KUALA LUMPUR (25 JULAI 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undangdan Reformasi Institusi), atas komitmen berterusan beliau dalam memastikan pembentangan dan perbahasan LaporanTahunan SUHAKAM 2023 berjaya dilaksanakan di Dewan Rakyat pada 24 Julai 2025.
Ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh mekanisme semak dan imbang institusi serta prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam tadbir urus awam. Seramai 39 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian dalam perbahasan ini, mengutarakan pelbagai isu penting berkaitan hak asasi manusia yang meliputi kerangka undang-undang, kebajikan, kesejahteraan sosial dan integriti institusi.
Antara isu utama yang diketengahkan termasuk:
i. Kelewatan pelantikan Pengerusi dan Pesuruhjaya SUHAKAM, berserta cadangan untuk mempertingkat ketelussan dan keterangkuman dalam proses pemilihan.
ii. Keadaan daif di lokap dan pusat tahanan, termasuk kematian dalam tahanan, kesesakan, perkhidmatan kesihatan yang tidak mencukupi serta penggunaan sistem ‘bucket’ yang masih digunakan di Papar dan Miri.
iii. Pelaksanaan penahanan tanpa perbicaraan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), dengan gesaan supaya moratorium dilaksanakan dan penubuhan Mahkamah Khas bagi mempercepatkan proses keadilan.
iv. Isu hak tanah Orang Asli/Asal, dengan penekanan kepada keperluan mendesak untuk mengiktiraf dan mewartakan tanah adat.
v. Cabaran kewarganegaraan dan status tanpa kerakyatan, khususnya melibatkan kanak-kanak tidak berdokumen, serta keperluan untuk memperkenalkan unit pendaftaran bergerak oleh agensi kerajaan berkaitan.
vi. Hak sosio-ekonomi kumpulan rentan termasuk pekerja gig dan e-hailing yang masih belum dilindungi secara menyeluruh di bawah kerangka undang-undang sedia ada.
vii. Diskriminasi kaum, agama dan xenofobia yang berleluasa, yang memerlukan usaha menyeluruh melalui pendidikan inklusif dan dasar kebangsaan.
viii. Gesaan agar pelaksanaan syor SUHAKAM diperkukuh, termasuk cadangan untuk menubuhkanJawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi memantau tindakan susulan.
SUHAKAM menghargai maklum balas konstruktif dan komitmen daripada pelbagai kementerian serta agensi berkaitan terhadap isu-isu hak asasi manusia yang mendesak. Ini termasuk usaha memperbaiki akses kepada air bersih dan penjagaan kesihatan awam di kawasan pedalaman, memperluas Unit Kesihatan Dalam Tahanan (CHU) di pusat tahanan, mengintegrasikan pendidikan hak asasi manusiayang selaras dengan nilai Islam, serta memperkenalkan reformasi undang-undang dan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), dan pekerja ekonomi gig. SUHAKAM turut mengambil maklum sokongan berterusan Malaysia terhadap isu-isu kemanusiaan antarabangsa, terutamanya yang berkaitan dengan konflik di Palestin.
Laporan Tahunan 2023 menekankan tujuh bidang utama iaitu:
- Hak kanak-kanak, wanita, warga emas, OKU dan komuniti Orang Asli/Asal.
- Hak banduan dan penahanan yang adil.
- Isu perkauman, diskriminasi berdasarkan agama dan kebencian.
- Hak ekonomi, sosial dan kebudayaan (ESCR).
- Perniagaan dan hak asasi manusia.
- Reformasi undang-undang serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
- Reformasi institusi dalam SUHAKAM termasuk pendigitalan operasi.
SUHAKAM ingin merakamkan penghargaan khas kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), atas komitmen dan sokongan beliau dalam memajukan wacana hak asasi manusia dalam kerangka Islam. Usaha beliau dalam mempromosikankefahaman inklusif dan penyelarasan antara maqasid syariah dan prinsip hak asasi sejagat amat dihargai.
SUHAKAM turut menyampaikan penghargaan istimewa kepada YB Tuan M. Kulasegaran A/L V. Murugeson, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), atas peenggulungan perbahasan dan dedikasi beliau dalam memajukan agenda hak asasi manusia demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
SUHAKAM menegaskan bahawa iltizam politik amat penting, bukan sekadar hanya dalam membentang dan membahas Laporan Tahunan, tetapi pelaksanaan tindakan susulan terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Laporan ini berfungsi sebagai platform kepada Parlimen dan semua pihak berkepentingan untuk menyuarakan isu, berkongsi pandangan serta yang paling penting, mendorong tindakan segera oleh agensi kerajaan dalam melaksanakan cadangan SUHAKAM.
Hak asasi manusia pada asasnya berpaksikan maruah, kesaksamaan dan kebertanggungjawaban. SUHAKAM menegaskan bahawa Laporan Tahunan ini bukan sekadar satu keperluan prosedur, tetapi merupakan mekanisma kebertanggungjawaban yang penting dalam menilai kemajuan negara dalam menjunjung hak asasi manusia.
SUHAKAM mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Kerajaan, Ahli Parlimen, organisasi masyarakat sivil dan sektor swasta demi memastikan hak setiap individu di Malaysia dihormati, dilindungi dan dipenuhi.
Untuk maklumat lanjut dan membaca Laporan Tahunan SUHAKAM 2023 sepenuhnya, orang ramai dijemput melayari laman web rasmi SUHAKAM di: https://suhakam.org.my/wp-content/uploads/2025/07/Laporan-Tahunan-2023-SUHAKAM.pdf
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(SUHAKAM)
Tarikh: 25 Julai 2025