Kenyataan Media No. 59-2025_SUHAKAM Zahir Kebimbangan Serius Terhadap Pilihan Raya Terancang Di Myanmar

KUALA LUMPUR (22 DISEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap pilihan raya terancang oleh tentera junta Myanmar yang akan diadakan dalam tiga fasa, bermula pada 28 Disember 2025 dan berakhir pada Januari 2026. Sejak tahun 2021, junta telah berulang kali berikrar untuk mengadakan pilihan raya baharu sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar, meskipun masih bergelut dengan perang saudara, konflik berskala besar, serta ketiadaan prasyarat yang kondusif bagi suatu proses demokrasi yang sebenar.

1 Februari 2021, demokrasi Myanmar terjejas secara mendadak apabila junta tentera merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara sah iaitu Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), sekali gus menandakan detik gelap bagi rakyat Myanmar dan aspirasi mereka terhadap demokrasi. Sejak itu, junta telah melancarkan kempen keganasan dan penindasan terhadap rakyat Myanmar. Menurut data daripada Assistance Association for Political Prisoners (AAPP), lebih 7,000 orang awam telah terbunuh, lebih 20,000 orang telah ditahan secara sewenang-wenangnya, dan ratusan ribu telah menjadi pelarian sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Konflik berterusan di Myanmar telah mengakibatkan peningkatan kemasukan pelarian Myanmar ke Malaysia sehingga menimbulkan implikasi kemanusiaan secara langsung kepada negara ini. Dalam keadaan ini, Malaysia mempunyai locus standi yang sewajarnya untuk membangkitkan dan menangani isu-isu yang timbul daripada situasi tersebut selaras dengan obligasinya di bawah undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa serta instrumen ASEAN yang berkaitan. Sehubungan itu, penyataan kebimbangan dalam konteks ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran prinsip tidak campur tangan ASEAN, sebaliknya merupakan pelaksanaan tanggungjawab yang sah dan selaras dengan komitmen ASEAN terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia serta kestabilan serantau.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, setakat akhir Oktober 2025, kira-kira 211,360 orang pelarian dan pencari suaka telah berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah ini, sekitar 189,760 adalah dari Myanmar, terdiri daripada 124,123 etnik Rohingya, 32,800 etnik Chin, dan 32,827 individu daripada kumpulan etnik lain yang terjejas akibat konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar, menjadikan mereka populasi pelarian terbesar di Malaysia. Walaupun UNHCR menjelaskan bahawa peningkatan angka pendaftaran tersebut sebahagian besarnya mencerminkan peningkatan keupayaan pendaftaran organisasi itu dan bukannya semata-mata ketibaan baharu, angka ini tetap menekankan kesan besar krisis Myanmar terhadap Malaysia.

Susulan lawatan kerja Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, ke Myanmar pada 9 Oktober 2025, Menteri Luar menyatakan bahawa komponen utama demokrasi ialah pilihan raya yang mesti dijalankan selaras dengan prinsip bebas, adil, telus dan berwibawa, serta selari dengan teras utama Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC). Semasa lawatan tersebut, junta tentera juga telah mengemukakan jemputan kepada Negara-Negara Anggota ASEAN untuk menghantar pemerhati pilihan raya. Bagi Malaysia, jemputan tersebut telah ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Namun demikian, SUHAKAM berpendirian tegas bahawa Kerajaan Malaysia tidak seharusnya terlibat dengan junta tentera tersebut, kerana sebarang bentuk penglibatan, termasuk penghantaran pemerhati pilihan raya, boleh membawa implikasi pengiktirafan terhadap sebuah rejim yang tidak sah, memandangkan pilihan raya yang dirancang itu tidak memenuhi syarat asas pilihan raya yang bebas dan adil. Penolakan terhadap permintaan junta untuk menghantar pemerhati merupakan salah satu titik tekanan yang boleh digunakan oleh ASEAN bagi mendesak junta tentera ke arah tindakan yang lebih bertanggungjawab.

SUHAKAM menegaskan bahawa prinsip tidak campur tangan dalam Piagam ASEAN telah memburukkan lagi konflik di Myanmar dan ASEAN perlu beralih daripada prinsip tidak campur tangan kepada prinsip tidak berdiam diri. Pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan serta krisis kemanusiaan di Myanmar terus memberi kesan yang semakin buruk dan membawa implikasi secara langsung kepada Malaysia dan Negara-Negara Anggota ASEAN yang lain.

SUHAKAM menyokong sepenuhnya proses pendemokrasian di Myanmar. Namun, tiada pilihan raya boleh dianggap bebas atau adil selagi ruang sivik kekal terhad, pandangan berbeza disenyapkan, dan rakyat terus hidup dalam ketakutan serta penindasan. Penyertaan politik dan awam adalah penting kepada tadbir urus demokrasi, dan pilihan raya seharusnya menyumbang kepada pengukuhan demokrasi, bukannya menafikannya. Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa semua pihak untuk segera mengutamakan pemulihan keamanan dan kestabilan di Myanmar, serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada komuniti yang terjejas sebelum sebarang pilihan raya diadakan. Hanya melalui usaha yang sedemikian, Myanmar dapat bergerak ke arah peralihan demokrasi yang inklusif dan berwibawa yang mendapat penghormatan rakyatnya sendiri serta masyarakat antarabangsa.

SUHAKAM merakamkan penghargaan kepada ASEAN atas penerimaan Deklarasi ASEAN Mengenai Pemajuan Hak kepada Pembangunan dan Hak kepada Keamanan ke Arah Merealisasikan Pembangunan Inklusif dan Mampan pada Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. SUHAKAM mengiktiraf bahawa Negara-Negara Anggota ASEAN kini mempunyai rangka kerja kefahaman bersama untuk membincangkan isu konflik dan keamanan di rantau ini. Namun, SUHAKAM menggesa Negara-Negara Anggota ASEAN supaya memanfaatkan Deklarasi ini untuk membangunkan mekanisme dan instrumen yang konkrit bagi mencapai keamanan di ASEAN, dan bukan sekadar menganggapnya sebagai instrumen simbolik, dengan melibatkan secara bermakna Komuniti ASEAN, termasuk komuniti etnik dan wakil kumpulan dwi-minoriti dari Myanmar.

SUHAKAM kekal bersolidariti bersama rakyat Myanmar. Sebagai bakal Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) bagi tahun 2026, SUHAKAM akan meneruskan dan memperkukuh usaha SEANF dalam memperjuangkan serta memajukan hak-hak rakyat Myanmar.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh : 22 Disember 2025

Tags: No tags

Comments are closed.