Kenyataan Media No. 60-2025_SUHAKAM Tegaskan Semula Kewajipan Perlembagaan, Perundangan Dan Crc Dalam Pengendalian Kes Rogol Statutori

KUALA LUMPUR (24 DECEMBER 2025) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius kenyataan Ketua Polis Kelantan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kes-kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam. SUHAKAM menegaskan bahawa amalan sedemikian perlu dihentikan serta-merta. Di bawah Perlembagaan Persekutuan (PP), undang-undang jenayah dan tatacara jenayah terletak di bawah Senarai Persekutuan, dan siasatan rogol sebagai suatu kesalahan jenayah adalah tanggungjawab teras dari segi perlembagaan dan statutori PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara. Sebarang rujukan kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama adalah tidak selaras dengan mandat ini dan berisiko menjejaskan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Selaras dengan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), SUHAKAM bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta menasihati Kerajaan mengenai penyelarasan undang-undang, dasar dan amalan dengan jaminan perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Dalam hal ini, SUHAKAM mengingatkan bahawa Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) wajib untuk memastikan semua kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi dan penderaan seksual, dan kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka. Oleh itu, rogol statutori perlu ditangani sebagai suatu kesalahan jenayah serius terhadap kanak-kanak melalui proses yang sah di sisi undang-undang, sensitif terhadap kanak-kanak dan mematuhi prinsip hak asasi.

SUHAKAM menghormati sepenuhnya kedudukan dan peranan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia, kebimbangan utama dalam perkara ini ialah kepentingan terbaik, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak yang seharusnya kekal sebagai keutamaan dalam pengendalian semua kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. SUHAKAM menegaskan bahawa rogol statutori terhadap kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang serius dan harus disiasat serta didakwa oleh PDRM mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah yang terpakai. Sejajar dengan CRC, SUHAKAM menekankan bahawa tindak balas terhadap kes yang melibatkan kanak-kanak mestilah mengutamakan perlindungan, pemulihan dan intervensi sosial yang sesuai, bukannya pengenaan hukuman semata-mata. Kanak-kanak dalam sistem keadilan, termasuk dalam kes yang melibatkan hubungan rakan sebaya secara sukarela, tidak boleh dikenakan langkah-langkah yang mengabaikan status mereka sebagai pemegang hak di bawah CRC dan undang-undang domestik.

SUHAKAM juga bimbang bahawa kenyataan awam oleh seorang pegawai kanan polis boleh mencetuskan panik secara moral dan tindak balas reaksi yang tidak berasaskan kerangka perundangan Malaysia. Pendekatan yang hanya bergantung kepada hukuman mencerminkan kegagalan untuk mengiktiraf bahawa remaja merupakan kanak-kanak di sisi undang-undang, yang keupayaan mereka sedang berkembang, serta tahap kerentanan dan ketidakmatangan mereka, perlu difahami selaras dengan semangat dan tujuan Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC). Bukti secara konsisten menunjukkan bahawa langkah-langkah yang bersifat menghukum semata-mata bukan sahaja tidak berkesan dalam mencegah pengulangan atau peningkatan kes rogol statutori, malah berpotensi mengakibatkan kemudaratan lanjut terhadap kanak-kanak.

SUHAKAM dengan ini menekankan keperluan semakan dan pembaharuan rangka kerja keadilan jenayah Malaysia agar lebih mencerminkan realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja dalam sistem keadilan, yang kebanyakannya berhadapan dengan masalah sosioekonomi, keganasan dan pengabaian. Pencegahan yang berkesan memerlukan peralihan kepada pendekatan berteraskan kanak-kanak dan berasaskan hak, termasuk pengalihan daripada penahanan serta pengukuhan intervensi sosial yang melibatkan keluarga, sekolah dan rangkaian sokongan komuniti. Dalam hal ini, SUHAKAM menegaskan bahawa pembaharuan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah adalah perlu bagi menggalakkan perubahan tingkah laku yang positif, memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan menyokong pemulihan, selaras dengan prinsip perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

underscores that reforms to the Penal Code and the Criminal Procedure Code are necessary to promote positive behaviour change, enhance child protection and support rehabilitation, in line with constitutional principles and international human rights standards.

SUHAKAM ingin menyatakan komitmen terhadap penglibatan secara konstruktif dan bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM, agensi Kerajaan yang berkaitan serta Parlimen dalam membangunkan pelan tindakan 2026 yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, CRC dan pendekatan keadilan jenayah berasaskan hak asasi manusia. Melalui tindakan kolektif dan berprinsip, SUHAKAM percaya bahawa kedaulatan undang-undang serta sistem keadilan jenayah yang sensitif terhadap kanak-kanak dan berkesan dapat diperkukuh demi manfaat semua kanak-kanak di Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh : 24 Disember 2025

Tags: No tags

Comments are closed.