia.

Susulan lawatan kerja Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, ke Myanmar pada 9 Oktober 2025, Menteri Luar menyatakan bahawa komponen utama demokrasi ialah pilihan raya yang mesti dijalankan selaras dengan prinsip bebas, adil, telus dan berwibawa, serta selari dengan teras utama Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC). Semasa lawatan tersebut, junta tentera juga telah mengemukakan jemputan kepada Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menghantar pemerhati pilihan raya. Bagi Malaysia, jemputan tersebut telah ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Namun demikian, SUHAKAM berpendirian tegas bahawa Kerajaan Malaysia tidak seharusnya terlibat dengan junta tentera tersebut, kerana sebarang bentuk penglibatan, termasuk penghantaran pemerhati pilihan raya, boleh membawa implikasi pengiktirafan terhadap sebuah rejim yang tidak sah, memandangkan pilihan raya yang dirancang itu tidak memenuhi syarat asas pilihan raya yang bebas dan adil. Penolakan terhadap permintaan junta untuk menghantar pemerhati merupakan salah satu titik tekanan yang boleh digunakan oleh ASEAN bagi mendesak junta tentera ke arah tindakan yang lebih bertanggungjawab.

SUHAKAM menegaskan bahawa prinsip tidak campur tangan dalam Piagam ASEAN telah memburukkan lagi konflik di Myanmar dan ASEAN perlu beralih daripada prinsip tidak campur tangan kepada prinsip tidak berdiam diri. Pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan serta krisis kemanusiaan di Myanmar terus memberi kesan yang semakin buruk dan membawa implikasi secara langsung kepada Malaysia dan Negara-Negara Anggota ASEAN yang lain.

SUHAKAM menyokong sepenuhnya proses pendemokrasian di Myanmar. Namun, tiada pilihan raya boleh dianggap bebas atau adil selagi ruang sivik kekal terhad, pandangan berbeza disenyapkan, dan rakyat terus hidup dalam ketakutan serta penindasan. Penyertaan politik dan awam adalah penting kepada tadbir urus demokrasi, dan pilihan raya seharusnya menyumbang kepada pengukuhan demokrasi, bukannya menafikannya. Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa semua pihak untuk segera mengutamakan pemulihan keamanan dan kestabilan di Myanmar, serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada komuniti yang terjejas sebelum sebarang pilihan raya diadakan. Hanya melalui usaha yang sedemikian, Myanmar dapat bergerak ke arah peralihan demokrasi yang inklusif dan berwibawa yang mendapat penghormatan rakyatnya sendiri serta masyarakat antarabangsa.

SUHAKAM merakamkan penghargaan kepada ASEAN atas penerimaan Deklarasi ASEAN Mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Hak kepada Keamanan ke Arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan pada Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. SUHAKAM mengiktiraf bahawa Negara-Negara Anggota ASEAN kini mempunyai rangka kerja kefahaman bersama untuk membincangkan isu konflik dan keamanan di rantau ini. Namun, SUHAKAM menggesa Negara-Negara Anggota ASEAN supaya memanfaatkan Deklarasi ini untuk membangunkan mekanisme dan instrumen yang konkrit bagi mencapai keamanan di ASEAN, dan bukan sekadar menganggapnya sebagai instrumen simbolik, dengan melibatkan secara bermakna Komuniti ASEAN, termasuk komuniti etnik dan wakil kumpulan dwi-minoriti dari Myanmar.

SUHAKAM kekal bersolidariti bersama rakyat Myanmar. Sebagai bakal Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) bagi tahun 2026, SUHAKAM akan meneruskan dan memperkukuh usaha SEANF dalam memperjuangkan serta memajukan hak-hak rakyat Myanmar.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh : 22 Disember 2025

E1

Media Statement No. 58-2025_SUHAKAM Condemns All Forms of Violence Against Children and Calls for Urgent Protection, Accountability and Support

KUALA LUMPUR (19 DECEMBER 2025) – The Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM) expresses deep concern and condemnation over the reports of alleged sexual abuses involving students with special needs at a school dormitory in Marang, Terengganu. According to the police investigations, the incidents were being probed under Section 14 of the Sexual Offences Against Children Act 2017, which provides dedicated criminal offences for sexual misconduct involving children.

