Kenyataan Media No. 55-2026_SUHAKAM Sambut Baik Keputusan Mahkamah Persekutuan Yang Mengkedepankan Hak Adat, Budaya Dan Spiritual Orang Asli

KUALA LUMPUR (11 SEPTEMBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada tujuh penduduk Orang Asli dari Kampung Batu 20, Pekan, Pahang, berhubung kemusnahan pada kubur nenek moyang mereka semasa aktiviti pembangunan.

Keputusan sebulat suara tersebut mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk pemberian ganti rugi am sebanyak RM20,000 kepada setiap plaintif. Mahkamah turut mengesahkan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai hak komuniti dan hak milik terhadap tanah adat yang telah didiami dan digunakan secara turun-temurun, walaupun tanpa hak milik tanah rasmi.

SUHAKAM menyokong pengiktirafan Mahkamah bahawa hak adat Orang Asli merangkumi hubungan budaya dan spiritual dengan nenek moyang serta wilayah tradisional mereka, termasuk akses kepada kawasan perkuburan. Dapatan Mahkamah bahawa perbuatan mencemarkan kubur nenek moyang merupakan suatu pencabulan terhadap maruah Orang Asli turut mengiktiraf hubungan erat mereka dengan tanah, budaya, kepercayaan dan identiti. Penghakiman ini juga menegaskan bahawa pemberian hak milik tanah atau hak pembangunan kepada pihak ketiga tidak dengan sendirinya menghapuskan hak adat yang telah sedia wujud.

Keputusan ini menegaskan keperluan melindungi hak adat sebelum pembangunan dilaksanakan. SUHAKAM menegaskan bahawa pihak berkuasa Kerajaan, agensi Negeri dan pihak perniagaan bertanggungjawab untuk mengenal pasti serta menghormati hak tanah adat sebelum tanah dilupuskan atau projek pembangunan diluluskan atau dimulakan. Ini termasuk penglibatan bermakna dengan masyarakat terjejas serta penghormatan terhadap prinsip Izin berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (FPIC), khususnya apabila pembangunan berkemungkinan menjejaskan tanah adat, kawasan perkuburan, tapak keramat, mata pencarian atau warisan budaya.

Keputusan ini juga selaras dengan prinsip Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP), yang disokong oleh Malaysia. UNDRIP mengiktiraf hak Orang Asal/Asli untuk mengekalkan hubungan spiritual dengan tanah dan wilayah tradisional mereka serta mengamalkan dan menghidupkan semula adat budaya mereka.

Oleh itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memperkukuh pengiktirafan dan perlindungan undang-undang serta pentadbiran terhadap hak tanah adat Orang Asli. Wilayah adat, kawasan perkuburan dan tapak berkepentingan budaya hendaklah dikenal pasti dan dilindungi sebelum tanah dilupuskan, dipajak atau diluluskan untuk pembangunan. Perniagaan yang beroperasi di dalam atau berhampiran wilayah adat juga hendaklah menjalankan usaha wajar hak asasi manusia bagi mencegah kesan buruk terhadap hak, maruah, budaya dan warisan masyarakat Orang Asli serta memastikan akses kepada remedi yang berkesan sekiranya berlaku kemudaratan.

Penghakiman ini mengingatkan bahawa pembangunan tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan maruah manusia, identiti budaya dan hak Orang Asal. Melindungi tanah adat Orang Asli bukan sekadar soal pentadbiran tanah, tetapi juga berkaitan dengan kesaksamaan, maruah, kelangsungan budaya dan keadilan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

11 September 2026

Tags: No tags

Comments are closed.