[OCC] Kenyataan Media No. 36-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Sambut Baik Penubuhan Rasmi Tribunal Anti-Buli

KUALA LUMPUR (18 JUNE 2026) Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memberikan sokongan teguh kepada penubuhan rasmi dan pelancaran Tribunal Anti-Buli oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, pada 16 Jun 2026. Ia menandakan satu pencapaian penting dalam usaha negara untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak untuk semua kanak-kanak.

Penubuhan Tribunal ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk buli dan keganasan, di samping memastikan aduan ditangani melalui mekanisme pemulihan yang mudah diakses, mesra kanak-kanak dan berkesan. Pelancaran Tribunal ini turut mencerminkan usaha kolektif negara dalam memperkukuh langkah perlindungan kanak-kanak, serta menjunjung hak setiap kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah dan pendidikan.

CC menyambut baik pewartaan Akta Anti-Buli 2026 yang berkuat kuasa pada 16 Jun 2026 di mana institusi pendidikan diseru untuk melaksanakan enam mekanisme perlindungan bagi pencegahan dan pengurusan kes buli. Selaras dengan Seksyen 7(1) Akta tersebut, institusi pendidikan dikehendaki untuk:

  1. a) menubuhkan dan mengekalkan jawatankuasa bagi pencegahan dan pengurusan kes buli;
  2. b) melaksanakan dasar, garis panduan dan prosedur bagi pencegahan dan pengurusan kes buli;
  3. c) menyediakan saluran pelaporan yang mudah diakses dan mesra kanak-kanak serta memastikan kerahsiaan maklumat berkaitan pelajar yang melaporkan kejadian buli;
  4. d) menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada mangsa serta individu lain yang terkesan akibat kes buli;
  5. e) menjalankan program latihan berkaitan pencegahan dan pengurusan kes buli; dan
  6. f) mencapai standard pematuhan berkaitan pencegahan dan pengurusan kes buli sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.

CC menyambut baik penubuhan mekanisme aduan percuma serta mudah diakses melalui Tribunal Anti-Buli yang membolehkan mangsa serta ibu bapa atau penjaga mereka mendapatkan keadilan melalui mekanisme bebas tanpa sebarang beban kewangan. Maklumat berkaitan Tribunal termasuk prosedur aduan, sumber rujukan dan penyerahan aduan secara dalam talian boleh diakses melalui portal Tribunal Anti-Buli di https://tab.bheuu.gov.my/. https://tab.bheuu.gov.my/.

CC menghargai proses kerjasama dan libat urus yang dilaksanakan oleh Kerajaan sepanjang pembangunan dan penggubalan Akta Anti-Buli 2026 sehingga tertubuhnya Tribunal ini. Sejak peringkat awal pembentukan dasar, proses penggubalan Rang Undang-Undang sehinggalah penubuhan Tribunal, CC telah terlibat secara aktif dalam pelbagai sesi libat urus dan rundingan dengan mengemukakan cadangan serta perspektif berteraskan prinsip hak kanak-kanak dan kepentingan terbaik kanak-kanak. CC juga memuji penglibatan bermakna kanak-kanak dan golongan muda sepanjang proses rundingan di mana pandangan mereka telah diambil kira dalam pembangunan perundangan penting ini. Selaras dengan mandat promosi dan pemantauan, CC turut menyokong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pembangunan dasar perlindungan kanak-kanak serta menawarkan kepakaran dan bantuan kepada agensi berkaitan dalam mewujudkan mekanisme yang diperlukan di bawah Akta tersebut.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) mengambil maklum dengan peranan statutori yang diamanahkan kepada CC di bawah Akta Anti-Buli 2026. Tanggungjawab ini memperkukuhkan fungsi pemantauan bebas dan akauntabiliti dalam pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dalam menangani isu buli di seluruh negara. Dalam hal ini, CC turut menyeru sumber dan peruntukan kewangan yang mencukupi kepada Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) bagi membolehkan tanggungjawab ini dilaksanakan dengan berkesan, selaras dengan syor yang terkandung dalam Pemerhatian Penutup Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak (CRC) mengenai Malaysia pada Februari 2026. Antara fungsi utama yang diberikan kepada CC di bawah Akta ini adalah:

  • • menerima dan menyemak laporan audit berkaitan langkah pencegahan dan tindakan terhadap buli daripada institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (MOE), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pertahanan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat;
  • • menerima laporan suku tahunan dan statistik aduan daripada Tribunal Anti-Buli bagi tujuan pemantauan dan pengawasan;
  • • memantau serta mengemukakan syor berkaitan pencegahan dan pengurusan kes buli di institusi pendidikan dan institusi berkaitan;
  • • menjalankan program pendidikan, kesedaran, libat urus dan promosi berkaitan inisiatif anti-buli serta hak kanak-kanak; dan
  • • melaporkan setiap tahun kepada Parlimen mengenai aktiviti berkaitan pencegahan dan pengurusan kes buli di institusi pendidikan dan institusi berkaitan.

CC percaya kejayaan Tribunal ini bergantung kepada komitmen bersama semua pihak berkepentingan termasuk agensi Kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, guru, organisasi masyarakat sivil serta kanak-kanak sendiri. Tiada kanak-kanak seharusnya menjadi mangsa buli, gangguan atau ugutan dalam mana-mana persekitaran pendidikan. Penubuhan Tribunal ini memberikan mesej yang jelas bahawa buli tidak akan diterima dan kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pemulihan apabila hak mereka dilanggar.

CC kekal komited untuk bekerjasama dengan institusi berkaitan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan berkesan Akta Anti-Buli 2026 serta memupuk budaya saling menghormati, empati dan keselamatan untuk setiap kanak-kanak di Malaysia.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

18 Jun 2026

Tags: No tags

Comments are closed.