1

Kenyataan Media No 07 2026_SUHAKAM Gesa Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Melindungi Integriti Institusi Dan Kepercayaan Rakyat

KUALA LUMPUR (16 FEBRUARi 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini berhubung penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan laporan yang diterbitkan oleh Bloomberg pada 12 Februari 2026.

SUHAKAM enggan mengulas inti pati dakwaan tersebut namun menegaskan bahawa sekiranya rasuah serta sebarang persepsi tidak ditangani dengan serius dan penuh akauntabiliti, ia akan memberi kesan yang mendalam terhadap pematuhan hak asasi manusia. Ini menjejaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang, melemahkan akses kepada keadilan, menjejaskan sumber untuk kepentingan awam, serta memberi kesan yang tidak seimbang kepada golongan rentan dan terpinggir. Justeru, integriti, kebebasan dan kredibiliti institusi anti-rasuah adalah amat penting bagi melindungi dan merealisasikan hak asasi manusia.

Tidak dinafikan, rasuah kian berleluasa dan memudaratkan. Amat memalukan apabila bekas pemimpin politik peringkat tertinggi turut dihadapkan ke mahkamah, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara yang panjang. Ini hakikat yang menyedihkan dan ia amat membimbangkan SUHAKAM selaku badan yang diamanahkan untuk mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia kerana semakin tinggi tahap rasuah yang berleluasa dalam masyarakat, semakin terjejas hak asasi rakyat. Dalam usaha memerangi rasuah, adalah amat penting bahawa mereka yang dipertanggungjawabkan untuk membanteras amalan keji ini bukan sahaja bebas daripada sebarang salah laku, malah mesti dilihat benar-benar bersih dan tidak tercemar.

SUHAKAM maklum mengenai penubuhan jawatankuasa penyiasatan khas tersebut, namun bimbang sekiranya badan tersebut tidak mempunyai kuasa statutori yang jelas serta kuasa penyiasatan yang mencukupi. Badan yang tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi hadir, menghendaki pengeluaran dokumen, atau mendapatkan bukti berkaitan, berisiko dinilai sebagai terhad dari segi skop dan keberkesanan. Dalam isu melibatkan berkepentingan awam, keterbatasan sedemikian boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap proses siasatan serta keputusan yang akan dicapai.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), berbanding penubuhan sebuah pasukan petugas yang tidak mempunyai kuasa. RCI mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, memeriksa mereka di bawah angkat sumpah, serta memaksa pengeluaran dokumen. Kuasa-kuasa ini amat penting bagi memastikan pemeriksaan yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap semua dakwaan berkaitan. Skop siasatan juga perlu bersifat menyeluruh. Penyiasatan tidak seharusnya terhad kepada isu tertentu sahaja, sebaliknya mesti merangkumi semua dakwaan serius yang telah diketahui umum, termasuk dakwaan berkaitan pemilikan saham serta laporan dakwaan pakatan sulit. Pendekatan yang tidak menyeluruh atau bersifat selektif berisiko mewujudkan persepsi berat sebelah dan menjejaskan kredibiliti proses tersebut.

Kebebasan institusi juga merupakan elemen yang sama penting. Komposisi mana-mana badan penyiasatan perlu mengelakkan sebarang konflik kepentingan sama ada secara nyata mahupun dari segi persepsi. Keyakinan orang ramai bukan sahaja bergantung kepada keadilan proses tersebut, tetapi juga kepada penampilan bahawa proses itu dilaksanakan secara adil. Pemisahan yang jelas antara fungsi penyiasatan dan pendakwaan, serta perlindungan daripada pengaruh tidak wajar, merupakan prinsip asas keadilan. Yang Amat Berbahagia Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, who is widely recognised for her judicial integrity. The membership of the investigative body should also be broadened to include a respected representative from Civil Society Organisations (CSO) in order to enhance credibility, transparency and public trust in the process.

Dalam hal ini, SUHAKAM berpandangan bahawa badan penyiasatan yang dicadangkan tidak seharusnya diketuai oleh Peguam Negara. Sebaliknya, ia wajar dipimpin oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara yang bebas dan dihormati, seperti Yang Amat Berbahagia Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, yang sering diiktiraf atas integriti kehakimannya. Keanggotaan badan penyiasatan tersebut juga wajar diperluaskan dengan melibatkan seorang wakil yang dihormati daripada Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) bagi meningkatkan kredibiliti, ketelusan serta keyakinan awam terhadap proses tersebut. SUHAKAM turut menegaskan bahawa langkah pentadbiran interim yang bersesuaian mungkin diperlukan bagi melindungi integriti dan kredibiliti siasatan. Langkah sedemikian bukan bersifat menghukum, sebaliknya bertujuan untuk mengekalkan keyakinan awam serta memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas dan tanpa gangguan sehingga ia selesai. Dalam hal ini, SUHAKAM menyokong gesaan agar Tan Sri Azam Baki ditempatkan dalam cuti bergaji (“garden leave”) sepanjang tempoh RCI menjalankan siasatan, kerana langkah ini dapat mengelakkan sebarang pengaruh, sama ada secara nyata mahupun persepsi, terhadap proses penyiasatan.

