Kenyataan Media No. 45-2026_SUHAKAM Gesa Perlindungan Segera Terhadap Hak Tanah Adat Orang Asli di Maran

KUALA LUMPUR (29 JULAI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan berhubung pertikaian tanah yang sedang berlaku melibatkan komuniti Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang. SUHAKAM mengambil maklum bahawa Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa dalam pentadbiran tanah namun menegaskan bahawa kuasa tersebut harus dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta obligasi hak asasi manusia Malaysia.

Tanah adat Orang Asli bukan sekadar aset ekonomi, malah berkait rapatdengan identiti, budaya, kerohanian, pengetahuan tradisional dan kelangsungan hidup mereka sebagai Masyarakat Orang Asli Kehilangan tanah adat bukan sahaja menjejaskan sumber kehidupan, bahkan turut mengancam kesinambungan warisan budaya dan cara hidup mereka. SUHAKAM secara konsisten menegaskan bahawa haktanah adat Orang Asli wajar diiktiraf secara bermakna dan dilindungi dengan berkesan. Prinsip undang-undang sedia ada turut mengiktiraf bahawa hak adat yang terhasil daripada pendudukan dan penggunaan tanah warisan secara turun-temurun wajar diberikan perlindungan. Sehubungan itu, Akta Orang Asli 1954 hendaklah dilaksanakan selaras dengan tujuan perlindungannya bagi menjamin hak serta kebajikan komuniti Orang Asli.

SUHAKAM turut menegaskan bahawa pembangunan tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan hak asasi Masyarakat Orang Asli. Pembangunan ekonomi dan pelaburan hendaklah dilaksanakan dengan menghormati hak asasi manusia, melindungi hak tanah adat serta memastikan tiada mana-mana komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan. Prinsip ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) Malaysia yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri bersama kementerian berkaitan, yang mengiktiraf penghormatan terhadap hak Masyarakat Orang Asli dan perlindungan alam sekitar sebagai komponen penting dalam amalan perniagaan yang bertanggungjawab. Kepentingan ekonomi tidak seharusnya mengatasi hak Orang Asli serta perlindungan terhadap tanah adat mereka.

Selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenaiHak Masyarakat Orang Asal/Asli (UNDRIP), sebarang keputusan yang melibatkan tanah, wilayah dan sumber Masyarakat Orang Asal/Asli hanya boleh diteruskan selepas rundingan yang bermakna diadakan serta memperoleh Persetujuan Bebas, Awal dan Dimaklumkan (FPIC) daripada mereka. Rundingan yang hanya dijalankan selepas sesuatu keputusan telah dibuat tidak memenuhi prinsip penyertaan yang bermakna serta tidak menghormati hak mereka.

SUHAKAM amat bimbang bahawa tindakan penguatkuasaan jenayah dalam konteks pertikaian tanah adat yang masih belum diselesaikan berisiko meningkatkan ketegangan serta menjejaskan keyakinan awam terhadap usaha mencapai penyelesaian yang adil. Sekiranya terdapat tuntutan yang sah dan masih belum diselesaikan berhubung tanah adat, keutamaan hendaklah diberikan kepada dialog, mediasi dan proses perundangan yang adil, berbanding tindakan penguatkuasaan yang berpotensi untuk terus meminggirkan komuniti Orang Asli.

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan Negeri Pahang untuk:

  1. mengadakan sesi libat urus yang bermakna dengan segera bersama komuniti Orang Asli yang terjejas serta semua pihak berkepentingan berkaitan;
  2. menangguhkan sebarang aktiviti yang boleh memberi kesan kekal terhadap tanah adat yang dipertikaikan sehingga tuntutan tersebut diselesaikan melalui proses yang bebas dan adil;
  3. memastikan setiap pembangunan pada masa hadapan yang melibatkan tanah adat Orang Asli dilaksanakan selaras dengan prinsip FPIC; dan
  4. memperkukuh mekanisme bagi mengiktiraf, melindungi serta mewartakan tanah adat Orang Asli selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip perundangan domestik dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

SUHAKAM turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan reformasi undang-undang dan dasar secara menyeluruh berkaitan hak tanah Orang Asli. Pertikaian yang berulang kali berlaku menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan satu kerangka nasional yang komprehensif mengikut lunas undang-undang, di samping memastikan penghormatan terhadap hak, maruah dan hak menentukan nasib sendiri Masyarakat Orang Asli.

Penghormatan terhadap hak Masyarakat Orang Asli bukanlah penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, ia merupakan asas kepada pembangunan yang mampan, inklusif dan saksama. Kemajuan Malaysia tidak seharusnya dicapai dengan merampas tanah yang telah menjadi sumber kehidupan komuniti Orang Asal sejak turun-temurun. SUHAKAM akan terus memainkan peranan dalam memudah cara dialog yang konstruktif bersama semua pihak serta memperjuangkan penyelesaian yang menghormati keadilan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
29 Julai 2026

Tags: No tags

Comments are closed.