[OCC] Kenyataan Media No. 63-2026_Hentikan Budaya Senior Menghukum Junior

KUALA LUMPUR (28 SEPTEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah berasrama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

CC memandang serius kejadian yang dilaporkan, khususnya laporan bahawa siasatan awal polis sedang meneliti sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan tindakan disiplin yang didakwa dikenakan oleh pelajar senior terhadap pelajar yang meninggal dunia, dipercayai kerana pelajar junior tersebut disyaki melanggar peraturan asrama. Polis memaklumkan bahawa punca sebenar kematian masih dalam siasatan. CC menegaskan bahawa tiada kesimpulan wajar dibuat pada peringkat ini berhubung kesalahan, niat atau liabiliti jenayah atau disiplin mana-mana kanak-kanak yang terlibat. Identiti dan butiran peribadi semua kanak-kanak hendaklah dilindungi dengan rapi.

Sehubungan itu, kebimbangan CC bukanlah untuk menentukan pihak yang bersalah dalam kes semasa, tetapi untuk menangani isu perlindungan kanak-kanak yang lebih luas: Adakah mana-mana pelajar, termasuk pengawas, ketua dormitori, pelajar senior atau pemimpin pelajar, mempunyai kuasa untuk menghukum pelajar lain? Jawapannya mestilah jelas: pelajar tidak boleh diberikan, atau mengambil sendiri, kuasa untuk menghukum pelajar lain.

Pemimpin pelajar sewajarnya boleh mengingatkan pelajar lain tentang peraturan sekolah atau asrama, menjadi contoh teladan yang baik, membantu dalam pemantauan yang bersesuaian, menggalakkan pematuhan serta melaporkan salah laku yang disyaki kepada guru, warden atau pihak berkuasa sekolah yang berkaitan. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh menjalankan siasatan sendiri; menentukan bahawa pelajar lain bersalah; merangka atau mengenakan hukuman sendiri; menggunakan kekerasan fizikal; mengugut atau menakut-nakutkan pelajar lain; mengaibkan atau memaksa kanak-kanak lain; atau mengambil sebarang tindakan disiplin mengikut kehendak sendiri. Menjadi pengawas, ketua dormitori, pelajar senior atau pemimpin pelajar bukanlah lesen untuk menghukum kanak-kanak lain.

Malaysia Mempunyai Kerangka Formal bagi Pengurusan Disiplin di Sekolah

Malaysia mempunyai kerangka yang telah ditetapkan bagi pengurusan disiplin pelajar. Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 3 Tahun 2026 - Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat memperuntukkan bahawa dakwaan salah laku hendaklah dikendalikan melalui proses disiplin sekolah yang formal, termasuk siasatan oleh guru yang dilantik pengetua atau ketua institusi. Hukuman disiplin hendaklah dikenakan oleh pihak sekolah yang diberi kuasa, selaras dengan prosedur KPM yang ditetapkan.

Dalam keadaan terhad yang membenarkan hukuman berbentuk fizikal, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh PGB atau guru yang diberikan kuasa khusus untuk berbuat demikian, tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Hal ini mengukuhkan prinsip asas bahawa tindakan disiplin hendaklah dilaksanakan melalui proses disiplin formal sekolah dan oleh pihak yang diberi kuasa di bawah peraturan dan prosedur KPM yang berkaitan - bukannya oleh pelajar terhadap rakan pelajar.

Warden Mempunyai Tanggungjawab Menjaga Kebajikan Pelajar di Sekolah Berasrama

Garis Panduan Pelantikan dan Portfolio Warden Asrama KPM, Versi Februari 2025 turut menetapkan tanggungjawab warden di sekolah berasrama. Warden melaksanakan tanggungjawab mereka in loco parentis, dengan tugas berkaitan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar. Ketua Warden bertanggungjawab terhadap disiplin asrama, manakala warden bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peraturan asrama serta mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan prosedur yang ditetapkan. Yang penting, laporan yang dibuat oleh Ketua atau ahli Jawatankuasa Asrama serta Ketua Dormitori hendaklah disemak dan disiasat oleh warden untuk tindakan susulan yang sewajarnya.