Ketelusan kekal sebagai tonggak utama tadbir urus demokratik serta komponen penting dalam kedaulatan undang-undang. Orang ramai wajar dimaklumkan mengenai mandat, kuasa serta perkembangan siasatan tersebut, tertakluk kepada pertimbangan kerahsiaan yang sah. Proses yang terbuka dan bertanggungjawab akan mengukuhkan institusi serta memperkukuh kepercayaan awam. Komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah harus selari dengan tanggungjawab hak asasi manusianya. Apabila dakwaan melibatkan individu yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang anti-rasuah, tindakan yang diambil untuk menanganinya perlu tegas, bebas, serta tidak boleh dipersoalkan.

Malaysia’s commitment to combating corruption must be aligned with its human rights obligations. Where allegations involve those entrusted with enforcing anti-corruption laws, the response must be robust, independent and beyond reproach.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

16 February 2026

1

Kenyataan Media No. 06-2026_SUHAKAM Zahir Kebimbangan, Tekankan Kepentingan Hak Perhimpunan Aman Dan Kebebasan Bersuara

KUALA LUMPUR (11 FEBRUARY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap penahanan seramai 20 individu berhubung tindakan pihak polis berkaitan perhimpunan yang dirancang oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada 7 Februari 2026.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap penahanan seramai 20 individu berhubung tindakan pihak polis berkaitan perhimpunan yang dirancang oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada 7 Februari 2026.

Perhimpunan aman adalah ruang demokrasi yang sah untuk menyuarakan kebimbangan serta memperjuangkan perubahan, selagi ia dijalankan selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia, termasuk prinsip tanpa diskriminasi, kesaksamaan di sisi undang-undang dan penghormatan terhadap kepelbagaian. Dalam hal ini, piawaian antarabangsa, termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Perkara 18 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), melindungi hak untuk menganuti dan mengamalkan agama, termasuk pembinaan dan perlindungan tempat ibadat, serta mewajibkan Negara mencegah diskriminasi secara langsung dan tidak langsung, termasuk apabila serangan terhadap identiti agama memberi kesan yang tidak seimbang terhadap kumpulan etnik atau minoriti. Walaupun kebebasan bersuara secara umumnya dilindungi, sebarang bentuk advokasi yang berbaur hasutan diskriminasi, permusuhan atau keganasan adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya Perkara 19(3) dan Perkara 20(2) ICCPR.

Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan bahawa sebarang dakwaan melibatkan ucapan kebencian, perlakuan perkauman atau hasutan kepada diskriminasi perlu ditangani dengan tegas dan selaras dengan undang-undang, berpandukan proses sewajarnya serta piawaian hak asasi manusia yang terpakai. Kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan tindakan yang menjejaskan hak, keselamatan dan maruah pihak lain.

Pada masa yang sama, SUHAKAM mengambil maklum bahawa Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa, termasuk pihak polis, untuk mengurus perhimpunan secara sah, dan memudah cara. Sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil hendaklah berasaskan kuasa undang-undang yang jelas, menghormati proses sewajarnya, serta bersesuaian dengan keadaan.

SUHAKAM sedang memantau dengan teliti perkembangan berkaitan insiden ini, termasuk asas perundangan dan langkah penguatkuasaan yang telah diambil, bagi memastikan kesemua tindakan, sama ada oleh pihak penganjur mahupun pihak berkuasa adalah selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, (APA 2012), serta obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

11 FebruarI 2026

2

Kenyataan Media No. 05-2026_SUHAKAM Seru Kerajaan Laksanakan Tindakan Segera, Bersepadu dan Bersasar Susulan Semakan Berkala Jawatankuasa PBB Mengenai Hak Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (29 JANUARI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik Ucapan Penutup oleh Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) susulan semakan terkini Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. SUHAKAM mengambil maklum pengiktirafan Jawatankuasa terhadap kemajuan Malaysia dalam beberapa aspek, namun menegaskan bahawa masih terdapat jurang yang menghalang realisasi hak kanak-kanak sepenuhnya dan ia memerlukan tindakan segera, bersepadu dan bersasar.

SUHAKAM memuji langkah-langkah positif yang telah diambil oleh Kerajaan, seperti yang diiktiraf oleh CRC, termasuk penambahbaikan dalam aspek kesihatan ibu dan kanak-kanak, peluasan intervensi pencegahan, serta usaha untuk memperkukuh dasar dan perkhidmatan berkaitan kanak-kanak. SUHAKAM juga mengambil maklum penglibatan konstruktif yang ditunjukkan oleh Kerajaan sepanjang proses semakan, yang mencerminkan keterbukaan terhadap dialog dan pembaharuan. Perkembangan ini merupakan satu kemajuan yang signifikan. Namun demikian, seperti yang ditekankan oleh CRC, kemajuan masih tidak seimbang dan perlu diperkukuhkan melalui pembaharuan struktur dan perundangan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir.

Selaras dengan pendirian konsisten SUHAKAM serta Ucapan Penutup Jawatankuasa PBB, SUHAKAM menekankan enam syor-syor penting yang memerlukan perhatian segera:

  • Penarikan Balik Reservasi

SUHAKAM mengulangi seruan agar Malaysia menarik balik baki reservasi terhadap Konvensyen, memandangkan pengekalan reservasi tersebut tidak lagi selari dengan pembaharuan perundangan dan institusi negara. SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk mempercepatkan penyelesaian proses semakan yang dimulakan pada tahun 2017, selaras dengan tempoh masa satu tahun yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.

