[OCC] Kenyataan Media No. 08-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Dukacita Terhadap Kejadian Tragis di Kuantan

KUALA LUMPUR (20 FEBRUARI 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak menzahirkan rasa dukacita yang mendalam dengan kejadian tragis yang melibatkan kematian lima anggota sebuah keluarga di Kuantan pada 17 Februari 2026. Peristiwa ini amat memilukan apabila turut meragut nyawa dua orang kanak-kanak kecil berusia dua dan empat tahun. Lebih menyayat hati kerana kanak-kanak berusia dua tahun itu sepatutnya menyambut ulang tahunnya pada keesokan hari, iaitu 18 Februari 2026.

Laporan awal menunjukkan bahawa bapa tersebut dikenali oleh jiran tetangga sebagai seorang yang peramah dan berbudi bahasa. Walaupun tiada petunjuk mengenai sebarang diagnosis kesihatan mental sebelum ini, pihak polis tidak menolak kemungkinan tekanan kewangan sebagai faktor penyumbang, khususnya susulan laporan mengenai pertengkaran antara ibu dan bapa pada pagi kejadian.

Tragedi yang amat menyayat hati ini menjadi peringatan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi mencegah insiden seumpama ini daripada berulang, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa. Tempoh ini juga bertepatan dengan musim perayaan penting, termasuk Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan, yang sepatutnya menjadi waktu kegembiraan, muhasabah dan kebersamaan bagi keluarga dan kanak-kanak. Insiden seperti ini memberi kesan mendalam terhadap keprihatinan bersama masyarakat.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk memperkukuh dan memperluas program jangkauan berasaskan komuniti, khususnya yang menawarkan saringan awal kesihatan mental, sokongan psikososial dan perkhidmatan kaunseling. Perhatian khusus perlu diberikan kepada ibu bapa dan penjaga, termasuk bapa atau pencari nafkah tunggal, yang berkemungkinan sedang berdepan tekanan kewangan dan emosi yang berat.

Pada masa yang sama, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa ahli keluarga, keluarga besar, jiran tetangga dan komuniti agar sentiasa peka, berbelas ihsan dan responsif terhadap mereka yang mungkin sedang menghadapi tekanan atau kesukaran. Persekitaran yang menyokong dan prihatin boleh memainkan peranan penting dalam mencegah krisis serta melindungi kesejahteraan kanak-kanak.

Perlindungan kanak-kanak mesti terus menjadi tanggungjawab bersama yang menuntut kewaspadaan, empati dan sokongan yang tepat pada masanya.

-TAMAT-

Dr Farah Nini Dusuki
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
20 Februari 2026

Tags: No tags

Comments are closed.