E1

Kenyataan Media No. 34-2026_SUHAKAM Menyambut Baik Komitmen Kerajaan untuk Bertindak Berdasarkan Penemuan Siasatan Awam Penjara Taiping

KUALA LUMPUR (10 JUN 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Kerajaan bersedia untuk memudah cara siasatan lanjut berdasarkan penemuan dan syor yang dikemukakan melalui Siasatan Awam SUHAKAM berhubung insiden di Penjara Taiping, Perak. Kenyataan Menteri bahawa “yang salah tetap salah” dan bahawa tiada salah laku akan dilindungi mencerminkan komitmen penting terhadap akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

Penemuan Siasatan Awam ini telah mendedahkan pelanggaran serius hak asasi manusia terhadap tahanan serta menimbulkan kebimbangan berhubung tindakan segelintir pegawai penjara, akauntabiliti institusi dan keberkesanan mekanisme perlindungan sedia ada di tempat-tempat tahanan. Penemuan ini dicapai melalui proses siasatan yang menyeluruh, melibatkan keterangan saksi, bukti berdokumen dan penilaian pakar.

Sehubungan itu, SUHAKAM berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melengkapkan siasatan secara menyeluruh, bebas dan segera dengan mengambil kira penemuan serta bukti yang telah dikemukakan sepanjang Siasatan Awam tersebut. Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, tindakan pendakwaan jenayah yang sewajarnya perlu diambil terhadap semua individu yang didapati melakukan kesalahan, tanpa mengira pangkat atau jawatan.

SUHAKAM turut menegaskan bahawa akauntabiliti tidak seharusnya terhad kepada siasatan jenayah semata-mata. Semua agensi berkaitan, termasuk yang bertanggungjawab terhadap pengawasan tatatertib, tadbir urus, integriti dan akauntabiliti perkhidmatan awam, perlu melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa masing-masing. Memastikan akauntabiliti di setiap peringkat adalah penting bukan sahaja untuk menegakkan keadilan, tetapi juga untuk memulihkan keyakinan awam terhadap institusi negara.

Suruhanjaya turut mengalu-alukan komitmen yang dinyatakan oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan serta meneliti penemuan dan syor yang dikemukakan melalui Siasatan Awam ini. Reformasi institusi yang bermakna, termasuk pelaksanaan syor-syor Siasatan Awam, adalah perlu bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.

Selaras dengan Seksyen 13(3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597], SUHAKAM akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memantau status tindakan yang telah diambil susulan penemuan dan syor Siasatan Awam tersebut. Suruhanjaya kekal komited untuk memastikan syor-syor berkenaan dipertimbangkan secara serius dan dilaksanakan dengan berkesan.

Kredibiliti sesuatu sistem keadilan tidak diukur berdasarkan layanan kepada golongan yang berkuasa, tetapi berdasarkan layanan terhadap individu yang berada di bawah jagaan dan tanggungjawabnya. Oleh itu, Suruhanjaya menyeru semua pihak berkuasa yang berkaitan agar mengambil tindakan tegas terhadap penemuan Siasatan Awam ini bagi membuktikan bahawa pelanggaran hak asasi manusia tidak akan diterima atau dipandang ringan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
10 Jun 2026

E1

[OCC] Kenyataan Media No. 33-2026_OCC Menyeru Pengukuhan Pelaksanaan, Keupayaan Institusi dan Penerusan Reformasi Susulan “Simposium Reformasi Perundangan Hak Kanak-Kanak” yang Diadakan pada 8-9 Jun 2026

KUALA LUMPUR (9 JUN 2026) - Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran Simposium Reformasi Perundangan Hak Kanak-kanak dan merakamkan penghargaan terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh penggubal dasar, ahli-ahli Parlimen, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik dan pendukung hak kanak-kanak dalam memajukan perbincangan bagi memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia. Simposium ini telah menyediakan platform penting untuk menilai kemajuan Malaysia dalam melaksanakan obligasinya di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), mengenal pasti jurang berterusan dalam undang-undang, dasar dan pelaksanaan, serta meneroka reformasi yang diperlukan bagi memastikan setiap kanak-kanak menikmati hak mereka tanpa diskriminasi dan selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.

Sebagai mekanisme bebas yang diberi mandat untuk mempromosi dan melindungi hak kanak-kanak di Malaysia, OCC memantau pelaksanaan hak kanak-kanak, menerima aduan berhubung pelanggaran hak tersebut, serta menggesa pelaksanaan undang-undang, dasar dan amalan yang melindungi serta memelihara hak dan kepentingan terbaik setiap kanak-kanak. Perbincangan yang berlangsung sepanjang simposium ini turut memperlihatkan bahawa usaha memperkukuh dan memajukan hak kanak-kanak tidak boleh bergantung semata-mata kepada kerangka perundangan yang mantap, sebaliknya perlu disokong oleh pelaksanaan yang berkesan, peruntukan sumber yang mencukupi serta kerjasama institusi yang menyeluruh dan bersepadu.