SUHAKAM strongly condemns all forms of violence and abuse against children, especially with disabilities. All children are entitled to live, learn, and grow in environments that are safe, nurturing and free from violence, abuse, exploitation and any unwanted touching of their bodies. Allegations of sexual violence involving children, particularly those with disabilities, constitute serious violations of their rights, dignity and safety. Children should be empowered to understand bodily autonomy and their right to refuse any contact that is inappropriate, exploitative and harmful.

SUHAKAM calls for a thorough, impartial, and trauma-informed investigation to ensure accountability and due process is upheld for all parties involved. Importantly, children should be empowered to come forward as witnesses. Section 17 of the Sexual Offences Act 2017 provides a legal framework where the law recognises that children are treated as being competent to give evidence unless a court decides otherwise.

From an international human rights perspective, as a State Party to the Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD), as provided for in Article 16 of CRPD, Malaysia is bound to protect, fulfil human rights and prevent any violation of rights against persons with disabilities (PWD), including children, from all forms of violence, exploitation and abuse by taking legislative, social, educational and other measures. It is equally essential that the privacy and dignity of both victims and alleged perpetrators are protected, given their age and vulnerabilities. In line with child protection laws and international human rights standards, the media and public must refrain from revealing identities or speculating on personal details to avoid causing further harm.

In addition to the above, SUHAKAM urges the Ministry of Education and school authorities to implement immediate and robust safeguarding measures to prevent sexual abuse and assault incidents. These include strengthening child protection policies in all learning and residential environments, ensuring accessible reporting channels for students and staff, and providing comprehensive training for educators, supervisors and caregivers on recognising and responding to signs of abuse. Affected children must also receive psychosocial support and specialised care tailored to the needs of students with disabilities.

SUHAKAM further calls for a systematic review of gaps in supervision and protection practices within school settings, including dormitories, to ensure a safe environment for all children, especially those with special needs.

SUHAKAM urges the Royal Malaysia Police and law enforcement agencies to conduct investigations that are transparent, fair, and centred on the needs of children, emphasising trauma-informed practices and the safety of all children involved. To this end, it is essential for the police to establish guidelines for interacting with PWD in procedures such as taking statements and reports from both victims and perpetrators. SUHAKAM also calls for parents, guardians and caregivers to empower and engage children, including PWD children in an open dialogue about bodily autonomy, consent and how to seek help if they feel unsafe.

SUHAKAM reiterates that violence against children is not only a violation of law but a breach of fundamental human rights. All stakeholders, including Government agencies, law enforcement, education authorities, civil society and the community at large, must work collaboratively toward strengthening child protection, prevention and accountability mechanisms in Malaysia. SUHAKAM stands ready to support constructive efforts that uphold the rights, dignity and safety of every child.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Date: 19 December 2025

1

Kenyataan Media No. 57-OCC Seru Kebertanggungjawaban Penuh Penyedia Perkhidmatan Bagi Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Talian

KUALA LUMPUR (16 DECEMBER 2025) - Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik dan menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memperuntukkan bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Inisiatif ini adalah selaras dengan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) dan OCC memuji langkah ini sebagai satu langkah penting dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan dalam Talian 2025 di Malaysia.

OCC berpandangan bahawa langkah pengawalseliaan ini adalah satu perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian. Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam ruang digital. Perlindungan ini termaktub di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC, yang mewajibkan Kerajaan sebagai Negara Pihak untuk mengambil langkah proaktif dan pencegahan bagi menangani potensi risiko terhadap kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi. Dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab ini turut merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial. Oleh itu, platform digital yang memudahcara interaksi dalam talian berskala besar memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau menjejaskan kesejahteraan mereka.

OCC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan platform mereka, dalam aspek reka bentuk dan tetapan secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak. Ini termasuk pelaksanaan perlindungan bersesuaian mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, menangani risiko eksploitasi seksual dalam talian dan penderaan, memastikan perantaraan kandungan yang kukuh, serta menyediakan mekanisme pelaporan dan remedi yang mudah diakses. Kepentingan terbaik kanak-kanak, sepertimana yang termaktub di bawah Artikel 3 CRC perlu menjadi panduan kepada dasar platform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan.

Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh MCMC mengukuhkan prinsip bahawa platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara. OCC menyokong usaha MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka.

OCC sedia untuk mengukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak. Melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia.

-TAMAT-

Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diakses melalui pautan ini atau imbasan kod QR : here or by scanning the QR:

FAQ on Deeming Provision

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

16 Disember 2025

2

Kenyataan Media Bersama Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2025

MALAYSIA SAMBUT HARI HAK ASASI MANUSIA 2025

KUALA LUMPUR, 11 Disember 2025 Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Kementerian Luar Negeri (KLN), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia memperingati Hari Hak Asasi Manusia 2025 dengan menganjurkan sebuah forum bertajuk “Melindungi Generasi Masa Hadapan: Hak Asasi untuk Semua.”

Forum ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Azalina menegaskan bahawa melindungi hak dan maruah setiap kanak-kanak bukanlah satu pilihan, ia merupakan asas kekuatan moral Malaysia dan tanggungjawab bersama terhadap generasi akan datang. Seiring dengan evolusi ancaman yang semakin kompleks, beliau menegaskan bahawa undang-undang dan institusi perlu berkembang dengan lebih pantas. Hak asasi manusia akan berjaya dengan adanya sistem yang berwibawa, telus dan bertanggungjawab. Kanak-kanak tidak seharusnya menderita dalam senyap, sama ada dalam atau luar talian, dan dasar yang melibatkan kanak-kanak tidak boleh digubal tanpa suara mereka didengari. YB Dato’ Sri Azalina turut menyatakan komitmen Kerajaan untuk membina Malaysia yang mana setiap kanak-kanak dilindungi, dihargai dan diperkasa untuk mengejar impian serta menjalani kehidupan sepenuhnya.

Pengerusi SUHAKAM, Yang Berbahagia Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dalam ucapannya menyebut bahawa selaras dengan tema tahun ini, adalah penting untuk kita menyedari bahawa perlindungan generasi masa hadapan memerlukan komitmen berterusan terutamanya dalam pembangunan dasar, akauntabiliti institusi dan kesedaran awam. YBhg. Dato’ Seri Mohd Hishamudin turut menekankan bahawa hak asasi manusia adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, para pendidik, ibu bapa dan komuniti.

Dalam ucapan pembukaan beliau, Encik Robert Gass, Pemangku Penyelaras Residen PBB, menyatakan bahawa hak asasi manusia dinikmati atau dinafikan dalam kehidupan seharian setiap kanak-kanak, sama ada dalam aspek keselamatan di rumah, kesamarataan dalam bilik darjah, keadilan di mahkamah, dan maruah ketika berada di klinik. Dalam usaha Malaysia memperkukuh institusi dan memperbaharui komitmennya di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), perlu diingatkan bahawa kanak-kanak bukan penerima pasif tetapi pemegang hak yang masa depannya bergantung pada keputusan yang dibuat pada hari ini. Tugasnya mudah tetapi mendalam iaitu untuk merapatkan jurang antara hak yang diisytiharkan dan realiti yang dialami oleh kanak-kanak.

Hari Hak Asasi Manusia memperingati penggubalan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Tema tahun ini, “Hak Asasi: Keperluan Harian Kita,” amat signifikan bagi Malaysia kerana tahun ini merupakan 30 tahun penyertaan Malaysia kepada CRC dan Konvensyen tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), serta 15 tahun meratifikasi Konvensyen tentang Orang Kurang Upaya (CRPD). Komitmen antarabangsa ini telah mencorakkan pelbagai pembaharuan nasional. Seiring persiapan Malaysia untuk sesi libat urus bersama Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak pada tahun 2026, forum ini menegaskan akan kepentingan untuk mengekalkan momentum positif melalui dialog berterusan, pambangunan kapasiti, dan kerjasama antara institusi yang kukuh.

