Kenyataan Media No. 44-2026_SUHAKAM Suarakan Kebimbangan Terhadap Keputusan Mahkamah Rayuan Berhubung Kewarganegaraan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (25 JULY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengambil maklum namun bimbang terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar perkahwinan kepada bapa warganegara Malaysia dan ibu bukan warganegara, tidak berhak memperolehi kewarganegaraan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

SUHAKAM menghormati sepenuhnya kebebasan badan kehakiman serta mengiktiraf bahawa Mahkamah bertanggungjawab mentafsir dan menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan pada masa ini. Namun demikian, keputusan tersebut menyerlahkan jurang yang masih wujud dalam kerangka kewarganegaraan negara yang berpotensi menyebabkan sebahagian kanak-kanak berisiko tidak mempunyai kewarganegaraan serta berdepan proses ketidaktentuan undang-undang yang berpanjangan.

Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk memperolehi kewarganegaraan. Perkara 7 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang telah diratifikasi oleh Malaysia sejak tahun 1995, memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak berhak didaftarkan sejurus selepas kelahiran serta memperoleh kewarganegaraan. Negara-negara pihak hendaklah melaksanakan hak-hak tersebut, khususnya dalam keadaan di mana seseorang kanak-kanak berisiko menjadi tanpa kewarganegaraan. Sewaktu Pemerhatian Penutup dijalankan pada Februari 2026, Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB menggesa Malaysia memperkukuh kerangka perundangannya bagi memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada kewarganegaraan tanpa diskriminasi, dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah dan mengurangkan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan. Jawatankuasa turut menegaskan bahawa prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak tanpa diskriminasi seharusnya menjadi pertimbangan utama dalam semua keputusan yang melibatkan hak kewarganegaraan kanak-kanak.

SUHAKAM menegaskan bahawa tiada kanak-kanak patut dinafikan hak dan dipinggirkan hak kewarganegaraan hanya disebabkan oleh status perkahwinan ibu bapanya atau nasib kelahiran yang di luar kawalan mereka. Setiap kanak-kanak berhak mendapat perlindungan yang sama rata serta layanan tanpa diskriminasi di sisi undang-undang, tanpa mengira status perkahwinan ibu bapanya. Identiti di sisi undang-undang dan masa depan seseorang kanak-kanak tidak seharusnya bergantung kepada keputusan atau keadaan yang bukan berpunca daripada dirinya. Kewarganegaraan bukan sekadar suatu status perundangan, malah merupakan akses kepada pelbagai hak asasi termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan serta penyertaan penuh dalam masyarakat.

Sehubungan itu, SUHAKAM mengulangi pendiriannya agar undang-undang dan dasar berkaitan kewarganegaraan di Malaysia terus diperkasa dan diperbaharui secara progresif selaras dengan prinsip kesaksamaan, tanpa diskriminasi serta kepentingan terbaik kanak-kanak. Walaupun pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan ibu warganegara Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara merupakan satu pencapaian penting, pembaharuan lanjut masih diperlukan bagi memastikan tiada kanak-kanak dinafikan akses kepada kewarganegaraan akibat halangan perundangan atau pentadbiran.

Sehingga reformasi menyeluruh dilaksanakan, SUHAKAM menyeru Kerajaan agar terus memanfaatkan mekanisme di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan kanak-kanak daripada menjadi tanpa kewarganegaraan. Budi bicara di bawah peruntukan ini hendaklah dilaksanakan berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.

SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh kerangka kewarganegaraan yang melindungi hak kanak-kanak, selaras dengan kewajipan Malaysia di bawah CRC.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

25 July 2026

Tags: No tags

Comments are closed.