Kenyataan Media No. 41-2026_Persidangan Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026

KUALA LUMPUR (8 JULAI 2026) - Pada 4th Julai 2026, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Child Safeguarding Initiative (CSI) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) telah berjaya menganjurkan Persidangan Perlindungan Kanak-Kanak Sabah 2026, yang menghimpunkan agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, institusi pendidikan, profesional kesihatan, agensi penguatkuasaan undang-undang, pengamal perlindungan kanak-kanak serta rakan strategik bagi memperkukuh usaha dalam melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.

Bertemakan "Membina Komuniti yang Melindungi", persidangan ini menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan bersepadu daripada keluarga, sekolah, komuniti, masyarakat sivil, sektor swasta dan kerajaan. Persidangan ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta meneroka penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak di Sabah.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Rina Jainal, Timbalan Menteri Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak melalui kerjasama rentas sektor, intervensi awal dan peningkatan kesedaran masyarakat. Beliau turut menekankan bahawa usaha perlindungan perlu diperkasakan di setiap lapisan masyarakat bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong perkembangan mereka.

Persidangan dimulakan dengan ucaptama oleh Sam Gipson, Pengerusi Association of International Malaysian Schools dan Pengetua Kinabalu International School (KIS), serta Elsie Primus, Pendaftar Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak. Kedua-dua penceramah menekankan kepentingan intervensi awal, langkah pencegahan dan tanggungjawab bersama, sambil menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak bermula dalam institusi keluarga dan komuniti sebelum sesuatu kes sampai ke sistem keadilan.

Persidangan ini turut menampilkan tiga sesi dialog yang membincangkan isu-isu penting berkaitan perlindungan kanak-kanak:

i. Apa yang Diperuntukkan oleh Undang-undang dan Maksudnya dalam Melindungi Kanak-kanak

    Sesi ini meneliti kerangka perundangan dan dasar Malaysia berkaitan perlindungan kanak-kanak, di samping mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya. Perbincangan turut menyentuh isu-isu semasa dan berterusan yang memberi kesan kepada kanak-kanak, termasuk keselamatan dalam talian serta perlindungan kanak-kanak tanpa dokumen, tanpa kerakyatan dan Orang Asli serta masyarakat asal, sekali gus menekankan keperluan penyelarasan yang lebih kukuh dan pelaksanaan berasaskan hak asasi manusia.

    ii. Melindungi Kanak-kanak Bermula dengan Tindakan: Memahami Sistem Pelaporan di Sabah

      Sesi ini memberikan peserta pemahaman praktikal mengenai mekanisme perlindungan dan pelaporan kes kanak-kanak di Sabah. Wakil daripada Polis Diraja Malaysia (D11), Pasukan Hospital SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkongsi peranan masing-masing, penyelarasan antara agensi serta prosedur pelaporan, penyiasatan dan tindakan susulan bagi kes perlindungan kanak-kanak.

      iii. Melangkaui Dasar: Bagaimana Kita Boleh Memperkasa Advokasi Hak Kanak-kanak

        Perbincangan ini meneroka bagaimana advokasi yang berkesan dapat mempengaruhi reformasi dasar dan memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak. Ahli panel menekankan kepentingan tindakan kolektif melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti dan kanak-kanak sendiri, di samping berkongsi amalan terbaik dalam memperkukuh advokasi, kerjasama strategik serta pemerkasaan hak kanak-kanak.

        Sepanjang persidangan berlangsung, para peserta menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak yang berkesan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat melalui kerangka undang-undang dan dasar yang kukuh, mekanisme pelaporan serta tindak balas yang bersepadu, penyertaan bermakna kanak-kanak, dan kerjasama berterusan antara semua pihak. Persidangan ini turut mengiktiraf penubuhan Tribunal Antibuli sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh mekanisme akauntabiliti dan perlindungan bagi kanak-kanak serta golongan muda.  

        Dalam ucapan penutupnya, Datuk Mariati Robert, Naib Pengerusi SUHAKAM, menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak bukan sekadar pematuhan terhadap dasar dan undang-undang semata-mata, sebaliknya mencerminkan nilai sesebuah masyarakat dalam memastikan setiap kanak-kanak hidup dengan selamat, dihormati dan berpeluang mencapai potensi sepenuhnya. Beliau turut menekankan bahawa undang-undang yang kukuh, institusi yang berkesan dan penglibatan aktif masyarakat perlu bergerak secara bersepadu dengan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak.

        Datuk Mariati turut menegaskan bahawa kanak-kanak perlu diiktiraf bukan sahaja sebagai penerima perlindungan, malah sebagai peserta aktif dalam setiap keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Beliau menyeru semua pihak berkepentingan agar memperkasa suara kanak-kanak serta memastikan pandangan mereka diberi pertimbangan yang sewajarnya selaras dengan prinsip-prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak.

        Melangkah ke hadapan, SUHAKAM mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah, pertubuhan masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan dalam merealisasikan objektif Dasar Kanak-kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030). SUHAKAM turut menyeru agar kerjasama berterusan diperkukuh bagi memastikan usaha perlindungan kanak-kanak bersifat inklusif, khususnya bagi kanak-kanak kurang upaya, kanak-kanak tanpa kerakyatan, kanak-kanak tanpa dokumen serta kanak-kanak Orang Asli dan masyarakat asal, supaya tiada seorang pun kanak-kanak tercicir. Kejayaan persidangan ini akhirnya bukan diukur melalui perbincangan yang berlangsung, tetapi melalui tindakan nyata yang diambil untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak serta meningkatkan keselamatan, maruah dan kesejahteraan setiap kanak-kanak.

        SUHAKAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Child Safeguarding Initiative (CSI), Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), para penceramah, ahli panel, moderator, sukarelawan, rakan organisasi serta semua peserta atas sumbangan dan komitmen mereka dalam menjayakan persidangan ini.

        Mari kita bersama kekal komited membina komuniti yang melindungi setiap kanak-kanak.

        -TAMAT-

        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
        8 Julai 2026

        Tags: No tags

        Comments are closed.