KUALA LUMPUR (2 JULAI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, di Pejabat Premier, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, Kuching. Pertemuan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara SUHAKAM dan Kerajaan Sarawak ke arah memperkasa promosi serta perlindungan hak asasi manusia melalui dialog yang konstruktif, libat urus dasar dan kerjasama strategik.
Dalam kunjungan hormat tersebut, SUHAKAM merakamkan penghargaan kepada Premier atas sambutan mesra serta peluang yang diberikan untuk bertukar pandangan berkaitan isu hak asasi manusia, pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat Sarawak. SUHAKAM turut memuji komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam mengintegrasikan prinsip hak asasi manusia ke dalam agenda pembangunannya, khususnya melalui dasar dan program yang memberi manfaat kepada kumpulan rentan, kurang bernasib baik dan terpinggir.
SUHAKAM turut mengiktiraf inisiatif perlindungan sosial progresif Kerajaan Sarawak termasuk Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Kenyalang Gold Card (KGC), program bantuan perubatan bersasar, inisiatif pemerkasaan wanita, One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) bagi kanak-kanak dan orang kurang upaya, pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui SeDidik, serta Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak. Secara keseluruhan, inisiatif-inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh ke arah keterangkuman sosial dan pembangunan saksama merentasi setiap peringkat kehidupan.
SUHAKAM turut berkongsi mandatnya sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), serta menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam mempromosikan pendekatan berasaskan hak asasi manusia (rights-based approach) dalam tadbir urus, penggubalan dasar dan penyampaian perkhidmatan.
SUHAKAM dan Kerajaan Sarawak mengiktiraf kepentingan penglibatan dan kerjasama berterusan dalam memajukan hak asasi manusia, khususnya melalui inisiatif yang menggalakkan kesaksamaan, keadilan sosial, kebolehcapaian serta perlindungan kumpulan rentan. Secara khusus, SUHAKAM Sarawak berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memperjuang dan melindungi hak serta kesejahteraan kanak-kanak melalui inisiatif bersama dalam bidang perlindungan kanak-kanak, penyertaan kanak-kanak, kesedaran awam, pembangunan kapasiti dan advokasi, selaras dengan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak.
SUHAKAM berpendapat bahawa kerjasama erat antara Suruhanjaya dan Kerajaan Negeri adalah penting bagi memastikan pembangunan bukan sahaja mampan dari segi ekonomi, tetapi juga bersifat inklusif, saksama dan berpaksikan maruah insan. SUHAKAM menzahirkan harapan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa agenda hak asasi manusia serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan seluruh rakyat Sarawak.
“Hak asasi manusia hanya bermakna apabila ia diterjemahkan kepada dasar dan program yang meningkatkan kehidupan harian rakyat. SUHAKAM menyambut baik keterbukaan Kerajaan Sarawak untuk meneruskan libat urus dan berharap dapat terus bekerjasama dalam memajukan agenda pembangunan yang berasaskan hak asasi manusia dan berpusatkan rakyat,” kata Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
2 Julai 2026