Forum yang dikendalikan oleh Puan Sitti Najihah Md Rusli dari UNICEF Malaysia, membincangkan mengenai “Hak Kanak-Kanak di Malaysia: Daripada Komitmen kepada Pemantauan dan Akauntabiliti”. Forum ini menampilkan panelis daripada pelbagai latar belakang iaitu Dr. Farah Nini Dusuki, Pesuruhjaya Kanak-Kanak, SUHAKAM; Encik Asmar Asmadi Bin Abdullah Sani, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, KPWKM; YA Datin Paduka Evrol Mariette Peters, Hakim Mahkamah Rayuan, mewakili badan kehakiman; Yang Berhormat Syereleena Abdul Rashid, Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti; Encik Thiyagu Ganesan, Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-Undang), BHEUU dan Cik Jessie Lee Jie Xing, wakil belia dan Ahli Majlis Konsultatif Kanak-Kanak (2025–2027), SUHAKAM.

Forum ini turut menyaksikan pelancaran modul “Belia Peduli Hak” oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Modul ini adalah sumber praktikal yang dibangunkan oleh SUHAKAM untuk meningkatkan kesedaran, pemerkasaan dan penyertaan bermakna dalam kalangan belia di seluruh negara.

Dalam ucapan penutupnya, Yang Berbahagia Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin, Timbalan Ketua Setiausaha KLN, menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat. Pendekatan ini perlu diperkukuh melalui kerjasama erat dengan pertubuhan masyarakat sivil bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti. YBhg. Datin Paduka Anizan Siti Hajjar turut menekankan bahawa komitmen ini mencerminkan aspirasi Malaysia Madani, yang berteraskan kepercayaan, kerjasama serta usaha membangunkan sebuah masyarakat yang inklusif, ihsan dan berkeprihatinan untuk semua rakyat Malaysia.

Forum hibrid ini telah dihadiri oleh lebih daripada 450 peserta daripada kalangan Kerajaan, kor diplomatik, belia, akademik, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan media.

Disediakan bersama oleh:

BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG- UNDANG, JABATAN PERDANA MENTERI (BHEUU)
KEMENTERIAN LUAR NEGERI MALAYSIA (KLN)
SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (SUHAKAM)
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU Di MALAYSIA (UNCT)

11 DISEMBER 2025

2

Kenyataan Media No. 56-2025_SUHAKAM Gesa Proses Telus dan Adil Susulan Serbuan di Pusat Kesihatan

KUALA LUMPUR (10 DISEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius operasi serbuan penguatkuasaan baru-baru ini di sebuah pusat kesihatan yang melibatkan beberapa individu, termasuk pegawai awam. SUHAKAM mengakui peranan agensi penguatkuasaan dalam menegakkan undang-undang serta tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menangani dakwaan salah laku dalam perkhidmatan awam. Namun demikian, tindakan tersebut mestilah dilaksanakan selaras dengan perlindungan perlembagaan dan undang-undang, proses wajar yang lebih wajar, serta penghormatan terhadap maruah manusia.

SUHAKAM mengambil maklum laporan bahawa serbuan dan tangkapan telah dibuat secara tergesa-gesa tanpa kehadiran atau pengecaman mangsa. Tindakan penguatkuasaan, terutamanya yang melibatkan soal tingkah laku peribadi dan penahanan seharusnya berdasarkan maklumat yang telah disahkan dan bukti yang boleh dipercayai. Dalam kes ini, tiada mangsa yang dapat dikenal pasti dan ketiadaan bukti, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur telah menimbulkan persoalan mengenai asas tangkapan besar-besaran tersebut dan sebarang tindakan tatatertib yang mungkin menyusul. SUHAKAM turut bimbang bahawa individu yang ditahan tidak dibebaskan dengan segera walaupun permohonan reman pihak polis telah ditolak oleh majistret. Sebarang kelewatan dalam pembebasan, apatah lagi kelewatan yang berpanjangan seperti dalam kes ini, selepas mahkamah menolak permohonan reman, menimbulkan persoalan serius mengenai kepatuhan kepada arahan kehakiman dan penghormatan terhadap kebebasan diri, di samping boleh menjejaskan proses wajar serta perlindungan Perlembagaan.

