KUALA LUMPUR (18 APRIL 2022) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada hari ini melancarkan “Modul Hak Asasi Manusia untuk Polis Diraja Malaysia” di satu majlis pelancaran yang telah dirasmikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur.
Modul tersebut telah mula dibangunkan secara usahasama oleh SUHAKAM dan PDRM pada tahun 2018 sebagai salah satu inisiatif kedua-dua pihak bagi memperkukuh latihan pegawai dan anggota PDRM mengenai standard-standard hak asasi manusia domestik dan antarabangsa dalam tugas-tugas kepolisan. Khususnya, modul ini akan menjadi panduan kepada tenaga pengajar dalam menyampaikan kursus hak asasi manusia kepada semua pegawai dan anggota PDRM di samping menambah baik kursus hak asasi manusia yang sedia ada di institusi latihan PDRM dengan mengintegrasikan topik-topik dalam modul yang sesuai ke dalam kursus tersebut.
Melalui Modul ini, warga PDRM akan dilatih mengenai perkara-perkara kritikal bagi memastikan perlindungan hak asasi manusia sentiasa diberi perhatian semasa menjalankan tugas-tugas kepolisan antaranya:
- Standard antarabangsa hak asasi manusia dan kepolisan;
- Hak Asasi Manusia Pegawai dan Anggota Polis;
- Aplikasi prinsip hak asasi manusia dalam penahanan, penangkapan, penggunaan kekerasan dan senjata api;
- Larangan diskriminasi;
- Keperluan khusus tahanan OKU, kanak-kanak, Wanita; dan
- Larangan Penyeksaan dan Layanan serta Hukuman Kejam, Tidak Berperikemanusiaan serta Menjatuhkan Maruah.
Semasa Majlis Pelancaran tersebut, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani dalam ucapan perasmian menyatakan lebih banyak lagi program- program yang akan disertai oleh warga PDRM, yang bukan sahaja bertujuan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai hak asasi manusia, tetapi juga sebagai tanda sokongan PDRM terhadap hak asasi manusia.
Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Othman Hashim dalam ucapan alu-aluan menzahirkan harapan agar modul tersebut bukan sahaja dapat memperkukuh pembelajaran hak asasi manusia dalam PDRM, tetapi juga, sekaligus dapat “memastikan hak asasi manusia dapat diterapkan dalam setiap tugas penguatkuasaan oleh pegawai dan anggota PDRM”.
Majlis pelancaran tersebut telah dihadiri oleh seramai 300 hadirin yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi PDRM, barisan Pesuruhjaya SUHAKAM, Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia, Singapura dan Brunei, wakil-wakil Kedutaan Luar di Malaysia serta pegawai dan anggota PDRM.
-TAMAT-