Kenyataan Media No. 05-2026_SUHAKAM Seru Kerajaan Laksanakan Tindakan Segera, Bersepadu dan Bersasar Susulan Semakan Berkala Jawatankuasa PBB Mengenai Hak Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (29 JANUARI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik Ucapan Penutup oleh Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) susulan semakan terkini Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. SUHAKAM mengambil maklum pengiktirafan Jawatankuasa terhadap kemajuan Malaysia dalam beberapa aspek, namun menegaskan bahawa masih terdapat jurang yang menghalang realisasi hak kanak-kanak sepenuhnya dan ia memerlukan tindakan segera, bersepadu dan bersasar.

SUHAKAM memuji langkah-langkah positif yang telah diambil oleh Kerajaan, seperti yang diiktiraf oleh CRC, termasuk penambahbaikan dalam aspek kesihatan ibu dan kanak-kanak, peluasan intervensi pencegahan, serta usaha untuk memperkukuh dasar dan perkhidmatan berkaitan kanak-kanak. SUHAKAM juga mengambil maklum penglibatan konstruktif yang ditunjukkan oleh Kerajaan sepanjang proses semakan, yang mencerminkan keterbukaan terhadap dialog dan pembaharuan. Perkembangan ini merupakan satu kemajuan yang signifikan. Namun demikian, seperti yang ditekankan oleh CRC, kemajuan masih tidak seimbang dan perlu diperkukuhkan melalui pembaharuan struktur dan perundangan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir.

Selaras dengan pendirian konsisten SUHAKAM serta Ucapan Penutup Jawatankuasa PBB, SUHAKAM menekankan enam syor-syor penting yang memerlukan perhatian segera:

  • Penarikan Balik Reservasi

SUHAKAM mengulangi seruan agar Malaysia menarik balik baki reservasi terhadap Konvensyen, memandangkan pengekalan reservasi tersebut tidak lagi selari dengan pembaharuan perundangan dan institusi negara. SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk mempercepatkan penyelesaian proses semakan yang dimulakan pada tahun 2017, selaras dengan tempoh masa satu tahun yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.

  • Penyelarasan Undang-Undang Domestik

SUHAKAM menyeru agar pembaharuan undang-undang dipercepatkan bagi memastikan penyelarasan sepenuhnya perundangan domestik dengan Konvensyen serta Ulasan Amnya. Usaha ini perlu disokong oleh mekanisme nasional yang bersepadu, dengan kepimpinan, akauntabiliti dan garis masa yang jelas, serta mengutamakan Ulasan Am No. 24 dan pembangunan dasar berasaskan bukti.

  • Perlindungan Kanak-Kanak dan Sistem Keadilan Kanak-Kanak

SUHAKAM menegaskan keperluan untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak, termasuk pendekatan penjagaan alternatif yang kukuh dan berasaskan hak, dengan memastikan penahanan kanak-kanak hanya sebagai langkah terakhir. SUHAKAM sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung Penjagaan Institusi Kanak-Kanak bagi meneliti cabaran kompleks pelbagai pihak berkuasa yang mengurus institusi-institusi tersebut, menghapuskan isu sistemik yang dihadapi kanak-kanak dalam penjagaan institusi, serta mengenal pasti punca utama kelemahan pemantauan dan penyeliaan. Sistem keadilan kanak-kanak mestilah diselaraskan sepenuhnya dengan piawaian Konvensyen dan disokong oleh tenaga kerja perlindungan kanak-kanak yang telus, profesional dan bertanggungjawab.

  • Kanak-Kanak Pelarian, Migran dan Tanpa Dokumen

SUHAKAM mengulangi pendiriannya yang konsisten bahawa kanak-kanak pelarian, migran dan tanpa dokumen tidak boleh dikecualikan daripada rangka kerja perlindungan. Langkah-langkah konkrit diperlukan bagi mengintegrasi kanak-kanak ini ke dalam sistem nasional dan memastikan akses kepada perkhidmatan asas, termasuk pendidikan dan perlindungan sosial. Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan keperluan untuk merealisasikan secara progresif perlindungan kesihatan sejagat bagi semua kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan atau status undang-undang, serta menghapuskan halangan sistemik yang membawa kepada penafian hak. SUHAKAM turut mengulangi gesaan supaya alternatif selain penahanan dilaksanakan dengan segera, penahanan imigresen kanak-kanak ditamatkan dan Akta Imigresen dipinda bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian Konvensyen.

  • Ruang Fiskal dan Perbelanjaan Berfokuskan Kanak-Kanak

Malaysia sedang bergerak ke arah status negara berpendapatan tinggi dan dalam suasana perubahan demografi yang pesat, SUHAKAM menegaskan bahawa pelaburan yang mencukupi dan mampan untuk kanak-kanak kekal sebagai kewajipan teras hak asasi manusia. SUHAKAM menyeru agar belanjawan memberi tumpuan khusus kepada kanak-kanak dan mengambil kira keperluan gender, perbelanjaan berkaitan kanak-kanak dipantau secara sistematik, serta kecukupan pelaburan dinilai berdasarkan kesannya terhadap kesejahteraan kanak-kanak, bagi memastikan peruntukan sumber membawa kepada penambahbaikan dalam kehidupan kanak-kanak.

  • Pelaporan di bawah Protokol Pilihan, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD)

SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya mempercepatkan penyerahan laporan-laporan tertunggak di bawah Protokol Pilihan, termasuk Protokol Pilihan mengenai Penglibatan Kanak-kanak dalam Konflik Bersenjata (OPAC). Langkah ini penting bagi menzahirkan komitmen Malaysia terhadap akauntabiliti antarabangsa dan pematuhan penuh terhadap obligasi perjanjian, serta perlu dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip hak asasi manusia yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, dibaca bersama CEDAW dan CRPD, bagi memastikan kesaksamaan gender dan hak kanak-kanak kurang upaya ditangani secara menyeluruh dan sistematik.

SUHAKAM juga ingin menjelaskan bahawa sejak Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) secara rasmi ditadbir urus di bawah SUHAKAM, OCC dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan sedia ada tanpa sebarang peruntukan tambahan daripada Kerajaan. Pengaturan ini penting bagi melindungi kebebasan OCC, memandangkan SUHAKAM ialah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia yang diiktiraf dengan status “A” oleh Pakatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) dan beroperasi selaras dengan Prinsip-prinsip Paris. SUHAKAM juga mengambil maklum bahawa CRC telah membangkitkan persoalan mengenai pembiayaan yang seharusnya mencukupi dan mampan untuk OCC. Walaupun pengaturan semasa jelas menunjukkan komitmen SUHAKAM untuk memperkukuh pemantauan, pengawasan dan advokasi hak kanak-kanak, jumlah peruntukan sedia ada adalah tidak mencukupi untuk menyokong skop tanggungjawab dan mandat OCC yang semakin meluas. Seiring dengan keperluan SUHAKAM menjalankan mandat di seluruh negara serta peningkatan penglibatan yang lebih berfokus dan berterusan terhadap kanak-kanak, pelaksanaan fungsi OCC yang lebih berkesan memerlukan peruntukan yang setimpal dan mencukupi.

SUHAKAM mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan namun ingin menekankan bahawa iltizam politik yang berterusan dan tindakan yang konkrit masih diperlukan untuk melaksanakan sepenuhnya syor-syor CRC. SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan hak kanak-kanak dihormati, dilindungi dan dipenuhi sepenuhnya di Malaysia.                           

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
29 Januari 2026

Tags: No tags

Comments are closed.