  • Penyelarasan Undang-Undang Domestik

SUHAKAM menyeru agar pembaharuan undang-undang dipercepatkan bagi memastikan penyelarasan sepenuhnya perundangan domestik dengan Konvensyen serta Ulasan Amnya. Usaha ini perlu disokong oleh mekanisme nasional yang bersepadu, dengan kepimpinan, akauntabiliti dan garis masa yang jelas, serta mengutamakan Ulasan Am No. 24 dan pembangunan dasar berasaskan bukti.

  • Perlindungan Kanak-Kanak dan Sistem Keadilan Kanak-Kanak

SUHAKAM menegaskan keperluan untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak, termasuk pendekatan penjagaan alternatif yang kukuh dan berasaskan hak, dengan memastikan penahanan kanak-kanak hanya sebagai langkah terakhir. SUHAKAM sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung Penjagaan Institusi Kanak-Kanak bagi meneliti cabaran kompleks pelbagai pihak berkuasa yang mengurus institusi-institusi tersebut, menghapuskan isu sistemik yang dihadapi kanak-kanak dalam penjagaan institusi, serta mengenal pasti punca utama kelemahan pemantauan dan penyeliaan. Sistem keadilan kanak-kanak mestilah diselaraskan sepenuhnya dengan piawaian Konvensyen dan disokong oleh tenaga kerja perlindungan kanak-kanak yang telus, profesional dan bertanggungjawab.

  • Kanak-Kanak Pelarian, Migran dan Tanpa Dokumen

SUHAKAM mengulangi pendiriannya yang konsisten bahawa kanak-kanak pelarian, migran dan tanpa dokumen tidak boleh dikecualikan daripada rangka kerja perlindungan. Langkah-langkah konkrit diperlukan bagi mengintegrasi kanak-kanak ini ke dalam sistem nasional dan memastikan akses kepada perkhidmatan asas, termasuk pendidikan dan perlindungan sosial. Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan keperluan untuk merealisasikan secara progresif perlindungan kesihatan sejagat bagi semua kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan atau status undang-undang, serta menghapuskan halangan sistemik yang membawa kepada penafian hak. SUHAKAM turut mengulangi gesaan supaya alternatif selain penahanan dilaksanakan dengan segera, penahanan imigresen kanak-kanak ditamatkan dan Akta Imigresen dipinda bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian Konvensyen.

  • Ruang Fiskal dan Perbelanjaan Berfokuskan Kanak-Kanak

Malaysia sedang bergerak ke arah status negara berpendapatan tinggi dan dalam suasana perubahan demografi yang pesat, SUHAKAM menegaskan bahawa pelaburan yang mencukupi dan mampan untuk kanak-kanak kekal sebagai kewajipan teras hak asasi manusia. SUHAKAM menyeru agar belanjawan memberi tumpuan khusus kepada kanak-kanak dan mengambil kira keperluan gender, perbelanjaan berkaitan kanak-kanak dipantau secara sistematik, serta kecukupan pelaburan dinilai berdasarkan kesannya terhadap kesejahteraan kanak-kanak, bagi memastikan peruntukan sumber membawa kepada penambahbaikan dalam kehidupan kanak-kanak.

  • Pelaporan di bawah Protokol Pilihan, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD)

SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya mempercepatkan penyerahan laporan-laporan tertunggak di bawah Protokol Pilihan, termasuk Protokol Pilihan mengenai Penglibatan Kanak-kanak dalam Konflik Bersenjata (OPAC). Langkah ini penting bagi menzahirkan komitmen Malaysia terhadap akauntabiliti antarabangsa dan pematuhan penuh terhadap obligasi perjanjian, serta perlu dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip hak asasi manusia yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, dibaca bersama CEDAW dan CRPD, bagi memastikan kesaksamaan gender dan hak kanak-kanak kurang upaya ditangani secara menyeluruh dan sistematik.

SUHAKAM juga ingin menjelaskan bahawa sejak Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) secara rasmi ditadbir urus di bawah SUHAKAM, OCC dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan sedia ada tanpa sebarang peruntukan tambahan daripada Kerajaan. Pengaturan ini penting bagi melindungi kebebasan OCC, memandangkan SUHAKAM ialah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia yang diiktiraf dengan status “A” oleh Pakatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) dan beroperasi selaras dengan Prinsip-prinsip Paris. SUHAKAM juga mengambil maklum bahawa CRC telah membangkitkan persoalan mengenai pembiayaan yang seharusnya mencukupi dan mampan untuk OCC. Walaupun pengaturan semasa jelas menunjukkan komitmen SUHAKAM untuk memperkukuh pemantauan, pengawasan dan advokasi hak kanak-kanak, jumlah peruntukan sedia ada adalah tidak mencukupi untuk menyokong skop tanggungjawab dan mandat OCC yang semakin meluas. Seiring dengan keperluan SUHAKAM menjalankan mandat di seluruh negara serta peningkatan penglibatan yang lebih berfokus dan berterusan terhadap kanak-kanak, pelaksanaan fungsi OCC yang lebih berkesan memerlukan peruntukan yang setimpal dan mencukupi.

SUHAKAM mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan namun ingin menekankan bahawa iltizam politik yang berterusan dan tindakan yang konkrit masih diperlukan untuk melaksanakan sepenuhnya syor-syor CRC. SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan hak kanak-kanak dihormati, dilindungi dan dipenuhi sepenuhnya di Malaysia.                           

