KUALA LUMPUR (3 JUN 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen permusuhan, retorik diskriminasi dan serangan dalam talian yang ditujukan kepada komuniti Rohingya di Malaysia, khususnya selepas sambutan Aidiladha baru-baru ini.
Penyebaran komen berunsur penghinaan dan naratif kebencian yang menyasarkan pelarian Rohingya dalam meraikan sambutan keagamaan amat membimbangkan dan mencerminkan nilai kemanusiaan yang semakin buruk dalam kalangan masyarakat. Ungkapan kebencian bukan sahaja menjejaskan maruah komuniti yang sering terdedah kepada pelbagai kerentanan, malah menghakis nilai belas ihsan, empati dan saling menghormati yang menjadi asas kepada nilai masyarakat Malaysia.
Ketika dunia terus menyaksikan pelbagai kekejaman kemanusiaan, SUHAKAM ingin menegaskan bahawa penderitaan manusia tidak boleh dinilai secara selektif. Genosid tetap genosid, tanpa mengira di mana ia berlaku. Masyarakat antarabangsa telah mengecam kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam di Gaza. Komitmen yang sama terhadap maruah manusia dan keadilan juga perlu diberikan kepada semua golongan yang berdepan penindasan, termasuk masyarakat Rohingya yang telah melalui puluhan tahun diskriminasi secara sistematik, ketiadaan kewarganegaraan, pemindahan secara paksa dan pelbagai kekejaman besar-besaran di Myanmar.
Krisis Rohingya kekal sebagai antara cabaran kemanusiaan dan hak asasi manusia yang paling serius di rantau ini. Penemuan badan-badan antarabangsa, termasuk misi pencarian fakta yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah mendokumentasikan perbuatan yang mungkin merupakan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap komuniti Rohingya. Hakikat ini tidak boleh dilupakan hanya kerana mangsanya adalah pelarian yang kini tinggal dalam kalangan kita.
SUHAKAM berpandangan bahawa adalah penting untuk kita membezakan antara pelarian dan migran. Pelarian tidak meninggalkan negara asal mereka secara sukarela untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik. Mereka terpaksa melarikan diri akibat penganiayaan, konflik bersenjata, keganasan atau pelanggaran hak asasi manusia yang serius di negara asal mereka. Masyarakat Rohingya khususnya telah berdepan selama beberapa dekad dengan diskriminasi sistematik, ketiadaan kewarganegaraan dan keganasan yang disasarkan sehingga mereka hampir tidak mempunyai pilihan selain mencari perlindungan di tempat lain.
Sebahagian besar pelarian Rohingya tidak datang ke Malaysia atas pilihan sendiri, tetapi kerana keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kehadiran mereka di negara ini adalah akibat daripada keadaan yang berada di luar kawalan mereka. Bagi kebanyakan mereka, Malaysia berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara sementara menunggu penyelesaian jangka panjang, termasuk penghantaran pulang secara sukarela apabila keadaan mengizinkan dan selamat, atau penempatan semula ke negara ketiga yang bersedia menawarkan perlindungan jangka panjang. Menggambarkan pelarian sebagai migran yang mengambil kesempatan bukan sahaja menyelewengkan realiti kehidupan mereka, malah menutup hakikat pelanggaran hak asasi manusia yang serius yang memaksa mereka melarikan diri dari negara asal.
Pelarian juga manusia dan mereka terdiri daripada ibu, bapa, kanak-kanak dan keluarga yang melarikan diri daripada keganasan, penganiayaan dan ketakutan demi mencari keselamatan dan maruah. Wacana awam yang menggambarkan mereka sebagai golongan yang kurang layak menerima hak, penghormatan atau belas ihsan berisiko menormalisasikan kebencian dan menyemarakkan perpecahan sosial. SUHAKAM menyeru semua rakyat Malaysia, termasuk tokoh masyarakat, pengamal media dan pengguna media sosial, supaya tidak menyebarkan stereotaip berbahaya, maklumat palsu dan retorik yang boleh membangkitkan kebencian terhadap pelarian dan pencari suaka. Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan ia tidak seharusnya digunakan untuk menghasut kebencian, diskriminasi atau permusuhan terhadap komuniti yang rentan.
Sebagai anggota ASEAN dan sebuah negara yang sekian lama memainkan peranan penting dalam aspek kemanusiaan di rantau ini, Malaysia harus terus menjunjung prinsip kemanusiaan, tanpa diskriminasi dan penghormatan terhadap maruah insan. Sebarang pertimbangan dasar berkaitan pengurusan pelarian hendaklan ditangani selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan penghormatan terhadap maruah insan.
SUHAKAM bersolidariti bersama semua mangsa penganiayaan dan keganasan tanpa mengira kewarganegaraan, etnik, agama atau status undang-undang mereka. Kami juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menolak kebencian dan sikap tidak berperikemanusiaan dalam apa jua bentuk serta memperkukuh komitmen bersama terhadap belas ihsan, keadilan dan perlindungan maruah manusia.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
3 Jun 2026
