[Kenyataan Media Bersama] No. 60-2026_Pembaharuan Memorandum Persefahaman SUHAKAM x NHRCN

KUALA LUMPUR, MALAYSIA (23 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Hak Pekerja Migran dan Individu yang Menetap di Kedua-dua Negara bagi tempoh tiga tahun, dari 2026 hingga 2028. MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Pengerusi NHRCN, Yang Berhormat Top Bahadur Magar, di Ibu Pejabat SUHAKAM, Kuala Lumpur, Malaysia.

MoU ini pertama kali ditandatangani pada tahun 2019 dengan tujuan memupuk kerjasama erat, perkongsian maklumat, komunikasi dua hala berhubung aduan, pemantauan bersama, penyelidikan serta aktiviti berkaitan bagi melindungi hak pekerja migran dan individu yang menetap di kedua-dua negara. MoU tersebut kemudiannya diperbaharui sebanyak dua kali sehingga 28 Mac 2024. Sepanjang tempoh pelaksanaan MoU, SUHAKAM telah mengadakan libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang menangani isu pekerja migran Nepal, serta Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur bagi bertukar maklumat mengenai keadaan pekerja migran Nepal di Malaysia. SUHAKAM turut menjalankan siasatan kes-kes yang melibatkan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja migran, termasuk kes kematian pekerja migran Nepal.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 400,000 pekerja Nepal di Malaysia. Dari tahun 2021 hingga Ogos 2026, SUHAKAM telah menerima sejumlah 46 aduan yang melibatkan pekerja Nepal. Antara dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang diterima termasuk pasport ditahan oleh majikan, bekerja selama 12 jam sehari dan 30 hari berturut-turut tanpa hari rehat, gaji tidak dibayar atau lewat dibayar, waktu bekerja yang berlebihan tanpa bayaran kerja lebih masa, keadaan tempat kerja yang tidak selamat serta perlindungan yang tidak mencukupi.

Pembaharuan MoU ini menegaskan komitmen SUHAKAM dan NHRCN untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam menyiasat kes-kes yang melibatkan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja migran, memantau keadaan di pusat tahanan serta pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan pekerja migran, menangani kadar kematian yang tinggi, menjalankan advokasi dasar berhubung yuran pengambilan pekerja dan risiko buruh paksa, mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meningkatkan akses pekerja migran Nepal di Malaysia kepada skim perlindungan keselamatan sosial, serta memperkukuh advokasi mengenai kesaksamaan gender dalam tindakan bersama kedua-dua Suruhanjaya, khususnya dengan mengambil kira hak pekerja migran wanita yang berada dalam pekerjaan tidak menentu dan sektor tidak formal. Kerjasama ini turut merangkumi semakan dasar daripada perspektif hak asasi manusia bagi mengemukakan syor kepada kedua-dua Kerajaan untuk meningkatkan akses kepada keadilan bagi pekerja migran dari negara masing-masing, pelaksanaan program pembangunan kapasiti bagi sektor keselamatan Nepal, serta bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama.

Bersempena dengan Majlis Menandatangani MoU ini, NHRCN turut mengadakan lawatan kerja yang merangkumi pertemuan dan sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. NHRCN telah mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur dan Persatuan Rakyat Nepal Bukan Pemastautin (Non-Resident Nepali Association - NRNA) Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi dan perkembangan semasa pekerja Nepal di Malaysia. Selain itu, SUHAKAM telah memudah cara pertemuan dengan Jabatan Penjara Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan komitmen di bawah MoU tersebut.

Kedua-dua Suruhanjaya menggalakkan pekerja migran Nepal di Malaysia yang pernah mengalami atau menyaksikan kemungkinan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia untuk mengemukakan aduan kepada SUHAKAM dengan mengimbas kod QR ini. Setiap aduan yang dikemukakan akan dikendalikan selaras dengan tatacara pengendalian aduan dan prinsip kerahsiaan SUHAKAM

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN)
23 September 2026

Tags: No tags

Comments are closed.