KUALA LUMPUR (26 NOVEMBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerangka kerjasama strategik dalam mempromosikan hak asasi manusia, mencegah jenayah, melindungi kanak-kanak serta memperkukuh keselamatan komuniti di Malaysia.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Ibu Pejabat SUHAKAM, Kuala Lumpur, oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Naib Pengerusi Kanan MCPF, Dato’ Sri Dr. King Lim Chin Fui, mewujudkan kerangka kerjasama bagi tempoh tiga tahun dari 2026 hingga 2029. MoU ini menggabungkan kepakaran SUHAKAM dalam bidang piawaian hak asasi manusia, peningkatan kesedaran dan advokasi dengan pengalaman MCPF dalam pencegahan jenayah serta penglibatan komuniti. Melalui kerjasama dan perkongsian kepakaran ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hak asasi manusia dan pencegahan jenayah, menggalakkan penglibatan komuniti yang lebih aktif serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih selamat di seluruh Malaysia.
Kerjasama ini bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai hak asasi manusia dan tanggungjawab; memperkukuh usaha pencegahan jenayah melalui pendidikan dan penyertaan komuniti; memajukan hak, keselamatan dan perlindungan kanak-kanak; menyokong dialog dasar dan advokasi berasaskan bukti; serta mempererat kerjasama antara institusi awam, masyarakat sivil dan komuniti. Matlamat utama adalah untuk menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih selamat dan inklusif.
Antara bidang fokus yang diberi penekanan ialah pembangunan program pencegahan jenayah bersepadu yang memfokuskan kepada perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Program ini dirancang untuk dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Pencegahan Jenayah MCPF (Sektor Sekolah) serta rakan strategik MCPF di lapangan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penjara Malaysia.
Program yang dicadangkan ini akan menyediakan platform bersepadu bagi pendidikan, peningkatan kesedaran dan libat urus mengenai isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kanak-kanak. Antara bidang yang dicadangkan termasuk hak dan perlindungan kanak-kanak, pencegahan buli, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, pencegahan penggunaan vape, keselamatan dalam talian, dialog mengenai pencegahan jenayah dan hak kanak-kanak, serta pameran interaktif oleh agensi berkaitan. Pendekatan yang berfokuskan kanak-kanak ini mencerminkan kepentingan memperluas pendidikan hak asasi manusia dan usaha pencegahan jenayah kepada kanak-kanak, keluarga, sekolah dan komuniti. Program ini juga membuka peluang kepada agensi berkaitan dan pihak berkepentingan untuk bekerjasama secara terselaras dalam memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran, pencegahan dan perlindungan.
SUHAKAM dan MCPF menegaskan semula komitmen bersama untuk memajukan hak asasi manusia, mencegah jenayah, melindungi kanak-kanak serta memperkukuh keselamatan komuniti melalui kerjasama yang selaras, pendidikan, advokasi, penyelidikan dan libat urus yang bermakna bersama komuniti dan pihak berkepentingan.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
26 November 2026