Penghargaan harus diberikan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur atas keterbukaan beliau menjelaskan bahawa “Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 377/372 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti untuk membolehkan polis meneruskan siasatan ke arah itu.” (Sunday Malay Mail, 30 November). Walau bagaimanapun, penjelasan ini menimbulkan persoalan: Jika tiada bukti, mengapakah tangkapan besar-besaran tersebut dilakukan pada awalnya? Tidakkah tindakan penahanan secara tergesa-gesa itu sendiri boleh dianggap sebagai pelanggaran Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang?

Bagi pegawai awam, SUHAKAM menegaskan keperluan untuk mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang memperincikan prosedur penyiasatan, proses tunjuk sebab dan inkuiri tatatertib yang adil, telus dan tidak berat sebelah. Pegawai mesti dimaklumkan dengan jelas mengenai dakwaan terhadap mereka dan diberikan peluang yang munasabah untuk menjawab sebelum apa-apa tindakan diambil. Keperluan ini diperkuatkan oleh Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang seseorang pegawai daripada dibuang kerja atau diturunkan pangkat tanpa peluang yang munasabah untuk didengar. Perlindungan ini memastikan keputusan tatatertib dibuat secara adil, berdasarkan fakta dan undang-undang, dan bukan atas andaian awal atau prejudis.

SUHAKAM juga menzahirkan kebimbangan terhadap laporan mengenai pendedahan identiti individu yang terlibat. Hak terhadap privasi dan maruah mesti dilindungi sepanjang proses penyiasatan. Pendedahan kepada umum sebelum fakta dibuktikan boleh mendatangkan mudarat yang tidak sepatutnya dan tidak selaras dengan penjagaan maruah manusia serta piawaian hak asasi manusia, termasuk prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa:

i. Segala penyiasatan dijalankan secara telus, objektif dan berdasarkan bukti yang disahkan.

ii. Hak individu yang terlibat, termasuk pegawai awam, dipelihara sepenuhnya selaras dengan Peraturan 1993 serta jaminan perlembagaan.

iii. Identiti peribadi dilindungi sehingga proses wajar diselesaikan dan dapatan ditetapkan.

iv. Proses tatatertib tidak dimulakan atau dimuktamadkan secara tergesa-gesa sebelum semua fakta dinilai dengan sewajarnya.

SUHAKAM sekali lagi menegaskan bahawa pematuhan terhadap proses wajar adalah penting bukan sahaja untuk melindungi hak individu, tetapi juga untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan dan tatatertib. Penyiasatan yang adil dan telus serta pematuhan terhadap proses wajar mengukuhkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan integriti perkhidmatan awam Malaysia.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 10 Disember 2025

22

Budaya Vigilante di Sekolah: Disiplin atau Buli Terselindung?

Oleh: Prof Madya Dr. Mohd Al Adib bin Samuri
Pesuruhjaya Kanak-Kanak, SUHAKAM
Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Idea artikel ini datang daripada perkongsian beberapa pelajar sekolah dalam sesi libat urus isu buli yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini. Dalam sesi tersebut, beberapa pelajar mengakui bahawa wujudnya budaya “senior mendisiplinkan junior” yang masih berleluasa di sekolah dan asrama.

Mereka menyebutnya sebagai “tradisi sekolah atau asrama,” sebagai alasan untuk melatih pelajar baru agar lebih berdisiplin dan patuh. Namun di sebalik niat yang nampak baik, wujud satu budaya yang berbahaya, iaitu budaya vigilante.

Saya sendiri sudah lama berhajat untuk menyentuh isu ini, terutamanya apabila ada isu buli yang menggemparkan negara. Saya juga mendapati terdapat corak yang sama dalam beberapa kes, iaitu buli yang berpunca daripada budaya vigilante.

Apa itu budaya vigilante di sekolah?

Istilah vigilante bermaksud individu atau kumpulan yang mengambil alih peranan penguatkuasaan undang-undang tanpa kuasa yang sah. Dalam konteks sekolah dan asrama, ia berlaku apabila pelajar senior atau pemimpin pelajar seperti pengawas bertindak sebagai “polis” atau “guru disiplin tidak rasmi”.  Mereka menyiasat, menyoal siasat, menggeledah, mengadili dan menghukum rakan pelajar lain tanpa mengikut prosedur yang betul.