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
29 Januari 2026

1

[OCC] Kenyataan Media No. 03-2026_OCC SUHAKAM Sambut Baik Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 Implementasi Pemerkasaan Hak Kanak Kanak

KUALA LUMPUR (23 JANUARY 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik pengenalan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebagai kesinambungan strategik kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025. Secara keseluruhan, OCC melihat RPM ini sebagai langkah yang positif dan matang untuk membina sistem pendidikan yang lebih berkualiti, adil dan berpaksikan kesejahteraan kanak-kanak.

OCC mengiktiraf hala tuju RPM yang tidak lagi menumpukan akses semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada mutu pendidikan, ekuiti dan kesejahteraan murid. Pendekatan ini penting kerana pendidikan yang benar-benar bermakna bukan sekadar memastikan kanak-kanak hadir ke sekolah, tetapi memastikan mereka belajar dengan baik dalam persekitaran yang selamat, menyokong dan membantu mereka berkembang.

Penegasan konsep “Insan Sejahtera” yang merangkumi aspek akademik, sahsiah, emosi, sosial dan kerohanian juga selari dengan pendekatan hak kanak-kanak yang holistik. OCC melihat ini sebagai pengiktirafan bahawa kejayaan pendidikan tidak wajar diukur melalui peperiksaan semata-mata.

OCC turut memuji komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pendidikan terangkum, termasuk usaha memperluas sokongan kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), murid pedalaman, murid Orang Asli serta murid daripada latar sosioekonomi rendah. Prinsip “tiada kanak-kanak ditinggalkan” jelas diketengahkan dalam kerangka dasar ini.

Selain itu, kesediaan KPM mengakui cabaran sedia ada secara terbuka, termasuk prestasi PISA dan TIMSS, jurang bandar–luar bandar serta isu keciciran menengah atas, menunjukkan ketelusan dasar yang wajar dipuji. Pengakuan terhadap jurang dan kelemahan ialah langkah penting untuk pembaikan yang lebih berkesan.

Walau bagaimanapun, OCC ingin menegaskan bahawa kejayaan sebenar RPM 2026–2035 terletak pada pelaksanaan yang konsisten dan berkesan, khususnya dari sudut perlindungan hak pendidikan kanak-kanak. Walaupun RPM mempunyai visi dan kerangka yang kukuh, mekanisme perlindungan hak pendidikan masih perlu diperincikan dengan lebih jelas. OCC berpandangan bahawa kanak-kanak bukan sekadar penerima dasar, tetapi pemegang hak, selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC). Oleh itu, perlu ada penjelasan yang lebih terang tentang bagaimana hak pendidikan murid akan dilindungi, dipantau dan diambil tindakan apabila sasaran tidak dicapai di peringkat sekolah atau daerah.

OCC juga menekankan bahawa isu keciciran menengah atas perlu dilihat sebagai isu hak kanak-kanak, bukan sekadar statistik enrolmen. Apabila seorang kanak-kanak tercicir, ia menandakan sistem belum cukup melindungi hak pendidikan mereka. OCC menggesa agar strategi yang lebih bersasar dibangunkan untuk murid yang berisiko tinggi, termasuk murid miskin, murid pedalaman, murid yang terpaksa bekerja, murid berisiko perkahwinan awal, serta murid tanpa dokumen atau status yang tidak jelas.

Dalam aspek pendidikan terangkum pula, OCC mengambil maklum bahawa jurang masih ketara dari segi infrastruktur dan akses fizikal, khususnya bagi kanak-kanak OKU. Jika hanya sebahagian sekolah mesra OKU, ini bermakna masih ada kanak-kanak yang secara tidak langsung dinafikan hak mereka untuk belajar dalam persekitaran yang sesuai. OCC mencadangkan agar KPM menetapkan garis masa yang jelas dan boleh diukur untuk menaik taraf sekolah mesra OKU, di samping memperkukuh latihan guru pendidikan inklusif secara lebih menyeluruh.

OCC juga berpandangan bahawa suara kanak-kanak masih belum diberi ruang yang mencukupi dalam tadbir urus pendidikan. Mekanisme sebenar untuk mendengar pandangan, pengalaman dan kebimbangan murid masih terhad. Dasar pendidikan yang benar-benar berpaksikan kanak-kanak perlu mendengar suara mereka secara bermakna, selamat dan berterusan, agar respons dasar lebih tepat dengan realiti di sekolah.

Pada masa yang sama, OCC menegaskan bahawa kesejahteraan guru dan kaunselor ialah prasyarat penting kepada hak pendidikan murid. Beban tugas bukan pedagogi, nisbah kaunselor:murid yang masih tinggi dan tekanan kerja boleh memberi kesan langsung kepada kualiti sokongan yang diterima oleh murid. Pelaburan terhadap kesejahteraan pendidik ialah pelaburan terhadap masa depan kanak-kanak.

Secara keseluruhan, OCC menyambut baik RPM 2026–2035 sebagai langkah penting ke arah sistem pendidikan yang lebih terangkum, adil dan berorientasikan masa depan. Namun, dasar yang baik mesti disokong oleh pelaksanaan yang benar-benar berasaskan hak kanak-kanak. Kejayaan sebenar RPM 2026–2035 bukan diukur melalui dokumen atau sasaran semata-mata, tetapi melalui keupayaannya memastikan tiada kanak-kanak tercicir, terpinggir atau dinafikan hak pendidikan mereka, khususnya golongan paling rentan.

