[OCC] Kenyataan Media No. 40-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Menzahirkan Kebimbangan Terhadap Insiden Tikaman Di Sekolah Dan Menyeru Perlindungan Privasi Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (7 JULAI 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan yang mendalam berhubung insiden tikaman yang melibatkan pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor. Kami merakamkan simpati kepada kanak-kanak yang cedera dan mendoakan agar beliau segera sembuh sepenuhnya. Kami mengakui kesan emosi yang dialami oleh keluarga, warga sekolah serta semua kanak-kanak yang terjejas akibat insiden yang amat menyedihkan ini.

CC menegaskan bahawa mangsa dan individu yang didakwa melakukan perbuatan tersebut adalah kanak-kanak. Sehubungan itu, mereka berhak mendapat perlindungan serta jaminan yang diperuntukkan di bawah undang-undang Malaysia dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah disertai Malaysia sejak tahun 1995. Memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis, adalah amat penting agar hak, maruah dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak yang terlibat dihormati sepenuhnya sepanjang proses perundangan.

CC amat bimbang dengan penyebaran meluas gambar, video, maklumat peribadi serta dakwaan yang belum disahkan berkaitan kanak-kanak yang terlibat melalui media sosial dan platform pemesejan. Tindakan sedemikian boleh mengakibatkan kesan psikologi yang berpanjangan, mendedahkan kanak-kanak kepada stigma masyarakat, mengganggu siasatan yang sedang dijalankan serta menjejaskan proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat pada masa hadapan.

Orang ramai, organisasi media serta semua pengguna platform dalam talian diingatkan bahawa Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melarang sebarang penerbitan atau penyebaran apa-apa maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding atau perkara yang dilindungi di bawah Akta tersebut. Larangan ini merangkumi nama, gambar, video, maklumat sekolah, maklumat keluarga, alamat atau apa-apa butiran lain yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak berkenaan. Mana-mana individu yang melanggar peruntukan ini melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

CC turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini, termasuk keadaan kesihatan, ketidakupayaan, kesihatan mental atau motif yang didakwa melibatkan kanak-kanak berkenaan. Spekulasi sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, berisiko menjejaskan siasatan yang sedang berjalan, serta boleh meningkatkan stereotaip dan diskriminasi yang memudaratkan.

Laporan media baru-baru ini menunjukkan bahawa peguam yang mewakili suspek menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut merupakan seorang autistik.

Sekiranya maklumat ini disahkan, CC menegaskan bahawa ketidakupayaan sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk stigma, memburukkan atau menghasut kebencian terhadap mana-mana kanak-kanak. Setiap kanak-kanak, termasuk kanak-kanak kurang upaya, berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang, penghormatan terhadap maruah, layanan tanpa diskriminasi serta akses kepada perkhidmatan sokongan yang bersesuaian.

Insiden ini juga wajar dijadikan peringatan mengenai kepentingan untuk memperkukuh langkah-langkah pencegahan keganasan di sekolah melalui pengenalpastian awal faktor risiko, penyediaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial yang mudah diakses, mekanisme perlindungan kanak-kanak yang berkesan, kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan, serta intervensi yang tepat pada masanya bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang terdedah kepada risiko sebelum sesuatu krisis berlaku.

CC akan terus memantau perkembangan kes ini dengan teliti serta berinteraksi dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan semua kanak-kanak yang terlibat dilindungi selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Anti-Buli 2026, CRC serta undang-undang lain yang berkaitan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyeru setiap anggota masyarakat supaya bertindak secara bertanggungjawab dengan tidak berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang boleh mengenal pasti atau mengeksploitasi kanak-kanak. Melindungi kanak-kanak bukan sekadar memastikan keselamatan fizikal mereka, tetapi juga memerlukan perlindungan terhadap privasi, maruah dan masa depan mereka.

-TAMAT-

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

7 Julai 2026

Tags: No tags

Comments are closed.