[OCC] Kenyataan Media No. 17-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Seru Penguatkuasaan Lebih Tegas Terhadap Mercun bagi Melindungi Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (18 MAC 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan insiden mercun yang melibatkan kanak-kanak di Malaysia, termasuk satu kes terkini di Kedah di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun kehilangan beberapa jari serta mengalami kecederaan serius pada tangan akibat letupan mercun.

Statistik yang dilaporkan pada tahun 2025 menunjukkan bahawa lebih daripada 200 kecederaan berkaitan mercun berlaku setiap tahun di Malaysia, termasuk kes kehilangan jari dan kecederaan parah yang lain. Meskipun tidak semua kes ini melibatkan kanak-kanak, risiko terhadap mereka tetap tinggi.

Walaupun Akta Bahan Letupan 1957 [Akta 207] memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara sehingga tujuh tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali terhadap mereka yang menggunakan bahan letupan secara menyalahi undang-undang sehingga membahayakan nyawa atau harta benda, namun kelemahan penguatkuasaan telah menjadikan undang-undang ini kurang berkesan. Pada masa yang sama, terdapat keperluan untuk mengkaji semula dan memperkukuh kerangka perundangan sedia ada, termasuk pindaan kepada Akta 207, bagi mengetatkan kawalan serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap pihak yang menyeludup, mengedar atau menjual mercun haram. Demi kepentingan terbaik kanak-kanak, CC menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi membendung penjualan serta penggunaan mercun haram dan tidak diluluskan.

Tanggungjawab untuk memastikan keselamatan kanak-kanak berkaitan penggunaan mercun tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Ibu bapa digesa untuk mendidik anak-anak mengenai bahaya bermain mercun haram kerana boleh mendatangkan risiko kecederaan serius atau lebih buruk lagi boleh membawa maut. Pemimpin agama termasuk imam, turut digalakkan untuk memperkukuh mesej ini melalui khutbah dan penglibatan komuniti. Selain aspek keselamatan, penggunaan mercun secara berlebihan juga merupakan satu pembaziran dan amalan ini ditegah dalam semua agama dan bercanggah dengan nilai moral serta wajar dielakkan pada setiap masa. 

Musim perayaan seperti Aidilfitri dan perayaan-perayaan lain sepatutnya menjadi medan untuk memupuk keharmonian, refleksi diri dan kebersamaan. Penggunaan mercun yang tidak terkawal bukan sahaja membahayakan nyawa, malah mengganggu ketenteraman awam terutamanya warga emas dan kanak-kanak kecil, serta boleh mengganggu ibadah termasuk solat Tarawih. 

Sehubungan itu, CC dengan tegas menyeru semua pihak berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak tidak terancam akibat lambakan mercun haram dan berbahaya.

-TAMAT-

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
18 Mac 2026

Tags: No tags

Comments are closed.