OCC bersedia bekerjasama secara konstruktif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan RPM ini benar-benar membawa perubahan nyata kepada kehidupan dan masa depan setiap kanak-kanak di Malaysia.

-TAMAT-

Dr Farah Nini Dusuki

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

23 Januari 2026

1

[OCC] Kenyataan Media No. 01-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Menyambut Baik Pelaksanaan Undang-Undang Yang Memberi Kewarganegaraan Automatik Kepada Anak Yang Dilahirkan Di Luar Negara Oleh Ibu Warganegara Malays

KUALA LUMPUR (10 JANUARY 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik menjelang Jun atau Julai 2026.

Pengumuman ini menyusuli kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) berkaitan peruntukan kewarganegaraan pada Oktober 2024 dan merupakan satu langkah penting dalam menangani ketidaksamaan yang telah lama berlarutan dan menjejaskan hak kanak-kanak terhadap kewarganegaraan.

Walaupun OCC menyambut baik perkembangan ini, pindaan tersebut tidak terpakai kepada kes terdahulu. Oleh itu, kanak-kanak yang dilahirkan sebelum tarikh pelaksanaan perlu terus diberikan kewarganegaraan Malaysia melalui pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Tiada kanak-kanak wajar dinafikan hak kewarganegaraan akibat kelewatan pelaksanaan undang-undang ini.

OCC turut menghargai penurunan ketara jumlah tunggakan permohonan kewarganegaraan, daripada kira-kira 50,000 kes kepada kurang daripada 4,000 kes sejak Menteri Dalam Negeri mula memegang jawatan pada tahun 2022, ini juga termasuk kes yang dikendalikan oleh OCC. Perkembangan ini menunjukkan kemajuan yang nyata dalam pembaharuan pentadbiran.

OCC juga mengambil maklum bahawa Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 yang dipinda dijangka dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan pindaan perlembagaan tersebut. Dalam hal ini, OCC menggesa agar Peraturan-Peraturan yang dipinda ini didedahkan kepada umum, prosedur dipermudahkan, dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan bagi memastikan pemohon mendapat maklumat mengenai perkembangan permohonan mereka serta menerima maklum balas bertulis sekiranya permohonan ditolak.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, OCC menyeru agar satu strategi komunikasi awam yang jelas diwujudkan, termasuk usaha libat urus di seluruh negara, serta latihan menyeluruh kepada pegawai barisan hadapan, khususnya di kedutaan dan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara.

OCC kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan bagi memastikan tiada seorang pun kanak-kanak dibiarkan tanpa kewarganegaraan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.

-TAMAT-

Dr Farah Nini Dusuki

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

10 Januari 2026

1

Kenyataan Media No. 59-2025_SUHAKAM Zahir Kebimbangan Serius Terhadap Pilihan Raya Terancang Di Myanmar

KUALA LUMPUR (22 DISEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap pilihan raya terancang oleh tentera junta Myanmar yang akan diadakan dalam tiga fasa, bermula pada 28 Disember 2025 dan berakhir pada Januari 2026. Sejak tahun 2021, junta telah berulang kali berikrar untuk mengadakan pilihan raya baharu sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar, meskipun masih bergelut dengan perang saudara, konflik berskala besar, serta ketiadaan prasyarat yang kondusif bagi suatu proses demokrasi yang sebenar.

1 Februari 2021, demokrasi Myanmar terjejas secara mendadak apabila junta tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara sah iaitu Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), sekali gus menandakan detik gelap bagi rakyat Myanmar dan aspirasi mereka terhadap demokrasi. Sejak itu, junta telah melancarkan kempen keganasan dan penindasan terhadap rakyat Myanmar. Menurut data daripada Assistance Association for Political Prisoners (AAPP), lebih 7,000 orang awam telah terbunuh, lebih 20,000 orang telah ditahan secara sewenang-wenangnya, dan ratusan ribu telah menjadi pelarian sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Konflik berterusan di Myanmar telah mengakibatkan peningkatan kemasukan pelarian Myanmar ke Malaysia sehingga menimbulkan implikasi kemanusiaan secara langsung kepada negara ini. Dalam keadaan ini, Malaysia mempunyai locus standi yang sewajarnya untuk membangkitkan dan menangani isu-isu yang timbul daripada situasi tersebut selaras dengan obligasinya di bawah undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa serta instrumen ASEAN yang berkaitan. Sehubungan itu, penyataan kebimbangan dalam konteks ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran prinsip tidak campur tangan ASEAN, sebaliknya merupakan pelaksanaan tanggungjawab yang sah dan selaras dengan komitmen ASEAN terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia serta kestabilan serantau.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, setakat akhir Oktober 2025, kira-kira 211,360 orang pelarian dan pencari suaka telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah ini, sekitar 189,760 adalah dari Myanmar, terdiri daripada 124,123 etnik Rohingya, 32,800 etnik Chin, dan 32,827 individu daripada kumpulan etnik lain yang terjejas akibat konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar, menjadikan mereka populasi pelarian terbesar di Malaysia. Walaupun UNHCR menjelaskan bahawa peningkatan angka pendaftaran tersebut sebahagian besarnya mencerminkan peningkatan keupayaan pendaftaran organisasi itu dan bukannya semata-mata ketibaan baharu, angka ini tetap menekankan kesan besar krisis Myanmar terhadap Malaysia.