Malaysia telah menjadi Negara Pihak kepada CRC selama lebih daripada tiga dekad. Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia telah melaksanakan usaha penting untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak melalui pindaan perundangan, pembangunan dasar dan penubuhan pelbagai mekanisme perlindungan kanak-kanak. Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia ke arah membina sistem yang lebih kukuh untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, fasa seterusnya dalam kemajuan hak kanak-kanak memerlukan peralihan daripada sekadar kewujudan undang-undang kepada usaha untuk memastikan pelaksanaan secara bermakna. Walau sebaik mana sekalipun sesuatu kerangka perundangan digubal, keberkesanannya hanya dapat dicapai sekiranya institusi yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak mempunyai sumber yang mencukupi, tenaga kerja yang kompeten, pembiayaan yang mampan serta kapasiti operasi yang kukuh untuk melaksanakan perlindungan tersebut secara berkesan.

OCC mengambil maklum bahawa banyak cabaran kontemporari yang menjejaskan kanak-kanak, bukan sahaja berpunca daripada jurang perundangan, tetapi juga daripada halangan pelaksanaan yang bersifat sistemik. Ini termasuk cabaran berkaitan penyelarasan antara agensi, ketersediaan perkhidmatan khusus, kekangan sumber manusia dalam kalangan petugas barisan hadapan perlindungan kanak-kanak, mekanisme pengumpulan data dan pemantauan, serta keupayaan untuk menterjemahkan dasar kepada intervensi yang tepat pada masanya dan berkesan untuk kanak-kanak. Oleh itu, mekanisme sedia ada yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan kerangka berkaitan perlu terus diperkukuh bagi memastikan perlindungan yang digariskan oleh undang-undang dapat direalisasikan sepenuhnya. Sistem perlindungan kanak-kanak hanya berkesan sekiranya ia mampu mencapai dan melindungi kanak-kanak pada saat perlindungan diperlukan. Hal ini memerlukan pelaburan berterusan dalam perkhidmatan sosial, pemerkasaan dan profesionalisasi tenaga kerja perlindungan kanak-kanak, penggubalan dasar berasaskan bukti serta penyelarasan yang lebih kukuh antara institusi berkaitan.

OCC turut mengiktiraf bahawa pelaksanaan hak kanak-kanak memerlukan penglibatan bermakna dengan konteks sosial, budaya dan komuniti di Malaysia. Keseragaman penerapan hak kanak-kanak di bawah CRC diperkukuh apabila ia dilaksanakan melalui pendekatan yang mengambil kira realiti setempat, di samping memelihara nilai asas bersama iaitu maruah, perlindungan, tanpa diskriminasi, penyertaan dan kepentingan terbaik kanak-kanak. Dialog konstruktif yang melibatkan penggubal dasar, komuniti, pemimpin agama, pertubuhan masyarakat sivil, keluarga dan kanak-kanak sendiri kekal penting bagi memastikan reformasi yang dilaksanakan berteraskan prinsip serta mampan dari aspek praktikal.

Simposium ini juga menyoroti beberapa isu hak kanak-kanak yang masih menjadi cabaran berterusan dan memerlukan komitmen serta tindakan bersepadu daripada semua pihak. Antaranya termasuk memastikan akses kepada perlindungan bagi kanak-kanak rentan, memperkukuh sistem keadilan yang mesra kanak-kanak, melindungi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak, serta menjamin bahawa setiap kanak-kanak bebas daripada keganasan, pengabaian, eksploitasi dan peminggiran. Isu-isu ini telah dibangkitkan secara konsisten oleh Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak, SUHAKAM, OCC, pertubuhan masyarakat sivil dan pembela hak kanak-kanak. Simposium ini telah menyediakan peluang penting untuk menegaskan semula keperluan terhadap pendekatan seluruh masyarakat dalam memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, OCC bersedia untuk menyokong Ahli-ahli Parlimen, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan melalui syor berasaskan bukti, pemantauan, penyelidikan serta libat urus dengan kanak-kanak dan komuniti. Memastikan suara kanak-kanak didengar dan dipertimbangkan dalam proses membuat keputusan kekal sebagai teras kepada pembinaan dasar yang memberi respons secara berkesan terhadap realiti kehidupan mereka. OCC menegaskan bahawa kemajuan Malaysia dalam memperkukuh hak kanak-kanak tidak boleh terhenti pada komitmen dan perancangan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan memberi impak kepada kehidupan kanak-kanak. Bagi mencapai matlamat ini, keupayaan pelaksanaan perlu diperkukuh, sumber yang mencukupi perlu disediakan dan halangan yang menjejaskan keberkesanan sistem perlindungan kanak-kanak perlu ditangani. Langkah-langkah ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) serta menjamin setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang menghormati maruah, hak dan potensi mereka.

