KUALA LUMPUR (9 SEPTEMBER 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-27 sejak Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] diwartakan pada 9 September 1999.
Penubuhan SUHAKAM sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) Malaysia mencerminkan komitmen penting negara dalam memajukan dan melindungi hak asasi manusia. Berteraskan prinsip “Hak Asasi Manusia untuk Semua”, SUHAKAM sejak penubuhannya telah memainkan peranan sebagai sebuah institusi bebas yang menasihati dan membantu Kerajaan dalam penggubalan undang-undang, arahan pentadbiran dan prosedur; mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil; menyiasat aduan berhubung pelanggaran hak asasi manusia; menjalankan siasatan awam; mempromosikan pendidikan hak asasi manusia; serta melibatkan diri secara aktif dengan komuniti dan pihak berkepentingan di seluruh Malaysia.
Hasil komitmen berterusan serta kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, SUHAKAM sekali lagi memperoleh akreditasi status ‘A’ sebagai NHRI daripada Sub-Jawatankuasa Akreditasi Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI-SCA) pada Jun 2026. Reakreditasi ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap pematuhan berterusan SUHAKAM kepada Prinsip Paris, yang menetapkan piawaian bagi kebebasan, keberkesanan, kepelbagaian dan mandat sesebuah NHRI. Sebagai NHRI berstatus ‘A’, SUHAKAM layak untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam mekanisme hak asasi manusia antarabangsa, termasuk sesi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) dan badan-badan perjanjian PBB (Treaty Bodies).
Mandat SUHAKAM turut diperkukuh melalui pindaan terhadap Akta 597 yang mula berkuat kuasa pada 10 Julai 2024. Antara perubahan yang diperkenalkan termasuk memperkukuh fungsi Suruhanjaya dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak; memperuntukkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak; memperkukuh kuasa penyiasatan SUHAKAM; serta memperluaskan kuasanya untuk melawat tempat tahanan, institusi dan premis lain yang berkaitan. Pindaan tersebut turut mewajibkan pihak berkuasa dan individu berkaitan untuk memaklumkan kepada SUHAKAM mengenai tindakan yang telah diambil susulan syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya.
Penyertaan wakil golongan orang kurang upaya (OKU), serta keperluan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam komposisi Suruhanjaya, merupakan satu lagi kemajuan penting dalam memastikan SUHAKAM mencerminkan kepelbagaian dan pengalaman masyarakat. Langkah ini memperkukuh prinsip penyertaan, keterangkuman dan kesaksamaan sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).
Sepanjang 27 tahun penubuhannya, SUHAKAM telah membawa pelbagai isu kritikal hak asasi manusia ke perhatian negara melalui reformasi undang-undang, pengendalian aduan, penyelidikan, siasatan awam, pemantauan syor dasar serta penglibatan berterusan dengan Kerajaan, Parlimen, masyarakat sivil dan komuniti yang terjejas. Usaha ini merangkumi pelbagai isu, termasuk kematian dan keadaan dalam tahanan, kehilangan paksa, hak tanah Orang Asli/Asal, kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, diskriminasi, pemerdagangan orang, perniagaan dan hak asasi manusia, ketanpanegaraan, serta hak kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya, pelarian, warga emas dan komuniti rentan yang lain.
SUHAKAM turut menyambut baik usaha Kerajaan dalam memastikan Laporan Tahunan SUHAKAM dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen. Penelitian terhadap laporan tersebut oleh Parlimen memperkukuh akauntabiliti awam serta menyediakan ruang penting untuk isu hak asasi manusia dan syor SUHAKAM dibincangkan di peringkat nasional. Walaupun perkembangan ini merupakan suatu kemajuan yang bermakna, keberkesanan sesebuah NHRI tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan laporan yang dihasilkan atau syor yang dikemukakan, tetapi berdasarkan sejauh mana syor tersebut diterjemahkan kepada penambahbaikan yang nyata dalam undang-undang, dasar dan institusi serta, yang paling penting, dalam kehidupan masyarakat yang haknya perlu dilindungi.
Dalam era ketegangan geopolitik, perubahan iklim, perkembangan teknologi yang pesat serta peningkatan tekanan sosioekonomi, SUHAKAM menegaskan bahawa hak asasi manusia perlu kekal sebagai teras penggubalan dasar dan tadbir urus negara. Prinsip hak asasi manusia perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan yang inklusif, saksama dan merangkumi seluruh lapisan masyarakat. Sehubungan itu, SUHAKAM menegaskan kembali kepentingan untuk terus memperkukuh kebebasan fungsi dan operasinya, memastikan sumber yang mencukupi dan mampan, meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan, menjamin akses yang berkesan dan tanpa notis awal ke semua tempat tahanan, serta mewujudkan mekanisme yang lebih kukuh bagi memastikan syor SUHAKAM dilaksanakan dalam tempoh yang sewajarnya.
Hari SUHAKAM melambangkan komitmen berterusan Suruhanjaya dalam melaksanakan mandatnya dengan penuh kebebasan, integriti dan akauntabiliti. SUHAKAM akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan Kerajaan, memperkasakan suara komuniti yang terpinggir, serta memperjuangkan pendekatan berasaskan hak asasi manusia dalam tadbir urus dan pembangunan negara. Berteraskan prinsip “Hak Asasi Manusia untuk Semua”, SUHAKAM kekal teguh dalam usaha membina sebuah Malaysia yang menghormati maruah setiap insan, menjunjung kesaksamaan, memastikan keadilan dapat diakses oleh semua, serta melindungi dan memenuhi hak dan kebebasan setiap individu.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
9 September 2026
