Kenyataan Media Bersama SUHAKAM dan MMM - Memperkasa Kesaksamaan Gender Melalui Media Yang Beretika Dan Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR (11 MARCH 2026) Amalan media yang beretika dan bertanggungjawab menjadi semakin penting dalam era di mana naratif digital mampu membawa manfaat atau kemudaratan kepada wanita dan kanak-kanak Perempuan. Bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang diraikan setiap tahun pada 8 Mac, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersama Majlis Media Malaysia (MMM) ingin menzahirkan komitmen bersama untuk memperkasa kesaksamaan gender, memelihara maruah manusia, serta memperkukuh amalan media yang beretika dan bertanggungjawab di Malaysia.

Hari Wanita Antarabangsa adalah peringatan penting bahawa prinsip kesaksamaan dan tanpa diskriminasi bukan sahaja perlu diterjemahkan dalam undang-undang dan dasar, tetapi juga dalam wacana awam. Media mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk sikap masyarakat, membina naratif awam, serta pilihan untuk mengukuh atau mencabar stereotaip yang memudaratkan. Oleh itu, amalan media yang responsif terhadap gender serta pemghormatan hak asasi manusia adalah penting dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan adil. Susulan perbincangan yang konstruktif antara kedua-dua institusi, SUHAKAM dan MMM telah menyatakan hasrat untuk memperkukuh dialog dan kerjasama titik pertemuan antara hak asasi manusia dan tadbir urus media.

Kerjasama ini mencerminkan peranan saling melengkapi antara kedua-dua institusi, serta pengiktirafan bersama bahawa kewartawanan yang beretika dan perlindungan hak asasi manusia adalah saling memperkukuh antara satu sama lain.

SUHAKAM, yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) diberi mandat untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia, termasuk kesaksamaan, maruah dan kebebasan bersuara. MMM pula, yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868), merupakan sebuah badan berkanun bebas yang bertanggungjawab untuk memastikan kewartawanan beretika, mentadbir Kod Etika Majlis Media, mengurus aduan berkaitan amalan media yang tidak beretika, serta memperkukuh kepercayaan awam terhadap media. Kerjasama ini mengiktiraf kebebasan dan mandat berkanun kedua-dua institusi di samping menggalakkan dialog demi kepentingan awam.

Antara bidang kerjasama yang dilihat berpotensi adalah inisiatif pembangunan kapasiti, pembangunan modul latihan, serta penubuhan kumpulan kerja bagi meneliti etika media melalui perspektif gender.

• Kedua-dua institusi berhasrat untuk meneroka langkah-langkah untuk:

  • • Mempromosi standard penulisan media yang peka terhadap gender dan kanak-kanak;
  • • Menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab mengenai isu-isu yang memberi Kesan kepada wanita, kanak-kanak dan komuniti rentan;
  • • Menyokong persekitaran kerja yang lebih selamat untuk wartawan, khususnya wanita, serta menangani gangguan dan initimidasi dalam menjalankan tugasan;
  • • Memperkukuh dialog institusi berkaitan aduan, akauntabiliti dan tadbir urus; dan
  • • Meningkatkan kesedaran mengenai peranan media dalam memajukan kesaksamaan serta mencegah kemudaratan.

Inisiatif-inisiatif ini secara umumnya adalah selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC), yang menekankan kepentingan menangani stereotaip yang memudaratkan, diskriminasi berasaskan gender serta keganasan melalui pendekatan pencegahan dan pendidikan. Inisiatif ini amat penting, berikutan kecenderungan gangguan dalam talian serta penyebaran maklumat salah berunsur gender yang semakin meruncing.

Seiring transformasi digital yang terus mengubah landskap media di Malaysia, peningkatan penyebaran maklumat salah dan kemunculan teknologi baharu menuntut agar kebebasan media dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta penghormatan terhadap maruah manusia. Menegakkan standard etika dan memelihara kebebasan bersuara merupakan asas penting untuk memastikan akauntabiliti demokratik dan memupuk kepercayaan awam. Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini, SUHAKAM dan MMM menyeru para pengamal media, editor, pembuat dasar serta masyarakat umum untuk bersama-sama memupuk persekitaran media yang mempromosikan kesaksamaan, keadilan dan rasa hormat. Memajukan hak wanita dan memperkukuh kewartawanan beretika merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan ke arah hak, keadilan dan tindakan.

In commemorating International Women’s Day, SUHAKAM and MMM call upon media practitioners, editors, policymakers, and the public to collectively foster a media environment that promotes equality, fairness, and respect. Advancing women’s rights and strengthening ethical journalism are shared responsibilities that require sustained commitment towards rights, justice and action.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Melissa Akhir, berkata:

“Hari Wanita Antarabangsa mengingatkan kita tentang kepentingan mewujudkan persekitaran media yang mempromosikan kesaksamaan, keadilan dan rasa hormat. Memajukan hak wanita dan memperkukuh kewartawanan beretika merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan.”

Ahli Lembaga MMM, Gayathry Venkiteswaran, berkata:

“MMM berbesar hati untuk bekerjasama dengan SUHAKAM dalam inisiatif yang sangat penting ini bagi memperkukuh kesaksamaan dan sensitiviti gender dalam liputan berita, kerana kami mengiktiraf bahawa pelaporan yang beretika, adil dan inklusif adalah penting untuk membina kepercayaan awam serta memperkukuh wacana demokrasi. Pelaporan yang sensitif terhadap gender membantu orang ramai memahami realiti dan sumbangan semua anggota masyarakat, yang membawa kepada kewartawanan yang lebih tepat dan perbahasan awam yang lebih bermaklumat. Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, kami berkomited untuk memajukan standard bilik berita yang bukan sahaja melindungi kebebasan akhbar tetapi juga melindungi wartawan wanita daripada diskriminasi, gangguan dan ancaman yang menjejaskan keupayaan mereka untuk melaporkan secara bebas dan selamat.”

SUHAKAM dan MMM menegaskan bahawa ekosistem media yang peka kepada isu gender, selaras dengan hak asasi manusia dan dilaksanakan secara bertanggungjawab, adalah asas penting untuk memastikan setiap individu, tanpa mengira gender, dapat mencapai kehidupan yang bermaruah, saksama dan selamat.

-TAMAT-

Dikeluarkan secara bersama oleh :

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Malaysian Media Council (MMM)

Tags: No tags

Comments are closed.