PENGENALAN
Keganasan terhadap kanak-kanak didefinisikan sebagai semua bentuk keganasan terhadap individu di bawah usia 18 tahun; yang mungkin dilakukan oleh ibu bapa, penjaga, rakan sebaya, pasangan atau orang yang tidak dikenali. Jenis keganasan termasuklah dari segi penderaan fizikal / seksual / psikologi / emosi; buli; pengabaian dalam keluarga; pemerdagangan kanak-kanak; penjualan bayi; buruh kanak-kanak; pembunuhan bayi; dan termasuk semua bentuk keganasan di sekolah; hukuman rotan, pembuangan sekolah dan lain-lain.
Oleh itu, pendekatan dan langkah-langkah yang tepat untuk membendung masalah tersebut diperlukan untuk memastikan bahawa semua kanak-kanak dilindungi dari segala bentuk keganasan seperti yang dituntut di bawah UNCRC. Usaha berterusan dilakukan oleh OCC termasuklah dengan langkah Alternatif Terhadap Penahanan (ATD); penyelesaian masalah buli, hukuman rotan dan pembuangan sekolah; pindaan Akta Kanak-kanak 2001; serta pemantauan ke tempat tahanan kanak-kanak. Diakui dan ditekankan bahawa setiap kanak-kanak, dalam keadaan apa pun, harus dilihat sebagai seorang mangsa terlebih dahulu memandangkan mereka adalah golongan rentan dan dengan demikian haruslah dilindungi. Perlindungan dan perundangan pencegahan termasuklah pelaksanaannya hendaklah dikuatkuasakan secara teliti untuk memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak adalah diutamakan. Adalah dalam kerangka kerja OCC juga untuk memastikan perundangan dan undang-undang berkaitan dengan hak kanak-kanak digunakan sebagaimana dimaksudkan, dirancang dan ditetapkan seperti termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, yang harus digunakan bagi sabitan dan hukuman terhadap pelaku yang telah melakukan keganasan berbentuk seksual terhadap kanak-kanak. OCC tetap teguh dalam mengekalkan mandatnya untuk melindungi kanak-kanak dan terus menasihati dan menggesa agensi serta badan yang berkaitan untuk percaya dan bekerja untuk isu yang sama.