Susulan lawatan kerja Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, ke Myanmar pada 9 Oktober 2025, Menteri Luar menyatakan bahawa komponen utama demokrasi ialah pilihan raya yang mesti dijalankan selaras dengan prinsip bebas, adil, telus dan berwibawa, serta selari dengan teras utama Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC). Semasa lawatan tersebut, junta tentera juga telah mengemukakan jemputan kepada Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menghantar pemerhati pilihan raya. Bagi Malaysia, jemputan tersebut telah ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Namun demikian, SUHAKAM berpendirian tegas bahawa Kerajaan Malaysia tidak seharusnya terlibat dengan junta tentera tersebut, kerana sebarang bentuk penglibatan, termasuk penghantaran pemerhati pilihan raya, boleh membawa implikasi pengiktirafan terhadap sebuah rejim yang tidak sah, memandangkan pilihan raya yang dirancang itu tidak memenuhi syarat asas pilihan raya yang bebas dan adil. Penolakan terhadap permintaan junta untuk menghantar pemerhati merupakan salah satu titik tekanan yang boleh digunakan oleh ASEAN bagi mendesak junta tentera ke arah tindakan yang lebih bertanggungjawab.

SUHAKAM menegaskan bahawa prinsip tidak campur tangan dalam Piagam ASEAN telah memburukkan lagi konflik di Myanmar dan ASEAN perlu beralih daripada prinsip tidak campur tangan kepada prinsip tidak berdiam diri. Pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan serta krisis kemanusiaan di Myanmar terus memberi kesan yang semakin buruk dan membawa implikasi secara langsung kepada Malaysia dan Negara-Negara Anggota ASEAN yang lain.

SUHAKAM menyokong sepenuhnya proses pendemokrasian di Myanmar. Namun, tiada pilihan raya boleh dianggap bebas atau adil selagi ruang sivik kekal terhad, pandangan berbeza disenyapkan, dan rakyat terus hidup dalam ketakutan serta penindasan. Penyertaan politik dan awam adalah penting kepada tadbir urus demokrasi, dan pilihan raya seharusnya menyumbang kepada pengukuhan demokrasi, bukannya menafikannya. Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa semua pihak untuk segera mengutamakan pemulihan keamanan dan kestabilan di Myanmar, serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada komuniti yang terjejas sebelum sebarang pilihan raya diadakan. Hanya melalui usaha yang sedemikian, Myanmar dapat bergerak ke arah peralihan demokrasi yang inklusif dan berwibawa yang mendapat penghormatan rakyatnya sendiri serta masyarakat antarabangsa.

SUHAKAM merakamkan penghargaan kepada ASEAN atas penerimaan Deklarasi ASEAN Mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Hak kepada Keamanan ke Arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan pada Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. SUHAKAM mengiktiraf bahawa Negara-Negara Anggota ASEAN kini mempunyai rangka kerja kefahaman bersama untuk membincangkan isu konflik dan keamanan di rantau ini. Namun, SUHAKAM menggesa Negara-Negara Anggota ASEAN supaya memanfaatkan Deklarasi ini untuk membangunkan mekanisme dan instrumen yang konkrit bagi mencapai keamanan di ASEAN, dan bukan sekadar menganggapnya sebagai instrumen simbolik, dengan melibatkan secara bermakna Komuniti ASEAN, termasuk komuniti etnik dan wakil kumpulan dwi-minoriti dari Myanmar.

SUHAKAM kekal bersolidariti bersama rakyat Myanmar. Sebagai bakal Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) bagi tahun 2026, SUHAKAM akan meneruskan dan memperkukuh usaha SEANF dalam memperjuangkan serta memajukan hak-hak rakyat Myanmar.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh : 22 Disember 2025

1

Kenyataan Media No. 57-OCC Seru Kebertanggungjawaban Penuh Penyedia Perkhidmatan Bagi Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak Dalam Talian

KUALA LUMPUR (16 DECEMBER 2025) - Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik dan menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memperuntukkan bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. Inisiatif ini adalah selaras dengan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) dan OCC memuji langkah ini sebagai satu langkah penting dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan dalam Talian 2025 di Malaysia.

OCC berpandangan bahawa langkah pengawalseliaan ini adalah satu perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian. Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam ruang digital. Perlindungan ini termaktub di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC, yang mewajibkan Kerajaan sebagai Negara Pihak untuk mengambil langkah proaktif dan pencegahan bagi menangani potensi risiko terhadap kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi. Dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab ini turut merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial. Oleh itu, platform digital yang memudahcara interaksi dalam talian berskala besar memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau menjejaskan kesejahteraan mereka.

OCC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan platform mereka, dalam aspek reka bentuk dan tetapan secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak. Ini termasuk pelaksanaan perlindungan bersesuaian mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, menangani risiko eksploitasi seksual dalam talian dan penderaan, memastikan perantaraan kandungan yang kukuh, serta menyediakan mekanisme pelaporan dan remedi yang mudah diakses. Kepentingan terbaik kanak-kanak, sepertimana yang termaktub di bawah Artikel 3 CRC perlu menjadi panduan kepada dasar platform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan.

Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh MCMC mengukuhkan prinsip bahawa platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara. OCC menyokong usaha MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka.

OCC sedia untuk mengukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak. Melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia.

-TAMAT-

Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diakses melalui pautan ini atau imbasan kod QR : here or by scanning the QR:

FAQ on Deeming Provision

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

16 Disember 2025

1

Kenyataan Media No. 55-2025_SUHAKAM Sambut Baik Komitmen Kerajaan Sarawak Tambah Baik Aksesibiliti Luar Bandar Menjelang 2030

KUALA LUMPUR (25 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sambut baik inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri Sarawak untuk meningkatkan aksesibiliti di wilayah utara Sarawak juga komitmen untuk merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar menjelang tahun 2030.

