KUALA LUMPUR (21 SEPTEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius berhubung keputusan yang membenarkan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak, menjalani baki hukuman beliau di bawah tahanan rumah. Meskipun SUHAKAM menghormati sepenuhnya prerogatif perlembagaan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, keputusan ini menimbulkan persoalan penting berhubung kesamarataan di sisi undang-undang, sistem keadilan serta keyakinan awam terhadap komitmen Malaysia dalam menegakkan akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta hak setiap individu untuk mendapat perlindungan yang sama rata. Prinsip ini perlu kekal sebagai teras sistem keadilan jenayah. Sekiranya seseorang yang telah disabitkan kesalahan dibenarkan menjalani hukuman penjara dalam keadaan yang berbeza secara ketara daripada banduan lain, perkara itu hendaklah berasaskan peruntukan undang-undang yang jelas, kriteria yang telus dan objektif, serta mekanisme bagi memastikan tiada layanan istimewa atau tidak setara diberikan. Sebarang persepsi bahawa status, kedudukan atau pengaruh boleh membuka ruang kepada layanan yang berbeza dan lebih menguntungkan berisiko menjejaskan keyakinan terhadap sistem keadilan yang saksama.
SUHAKAM memandang serius persoalan mengenai kerangka perundangan yang menjadi asas kepada pelaksanaan tahanan rumah ini. Pada Disember 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, YA Puan Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa perintah tahanan rumah tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang yang menyediakan mekanisme sedemikian di Malaysia. Mahkamah turut menolak hujah bahawa pembebasan secara lesen di bawah seksyen 43 Akta Penjara 1995 boleh disamakan dengan tahanan rumah. Sehubungan itu, persoalan penting timbul mengenai asas perundangan bagi pelaksanaan tahanan rumah, termasuk dari segi penguatkuasaan, pemantauan dan akauntabiliti. Langkah pentadbiran atau aturan sementara (adhoc) tidak seharusnya dijadikan pengganti kepada kerangka perundangan yang jelas.
Keputusan terbaharu ini juga perlu dilihat dalam konteks pengurangan hukuman yang telah diberikan melalui proses pengampunan pada tahun 2024. Dalam kes SRC International, hukuman asal penjara selama 12 tahun terhadap Dato’ Sri Najib telah dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. Membenarkan baki hukuman penjara yang telah dikurangkan itu dijalani di rumah merupakan satu lagi kelonggaran yang signifikan. Pada masa yang sama, keseriusan kesalahan yang telah dilakukan tidak boleh diketepikan. Dalam kes SRC International, Dato’ Sri Najib telah disabitkan atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta. Sabitan dan hukuman tersebut kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Kesalahan-kesalahan ini merupakan kesalahan serius yang melibatkan dana awam serta penyalahgunaan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pemegang jawatan politik tertinggi negara.
Kebimbangan dari sudut kepentingan awam menjadi lebih ketara berikutan sabitan Dato’ Sri Najib dalam kes 1MDB atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM2.3 bilion. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion terhadap beliau. SUHAKAM mengakui bahawa sabitan tersebut masih tertakluk kepada proses rayuan dan sewajarnya ditangani mengikut lunas undang-undang sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan. SUHAKAM juga mengambil maklum bahawa setakat ini, tiada pengakuan awam yang jelas terhadap kesalahan atau penerimaan tanggungjawab berhubung kesalahan dalam kes SRC International, walaupun sabitan tersebut telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan. Dalam mempertimbangkan soal pengampunan, aspek akauntabiliti dan kesediaan untuk mengakui serta bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan wajar diberi perhatian, khususnya apabila melibatkan kesalahan rasuah yang serius dan penyalahgunaan jawatan awam.
Keputusan ini menimbulkan kebimbangan yang melangkaui kepentingan seorang individu. Ia berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan usaha Malaysia memerangi rasuah, khususnya jika timbul persepsi bahawa mereka yang pernah memegang jawatan atau kedudukan berkuasa menerima layanan yang berbeza dalam soal pertanggungjawaban terhadap kesalahan rasuah yang serius. Persepsi sedemikian boleh menjejaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang serta integriti sistem keadilan.
Kedaulatan undang-undang hanya benar-benar bermakna apabila dilaksanakan secara adil dan konsisten terhadap semua, termasuk mereka yang pernah memegang jawatan tertinggi negara. Oleh itu, sebarang pelaksanaan hukuman penjara yang menyimpang daripada amalan biasa mestilah berlandaskan asas undang-undang yang jelas serta dapat dipertanggungjawabkan secara telus dan objektif. Kesamarataan di sisi undang-undang tidak boleh sekadar menjadi jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi mesti diterjemahkan secara nyata dan konsisten dalam pentadbiran keadilan, tanpa mengira status, kedudukan atau pengaruh seseorang.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
21 September 2026
