Kenyataan Media Bersama SUHAKAM & APGMM CR - Kanak-Kanak Mangsa Eksploitasi Keganasan Dalam Talian Perlu Perlindungan, Bukan Tahanan SOSMA

KUALA LUMPUR (15 MAC 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Hak Kanak-Kanak (KRPPM–Hak Kanak-Kanak) dan Persatuan Masyarakat Sivil hak kanak-kanak mengecam sekeras-kerasnya penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menahan kanak-kanak yang menjadi mangsa perekrutan melalui media sosial dan platform permainan dalam talian untuk menyokong kumpulan pengganas.

Tindakan kumpulan pengganas mengeksploitasi ruang digital dan platform permainan dalam talian untuk merekrut serta mempengaruhi kanak-kanak mencetus kebimbangan global. Taktik ini berkembang dengan pantas dan sering kali mengatasi keupayaan pihak berkuasa untuk bertindak balas dengan berkesan. Dalam situasi ini, kanak-kanak yang terlibat sebenarnya merupakan mangsa manipulasi dan indoktrinasi, dan sewajarnya diberikan perlindungan, pemulihan serta intervensi psikososial, bukannya dikenakan penahanan keselamatan yang ketat.

Kami menyambut baik laporan pembebasan kanak-kanak tersebut pada 13 Mac 2026. Walau bagaimanapun, penting untuk diingatkan bahawa sebarang tindakan susulan harus mengutamakan mekanisme pemulihan dan pemantauan yang berstruktur, khususnya dalam kes di mana kanak-kanak mungkin telah menjadi sasaran cubaan perekrutan ekstrimis dalam talian. Penahanan kanak-kanak di bawah SOSMA yang merupakan undang-undang yang digubal untuk menangani ancaman keselamatan negara adalah tidak selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak serta menjejaskan komitmen Malaysia untuk melindungi mereka daripada eksploitasi. Penggunaan SOSMA terhadap kanak-kanak juga amat membimbangkan kerana undang-undang prosedur ini tidak menyediakan perlindungan khusus bagi kanak-kanak, tiada pengawasan kehakiman serta perlindungan yang selari dengan sistem keadilan kanak-kanak yang mencukupi, khususnya dalam kes yang melibatkan kesalahan keselamatan negara.

Sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) sejak tahun 1995, Malaysia memikul tanggungjawab antarabangsa untuk memastikan setiap kanak-kanak dilindungi daripada penafian kebebasan secara sewenang-wenangnya atau bagi tempoh yang tidak munasabah. Pada masa yang sama, sistem keadilan hendaklah sentiasa mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak, menjunjung prinsip proses yang adil serta menjamin akses yang saksama kepada keadilan.

Akta Kanak-Kanak 2001 menyediakan rangka perundangan yang jelas mengutamakan penjagaan, perlindungan, pemulihan dan kebajikan kanak-kanak, khususnya mereka yang terdedah kepada kemudaratan, eksploitasi atau pengaruh jenayah. Kanak-kanak yang telah menjadi sasaran rangkaian ekstremis wajar ditangani melalui mekanisme perlindungan kanak-kanak, termasuk kaunseling, program pemulihan daripada pengaruh radikal, sokongan keluarga serta pemulihan berasaskan komuniti. Intervensi sedemikian hendaklah merangkumi sokongan psikososial yang bersesuaian, pemantauan yang berstruktur serta penglibatan aktif ibu bapa bagi mengurangkan risiko kejadian berulang. Inisiatif pemulihan juga perlu dirangka dengan memasukkan modul yang peka terhadap keperluan kanak-kanak dan bersesuaian dengan peringkat umur, dengan mengambil kira keperluan perkembangan, kerentanan serta kepentingan terbaik kanak-kanak.

Sehubungan itu, SUHAKAM dan KRPPM-Hak Kanak-Kanak menyeru Perdana Menteri Malaysia untuk:

  1. i. Mengenakan moratorium serta-merta terhadap penggunaan SOSMA ke atas kanak-kanak.
  2. ii. Memastikan kanak-kanak yang terlibat dalam kes sedemikian dilayan sebagai mangsa eksploitasi dan diberikan pemulihan serta perlindungan yang sewajarnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
  3. iii. Memansuhkan SOSMA atau meminda undang-undang prosedur tersebut dengan memperkenalkan pengawasan kehakiman serta perlindungan yang dapat menghalang penggunaannya secara sewenang-wenangnya.

Malaysia perlu mengamalkan pendekatan yang berteraskan kanak-kanak serta berasaskan hak asasi dalam menangani ancaman baharu perekrutan ekstremis secara dalam talian. Melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi keganasan memerlukan sistem perlindungan kanak-kanak yang kukuh, langkah pencegahan awal serta usaha pemulihan yang menyeluruh, bukannya penahanan keselamatan yang berpanjangan.

SUHAKAM dan KRPPM–Hak Kanak-Kanak kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan langkah-langkah membanteras keganasan di Malaysia dilaksanakan selaras dengan prinsip hak asasi manusia serta melindungi kepentingan terbaik setiap kanak-kanak.

-TAMAT-

Dikeluarkan secara bersama oleh :

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

All-Party Parliamentary Group Malaysia Children’s Rights (APPGM-CR)

Disokong Oleh:

Initiative to Promote Tolerance & Prevent Violence (INITIATE.MY)

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

Prof. Emeritus Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, SUHAKAM 1st Children Commissioner

MANDIRI

Tags: No tags

Comments are closed.