KUALA LUMPUR (12 SEPTEMBER 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), memandang serius kejadian terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang oleh lima ekor anjing berkeliaran di Batu Pahat, Johor.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan diserang di luar rumah neneknya pada kira-kira jam 7.00 pagi, 5 September 2026 dan mengalami kecederaan serius sebelum dibawa ke hospital daerah dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut. CC menzahirkan keprihatinan dan solidariti kepada kanak-kanak tersebut serta keluarganya, dan mendoakan agar beliau terus diberikan kesembuhan.
Kejadian ini tidak boleh dilihat sebagai insiden terpencil. Berdasarkan laporan media yang diteliti oleh CC, sekurang-kurangnya lapan kes serius melibatkan kanak-kanak diserang atau digigit oleh anjing berkeliaran atau anjing liar telah dilaporkan sejak tahun 2023, termasuk kes yang mengakibatkan kematian. Kes-kes tersebut termasuk serangan terhadap kanak-kanak berusia sangat muda di Pitas, Klang, Semporna, Langkawi, Sungai Buloh dan Cheras, selain kejadian terbaharu di Batu Pahat. Satu lagi kes di Kuching pada tahun 2026 melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat gigitan anjing dan jangkitan rabies susulan kejadian tersebut.
Sekurang-kurangnya tiga kematian kanak-kanak dapat dikenal pasti berdasarkan laporan media yang diteliti, iaitu di Semporna pada tahun 2024, Sungai Buloh pada tahun 2025 dan Kuching pada tahun 2026. Walau bagaimanapun, semakan ini tidak harus dianggap sebagai statistik nasional yang menyeluruh. Apa yang amat membimbangkan ialah tahap kerentanan kanak-kanak yang terlibat. Sesetengah mangsa berusia seawal satu atau dua tahun. Insiden yang dilaporkan bukan sahaja berlaku di kawasan terpencil, malah di dalam atau berhampiran rumah, kawasan perumahan serta lokasi yang berkait dengan aktiviti harian kanak-kanak. Di Klang, sebagai contoh, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dilaporkan diserang oleh dua ekor anjing ketika membuang sampah dan memerlukan pembedahan. Di Cheras, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun diserang ketika menunggang basikal berhampiran rumahnya.
Risiko yang dihadapi juga tidak terhad kepada gigitan anjing. Di Sitiawan, seorang kanak-kanak dilaporkan berlari ke jalan raya selepas dikejar seekor anjing dan nyaris dilanggar kenderaan. Di Kedah pada bulan lalu, seorang murid sekolah dilaporkan terjatuh ke dalam longkang selepas dikejar sekumpulan anjing ketika berbasikal ke sekolah. Insiden-insiden ini menunjukkan bahawa anjing liar atau agresif boleh menimbulkan risiko lebih besar termasuk terjatuh, kemalangan jalan raya dan kecederaan serius yang lain.
Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, bermain, berjalan dan pergi ke sekolah dalam persekitaran yang secara munasabah selamat daripada risiko yang boleh dijangka dan dicegah. Kanak-kanak yang masih kecil amat terdedah kerana saiz fizikal mereka, keupayaan yang terhad untuk mempertahankan diri serta keupayaan yang terbatas untuk bertindak dengan sewajarnya apabila berhadapan dengan haiwan yang agresif.
Sehubungan itu, CC menggesa perubahan asas daripada pendekatan reaktif selepas berlakunya tragedi kepada langkah pencegahan secara proaktif sebelum kanak-kanak menjadi mangsa. Tindakan terhadap anjing yang berbahaya atau agresif tidak seharusnya hanya diambil selepas kanak-kanak dimasukkan ke hospital, mengalami kecederaan serius atau kehilangan nyawa. Sekiranya sesuatu risiko telah diketahui, boleh dijangka dan secara munasabah boleh dicegah, tindakan pencegahan hendaklah diambil.
CC menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti kawasan panas anjing berkeliaran, khususnya di lokasi yang kerap menjadi tumpuan kanak-kanak, seperti di sekitar sekolah, TASKA dan tadika, taman permainan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan pangsapuri, kawasan perumahan, laluan berjalan kaki dan berbasikal ke sekolah, perhentian bas serta lokasi yang sering menerima aduan mengenai anjing liar atau agresif.
CC turut menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Negeri, dengan kerjasama PBT dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), untuk menetapkan piawaian tindak balas yang lebih jelas dan berasaskan risiko:
- Memetakan dan mengenal pasti kawasan panas, dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak;
- Memberi keutamaan kepada aduan yang melibatkan kumpulan anjing atau anjing agresif di sekitar rumah, sekolah, taman permainan dan lokasi lain yang menjadi tumpuan kanak-kanak;
- Menetapkan SOP dan mekanisme tindakan susulan yang jelas - daripada penerimaan aduan dan penilaian risiko kepada tindakan, maklum balas serta pemantauan susulan;
- Melaksanakan operasi PBT-DVS secara proaktif dan bersepadu, tanpa menunggu sehingga serangan serius berlaku;
- Memperkukuh pengumpulan data nasional mengenai serangan haiwan yang melibatkan kanak-kanak, termasuk umur, lokasi, tahap kecederaan, kesan berkaitan rabies dan hasil daripada tindakan yang diambil;
- Melaksanakan pengurusan populasi dan risiko secara jangka panjang, termasuk pemilikan yang bertanggungjawab, pendaftaran dan pelesenan, pencegahan pengabaian haiwan, pensterilan berasaskan bukti, pengurusan sisa dan sumber makanan, penyediaan kemudahan yang bersesuaian serta kerjasama yang lebih kukuh antara pihak berkuasa, NGO dan komuniti; dan
- Memastikan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperikemanusiaan dan mengikut undang-undang, selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta undang-undang dan prosedur lain yang berkaitan.
Melindungi kanak-kanak tidak bermakna mengabaikan kebajikan haiwan. Kedua-dua matlamat ini boleh dan mesti dicapai secara bersama. Pengurusan haiwan yang berkesan hendaklah mengambil kira keselamatan kanak-kanak, berperikemanusiaan, profesional dan mematuhi undang-undang, bukannya dilakukan secara sewenang-wenangnya atau kejam.
CC turut menegaskan bahawa pendidikan keselamatan kepada kanak-kanak, ibu bapa, sekolah dan pengendali pusat penjagaan kanak-kanak adalah penting, termasuk panduan untuk mengelakkan haiwan yang agresif serta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera selepas digigit. Walau bagaimanapun, pendidikan keselamatan tidak boleh sama sekali mengalihkan tanggungjawab mengurus risiko keselamatan awam yang telah diketahui daripada pihak berkuasa kepada kanak-kanak.
Kanak-kanak kecil tidak seharusnya terpaksa mengelak daripada bermain di luar rumah, menggunakan taman permainan atau pergi ke sekolah hanya kerana wujud risiko yang boleh dijangka akibat anjing berkeliaran. Apabila sesuatu bahaya kepada kanak-kanak telah diketahui dan secara munasabah boleh dicegah, kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku satu lagi tragedi sebelum bertindak. Pengurusan anjing liar dan agresif yang berkesan bukan semata-mata isu pengurusan haiwan; apabila kanak-kanak terdedah kepada risiko yang boleh dijangka, ia merupakan isu keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.
Sehubungan itu, CC menggesa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua PBT supaya bertindak sekarang, bukan selepas seorang lagi kanak-kanak mengalami kecederaan serius. Keselamatan kanak-kanak mesti diperkukuh melalui pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan segera, bukan hanya melalui tindakan selepas berlakunya tragedi.
-TAMAT-
Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
12 September 2026