Contohnya, apabila ada barang hilang di asrama, beberapa pelajar senior mengambil tindakan sendiri. Mereka memeriksa beg dan almari, menyoal siasat pelajar yang disyaki, malah ada yang mengugut, memukul atau memalukan pelajar tersebut. Semua ini dilakukan atas alasan “mengajar” supaya pelajar lain takut untuk melanggar peraturan.

Bagi mereka, tindakan ini bukan buli, tetapi menganggapnya sebagai “latihan disiplin.” Tanpa mereka sedari, tindakan mereka itu juga terjumlah kepada perbuatan buli. Inilah yang menjadikan budaya ini sukar dibanteras, kerana ia diselindungi dengan alasan tanggungjawab dan tradisi sekolah.

Kenapa budaya ini berbahaya?

Budaya vigilante menanam satu tanggapan yang salah dalam kalangan pelajar. Pada kumpulan pelajar ini, mereka berhak menghukum pelajar lain tanpa proses yang sah. Ia menghapuskan sempadan antara disiplin dan penderaan.

Ramai kanak-kanak tidak faham bahawa setiap tindakan berkaitan siasatan dan hukuman mesti dijalankan mengikut peraturan yang betul. Dalam undang-undang, hanya pihak berkuasa yang dibenarkan menjalankan siasatan, menggeledah barang, menyoal, dan menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Jadi, apa yang pemimpin pelajar ini boleh atau sepatutnya lakukan? Mereka sepatutnya membuat aduan dan memaklumkan kepada guru atau orang dewasa yang dipercayai tentang apa yang berlaku atau apa yang mereka temui. Bukannya bertindak sendiri untuk menegakkan “keadilan versi mereka” di tangan mereka.

Dalam masa yang sama, pelajar yang disyaki mempunyai hak untuk didengar, hak untuk membela diri, dan hak untuk dilindungi daripada kekerasan dan keadilan. Apabila pelajar lain mengambil alih peranan itu, ia bukan lagi soal disiplin, ia sudah menjadi buli.

Buli dengan wajah baru

Budaya vigilante ini sering melibatkan penyalahgunaan kuasa dan paksaan. Ada pemimpin pelajar atau pelajar senior yang menggunakan kedudukan mereka untuk menundukkan pelajar lain, sama ada melalui ugutan, ejekan, atau hukuman fizikal. Kuasa yang sepatutnya digunakan untuk memimpin berubah menjadi alat untuk mengawal dan menakut-nakutkan. Apabila kuasa digunakan untuk menyakiti, walau atas nama “mendidik,” ia telah memenuhi ciri-ciri buli, iaitu ada niat untuk menyakiti, ada ketidakseimbangan kuasa, dan ia mungkin berlaku berulang kali.

Dalam banyak kes, budaya vigilante menyebabkan kecederaan fizikal dan trauma emosi. Ada pelajar yang tidak berani melapor kerana takut dibalas dendam oleh senior. Ada juga yang menganggap perkara itu “normal” kerana mereka sendiri pernah menjadi mangsa sewaktu junior dulu.

Inilah kitaran buli yang berulang. Mereka yang menjadi mangsa hari ini mungkin menjadi pelaku esok. Ia diwarisi dari satu generasi pelajar ke generasi berikutnya, dan terus kekal hidup di sekolah dan asrama kita.

Lebih membimbangkan, ada guru atau pemimpin sekolah yang memandang ringan perkara ini, dengan alasan untuk melatih kepimpinan pelajar atau mengekalkan tradisi sekolah. Sedangkan, budaya vigilante bukan perkara kecil. Ia boleh membawa kepada kecederaan serius, kemurungan, malah kehilangan nyawa seperti yang pernah berlaku dalam beberapa kes buli serius di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Hentikan Budaya Vigilante

Setiap kali kita membiarkan pelajar menghukum pelajar lain, kita sebenarnya sedang membenarkan buli berlaku atas nama disiplin. Sudah tiba masanya kita hentikan kitaran ini. Budaya vigilante tidak boleh dibiarkan hidup atas nama “disiplin” atau “tradisi.” Ia mesti diakui sebagai satu bentuk buli, dan tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa yang melakukannya.