SUHAKAM mengambil maklum pelancaran Projek Jalan Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau), dan Long Panai–Long Lama (Projek Jalan MMMLL) pada 15 November 2025 iaitu inisiatif menaik taraf bekas jalan pembalakan kepada jalan awam yang boleh diakses sepenuhnya menjelang 2030. Inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak ini dijangka dapat meningkatkan aksesibiliti, merancakkan peluang ekonomi, serta mengukuhkan aktiviti sosial dan komersil di kawasan pedalaman.

SUHAKAM memuji perkembangan positif ini dan mengiktirafnya sebagai satu langkah penting ke arah memastikan komuniti yang tinggal di kawasan terpencil di Sarawak tidak terus tersisih akibat jurang infrastruktur yang telah lama wujud. Banyak komuniti yang terpinggir dan berada di kawasan pedalaman masih berdepan cabaran untuk mengakses perkhidmatan asas, mendapatkan peluang ekonomi, dan infrastruktur penting. Justeru, penambahbaikan keterhubungan yang mampan adalah penting bagi memastikan penyertaan mereka dalam perancangan pembangunan jangka panjang negeri. SUHAKAM berharap Projek Jalan MMMLL dapat dilaksanakan secara mampan, saksama dan inklusif, serta manfaatnya boleh dinikmati oleh semua komuniti, terutamanya komuniti tempatan yang sudah lama hidup dengan akses yang terhad.

SUHAKAM juga mengalu-alukan komitmen Premier untuk merapatkan jurang Pembangunan luar bandar–bandar menjelang 2030, seperti yang dilaporkan pada 23 November 2025. Premier menyatakan bahawa tidak seharusnya wujud sebarang ketidakseimbangan antara kawasan luar bandar dan bandar dari segi kemudahan dan infrastruktur, termasuk akses elektrik dan bekalan air bersih.

Meskipun gelombang kemajuan telah tercapai, SUHAKAM menegaskan bahawa masih banyak komuniti di luar bandar Sarawak yang ketinggalan dari segi kualiti hidup akibat infrastruktur yang tidak mencukupi. SUHAKAM menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk memberi keutamaan kepada cabaran berpanjangan ini supaya penduduk luar bandar dapat menikmati taraf hidup yang setara dengan komuniti bandar.

SUHAKAM memuji komitmen berwawasan tersebut dan melalui Pejabat SUHAKAM Sarawak, kami bersedia untuk menyokong usaha-usaha yang menjunjung hak dan maruah semua penduduk di Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di kawasan kurang mendapat perkhidmatan serta mereka yang tinggal di pedalaman.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 25 November 2025

Template PS 2025

Kenyataan Media No. 53-2025_SUHAKAM Desak Pertuduhan Terhadap Mangsa Terselamat Dalam Tragedi Bot Karam Ditarik Balik Dan Menggesa Siasatan Difokuskan Kepada Rangkaian Pemerdagangan Manusia

KUALA LUMPUR (21 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) zahir kekecewaan terhadap laporan bahawa 11 daripada 14 mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam berhampiran Langkawi akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah. SUHAKAM menegaskan bahawa mereka tidak boleh dilayan sebagai penjenayah kerana mereka adalah individu tanpa kerakyatan serta mangsa kepada penganiayaan, pengusiran dan eksploitasi yang berlarutan sekian lama.

Sebahagian besar mangsa yang terselamat dipercayai merupakan etnik Rohingya, komuniti yang telah dinafikan kewarganegaraan selama beberapa dekad akibat pengecualian sistematik dan penafian hak di tempat asal mereka. Akibatnya, mereka terhalang daripada menikmati hak asas dan perlindungan undang-undang, memaksa ramai untuk melarikan diri demi keselamatan. Migrasi mereka bukan dibuat atas pilihan, namun atas keperluan mendesak untuk terus hidup. Menghukum mereka sebagai penjenayah adalah tidak adil kerana ia mengenepikan masalah sebenar termasuk pelanggaran hak asasi yang memaksa mereka melarikan diri melalui perjalanan yang berbahaya ini.

SUHAKAM menekankan bahawa mangsa yang dilayan sebagai golongan rentan merupakan pendekatan yang berprinsipkan perikemanusiaan dan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia. Pendekatan ini penting dalam membentuk kefahaman masyarakat, menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta mengukuhkan amalan kemanusiaan Malaysia terhadap golongan yang memerlukan. Penting untuk memastikan perbincangan di peringkat negara tidak menganggap orang yang terpaksa berhijrah sebagai berniat melakukan jenayah. Mereka mempertaruhkan nyawa di lautan demi mendapatkan perlindungan dan maruah dan tidak sewajarnya didakwa atas keadaan yang di luar kawalan mereka.

SUHAKAM turut menggesa pihak berkuasa mempergiatkan siasatan dan menggempur rangkaian pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi golongan tanpa kewarganegaraan dan yang dipindahkan secara paksa. Sindiket jenayah ini mengambil kesempatan terhadap desakan hidup mangsa, melakukan penindasan, memeras ugut dan mendedahkan mereka kepada bahaya yang serius. Penguatkuasaan yang efektif seharusnya menumpukan kepada sindiket dan mereka yang meraih keuntungan daripada eksploitasi, bukannya kepada mangsa yang menjadi sasaran mereka. Pihak berkuasa perlu membuat penilaian berdasarkan indikator pemerdagangan manusia selaras dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, bagi memastikan mangsa menerima hak perlindungan dan bukan hukuman.

