KUALA LUMPUR (24 SEPTEMBER 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas kejayaan pelaksanaan Ops Pedo 3.0 serta usaha berterusan dalam membanteras bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian. CC mengambil maklum mengenai penahanan 53 individu, termasuk lapan kanak-kanak, dengan yang termuda dilaporkan berusia 13 tahun, susulan operasi yang dijalankan di seluruh negara dari 14 hingga 16 September 2026.
CSAM mesti ditangani dengan tahap keseriusan yang tertinggi kerana ia bukan sekadar kandungan digital yang menyalahi undang-undang atau berbahaya, sebaliknya merupakan bukti penderaan dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. Penghasilan, pemilikan, pengedaran, perkongsian, penjualan dan bentuk penyebaran CSAM yang lain mesti ditangani dengan tegas di samping usaha untuk mengenal pasti dan melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam bahan tersebut, menghentikan penyebaran serta menghapuskan kandungan berbahaya serta mencegah penganiayaan semula. Undang-undang Malaysia turut memperuntukkan kesalahan berkaitan penghasilan, pengedaran serta pemilikan atau kawalan
Namun, perhatian khusus perlu diberikan apabila individu yang disyaki terlibat ialah seorang kanak-kanak. Kanak-kanak yang didapati memiliki, berkongsi atau disyaki menjual CSAM tidak seharusnya secara automatik dilihat atau dilayan dengan cara yang sama seperti pelaku dewasa. Keadaan setiap kanak-kanak perlu dinilai secara individu, termasuk umur, tahap kefahaman, kerentanan, peranan dalam perlakuan yang didakwa serta bagaimana mereka memperoleh atau terlibat dengan bahan tersebut.
Dalam keadaan tertentu, kanak-kanak mungkin terlibat akibat pengantunan, tekanan rakan sebaya, ugutan, paksaan, pemerasan atau sextortion, manipulasi, eksploitasi ekonomi atau bentuk penderaan dalam talian yang lain. Ini tidak bermaksud setiap kanak-kanak yang terlibat semestinya merupakan mangsa. Namun, kemungkinan bahawa mereka telah dieksploitasi atau dipaksa mesti disiasat dengan sewajarnya, khususnya memandangkan pengantunan kanak-kanak dan kesalahan seksual berkaitan turut diperuntukkan di bawah Akta 792.
CC menegaskan bahawa respons sistem keadilan kanak-kanak tidak seharusnya berorientasikan hukuman semata-mata. Sekiranya seorang kanak-kanak disyaki terlibat dalam perlakuan berkaitan CSAM, respons hendaklah merangkumi penilaian perlindungan dan risiko secara individu, siasatan terhadap kemungkinan pengantunan atau eksploitasi, sokongan psikososial dan kaunseling, pendidikan keselamatan digital, pemulihan serta sokongan keluarga dan sosial. Pengalihan (diversion) juga wajar dipertimbangkan sekiranya dibenarkan oleh undang-undang dan bersesuaian dengan keadaan kes. Pendekatan ini selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), termasuk kepentingan terbaik kanak-kanak, perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi seksual serta pemulihan dan pengintegrasian semula kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang.
Pendekatan yang peka terhadap kanak-kanak tidak bermaksud perlakuan yang menyalahi undang-undang harus diabaikan. Pihak penguat kuasa mesti terus menghentikan penyebaran CSAM, mengenal pasti dan melindungi mangsa, mendapatkan bukti digital, menjejaki rangkaian yang memudah cara kegiatan tersebut serta menyiasat mana-mana orang dewasa yang mungkin melakukan pengantunan, memaksa, mengeksploitasi atau mengaut keuntungan daripada kanak-kanak. Yang penting, peranan dan keadaan seseorang kanak-kanak hendaklah dinilai secara berasingan daripada pelaku dan pengeksploitasi dewasa.
CC turut mengingatkan bahawa pendekatan yang terlalu menghukum boleh meningkatkan risiko penganiayaan semula serta menghalang kanak-kanak daripada mendapatkan bantuan atau tampil kepada pihak berkuasa. Kanak-kanak yang telah dieksploitasi atau dipaksa mungkin takut membuat pendedahan sekiranya mereka bimbang akan turut berdepan tindakan jenayah. Risiko ini perlu dipertimbangkan, khususnya apabila terdapat petunjuk pengantunan, paksaan atau eksploitasi.
Sekiranya seorang kanak-kanak didapati terlibat dalam pemilikan, perkongsian atau pengedaran CSAM, respons hendaklah berkadaran, berorientasikan pemulihan dan selaras dengan prinsip keadilan kanak-kanak. Sekiranya penahanan dipertimbangkan, piawaian hak kanak-kanak antarabangsa menetapkan bahawa ia hendaklah digunakan hanya sebagai langkah terakhir dan untuk tempoh yang paling singkat dan bersesuaian.
CC menyeru semua pihak berkuasa berkaitan memastikan siasatan yang melibatkan kanak-kanak dilaksana berlandaskan prinsip perlindungan dan keadilan kanak-kanak, sambil memastikan pelaku dewasa, pengeksploitasi serta rangkaian yang memudah cara eksploitasi seksual kanak-kanak disiasat sepenuhnya dan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.
Melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual memerlukan lebih daripada tindakan penguatkuasaan. Ia memerlukan pencegahan, intervensi awal, keselamatan digital yang berkesan, perlindungan dan sokongan kepada mangsa, pemulihan kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang serta sistem keadilan yang mengiktiraf setiap kanak-kanak sebagai pemegang hak.
tamat
Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
24 September 2026