Kita perlu membina suasana sekolah yang selamat, di mana disiplin dikuatkuasakan dengan tegas tetapi berhikmah dan bukannya dengan ketakutan. Ini memerlukan perubahan sikap semua pihak, termasuklah guru, ibu bapa, dan pelajar sendiri.

Pemimpin pelajar dan pelajar senior perlu diberi latihan kepimpinan yang berasaskan empati dan tanggungjawab. Mereka seharusnya menjadi teladan, bukan penguat kuasa tidak rasmi. Kuasa yang diberi kepada mereka adalah untuk melindungi dan membimbing, bukan menakutkan atau disalahgunakan.

Setiap pelajar perlu tahu bahawa tugas menyiasat, mencari barang hilang, menyoal siasat, mendapatkan pengakuan salah dan menjatuhkan hukuman bukan tanggungjawab mereka. Semua itu mesti diserahkan kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Pelajar bukan polis, bukan peguam, dan bukan hakim. 

Budaya vigilante di sekolah juga bukan tanda disiplin yang baik, tetapi cerminan salah faham terhadap kuasa dan tanggungjawab. Kanak-kanak perlu diajar bahawa undang-undang wujud untuk melindungi semua, termasuk mereka sendiri.

1

Kenyataan Media No. 55-2025_SUHAKAM Sambut Baik Komitmen Kerajaan Sarawak Tambah Baik Aksesibiliti Luar Bandar Menjelang 2030

KUALA LUMPUR (25 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sambut baik inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri Sarawak untuk meningkatkan aksesibiliti di wilayah utara Sarawak juga komitmen untuk merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar menjelang tahun 2030.

SUHAKAM mengambil maklum pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau), dan Long Panai–Long Lama (Projek Jalan MMMLL) pada 15 November 2025 iaitu inisiatif menaik taraf bekas jalan pembalakan kepada jalan awam yang boleh diakses sepenuhnya menjelang 2030. Inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak ini dijangka dapat meningkatkan aksesibiliti, merancakkan peluang ekonomi, serta mengukuhkan aktiviti sosial dan komersil di kawasan pedalaman.

SUHAKAM memuji perkembangan positif ini dan mengiktirafnya sebagai satu langkah penting ke arah memastikan komuniti yang tinggal di kawasan terpencil di Sarawak tidak terus tersisih akibat jurang infrastruktur yang telah lama wujud. Banyak komuniti yang terpinggir dan berada di kawasan pedalaman masih berdepan cabaran untuk mengakses perkhidmatan asas, mendapatkan peluang ekonomi, dan infrastruktur penting. Justeru, penambahbaikan keterhubungan yang mampan adalah penting bagi memastikan penyertaan mereka dalam perancangan pembangunan jangka panjang negeri. SUHAKAM berharap Projek Jalan MMMLL dapat dilaksanakan secara mampan, saksama dan inklusif, serta manfaatnya boleh dinikmati oleh semua komuniti, terutamanya komuniti tempatan yang sudah lama hidup dengan akses yang terhad.

SUHAKAM juga mengalu-alukan komitmen Premier untuk merapatkan jurang Pembangunan luar bandar–bandar menjelang 2030, seperti yang dilaporkan pada 23 November 2025. Premier menyatakan bahawa tidak seharusnya wujud sebarang ketidakseimbangan antara kawasan luar bandar dan bandar dari segi kemudahan dan infrastruktur, termasuk akses elektrik dan bekalan air bersih.

Meskipun gelombang kemajuan telah tercapai, SUHAKAM menegaskan bahawa masih banyak komuniti di luar bandar Sarawak yang ketinggalan dari segi kualiti hidup akibat infrastruktur yang tidak mencukupi. SUHAKAM menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk memberi keutamaan kepada cabaran berpanjangan ini supaya penduduk luar bandar dapat menikmati taraf hidup yang setara dengan komuniti bandar.

SUHAKAM memuji komitmen berwawasan tersebut dan melalui Pejabat SUHAKAM Sarawak, kami bersedia untuk menyokong usaha-usaha yang menjunjung hak dan maruah semua penduduk di Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di kawasan kurang mendapat perkhidmatan serta mereka yang tinggal di pedalaman.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 25 November 2025