Pembahagian tanggungjawab yang dimaksudkan hendaklah kekal jelas. Pemimpin pelajar boleh memerhati, mengingatkan dan melaporkan kebimbangan kepada pihak berkuasa sekolah yang sewajarnya, manakala warden dan pihak sekolah bertanggungjawab untuk menyemak laporan, menjalankan siasatan dan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya selaras dengan prosedur yang ditetapkan. Pemimpin pelajar tidak boleh mengambil alih peranan untuk menyiasat dakwaan salah laku, menentukan kesalahan atau mengenakan hukuman terhadap pelajar lain.

Hentikan Budaya Disiplin Secara ‘Vigilante’

CC bimbang bahawa amalan seperti ‘ajar junior bagi serik’, ‘selesaikan di dorm’ atau ‘senior mendisiplinkan junior’ tidak boleh sama sekali dinormalisasikan dalam budaya sekolah berasrama. Peraturan sekolah tidak boleh dikuatkuasakan melalui tindakan pelajar mengambil tindakan sendiri terhadap kanak-kanak lain. Status sebagai pelajar senior atau kedudukan sebagai pemimpin pelajar tidak memberikan kuasa disiplin.

Setiap pelajar, termasuk kanak-kanak yang didakwa melanggar peraturan sekolah, kekal sebagai kanak-kanak yang berhak kepada keselamatan, maruah dan layanan yang adil. Perkara ini selaras dengan prinsip-prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), termasuk perlindungan daripada keganasan serta prinsip bahawa kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama.

Sehubungan itu, CC menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia untuk:

  1. Mengeluarkan peringatan yang jelas di seluruh negara bahawa pengawas, ketua dormitori dan pemimpin pelajar lain tidak mempunyai kuasa secara bebas untuk mengenakan atau melaksanakan hukuman disiplin terhadap pelajar lain.
  2. Menyemak Terma Rujukan kepimpinan pelajar di semua sekolah berasrama bagi memastikan peranan mereka ditakrifkan dengan jelas sebagai: PERINGATKAN - PANTAU - LAPORKAN. HUKUMAN ADALAH DILARANG SAMA SEKALI.
  3. Mengaudit amalan disiplin tidak formal di sekolah berasrama, termasuk senior menghukum junior, hukuman fizikal yang dikenakan oleh pelajar, ‘mahkamah pelajar’ tidak formal, denda atau penalti, penghinaan, layanan yang menjatuhkan maruah serta amalan paksaan yang lain. Langkah ini hendaklah dilaksanakan sebagai usaha pencegahan dan perlindungan, tanpa membuat kesimpulan terlebih dahulu berhubung kes semasa.
  4. Memperkukuh sistem warden dengan memastikan warden mudah dihubungi, menerima latihan yang mencukupi serta mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka berkaitan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar selaras dengan Garis Panduan Warden KPM 2025.

CC mengulangi ucapan takziah kepada keluarga pelajar yang meninggal dunia serta menghormati siasatan yang sedang dijalankan. Semua pihak diseru agar tidak membuat spekulasi dan tidak berkongsi maklumat yang boleh mengenal pasti atau menambah kemudaratan kepada kanak-kanak yang terlibat.

Tragedi ini mesti mendorong kepada penelitian yang teliti terhadap amalan disiplin tidak formal di sekolah berasrama. Tiada pelajar seharusnya menganggap bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menghukum kanak-kanak lain. Kepimpinan pelajar hendaklah membina rasa tanggungjawab dan budaya saling menjaga - bukannya mewujudkan sistem disiplin selari dalam kalangan kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
28 September 2026

Tags: No tags

Comments are closed.