OCC berharap agar syor dan pandangan yang diketengahkan sepanjang simposium ini dapat menjadi pemangkin kepada komitmen nasional yang lebih kukuh dalam memajukan hak kanak-kanak. OCC juga berharap usaha ini akan menyumbang kepada pembinaan sistem perlindungan kanak-kanak yang lebih mampan, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan semua kanak-kanak di Malaysia.

-TAMAT-

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
9 Jun 2026

2

Kenyataan Media No. 32-2026_SUHAKAM Sambut Baik Keputusan Re Akreditasi Sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Berstatus A

KUALA LUMPUR (9 JUN 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik keputusan Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) melalui Jawatankuasa Kecil Akreditasi (SCA) untuk mengesahkan semula akreditasi SUHAKAM sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) berstatus “A”. 

Proses re-akreditasi ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang berterusan terhadap pematuhan SUHAKAM kepada Prinsip-prinsip Paris, iaitu piawaian antarabangsa yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mengawal selia kebebasan, keberkesanan, kepelbagaian dan mandat institusi hak asasi manusia kebangsaan. SUHAKAM mengambil maklum pengiktirafan SCA terhadap usaha berterusan Suruhanjaya dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia, serta syor-syor konstruktif yang dikemukakan bagi memperkukuh lagi institusi ini. 

SUHAKAM mengambil maklum syor-syor yang berkaitan, antaranya, memperkukuh kebebasan fungsi dan operasi, meningkatkan ketelusan serta kebebasan proses pelantikan dan pemecatan, memastikan peruntukan dana yang mencukupi, membolehkan lawatan tanpa notis ke semua tempat pelucutan kebebasan, memperkukuh penglibatan Parlimen terhadap laporan SUHAKAM, dan memperkukuh keupayaan institusi untuk melaksanakan mandatnya yang semakin berkembang secara berkesan, termasuk tanggungjawab berkaitan hak kanak-kanak. 

SUHAKAM melihat syor-syor ini sebagai panduan penting ke arah memperkukuh lagi institusi ini selaras dengan Prinsip Paris dan amalan terbaik antarabangsa yang mengawal selia institusi hak asasi manusia kebangsaan yang bebas. SUHAKAM kekal komited untuk meneruskan libat urus dengan Kerajaan, Parlimen, organisasi masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menyokong reformasi undang-undang dan institusi yang memperkukuh kebebasan, keberkesanan, kebolehcapaian dan akauntabiliti awam SUHAKAM.

Sebagai NHRI berstatus “A”, SUHAKAM dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan serantau, termasuk Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta proses badan triti. Status ini penting bukan sekadar sebagai satu bentuk pengiktirafan antarabangsa, tetapi kerana ia mengesahkan kepentingan kewujudan sebuah institusi yang bebas, berwibawa dan berkesan, yang didedikasikan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia semua orang di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, SUHAKAM akan terus memperkukuh keupayaan institusinya, menegakkan piawaian integriti dan kebebasan yang tertinggi, serta meningkatkan libat urus dengan orang awam dalam menangani cabaran hak asasi manusia yang berlarutan dan yang sedang muncul. Suruhanjaya kekal teguh dengan visinya untuk membina Malaysia yang berteraskan maruah insan, kesaksamaan, keadilan, akauntabiliti dan penghormatan terhadap prinsip hak asasi manusia sejagat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

9 Jun 2026

Laporan dan Syor Sesi Ke-47 Jawatankuasa Kecil Akreditasi (SCA) boleh diakses di:

⁠https://www.ohchr.org/sites/default/files/documents/countries/nhri/ganhri/sca-report-47th-session-en.pdf

atau imbas Kod QR berikut:

E1

Kenyataan Media No. 31-2026_SUHAKAM Zahir Kebimbangan Dengan Peningkatan Sentimen Kebencian dan Tanpa Nilai Kemanusiaan Terhadap Komuniti Rohingya

KUALA LUMPUR (3 JUN 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen permusuhan, retorik diskriminasi dan serangan dalam talian yang ditujukan kepada komuniti Rohingya di Malaysia, khususnya selepas sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Penyebaran komen berunsur penghinaan dan naratif kebencian yang menyasarkan pelarian Rohingya dalam meraikan sambutan keagamaan amat membimbangkan dan mencerminkan nilai kemanusiaan yang semakin buruk dalam kalangan masyarakat. Ungkapan kebencian bukan sahaja menjejaskan maruah komuniti yang sering terdedah kepada pelbagai kerentanan, malah menghakis nilai belas ihsan, empati dan saling menghormati yang menjadi asas kepada nilai masyarakat Malaysia.

