Kenyataan Media No. 16 2026 Memperingati Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum 2026 Memperkukuh Komitmen Malaysia Dalam Membanteras Diskriminasi Kaum

KUALA LUMPUR (26 MAC 2026) - Sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum yang disambut setiap tahun pada 21 Mac, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru komitmen Malaysia yang diperbaharui untuk menghapuskan diskriminasi kaum serta memperkukuh perpaduan, kesepaduan sosial dan saling menghormati ke arah membina Malaysia yang lebih inklusif dan harmoni.

Malaysia meraikan kepelbagaian budaya melalui perayaan kebudayaan dan keagamaan sepanjang tahun dan sambutan ini seharusnya menjadi peringatan penting terhadap nilai-nilai yang menyatukan rakyat. Perayaan di negara ini menyediakan ruang untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang berinteraksi, menghargai tradisi antara satu sama lain, serta memperkukuh semangat saling menghormati dan solidariti yang penting untuk mengekalkan keharmonian negara.

Namun begitu, wacana awam mutakhir ini, termasuk beberapa insiden yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama, menunjukkan bahawa risiko diskriminasi dan perpecahan masih wujud dalam masyarakat. Isu ini menuntut usaha berterusan dan kolektif daripada semua lapisan masyarakat untuk memupuk persefahaman, menghormati kepelbagaian, serta amalan ucapan awam yang bertanggungjawab demi memelihara keharmonian masyarakat majmuk Malaysia. Pengukuhan perpaduan nasional memerlukan komitmen berterusan selaras dengan prinsip perlembagaan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang sepertimana dijamin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dan juga Perkara 8(2) yang melarang diskriminasi terhadap warganegara atas dasar agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah ke arah penyertaan kepada Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), iaitu sebuah perjanjian teras hak asasi manusia antarabangsa yang telah diratifikasi oleh majoriti Negara Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di rantau ASEAN, beberapa negara telahpun menjadi Negara Pihak kepada ICERD, termasuk Filipina (1967), Lao PDR (1974), Vietnam (1982), Kemboja (1983), Indonesia (1999), Thailand (2003) dan Singapura (2017), mencerminkan komitmen serantau dalam memerangi diskriminasi kaum. Penyertaan Malaysia kepada ICERD akan menyediakan satu rangka kerja yang menyeluruh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa ke arah membimbing usaha negara dalam mencegah dan menangani diskriminasi kaum. Ia juga dapat memperkukuh perlindungan undang-undang, meningkatkan kebertanggungjawaban institusi, serta memastikan dasar-dasar kerajaan lebih selaras antara pelbagai sektor. Selain itu, langkah ini boleh meningkatkan keyakinan rakyat dengan menunjukkan komitmen Malaysia dalam menegakkan prinsip kesaksamaan dan tanpa diskriminasi, di samping mengukuhkan kredibiliti dan peranan kepimpinan Malaysia dalam komuniti hak asasi manusia di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam konteks ini, komitmen yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan, termasuk penubuhan Majlis Perundingan Keharmonian Nasional serta cadangan Akta Keharmonian Nasional bagi memupuk perpaduan dan menangani diskriminasi, menyediakan asas penting untuk memajukan usaha-usaha ini. Dalam hal ini, SUHAKAM ingin mengingatkan bahawa Malaysia sebelum ini telah pun menyatakan hasrat untuk mempertimbangkan penyertaan kepada ICERD pada sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 28 September 2018. Sebagai langkah ke hadapan, pendekatan yang konstruktif dan inklusif, yang mengambil kira kerangka perlembagaan dan konteks masyarakat Malaysia, adalah penting bagi memastikan kemajuan dalam bidang ini terus memupuk perpaduan dan keyakinan awam. Pada masa yang sama, usaha berterusan untuk menyelaras kerangka undang-undang dan dasar Malaysia dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa akan terus memperkukuh inisiatif nasional dalam memerangi diskriminasi kaum, meningkatkan kepercayaan awam serta mempromosikan Malaysia yang lebih inklusif, adil dan harmoni.

Sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum ini, SUHAKAM menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menolak perkauman, xenofobia dan diskriminasi kaum dalam apa jua bentuk. Usaha untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar harmoni dan inklusif bukan sekadar memerlukan undang-undang dan dasar yang kukuh, tetapi juga tekad kolektif semua rakyat Malaysia untuk menerima kepelbagaian sebagai kekuatan serta menjunjung nilai kesaksamaan, maruah dan saling menghormati.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
26 Mac 2026

Tags: No tags

Comments are closed.