SUHAKAM juga menyeru Jabatan Peguam Negara (AGC), sebagai pelindung hak dan keadilan masyarakat, agar menggunakan budi bicara dalam pendakwaan, berdasarkan pertimbangan kemanusiaan serta tanggungjawab moral dan undang-undang Malaysia. Pengguguran pertuduhan terhadap mangsa-mangsa ini akan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap maruah manusia.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa agar pertuduhan ditarik balik dengan segera dan supaya mangsa yang terselamat diberikan bantuan kemanusiaan, perlindungan serta proses sewajarnya. Malaysia perlu tegas memerangi rangkaian pemerdagangan manusia tanpa menghukum individu yang memerlukan perlindungan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh :21 November 2025

Template PS 2025 (2)

Kenyataan Media No. 52-2025_SUHAKAM Desak Hentikan Pengusiran Paksa Dan Menggesa Penghormatan Terhadap Hak Untuk Perumahan di Selangor

KUALA LUMPUR (13 NOVEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang sedang berlaku melibatkan dakwaan pengusiran paksa dan perobohan rumah penduduk Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor bagi tujuan pembangunan.

Menurut laporan media dan organisasi masyarakat sivil, lebih daripada 30 buah rumah termasuk rumah yang masih didiami telah dirobohkan meskipun terdapat laporan bahawa Pejabat Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan arahan agar tiada pengusiran paksa atau perobohan terhadap rumah dan premis yang masih didiami. Sekiranya rundingan masih belum mencukupi, SUHAKAM menasihatkan Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah segera untuk menjalankan proses rundingan yang telus dan inklusif bersama penduduk yang terjejas. SUHAKAM difahamkan bahawa kebanyakan penduduk telah menetap di kawasan tersebut selama beberapa dekad dan telah banyak menyumbang kepada kehidupan sosial dan ekonomi kepada komuniti. Kekurangan rundingan dan penjelasan yang sewajarnya atau pilihan perumahan alternatif yang bersesuaian, menimbulkan ketidakpastian mengenai penempatan semula atau pampasan yang sewajarnya.

SUHAKAM ingin mengingatkan semua pihak berkuasa bahawa Malaysia telah menyatakan komitmen kepada hak terhadap perumahan yang mencukupi sepertimana yang diiktiraf di bawah Artikel 25 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Artikel 11(1) Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR). Prinsip-prinsip ini turut disokong oleh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kepada kehidupan dan maruah. Pengusiran paksa yang dijalankan tanpa proses sewajarnya, tanpa rundingan atau tanpa penyediaan perumahan alternatif yang bersesuaian adalah bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia antarabangsa Malaysia. Pengusiran tidak seharusnya menyebabkan individu atau keluarga kehilangan tempat tinggal atau terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia yang lain.

SUHAKAM ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor serta agensi-agensinya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sebarang projek pembangunan semula adalah mematuhi piawaian hak asasi manusia. Ini termasuk rundingan yang telus dengan penduduk terjejas sebelum sebarang pengusiran dilakukan, pemberian notis yang mencukupi dan maklumat yang jelas mengenai proses pembangunan, jaminan keselamatan pemilikan dan pampasan yang adil sekiranya penempatan semula tidak dapat dielakkan, serta penyediaan perumahan atau tapak penempatan alternatif yang sesuai sebelum sebarang perobohan atau pemindahan dilaksanakan.

SUHAKAM mengiktiraf kepentingan pembangunan bandar dan penambahbaikan perumahan namun kami berpandangan bahawa pembangunan tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengorbankan hak dan maruah rakyat. Layanan terhadap komuniti yang telah lama wujud seperti di Kampung Jalan Papan mencerminkan komitmen negara terhadap tadbir urus yang inklusif dan berasaskan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru agar:

i. Kerajaan Negeri Selangor, agensi-agensi negeri yang berkaitan dan pemaju segera menghentikan sebarang pengusiran lanjut sehingga satu proses rundingan yang telus dan sewajarnya dilaksanakan bersama penduduk terjejas;

ii. Kerajaan Negeri perlu menyediakan bantuan kemanusiaan segera serta tempat perlindungan sementara kepada keluarga yang terjejas akibat perobohan.

iii. Pihak berkuasa berunding secara telus dengan penduduk bagi membangunkan penyelesaian jangka panjang berkaitan penempatan semula atau perumahan yang melindungi hak terhadap perumahan yang mencukupi.

iv. Kerajaan Negeri meneliti semula dasar perumahan dan pembangunan tanah bagi mengelakkan berulangnya pengusiran paksa, serta memastikan semua projek masa hadapan dijalankan mengikut piawaian hak asasi manusia dan proses sewajarnya.

SUHAKAM menegaskan bahawa kemajuan dan pembangunan harus dilaksanakan dengan cara yang menghormati maruah manusia, melindungi komuniti rentan, serta menegakkan kedaulatan undang-undang. Hak terhadap perumahan yang mencukupi bukan sekadar pilihan dasar, tetapi merupakan tanggungjawab undang-undang dan moral oleh pihak Kerajaan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 13 November 2025