Ketika dunia terus menyaksikan pelbagai kekejaman kemanusiaan, SUHAKAM ingin menegaskan bahawa penderitaan manusia tidak boleh dinilai secara selektif. Genosid tetap genosid, tanpa mengira di mana ia berlaku. Masyarakat antarabangsa telah mengecam kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam di Gaza. Komitmen yang sama terhadap maruah manusia dan keadilan juga perlu diberikan kepada semua golongan yang berdepan penindasan, termasuk masyarakat Rohingya yang telah melalui puluhan tahun diskriminasi secara sistematik, ketiadaan kewarganegaraan, pemindahan secara paksa dan pelbagai kekejaman besar-besaran di Myanmar.

Krisis Rohingya kekal sebagai antara cabaran kemanusiaan dan hak asasi manusia yang paling serius di rantau ini. Penemuan badan-badan antarabangsa, termasuk misi pencarian fakta yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah mendokumentasikan perbuatan yang mungkin merupakan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap komuniti Rohingya. Hakikat ini tidak boleh dilupakan hanya kerana mangsanya adalah pelarian yang kini tinggal dalam kalangan kita.

SUHAKAM berpandangan bahawa adalah penting untuk kita membezakan antara pelarian dan migran. Pelarian tidak meninggalkan negara asal mereka secara sukarela untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik. Mereka terpaksa melarikan diri akibat penganiayaan, konflik bersenjata, keganasan atau pelanggaran hak asasi manusia yang serius di negara asal mereka. Masyarakat Rohingya khususnya telah berdepan selama beberapa dekad dengan diskriminasi sistematik, ketiadaan kewarganegaraan dan keganasan yang disasarkan sehingga mereka hampir tidak mempunyai pilihan selain mencari perlindungan di tempat lain.

Sebahagian besar pelarian Rohingya tidak datang ke Malaysia atas pilihan sendiri, tetapi kerana keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kehadiran mereka di negara ini adalah akibat daripada keadaan yang berada di luar kawalan mereka. Bagi kebanyakan mereka, Malaysia berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara sementara menunggu penyelesaian jangka panjang, termasuk penghantaran pulang secara sukarela apabila keadaan mengizinkan dan selamat, atau penempatan semula ke negara ketiga yang bersedia menawarkan perlindungan jangka panjang. Menggambarkan pelarian sebagai migran yang mengambil kesempatan bukan sahaja menyelewengkan realiti kehidupan mereka, malah menutup hakikat pelanggaran hak asasi manusia yang serius yang memaksa mereka melarikan diri dari negara asal.

Pelarian juga manusia dan mereka terdiri daripada ibu, bapa, kanak-kanak dan keluarga yang melarikan diri daripada keganasan, penganiayaan dan ketakutan demi mencari keselamatan dan maruah. Wacana awam yang menggambarkan mereka sebagai golongan yang kurang layak menerima hak, penghormatan atau belas ihsan berisiko menormalisasikan kebencian dan menyemarakkan perpecahan sosial. SUHAKAM menyeru semua rakyat Malaysia, termasuk tokoh masyarakat, pengamal media dan pengguna media sosial, supaya tidak menyebarkan stereotaip berbahaya, maklumat palsu dan retorik yang boleh membangkitkan kebencian terhadap pelarian dan pencari suaka. Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan ia tidak seharusnya digunakan untuk menghasut kebencian, diskriminasi atau permusuhan terhadap komuniti yang rentan.

Sebagai anggota ASEAN dan sebuah negara yang sekian lama memainkan peranan penting dalam aspek kemanusiaan di rantau ini, Malaysia harus terus menjunjung prinsip kemanusiaan, tanpa diskriminasi dan penghormatan terhadap maruah insan. Sebarang pertimbangan dasar berkaitan pengurusan pelarian hendaklan ditangani selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan penghormatan terhadap maruah insan.

SUHAKAM bersolidariti bersama semua mangsa penganiayaan dan keganasan tanpa mengira kewarganegaraan, etnik, agama atau status undang-undang mereka. Kami juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menolak kebencian dan sikap tidak berperikemanusiaan dalam apa jua bentuk serta memperkukuh komitmen bersama terhadap belas ihsan, keadilan dan perlindungan maruah manusia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
3 Jun 2026