KUALA LUMPUR (25 JUN 2026) - Susulan peningkatan kes buli siber, ucapan kebencian, gangguan dalam talian serta kandungan digital berbahaya yang lain, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ingin mengingatkan orang ramai bahawa hak kepada kebebasan bersuara hadir bersama tanggungjawab dan kewajipan yang sewajarnya. Walaupun setiap individu berhak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka, kebebasan tersebut tidak boleh menjejaskan hak, maruah, keselamatan atau kesejahteraan pihak lain.
SUHAKAM mengingatkan bahawa piawaian hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perkara 20(2) Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mengiktiraf bahawa kebebasan bersuara adalah hak asasi yang penting, namun ia turut disertai dengan tanggungjawab tertentu. Ungkapan atau kenyataan yang menghasut kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan, sama ada dalam talian mahupun luar talian, menjejaskan maruah manusia serta mengancam keharmonian sosial memerlukan langkah pengawalseliaan dan perundangan yang seimbang, selaras dengan prinsip hak asasi manusia.
Penyebaran kandungan berunsur kebencian, ancaman, diskriminasi dan penderaan secara dalam talian yang semakin meningkat menimbulkan risiko serius kepada individu serta masyarakat secara keseluruhan. Selain menyebabkan kesan psikologi dan emosi kepada mangsa, tingkah laku sedemikian boleh menyemarakkan permusuhan, memburukkan perpecahan sosial, menormalisasikan prejudis serta menyumbang kepada peningkatan diskriminasi dan keganasan. Lebih membimbangkan ialah apabila perbincangan dalam talian bertukar menjadi satu bentuk ancaman, ugutan kepada keganasan atau hasutan yang menyasarkan individu dan komuniti berdasarkan identiti, status atau perbezaan tertentu.
SUHAKAM mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk buli siber, ucapan kebencian, ancaman keganasan serta hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau kemudaratan. Apabila tingkah laku sedemikian dinormalisasikan dalam ruang digital, ia menjejaskan maruah manusia, perpaduan sosial serta keselamatan awam. Tiada mana-mana individu seharusnya menjadi mangsa intimidasi, gangguan atau penderaan disebabkan identiti, kepercayaan yang dianuti atau keadaan yang terpaksa mereka hadapi.
Mereka yang menyalahgunakan media sosial dan platform digital untuk menyebarkan kebencian, mengganggu orang lain atau menggalakkan keganasan harus dipertanggungjawabkan atas tindakan itu. Kebebasan bersuara tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan tingkah laku yang mengancam hak dan keselamatan pihak lain. Sekiranya tindakan tersebut melanggar undang-undang, langkah penguatkuasaan yang sesuai dan seimbang hendaklah diambil bagi memastikan akauntabiliti serta mengelakkan pencabulan daripada berulang pada masa hadapan.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk memperkukuh usaha menangani sebarang bahaya dalam talian melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada yang berkesan, peningkatan langkah keselamatan digital serta memperluas kesedaran awam mengenai tanggungjawab di ruang siber. Pada masa yang sama, platform media sosial, institusi pendidikan, organisasi masyarakat sivil dan orang ramai perlu memainkan peranan aktif dalam memupuk literasi digital, interaksi yang berhemah serta budaya empati dan saling menghormati.
Ruang digital tidak seharusnya menjadi platform untuk menyebar kebencian, intimidasi atau budaya yang tidak bertanggungjawab. Sebaliknya, ia perlu kekal sebagai ruang di mana hak dilaksanakan secara bertanggungjawab dan wacana awam dipandu oleh prinsip maruah manusia, kesaksamaan, keterangkuman serta kedaulatan undang-undang. Dengan tanggungjawab dan akauntabiliti, kita dapat memastikan ruang dalam talian kekal selamat, saling menghormati dan kondusif kepada dialog yang membina untuk semua.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
25 Jun 2026
