[OCC] Kenyataan Media SUHAKAM No. 80-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Gesa Langkah Perlindungan Lebih Tegas Bagi Melindungi Kanak-Kanak Daripada Penderaan Seksual di Sekolah

KUALA LUMPUR (27 NOVEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius laporan berhubung sabitan dan hukuman terhadap seorang guru sekolah rendah di Sri Aman, Sarawak, yang dijatuhi hukuman penjara selama 60 tahun dan 160 sebatan berhubung 64 pertuduhan kesalahan seksual yang melibatkan lapan orang kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Kesalahan tersebut dilaporkan dilakukan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan Kanun Keseksaan.

CC menegaskan bahawa pelaku kesalahan seksual terhadap kanak-kanak perlu dipertanggungjawabkan dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Walau bagaimanapun, perlindungan kanak-kanak tidak boleh hanya bergantung kepada langkah keadilan jenayah selepas ia berlaku. Penekanan serius perlu diberikan kepada usaha pencegahan, pengesanan awal dan perlindungan institusi, khususnya dalam persekitaran pendidikan yang melibatkan guru dan kakitangan lain diamanahkan dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mendidik, menjaga serta menyelia kanak-kanak. Sekolah perlu memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif, serta bebas daripada sebarang bentuk penderaan seksual, pengantunan, eksploitasi, keganasan dan ancaman lain yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.

Sehubungan itu, CC menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperketatkan prosedur saringan dan penilaian dalam proses pengambilan, pelantikan, penempatan, pertukaran serta pemantauan perkhidmatan guru dan kakitangan lain yang mempunyai hubungan secara langsung dengan kanak-kanak. Langkah ini perlu merangkumi saringan latar belakang mandatori sebelum pelantikan, pemeriksaan menyeluruh terhadap rekod kesalahan melibatkan kanak-kanak serta saringan semula secara berkala atau berdasarkan penilaian risiko sepanjang tempoh perkhidmatan.

Sebagai sebahagian daripada langkah perlindungan ini, CC mengesyorkan agar KPM menggunakan secara sistematik mekanisme saringan pesalah seksual kanak-kanak sedia ada yang diselenggarakan oleh Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK). Mekanisme ini membolehkan organisasi yang bertanggungjawab terhadap penjagaan dan penyeliaan kanak-kanak membuat semakan rekod kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, sekali gus mengelakkan individu yang telah disabitkan atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak daripada ditempatkan dalam jawatan yang melibatkan tanggungjawab dan kepercayaan terhadap mereka.

CC turut menggesa JPKK untuk memperluas skop daftar dan mekanisme saringan sedia ada, melangkaui kesalahan seksual kepada kesalahan lain terhadap kanak-kanak, selaras dengan seksyen 118 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Kesalahan tersebut hendaklah merangkumi penderaan fizikal, pengabaian, penganiayaan, eksploitasi, pemerdagangan orang dan bentuk keganasan lain yang mendatangkan risiko besar terhadap keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak.

Sebarang peluasan daftar tersebut hendaklah dilaksanakan dalam kerangka undang-undang yang jelas dengan menjunjung prinsip proses sewajarnya, prinsip kesaksamaan tindakan, perlindungan privasi dan prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Penyenaraian seseorang dalam daftar tersebut atau sebarang tindakan terhadapnya hasil daripada proses saringan hendaklah berasaskan bukti yang sah dan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan dakwaan atau aduan yang belum dibuktikan.

CC juga mengesyorkan agar KPM mewajibkan latihan berstruktur mengenai Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] kepada semua guru, sama ada yang sedang berkhidmat mahupun bakal guru, dalam tempoh satu tahun dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan. Latihan tersebut perlu dilaksanakan secara sistematik bagi menetapkan standard minimum pengetahuan dan kecekapan yang seragam dalam kalangan pendidik, tanpa mengira tempoh perkhidmatan atau tahap latihan profesional mereka.

Latihan ini perlu memberikan pendedahan dan kemahiran kepada para pendidik untuk mengenal pasti petunjuk berlakunya penderaan dan eksploitasi seksual, mengesan pendekatan grooming serta tingkah laku manipulatif, menjaga batas profesional dalam hubungan dengan kanak-kanak, memahami peruntukan kesalahan di bawah Akta 792, melaksanakan tanggungjawab untuk membuat laporan serta mengambil tindakan yang bersesuaian apabila menerima aduan atau pendedahan berkaitan penderaan. Latihan ini juga perlu merangkumi pendekatan yang peka terhadap kanak-kanak dan mengambil kira kesan trauma bagi memastikan kanak-kanak yang terjejas dilayan dengan penuh bermaruah serta dilindungi daripada stigma, tindakan balas dan kemudaratan selanjutnya.

CC menekankan bahawa usaha melindungi kanak-kanak secara berkesan memerlukan pelaksanaan langkah yang komprehensif dan bersepadu, meliputi pemeriksaan latar belakang, pengukuhan keupayaan, pengesanan awal, penyediaan saluran pelaporan yang mudah diakses, pertanggungjawaban institusi serta pemantauan secara berterusan. Sehubungan itu, CC menggesa kerjasama yang lebih erat antara KPM, JPKK, pihak sekolah, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan.

CC menyeru agar pendekatan sedia ada yang lebih tertumpu kepada tindakan selepas berlakunya penderaan beralih kepada sistem perlindungan kanak-kanak yang lebih mantap dan mengutamakan pencegahan, dengan memastikan kepentingan terbaik, keselamatan, maruah serta hak setiap kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan. Setiap kanak-kanak berhak untuk belajar, membesar dan berkembang dalam persekitaran yang bebas daripada keganasan, penderaan dan eksploitasi. Institusi pendidikan mesti memikul tanggungjawab untuk memastikan hak ini dilindungi secara berkesan.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
27 November 2026

Tags: No tags

Comments are closed.